Wednesday, January 22, 2014

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1435H / 2014 ( 3 )

Datuk Faiza Thamby Chik
Mantan Hakim Mahkamah Tinggi

Tegas beliau, konsep kebebasan beragama tidak terpakai bagi umat Islam. Biarpun ringkas bunyinya tetapi tersirat makna yang amat penting dalam menyelusuri masyarakat Islam di Malaysia. Apa yang dimaksudkan oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faiza Thamby Chik adalah perjuangan agama, bangsa dan negara. Satu cerminan daripada sifat Saidina Umar Al-Khattab yang berani dan tidak gentar dalam menegakkan syiar Islam.

Menyedari jauh berjalan banyak pancaroba apa tah lagi hidup ini sangat berbeza. Ini kerana dalam meniti usia, Datuk Faiza tidak jemu-jemu mencari ilmu walaupun telah memiliki Ijazah dalam perundangan pada 1972. Beliau masih terus menimba pengetahuan dalam bidang perundangan Islam sehingga peringkat sarjana di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.


Tan Sri Datuk Abdul Kader Talib
Mantan Imam Masjid Putra

Mewarisi darah keturunan Bugis Makassar, anak lelaki dididik menjadi nelayan dan dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Nilai kehidupan itulah yang mendorong Tan Sri Datuk Abdul Kader Talib untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Tekad membulat membawa anak jati Johor ini merantau jauh ke Universiti al Azhar, Mesir untuk menuntut ilmu hingga ke luar negeri.

Daripada Jabatan Agama Islam Johor beliau beralih kerjaya  sebagai Pensyarah Universiti Kebangsaan selepas itu dilantik sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Agama. Kemudiannya Julai 1971, dilantik menjadi Mufti Wilayah Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Penasihat Syariah Jabatan Perdana Menteri, Penasihat Kajian Halal Haram bagi Penerbangan Malaysia, Penasihat Syariah bagi Tabung Haji dan pelbagai agensi swasta.


Datuk Dr Zakaria Stapa
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Kekurangan dan kesusahan hidup bagi anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini untuk meniti satu perjalanan yang panjang bagi mengikis kemiskinan keluarga. Itulah keistimewaan yang ada pada nama Datuk Zakaria Stapa yang kini sentiasa ditagih buah fikirannya. Dalam mencari jawapan kepada persoalan tentang Islam dan permasaalahan sosial yang melanda masyarakat.

Beliau telah diberi tanggungjawab sebagai Penasihat Akidah dan Ahli Fatwa Kebangsaan.

Wallahu alam.

Masjid Putra,
Putrajaya
14 Jan 2014

Ibadah dan ketaatan 1


a) Apabila ibadah tidak terasa manisnya di jiwa. Itu petanda jiwa telah dibebani dosa mata! Siapa yang menjaga pandangannya akan diberi kemantapan jiwa..

b) Jika tidak mampu meraih kemuliaan dengan keringat ibadah, cukuplah dengan merayu pengampunan Allah dengan air mata taubat.

c) Jika taat itu pedih…maksiat itu lebih pedih!

d) Yang berupaya dan kuat, gunakan kekuatan untuk melakukan taat. Yang lemah tidak berdaya, tahanlah diri agar tidak melakukan dosa. Jika tidak mampu tahajud pada malam hari, cukuplah dengan meninggalkan dosa pada siang hari.

e) Meninggalkan maksiat pada siang hari akan memudahkan ibadah pada malam hari. Justeru, pemburuan malam al-Qadar bermula daripada terbit mentari bukan sewaktu terbenamnya.

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Katakan Dunia

Dunia sebenar
hanya sekecil guli

Dengan permukaan terjal
dan keras
kita cuba miliki
sfera kesempurnaan.

Berpusing-pusing
dalam rentaknya
menari bagaikan
jalur warnanya.

Bermula di lantai fana
berakhir di dinding abadi
hingga terlantun kembali
bergerak ke usul peribadi.
dunia seperti guli
tidak lebih sekadar
satu permainan.

Tuah Sujana
Besut Terengganu.
Berita Harian
19 Januari 2014

Tuesday, January 21, 2014

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1435H / 2014 ( 2 )

005. Itulah nombor pelajar yang mengesahkan status beliau sebagai pelajar Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia atau UKM. Sejarah negara yang dicatatkan pada tahun 1970 ini turut menjadi kenangan terindah kepada bekas pelajar Kolej Islam Malaya yang bernama Datin Hajjah Rusmiati Harun. Bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM, Datin Hajjah Rusmiati cukup dikenali sebagai ikon kekeluargaan. Beliau sering menjadi wakil bagi membuka mata masyarakat tentang institusi keluarga. Atas keprihatinan serta ilham Datin Hajjah Rusmiati, kursus kekeluargaan diperkenalkan pada awal 1980-an kemudian dipanjangkan menjadi kursus pra perkahwinan, iaitu syarat yang perlu dipenuhi bagi pasangan Islam yang  akan mendirikan rumahtangga sehingga ke hari ini.

Meskipun telah mengakhiri tempoh perkhidmatan pada tahun 2001, nadi dan hati Datin Hajjah Rusmiati tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat. Selain daripada turut memberi khidmat nasihat sebagai pendakwah bebas dan Kauselor Masjid Negara, beliau juga aktif dalam menyumbang tenaga ke arah membina masyarakat penyayang bersama beberapa badan bukan kerajaan atau NGO.

Kita semua tahu bahawa dalam kehidupan yang amat mencabar pada hari ini, banyak keperluan yang kita sempurna dalam hidup ini. Kita mahu ekonomi, sosial, pembangunan, politik yang stabil tetapi semuanya itu tidak akan boleh terlaksana dengan sempurna dan baik tanpa pendinding, tanpa ada asas yang kukuh iaitu akidah, kestabilan rohani bagi setiap orang.

Oleh sebab itu, setiap orang dan keluarga mesti memikirkan terlebih dahulu untuk membangunkan kehidupan ini, tentang mantapnya akidah atau nilai agama, menghayati nilai agama itu dalam kehidupan keseluruhannya.

Tambahan pula kita tahu pada hari ini, begitu banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi dan ujian yang berbagai-bagai. Oleh sebab itu, keluara ini yang pertama-tama perlu kukuh, stabil. Apabila kita lihat jumlah penceraian yang wujud di negara kita pada hari ini, lebih kurang 20% kebanyakkan daripada sebabnya adalah kerana retaknya hubungan kekeluargaan antara suami. Apabila hubungan antara suami isteri sudah tidak stabil lagi, tentu anak-anak juga tidak dapat diberi perhatian, kasih sayang, didikan tentang agama, rohaninya. Ini adalah salah satu sebab yang remaja-remaja kita hari ini, terbabas dan tidak dapat hidup seperti yang dikehendaki; menjadi pengganti kepada pucuk pimpinan negara di masa hadapan. Dengan itu keluarga mesti dimantapkan.

Di peringkat sekolah, apapun aliran sekolah yang ada di negara ini, mesti ada untuk memantapkan kerohanian. Dan kita lihat sekarang dalam hal ini pada saya tidak begitu dapat memainkan peranan. Kalau belajar Sejarah, Sejarah sahajalah. Tetapi di dalam hal yang berkaitan dengan rohani, tidak banyak yang dikaitkan. Sebab itu anak-anak kita apabila habis daripada sekolah; sekolah rendah, sekolah menengah kalau mereka tidak pergi ke sekolah agama, rohani mereka nipis dan mereka amat mudah diceroboh ataupun dihantui oleh dugaan-dugaan yang wujud di luar sana.

Begitu juga di peringkat menengah, universiti mesti ada satu unit khas yang berusaha memikirkan, menilai, memantapkan akidah anak-anak ini sehingga apabila anak-anak ini apabila keluar nanti mempunyai akidah yang baik. Dan hasil daripada mempunyai akidah yang baik, yang sempurna itu mereka akan mempunyai sifat-sifat terpuji di dalam kehidupannya. Iaitu jujur, ikhlas, amanah, tidak membuat fitnah, tidak melakukan penipuan, penindasan kepada orang lain, tidak mencuri, tidak membuat maksiat dan sebagainya.

Itulah yang kita nak fikirkan, lahirkan generasi yang akan datang. Dan ini bukanlah tugas sesuatu pihak sahaja tetapi ia bermula daripada rumah, ibubapa sampai ke sekolah, universiti, pejabat sama ada pejabat kerajaan atau pejabat berkaitan institusi lain, iaitu swasta.

Dan begitu juga mengenai kursus perkahwinan itu sendiri. Tidak cukup dengan kursus pra perkahwinan yang ada sekarang ini, perlu banyak wujud lagi kursus pemantapan keluarga dari masa ke semasa.

Datin Rusmiati Harun
Mantan Pengarah Bahagian Latihan 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Wallahu alam.

Masjid Putra,
Putrajaya
14 Jan 2014

Cinta 4

a) Cintailah Allah untuk mencintai orang lain. Hanya apabila kita mencintai Allah barulah akan semarak cinta kita sesama manusia.

b) Hati yang tidak mencintai Allah akan sangat mencintai dunia dan takut mati.

c) Cinta itu membahagiakan. Benar ia diuji, tetapi ujian dalam bercinta selalunya seronok untuk dihadapi.

d) Cinta sejati pasti diuji. Ujian itu sakit dan pahit, kerana itu ubat dan penawar yang paling mujarab.

e) Dua kalimah syahadah adalah bukti bahawa cinta kepada Allah dan rasulullah saw tidak terpisah. Cinta Allah itu tujuan, cinta rasulullah itu jalan. Tidak mungkin tercapai tujuan lailaha illallah tanpa mengikut jalan ….Muhammad rasulullah.

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Gerai Persahabatan

Di bangku keakraban ini kita duduk menghadap
lebuh hari dan lorong mimpi
sambil memesan segelas susu kemesraan
dan semangkuk rasa keintiman
saat berkongsi cinta menjamu sukma
dengan sopan kata dan luhur bicara
menyempurna diri di warung manusiawi
dalam lunak persahabatan.

Ketika riuh celupar dan tengking saranah
menjamu lidah
di hujung ludah yang berkohong benci
kita akrabkan hati meraut toleransi
sambil menelaah dari helai ke helai sejarah
yang berparut kancah
yang pernah dikoyakkan oleh jari jemari kesumat
dan dendam yang marak
sehingga menular api emosi
menghanguskan bangku
dan meja perkasihan warga
di warung tercinta.

Ini gerai ukhuwah tempat kita menjamah
menu bahagia dan menyuap
juadah sejahtera
yang dikirimkan dari dapur mesra
semoga lazat cinta yang kita hadam
menjadi saraf dan tulang
temulang sefahaman
bertunjang kukuh di tubuh
kerukunan bangsa
selamanya menyemarak citra
warga di warung ibunda.

Biarlah gerai persahabatan kita
menjadi warung yang berkunjung
para warga dan tetangga
buat menjamu lidah
dengan ranumnya
bahasa sentosa
sebelum melangkah menjejak arah
kembali ke rumah muhibbah.

Husna Nazri
Kemaman, Terengganu
Mingguan Malaysia
19 Jan 2014

Monday, January 20, 2014

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1435H / 2014 ( 1 )

Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam
Pelajar Universitu Marmara yang dikebumikan di Pemakaman Eyub Turki
bersebelahan makam Saidina Abu Ayub al-Ansari

Berjumpa bidadari di surga, itulah citra mimpinya. Mimpi seorang anak muda yang merantau untuk mencari ilmu, mengembara, menimba pengalaman dan mencurahkan bakti demi kesejahteraan ummah tanpa mengira bangsa dan agama. Cintanya kepada sejarah Uthmaniyah dan kerajaan Islam telah membawa satu-satunya anak lelaki, Ahmad Azam ke Istanbul.

Dengan biasiswa kerajaan Turki, pemuda berhati waja ini memanjangkan cita-cita ke Universiti Marmara. Berada di bumi asing mematangkan lagi anak muda Malaysia ini tentang hakikat kehidupan malah suasana baharu itu amat serasi dengan jiwa pejuang mencari syahid. Lantaran itu dia tidak pernah gentar apatah lagi gusar dalam menyertai misi kemanusiaan pelbagai negara.

Namun tersurat dalam perjanjian takdir, Allah menjemput anak muda yang tinggi pekerti dan dihormati kerana ilmu agamanya ini di usia 20.


Mohd Azimi Kassim
Penyampai radio  Salam FM

Inilah orangnya. Mohd Azimi Kassim atau  lebih dikenali dengan panggilan Pak Ngah. Anak kelahiran Bagan Datoh, Perak yang kini bergelar penyampai radio penyiaran berkonsep Islam, Salam FM. Pengalaman mencecah 31 tahun dalam bidang penyiaran dan kewartawanan memberi laluan mudah kepada Azimi untuk menebarkan program-program dakwah. Sebelum bersama Salam FM, Azimi telah pun menimba pengalaman bersama Radio Television Malaysia atau RTM, Radio Pendidikan dan stesyen tv swasta.

Asam garam dalam dunia penyiaran menjadikan azimi lebih matang dalam mengutarakan program-program yang informatif dan serasi dengan aspek-aspek kehidupan muslim yang menuju keredaan Allah.


Datuk Wira Haji Hamza Taib
Pesuruhjaya Polis Sabah

Bila Lahad Datu dilanda musibah, seluruh Malaysia dicengkau gundah dan gelisah. Demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, anak kelahiran Jasin Melaka ini menjadi lebih tenang dan bersemangat untuk menumpas satu demi satu isu pencerobohan Sulu. Walaupun sering diasak dengan pelbagai persoalan dan bersengkang mata pelbagai strategi telah melumpuhkan serangan lawan. Sebagai anggota pasukan Polis Diraja Malaysia, yang memegang pucuk pimpinan kontigen Polis Sabah beliau bukan sahaja bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan orang awam tetapi dalam masa yang sama untuk memastikan anggota keselamatan yang ditugaskan juga selamat sepanjang menjalankan tugas tersebut.

Sesuai dengan tekad dan ketulusan yang ada pada diri beliau, pada hari ini Komisioner Polis Datuk Wira Haji Hamza Taib  dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul bagi tahun 1435H.


Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir
Mantan Duta Besar Malaysia ke Mesir

Keberanian adalah keupayaan yang membolehkan seseorang itu bertindak dengan baik. Itulah lafaz kata yang serasi untuk menggarap citra diri Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir. Pengalaman semasa kecil membuatkan beliau ingin melihat anak-anak Malaysia berjaya di luar negara.

Bagaikan orang mengantuk disorungkan bantal, begitulah juga semangat Datuk Zainal Abidin apabila beliau dilantik menjadi Duta Malaysia ke Mesir pada 2005 – 2009. Melalui hubungan dua hala antara Malaysia – Mesir yang diakrabkan oleh beliau, Malaysia mendapat kuota tambahan untuk menghantar pelajar menyambung pengajian dalam bidang perubatan di bumi Mesir. Dari langkah yang satu Datuk Zainal Abdin Abdul Kadir telah membuka perjalanan yang beribu bagi menambah bilangan kepakaran orang Melayu dalam bidang perubatan.

Wallahu alam.

Masjid Putra,
Putrajaya
14 Jan 2014