Friday, March 25, 2011

Surah Al-A’laa ( Yang paling tinggi )

Sembilan belas ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Anggaplah kesucian nama Tuhanmu yang maha tinggi,
2. Yang telah menjadikan lalu menyempurnakan,
3. Dan yang telah menentukan, lalu menunjukka,
4. Dan yang telah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan,
5. Lalu menjadikan dia kering yang berubah warna,

Keterangan :

Isma rabbika : Nama Tuhanmu iti dan wajhu rabbika : Muka Tuhanmu itu, dikebanyakkantempat terpakai dengan makna Tuhanmu atau dzat Tuhanmu.

Jadi maksud ayat-ayat itu : Hendaklah engkau percaya dan mengaku bahawa Tuhanmu itu maha Tinggi dan maha Suci yang menjadikan sesuatu dan menyempurnakan kejadiannya ialah Allah Tuhan yang telah menentukan kejadian sesuatu lalu menunjukkan jalan yang baik dan jalan yang jahat buat dipilihnya ialah Tuhan yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang segar-segar dan ialah Tuhan yang menjadikannya layu kering dan berubah warna.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Memang amat patut kita percaya dan akui memuji serta berbakti kepada Tuhan yang maha Tinggi, yang maha Suci daripada tiap-tiap kekurangan yang telah jadikan kita dan telah beri kita adama dan akal yang dapat kita gunakan untuk memilih jahat dan baik serta membawa kita kepada keselamatan di dunia dan akhirat.

6. Nanti Kami bacakan kepadanya maka sesudah itu tidak bakal engkau lupa,
7. Kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah kerana sesungguhnya Ia mengetahui apa
    yang terang dan barang yang tersembunyi.

Keterangan :

Maksudnya : Nanti Kami turunkan lagi kepadamu ayat-ayat Al-Quran yang mana engkau akan baca dan tidak bakal engkau lupa kecuali jika dikehendaki oleh Allah, ayat mana untuk jadi pimpinan bagi manusia di dalam urusan zahir dan batin  mereka kerana Allah Taala mengetahui sekalian apa yang zahir dari antara hal ehwal manusia dan juga hal ehwal yang tersembunyi.

.Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Al-Quran yang diterima  oleh Rasulullah lalu disampaikan kepada kita dengan perantaraan tulisan dan ingatan (hafaz) itu ialah sesuci-suci perkataan yang seterang-terangnya datang dari Allah untuk jadi pedoman bagi kita di dalam urusan zahir, batin, dunia dan akhirat kita.

8. Dan kami akan mudahkanmu kepada (agama) yang mudah,
9. Oleh sebab itu, ingatkanlah kerana sesungguhn-sungguhnya peringatan itu
    memberi manfaat,
10. Orang yang takut itu akan teringat,
11. Dan akan membuang dia orang yang celaka,
12. Yang akan terpanggang di api yang amat besar,
13. Kemudian tidak bakal ia mati di dalamnya dan tidak (pula) akan hidup,

Keterangan :

Maksudnya : Kami akan beri kepadamu agama yang mudah yang akan membersihkan zahir dan batin, oleh sebab itu berilah peringatan kepada manusia, kerana peringatan itu sesungguhnya memberi faedah kepada mereka, orang yang takut kepada allah akan terima peringatan dan nasihat itu, tetapi akan ditolak oleh sicelaka yang akan masuk dan terpanggang di api neraka yang amat besar, di mana tidak ia akan mati supaya tidak merasa azab lagi dan tidak pula akan hidup hingga dengan tidak merasa sengsara yang besar itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Wajib kita berkerja, mengajar, memberi peringatan, memberi nasihat kepada manusia.

Asal sahaja kita mahu berkerja tentu akan berfaedah kerana agama Islam yang mudah difahami dan mudah dikerjakan itu akan diterima oleh orang yang takut kepada Allah dan orang yang celaka itu memang suka menolak kebenaran.


14. Sesungguhnya berbahagialah orang yang bersihkan dirinya,
15. Dan ingat nama Tuhanmu serta sembahyang,
16. Tetapi kamu lebihkan penghidupan dunia,
17. Padahal akhirat itu lebih baik dan kekal
18. Sesungguhnya (hal) ini ada di kitab-kitab yang dahulu,
19. (Iaitu) kitab-kitab Ibrahim dan Musa.

Keterangan :

Maksudnya, bahawa orang-orang yang bersihkan dirinya dan ingat kepada Tuhannys sera sembahyang itulah orang yang berbahagia tetapi kebanyakkan daripada kamu tidak begitu hanya kamu pentingkan penghidupan di akhirat itu lebih baik dan kekal.

Hal-hal itu bukan sahaja tersebut di Al-Quran bahkan tersebut juga di kitab-kitab yang dahulu kala seperti kitab-kitab nabi Ibrahim dan nabi Musa.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita bersihkan diri dengan mengingat Tuhan dan bersembahyang serta mementingkan urusan-urusan yang akan memberi kebahagiaan bagi kita di akhirat yang kekal kerana kedatangan sekalian agama-agama Allah yang dibawa oleh nabi-nabi maksudnya begitu.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment