Lapan ayat – turun di Mekah
Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang
Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah
1. Bukankah Kami telah lapangkan bagimu dadamu,
2. Dan kami turunkan bebanmu daripadamu,
3. Yang mendengekkan belakangmu,
4. Dan Kami telah tinggikan sebutanmu bagimu?
5. Kerana sesungguhnya berserta kesukaran (rohani) itu ada satu keluasan!
6. Sesungguhnya berserta kepayahan (jasmani) itu, ada satu kelapangan,
7. Lantaran itu, apabila engkau telah selesai maka kerjakanlah,
8. Dan kepada Tuhanmulah hendaknya engkau berkemahuan.
Keterangan :
Lapangkan dada itu ertinya hilangkan kesusahan fikiran, kebingungan dan sebagainya.
Turunkan beban itu ertinya hilangkan keberatan fikiran, pikulan dan lainnya.
Yang mendengekkan itu ertinya yang amat berat hingga menimbulkan suara waktu mengangkatnya.
Tinggikan sebutan itu ertinya muliakan, hormatkan dan sebagainya.
Sebelum mendapat wahyu jadi Rasul, nabi kita Muhammad saw amat dukacita dan sempit rasa dadanya memikirkan hal-hal kaumnya, tentang ibadat dan akhlak pergaulan mereka kerana memang sudah ada perasaan bahawa hal-hal itu tidak benar hingga yang demikian itu jadi satu pikulan yang amat berat lantaran ia tidak mengerti dengan apakah jalan dapat ia melepaskan dan menyelamatkan mereka daripada kesesatan yang tidak berbatas itu.
Sesudah itu, nabi Muhammad saw dapat wahyu dan jadi Rasul. Dengan surah ini, Tuhan ingatkan kepadanya : Ya Muhammad! Bukankah Kami telah lapangkan kesempitan dadamu dan Kami telah hilangkan beban fikiran yang jadi pikulanmu dengan memberi wahyu menjadikanmu Rasul yang Kami beri peraturan Syariat.
Yang dahulunya engkau tidak tahu untuk mengajak kaummu dan sekalian manusia ke jalan yng lurus? Dan bukankah Kami telah tinggikan dan muliakan namamu sebagi Rasul yang amat terkenal di seluruh alam dan dengan menyertaka namamu berserta namaKu hingga tiap-tiap kali seorang menyebut tauhid dan kalimah Syahadat, terbawa namamu?
Kami berbuat begitu lantara sudah menjadi sunnah peraturan Kami yang umum bahawa sesuatu kesukaran rohani yang didapati oleh seseorang asal sahaja lantaran tulus ikhlasnya ia akan dapat buahnya dengan keluasan rohani pula dan begitu juga sesuatu kepayahan jasmani di dalam sesuatu pekerjaan, asal saja kita lakukan dengan redha dan bersih hati kita akan dapat buahnya yang memberi kesenangan jasmani pula.
Oleh sebab itu, sesudah engkau berkerja mengajak manusia ke jalan Allah maka kerjakanlah ibadat kepada Tuhanmu dan uruslah keperluanmu dan janganlah engkau berkemahuan melainkan kepadaNya iaitu janganlah engkau harap balasan bagi amal-amalmu dan ibadatmu melainkan dari Allah swt sahaja.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Kalau memang kita sungguh-sungguh ikhlas memikirkan keselamatan manusia terutama kaum muslimin dan sungguh-sungguh kuat berkerja untuk kesejahteraan dan kebaikan manusia nescaya Allah swt lapangkan dada kita dan luaskan jikiran kita dan ringankan urusan yang berat dan menjadikan kita orang-orang yang mulia di dunia lantaran disukai oleh orang dan memberikan kepada kita tempat yang mulia di akhirat lantaran doa mereka dan pahala amal kita yang berjalan terus sesudah kita meninggal.
Kalau kita dapat kesusahan terutama di dalam hal membela kaum Muslimin janganlah kita berhenti dan janganlah kita putus asa kerana tiap-tiap perkara yang pada adatnya dicapai dengan ikhtiar asal sahaja terus kita kerjakan tentu buahnya akan ada swndiri.
Janganlah kita lalai dengan mengerjakan keperluan umum sahaja tetapi hendaklah kita urus juga keperluan diri kita sendiri mahupun keperluan dunia atau akhirat.
Di dalam sekalian amal ibadat yang kita kerjakan janganlah kita berharap balasan melainkan dari Allah semata-mata.
( A. Hassan ; Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )
No comments:
Post a Comment