Lima ayat – turun di Mekah
Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang
Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah
1. Sesungguhnya Kami telah turunkan dia di malam kemuliaan.
2. Sudahkah engkau tahu, apa dia malam kemuliaan itu?
3. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan,
4. Turun Malaikat dan ruh padanya dengan izin Tuhan mereka, (dengan membawa
pokok-pokok) dari tiap-tiap perintah,
5. Sejahtera ia! Hingga terbit fajar.
Keterangan :
Kami turunkan dia itu maksudnya : Kami turunkan Al-Quran itu di malam kemuliaan.
Malam kemuliaan itu ialah Lailatul-Qadar, Lailatul-Qadar itu adanya di bulan Ramadhan.
Di hadis-hadis ada diperintah orang-orang Islam hidupkan malam itu dengan beribadat, dengan beramal soleh, padahal tidak ditentukan malam yang ke berapa. Dengan itu dimaksudkan supaya orang-orang Islam penuhi malam-malam Ramadhan itu dengan ibadat, kebajikan dan kebaikan.
Ada lain-lain ayat lagi menunjukkan bahawa permulaan turun Al-Quran itu di bulan Ramadhan.
Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan lantaran di malam itu mulai diturunkan isi satu kitab agama yang paling lengkap, yang belum pernah ada serupa itu, yang menerangi dunia yang sudah ada di dalam gelap-gelita beberapa abad lamanya.
Di malam itu, dengan izin Allah turun malaikat-malaikat dan ruh iaitu Jibril dengan membawa pokok-pkok tiap perintah terutama yang berhubung dengan kerasulan nabi Muhammad saw.
Lailatul Qadar itu, malamnya hingga terbit fajar adalah satu malam yang sejahtera dan bahagia bagi manusia sealam dunia kerana di malam itu Allah rahmatkan alam ini dengan mengutus Nabi akhir zaman yang agamanya berisi sekalian macam pokok-pokok ibadat yang perlu untuk tiap-tiap seorang sebagai bekal ke akhirat dan berisi sekalian macam pokok-pokok hukum keduniaan untuk keperluan manusia di dalam pergaulan yang membawa kepada keselamatan dunia dan hari kemudian.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Di surah ini, Tuhan ada tunjukkan dua kelebihan : kemuliaan Al-Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad dan kebahagiaan Lailatul Qadar iaitu malam yang diturunkan Al-Quran padanya untuk menerangi dunia dan ahlinya yang di dalam gelap gelita.
Dengan menunjukkan kelebihan dan kebahagiaan itu, maksud Tuhan ialah supaya kita beribadat, mengerjakan kebaikan di malam tersebut serta kita beramal dengan bersungguh-sungguh di dalam segala hal menurut isi kitab yang begitu dimuliakan.
Dengan menunjukkan itu, agama tidak perintah bahkan tidak benarkan, kta hidupkan malam itu dengan paang-pasang lampu dan duduk ramai-ramai berbual, bercerita di masjid-masjid dan di rumah-rumah apa lagi memasang mercun (petasan) di malam malam Ramadhan yang mana sekurang-kurang dosanya ialah tabdzir dan israaf.
Dengan menunjukkan kelebihan Al-Quran itu tidak sekali-kali Tuhan perintah kita membaca Al-Quran dengan macam-macam cara dan lagu yang hanya memuaskan kuping dengan suara pembacanya padahal isinya tidak difikirkan sama sekali.
( A. Hassan ; Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )
No comments:
Post a Comment