Tuesday, August 5, 2014

Keistimewaan bulan Ramadhan

Diriwayatkan bahawa tatkala nabi Musa as bercakap dengan Tuhan, ia  bertanya: Ya Tuhanku adakah engkau memuliakan seseorang seperti aku ini yang telah dapat mendengar percakapanMu? Maka berfirmanlah Tuhan: Hai Musa! Ada hamba-hambaku yang kelak pada akhir zaman akan Aku muliakan dengan bulan Ramadhan, merekalah yang lebih dekat padaKu dari engkau, kerana Aku bercaka—cakap dengan engkau melewati tujuhpuluh ribu dinding, tetapi jika umat Muhammad berpuasa sampai memutih bibirnya dan memucat wajahnya waktu buka, maka  akan Aku angkat dinding-dinding itu. Hai Musa bahagialah mereka yang lapar dan dahaga di bulan Ramadhan, yang tidak akan Aku balas kurang dari pada menemui Aku.

Maka seorang yang bijaksana harus mengetahui kebesaran dan kemuliaan bulan Ramadhan sambil menjaga dan membersihkan dirinya dari sifat-sifat dengki, hasud dan permusuhan, terhadap sesama orang muslim dan selalu merasa takut dan khuatir tentang puasanya, kerana Allah berfirman: Sesungguhnya Allah hanya menerima amal dari mereka yang bertakwa.

Orang-orang yang berpuasa akan keluar dari kubur hari qiamat disambut dengan hidangan makanan lengkap dengan peralatannya dan disilakan: Makanlah dan beristirehatlah kamu! Kamu telah lapar di kala orang kenyang dan dahaga di kala orang lagi basah tenggorokannya. Makan makan-makan dan minum-minumlah mereka sedang lain orang masih menghadapi hisab.

Wallahu ’alam

H.Salim Bahreisy
Bekal Juru Da’wah Jilid 1
Surabaya, 1977

Burung-burung Ramadhan

Burung-burung Ramadhan
adalah burung-burung hijrah
semusim hinggap di laman kita
kini mengepak sayap syurgawi
kembali ke benua Firdaus.

Burung-burung Ramadhan
meninggalkan laman kita
ada yang belum sempat
merakam keindahannya
bulu lembut warna ketulusan
runcing patuh pengorbanan
kukuh kaki berbulu kesabaran
ekor kembang cantik keinsafan
tajam mata bagai abid
merenung kezuhudan.

Hanya sang pencipta
burung-burung Ramadhan
sebak sendu bergumam bimbang
menatap pemergian
rindu dendam menanti kunjungan
pada musim hadapan.

M.Arif
Padang Mokan, Kelantan
Mingguan Malaysia
3 Ogos 2014

Menyerah diri untuk diaturkan agenda hidup

Ya Bari’

Ya Allah Ya Bari’, sesungguhnya Engkau yang Maha Mengatur urusan manusia dan mengatur agenda makhlukMu. Aturan dan agendaMu maha hebat dan tiada tolok bandingannya. Aku sedar bahawa aku hanya seorang hamba yang tidak mampu mengatur urusan dan agenda.

Agendaku sering silap dan mempunyai pelbagai kelemahan. Oleh itu Ya Allah Ya Bari’, hambaMu ini menyerahkan seluruh jiwa dan raga kepadaMu untuk Engkau aturkan dan aku rela mengikut agendaMu. Ya Bari’. Perintahkanlah apa sahaja untukku lakukan, aku berazam untuk mengorbankan aps sahaja yang ada pada diriku ini demi mengikuti perintahMu.

Ya Allah Ya Hadi yang Maha Pemberi Petunjuk, setelah Engkau aturkan segalanya, berilah aku petunjuk apa yang harus aku lakukan bagi mengikut semua agendaMu. Bantulah aku dengan kekuatanMu Ya Aziz, Ya Qawiyyu Ya Matin agar aku merasa kuat dan bakarkanlah semangatku. Ya Ba’ith agar aku tidak merasa penat dan sentiasa bersemangat.

Bantulah daku Ya Aliim,  Ya Hakim, Ya Rasyid dengan ilmuMu agar aku mampu melaksanakan sesuatu agendaMu dengan penuh berilmu, berhikmah dan cerdas. Bukalah juga bagiku segala pintu kemudahan dengan sifat Ya FatahMu, bantulah aku dengan sedikit rezekiMu Ya Razzak, kekayaanMu Ya Ghanniyu dan sifat memberi kekayaan Ya Mughni agar aku melaksanakan semua tugas yang Engkau berikan dengan sebaik mungkin.

Ya Allah Ya Quddus Ya Jalil, sucikanlah jiwaku dari sebarang penyakit, bisikan syaitan dan kecintaan kepada dunia dan manusia kerana ianya pasti akan menganggu tugas yang sedang aku laksanakan.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih

Saturday, August 2, 2014

Menguatkan jiwa

Ya Aziz, Ya Qawiyyu, Ya Matin dan Ya Ba’ith

Ya Allah Ya Aziz yang Maha Perkasa Ya Qawiyyy yang Maha Kuat dan Ya Matin yang Maha Teguh dan Sempurna KekuatanMu, tiada yang lebih perkasa dan kuat melainkan Engkau Ya Allah.

Diriku ini hanyalah hamba kepadaMu Ya Khalik dan kerana itulah diri ini sentiasa merasa lemah dan tidak berdaya. HambaMu ini memohon kepadaMu Ya Aziz Ya Qawiyy dan Ya Matin kekuatan jiwa untukku hidapi segala rintangan dan ujian hidup ini kerana dengan kekuatanMu daku dapat mengatasi segala masalah dan kesulitan di dalam hidup.

Ya Allah Ya Ba’ith yang Maha Membakar Semangat, bakarlah semangatku untuk terus berusaha bagi menghadapi rintangan dan ujian. HambaMu ini sedar Ya Allah, Engkau ingin menjadikan aku umpama berlian yang sangat bernilai dan berharga. Sesungguhnya Ya Allah aku sedar yang berlian itu dicipta dengan penuh tekanan yang amat dahsyat dan memakan masa yang lama sehingga terjadinya berlian yang sangat cantik dan berharga.

Aku sedar proses tekanan dan ujian ini mesti dilalui kerana Engkau Ya Rahman Ya Rahim ingin menaikkan martabatku hampir kepadaMu dan ianya mesti dilalui oleh setiap manusia yang hebat. Aku yakin Engkau Ya Aziz  tentu akan menguatkanku dan membangkitkan semangatku. Engkau Ya Wahhab yang Maha Pemberi Ya Mujib yang Maha Mengabulkan, kabulkanlah permintaan hambaMu ini.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih

Friday, August 1, 2014

Keagungan ilmu

Sidang pengajian ke-3 :

a) Bersabda rasulullah saw: Tiada seorang mu’min berdukacita karena kematian seorang alim kecuali baginya oleh Allah swt dicatat pahala seribu alim dan seorang syahid.

b) Bersabda rasulullah saw: Akan datang suatu masa di mana umatku lari dan menjauhi para ulama dan ahli fiqh. Dalam keadaan demikian Allah akan menimpakan tiga bencana di atas mereka: Pertama, barakah akan terangkat dari pencaharian mereka. Kedua: Allah menguasakan di atas mereka suatu pemerintahan yang zalim. Ketiga, mereka akan meninggalkan dunia tanpa iman.

c) Bersabda rasulullah saw: Sesungguhnya Allah swt mencipta bani Adam dengan delapan sifat: Empat di antaranya adalah sifat-sifat penghuni syurga, iaitu wajah yang ramah, lidah yang fasih, hati yang bertaqwa dan tangan yang murah. Sedang empat yang lain adalah sifat-sifat penghuni neraka, iaitu wajah yang masam, lidah yang kotor, hati yang keras dan tangan yang bakhil.

d) Bersabda rasulullah saw: Barangsiapa bersembahyang subuh dan duduk berzikir, diberi oleh Allah tujuhpuluh gedung dari emas dan perak di alam syurga Firdaus.

Wallahu ’alam

H.Salim Bahreisy
Bekal Juru Da’wah Jilid 1
Surabaya, 1977

Sahaja aku mencintaiMu

Kucinta padaMu
lebih dari segala-gala
mampukah kupertahankan cinta ini
dalam mengabdikan diri padaMu

andai ada kata yang lebih baik
dari ucapan terima kasih
pastikan kuucap setulus hatri
tanda cintaku padaMu

La ilaha Illallah, Allahu Rabbi
La ilaha Illallah, Allahu akbar

Andai ada hadiah yang lebih baik
dari melodi syukurku
semestinya kupersembahkan padaMu
tanda cintaku padaMu

Hasbi Rabbi Jallallah
Ma fi qalbi ghairullah
Nur Muhammad Sallallah

Setiap hela nafas
setiap gerak tangan
setiap degup jantung
setiap derap kaki
takkan pernah bermakna
tanpa cintaMu
Ya Allah!

Ajwad Amal
Sahaja aku mencintaiMu
2013

Mencari sedikit pengharapan untuk meneruskan kehidupan

Ya Allah Ya Wahhab Tuhan yang Maha Pemberi, Ya Mujib yang Maha Menunaikan permintaan dan doa hambaNya, kami sekali lagi berkumpul di sini demi mencari redaMu Ya Allah. Jiwa yang insaf dan sedar akan siapa diri ini Ya Allah, siapa Tuhan kami Ya Allah dan ke mana akhirnya kami akan pergi Ya Allah.

Ingin kembali ke atas fitrahnya yang asal, yang meletakkan kecintaan dan matlamat utama hanya kepadaMu Ya Allah. Kami yakin dengan sifat-sifat dan nama-nama terpujiMu. Ya Allah, kami menaruh sepenuh pengharapan dan keyakinan bahawa Engkau Ya Wahhab yang Maha Pemberi, Ya Wasi’ Yang Maha Luas Pemberian, Ya Fatah yang Maha Pembuka  Jalan akan membantu kami membina dan membangunkan jati diri kami yang sebenarnya, membantu kami membuang segala sifat-sifat buruk yang tidak layak berada dalam diri kami yang bergelar hamba.

Ya Allah, Ya Ghaffar, Tuhan yang Maha Pengampun, Ya Quddus, yang Maha Suci, Kau bersihkanlah jiwa kami dari segala kekotoran dosa dan sifat-sifat buruk yang sekian lama bertapak di hati kami ini Ya Allah. Dengan jiwa yang bersih ini, kami mampu menjalani hidup yang bahagia sebagai hamba serta khalifahMu dan akhirnya dapat melayakkan kami berjumpa denganMu di penghujung kehidupan kami nanti Ya Allah.

Ya Allah Ya Malik yang Maha Berkuasa, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Wahhab lagi Maha Penolong. Bantulah kami dalam menjalani kehidupan ini, hambaMu yang soleh serta solehah, sebagai anak yang soleh/solehah, mahasiswa yang bertanggungjawab, sebagai sahabat kepada sahabat-sahabat kami yang selalu memberi nasihat kebaikan dan kebenaran sesama kami Ya Allah. Agar kami menjadi seorang insan yang berjaya di dalam cita-cita kami sebagai khalifah dan hambaMu Ya Allah di dunia dan akhirat.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih