Monday, March 14, 2011

Surah Al-Bayyinah ( Bukti )

Lapan ayat – turun di Madinah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Orang-orang kafir, dari ahli kitab dan musyrikien, tidak sadar hingga datang bukti
    itu kepada mereka,
2. (Iaitu) seorang Rasul dari Allah yang membaca lembaran-lembaran suci,
3. Yang ada padanya (isi) kitab-kitab yang lurus,
4. Dan tidak bercerai-berai orang-orang (kafir) yang diberi kitab itu, melainkan
    sesudah datang kepada mereka bukti itu,
5. Padahal tidak diperintah melainkan supaya mereka menyembah Allah dengan
    mengikhlaskan agama keranaNya, dengan menjauhi kesesatan dan (supaya)
   mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat kerana yang demikian itulah
   (perintah-perintah) agama (dikitab-kitab) yang lurus itu.

Keterangan :

Kafir-kafir kitabi dan musrikin itu tidak sedar daripada kelalaian dan kesesatan mereka melainkan sesudah datang kepada mereka keterangan yang tak dapat dibantah itu, iaitu sesudah datang Muhammad Rasulullah yang membacakan kepada mereka Al-Quran yang berisi lembaran-lembaran yang suci, yang di dalamnya berisi perintah-perintah dan maksud kitab-kitab agama yang lurus-lurus yang diturunkan kepada nabi-nabi yang dahulu-dahulu dan kafir-kafir Kitabi itu tidak bercerai-berai, sebahagian menyalahkan sebahagian, melainkan sesudah datang Nabi yang mulia itu.

Kerana sebelum datang nabi Muhammad, mereka itu sekalian bersama-sama menunggu-nunggu kedatangan Nabi akhir zaman, tetapi setelah datang Nabi itu, maka sebahagian daripada mereka membenarkan, lalu masuk Islam dan sebahagian lagi tidak membenarkan.

Yang demikian itu tidak lain melainkan lantaran nabi Muhammad itu bukan keturunan daripada kaum Bani Israil, padahal lembaran-lembaran Al-Quran itu tidak berisi melainkan perintah-perintah menyuruh mereka menyembah dan menurut perintah-perintah Allah dengan tulus ikhlas serta menjauhi syirik dan kufur dan menyuruh mereka menetapi pekerjaan sembahyang dan mengeluarkan zakat kerana yang demikian itulah dan isi maksud kitab-kitab agama yang lurus yang diturunkan oleh Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang dahulu kala.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Di tiap-tiap satu urusan, sebelum datang keterangan memang biasanya kelihatan manusia seperti bersatu kerana lalai di dalam keadaan keliru dan sesat. Di waktu datang keterangan maka orang-orang yang kelihatan bersatu akan berpecah-belah.

Kitab-kitab yang terbit di akhir, ghalibnya mengandungi pokok-pokok pengajaran dan maksud yang terkandung di kitab-kitab yang dahulu daripadanya.

Selalu manusia mengaku mahu menerima kebenaran tetapi setelah kebenaran ada di hadapannya, sedikit sekali yang menerima haq itu.

Maksud agama Allah yang dahulu  dan sekarang tidak lain melainkan menyuruh manusia mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, beribadat dan menjalankan perintah-perintah Allah dengan ikhlas semata-mata kerananya.

6. Sesungguhnya orang-orang yang kafir , dari ahli Kitab dan musyrikien itu
    (tempatnya) di neraka jahanam yang mereka akan kekal padanya. Mereka itu ialah
    sejahat-jahat makhluk.
7. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan pekerjaan yang baik-
    baik, mereka itu ialah sebaik-baik makhluk.
8. Balasan mereka, di sisi Tuhan mereka, ialah surga tempat ketetapan yang mengalir
    padanya sungai-sungai yang mereka akan kekal padanya selama-lamanya. Allah
   redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNya. Yang demikian itu untuk orang
   yang takut kepada Tuhannya.

Keterangan :

Sesungguhnya orang-orang kafir Kitabi dan kafir musrik yang tidak mahu beriman kepada nabi Muhammad saw itu ialah sejahat-jahat makhluk dan akan masuk neraka serta kekal di dalamnya.

Adapun orang yang beriman dan beramal baik serta takut kepada Allah ialah sebaik-baik makhluk. Maka akan diganjar dengan surga yang ada padanya sungai-sungai, yang mereka akan kekal di dalamnya lantaran diredhai oleh Allah dan mereka juga redha dan puas dengan pemberian-pemberian Allah itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Yang menolak kebenaran itu ialah sejahat-jahat makhluk yang patut dapat sekalian macam penghinaan.

Janganlah kita menolak kebenaran yang ditunjukkan kepada kita walaupun darimana datangnya.

Yang menerima kebenaran serta mengerjakannya itu ialah sebaik-baik dan semulia-mulia manusia yang patut mendapat sekalian macam ganjaran dan kehormatan.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Sunday, March 13, 2011

Surah Az-Zilzaal (Gempa)

Lapan ayat – turun di Madinah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Apabila digempakan bumi sekeras-kerasnya,
2. Dan bumi mengeluarkan isi-isinya,
3. Dan manusia berkata : Mengapa dia begini?
4. Di hari itu bumi akan ceritakan khabar-khabarnya,
5. Iaitu bahawa Tuhanmu telah memerintah akan dia,
6. Di hari itu, manusia akan pergi berpecah-pecah untuk dilihatkan kepada mereka
    akan amal-amal mereka;
7. Maka barangsiapa telah beramal kebaikan setimbang debu, nescaya ia lihat dia,
8. Dan barangsiapa telah beramal jahat setimbang debu, nescaya ia lihat dia.

Keterangan :

Apabila bumi akan digempakan dengan sekeras-kerasnya hingga ia mengeluarkan isi-isinya: air, api, lumpur, mayat-mayat dan lain-lainnya hingga kerana kejadian itu amat luar biasa, manusia akan berkata dengan hairan: Mengapa bumi jadi begini!

Di waktu itu manusia akan dapat tahu seolah-olah bumi berkata kepada mereka, bahawa aku berbuat begini kerana diperintah oleh Tuhan kamu yang telah hukumkan kejadian kiamat pada hari ini.

Di hari itu, sekalian manusia akan pergi ke tempat yang ditentukan untuk melihat balasan amal masing-masing. Maka di situ, tiap-tiap orang akan dapat melihat balasan amalnya yang baik walaupun sedikit dan begitu juga akan melihat balasan amalnya yang jahat walaupun sedikit.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Bahaya di hari kiamat itu, amat besar dan hebat. Oleh sebab itu, hendaklah kita kerjakan amal-amal yang baik sedapatnya walaupun sekecil-kecil amal kerana walaupun amal kita itu sebesar debu yang halus akan dibalas oleh Allah; dan wajib kita jauhi pekerjaan yang jahat walaupun yang sekecil-kecilnya kerana tiap-tiap amal yang jahat itu, walaupun setimbang hama akan dibalas juga.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Saturday, March 12, 2011

Surah Al-‘Aadiyaat ( Yang Berlari )

Sebelas ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Demi yang berlari termengah-mengah,
2. Yang lantas memercikkan api,
3. Yang lantas menyerang di waktu subuh,
4. Yang lantas membangkitkan debu (di waktu) itu,
5. Yang lantas menyerbu (di waktu) itu di tengah-tengah kumpulan (musuh),
6. Sesungguhnya manusia itu tak suka berterima kasih kepada Tuhannya.

Keterangan :

Maksudnya, demi kuda-kuda yang berlari keras dengan termengah-mengah, yang hingga memercikkan api dengan sebab derasnya dan kerasnya pada memindahkan tapaknya di atas batu, yang menyerang musuh di waktu pagi-pagi, yang membangkitkan debu di waktu pagi lantaran keras lariny, yang lalu masuk menyerbu di tengah-tengah musu – demi kuda-kuda yang bersifat begitu, bahawa sesungguhnya manusia itu makhluk yang tak suka berterima kasih kepada Tuhannya.

Tuhan bersumpah dengan kuda-kuda, sedang kuda-kuda itu makhlukNya, maksudnya tidak lain supaya manusia menaroh perhatian atas kepentingan binatang yang amat berguna bagi manusia untuk menahan musuhnya, untuk melawan musuhnya, untuk menyerang musuhnya.

Sungguhpun selalu merasakan nikmat pemberian Tuhan itu dan juga dapat kemenangan tetapi manusia tidak berterima kasih kepada Allah dan melupakan budiNya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Wajib kita bersedia kuda-kuda peperangan dan sebagainya dan lain-lain perabot (perkakas) yang perlu untuk melawan musuh kita, menurut keadaan masa dan tempat dan jangan sekali-kali kita lupa berterima kasih kepada Allah atas pertolongan dan pemberianNya yang tidak putus-putus kepada kita, yang satu daripadanya ialah Ia sediakan untuk kita kuda-kuda dan lain-lain kekuatan bagi menolak dan melawan musuh kita.

7. Dan sesungguhnya (manusia) itu penyaksi atas yang demikian ;
8. Dan sesungguhnya manusia itu jadi bakhil lantaran sayang kepada harta.



Keterangan :

Maksudnya bahawa sesungguhnya manusia itu perangainya dan kelakuannya menunjukkan dan menyaksikan yang ia satu makhluk yang tidak berterima kasih kepada Allah dan tidak mengenang budi Tuhan atasnya kerana tidak ia kasih kepada Allah dengan mendermakan sebahagian daripada kekayaannya di jalan Allah tetapi ia kasih kepada hartanya dengan sunguh-sungguh hingga ia jadi bakhil.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Janganlah kita jadu bakhil dan janganlah kita sayang membelanjakan harta di jalan Allah pada menolak dan menjauhi musuh-musuh supaya kita tidak menjadi saksi atas diri sendiri yang kita ini makhluk yang tidak mengenang budi dan pemberian Allah.

9.    Tidakkah (mahu) ia mengetahui (keadaan) apabila dibangkitkan apa yang
       dikubur- kubur?
10. Dan dinampakkan apa yang di dalam dada-dada?

Keterangan :

Manusia yang bakhil, nanusia yang sayang kepada hartanya, manusia yang tidak mahu membelanjakan kemampuannya di jalan Allah, dengan beberapa uzur dan alasan yang dibikin-bikinnya- tidakkah mahu berfikir bagaimana nanti bahaya yang ia akan terima di hari Allah akan bongkar dan bangkitkan sekalian manusia dari kubur masing-masing dan dizahirkan isi dada tiap-tiap bakhil yang ada-adakan uzur dan alasan kepada manusia supaya ia terlepas daripada membelanjakan nikmat yang Allah serahkan kepadanya?

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Oleh sebab kita sekalian akan dibangkitkan oleh Allah dari kubur untuk diperiksa amal masing-masing di hari kiamat dan akan diterangkan sekalian isi dada kita yang sebenarnya, janganlah kita bersifat bakhil. Janganlah kita mundur dari membelanjakan kemampuan kita di jalan Allah dengan perkataan-perkataan, alasan-alasan, uzur-uzur yang kita bikin-bikin sendiri supaya terlepas dari celaan manusia di dunia.

11. Sesungguhnya Tuhan mereka, amat mengetahui (hal-hal) mereka di hari itu.

Keterangan :

Tuhan telah mengetahui hal-hal mereka di hari itu sebagaimana Ia mengetahui hal-hal mereka sekarang dan dahulu tetapi maksud ayat ini bahawa di hari itu manusia tidak dibiarkan menutup halnya sebagaimana telah dibiarkan mereka menutup di dunia ini. Di hari itu sekalian rahsia akan terbuka.

Di atas dunia, Allah biarkan mereka tutup rahsia mereka lantaran bukan hari pembalasan. Jadi kelihatan seolah-olah Tuhan tidak mengetahui hal-hal mereka.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita kita fikirkan dan ingat bagaimana besar siksa dan malu kita di hari yang sekalian kebenaran akan terbentang walauoun sedikit.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Friday, March 11, 2011

Surah Al-Qaari’ah ( Penggegar )

Sebelas ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Penggegar!
2. Apakah menggegar itu?
3. Dan sudahkah engkau tahu apa (yang dikatakan) penggegar itu?
4. (Iaitu) di hari yang adalah manusia seperti rama-rama yang bertebaran.
5. Dan adalah gunung-gunung itu seperti bulu yang dihamburkan.

Keterangan :

Al-Qariah itu ertinya sesuatu yang mengetuk, maksudnya di sini kejadian-kejadian di hari Qiamat kerana kejadian-kejadian di hari itu amat mengoyang dan menggoncangkan hati manusia.

Oleh sebab itulah disalin dengan erti menggegar lantaran penggegar itu ertinya sesuatu yang mengetuk atau menggoyang dengan keras.

Dengan tiga ayat itu, seolah-olah Tuhan berkata :

Hai manusia!. Hendaklah kamu bersedia untuk kejadian-kejadian hebat yang akan menggegar hati-hati kamu. Kejadian-kejadian mana akan berlaku hari Qiamat yang menyebabkan manusia bingung, tidak ketentuan, menyerbu siapa sahaja yang dirasainya akan menolong mereka, sebagaimana rama-rama menyerbu terang dan api laku bertebaran dengan tidak hasilmaksudnya di hari mana gunung-gunung akan pecah dan hancur berterbangan sebagaimana dihamburkan bulu-bulu yang halus di udara.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

  1. Terlalu besar bahaya, huru-hara dan kesusahan di hari itu. Lantaran itulah Allah ulangkan perkataan Al-Qari’ah itu tiga kali dengan tidak menerangkan apa dia Al-Qari’ah itu hanya dengan menunjukkan masa kejadiannya ialah di hari kiamat.
  1. Satu daripada tanda-tanda permulaan hari kiamat ialah bahawa manusia yang ada di muka bumi ini akan bertebaran dan bertaburan, di sana dan di sini dengan tidak berketentuan dan tidak bertujuan.
  1. Sekalian apa yang ada di atas bumi, akan rusak hancur, binasa, menjadi abu yang berterbangan.
6. Oleh sebab itu, barang siapa berat timbangannya,
7. Maka ia itu di dalam kehidupan yang sentosa,
8. Dan adapun orang yang ringan timbangannya,
9. Maka tempat kembalinya itu ialah jurang yang dalam!
10. Dan sudahkah engkau tahu apa dia?
11. (Iaitu) api yang amat panas.

Keterangan :

Maksudnya bahawa barangsiapa amal baiknya lebih berat daripada amal jahatnya maka ia akan duduk di surga di dalam kehidupan yang sentosa dan barang siapa amal jahatnya lebih banyak daripada amal baiknya maka jurang yang dalamlah tempat kembalinya.

Lalu Allah adakan pertanyaan: Sudahkah engkau ketahui apa yang dinamakan jurang yang dalam itu? Kemudian Allah terangkan sendiri bahawa jurang yang dalam itu ialah api neraka yang amat panas.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Amal-amal soleh yang kita kerjakan itu, sungguhpun pahalanya berlipat-lipat ganda tetapi belum tentu diterima dari kita lantara amal itu perlu kepada cara-cara yang betul dan perlu kepada ikhlas.

Adapun amal thalih (jahab) yang kita kerjakan, sungguhpun balasannya tidak diganda-gandakan tetapi diterima dan ditulis dosanya atas kita dengan tidak dipandang cara dan ikhlas kita pada mengerjakannya.

Oleh sebab itu, hendaklah kita kerjakan amal yang soleh sebanyak-banyaknya dan hendaklah kita jauhi amal yang thalih sejauh-jauhnya supaya neraca amal kita yang baik akan lebih berat walaupun sedikit.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Thursday, March 10, 2011

Surah At-Takaatsur ( Berlebih-lebihan )

Lapan ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Kamu telah dilalaikan oleh berlebih-lebiha,
2. Hingga kamu melawat kubur-kubur

Keterangan :

Maksudnya bahawa kamu telah dilalaikan oleh tamak kamu kepada harta yang banyak, tamak kamu kepada sahabat banyak yang menyebelahi kamu, tamak kamu kepada nama, pangkat dan lain-lain yang disukai oleh hawa nafsu kamu. Dengan hal demikian, kamu lalai hingga datang maut yang membawa kamu ke lubang kubur. Kamu berbuat begitu kerana kamu menyangka bahawa kekayaan, keramaian sahabat, kemegahan nama dan pangkat itulah yang perlu dan kamu tinggalkan perintah-perintah Allah serta kamu langgar tegahan-tegahanNya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Janganlah kita mengejar kekayaan, pangkat, nama, sahabat dan golongan dengan meninggalkan perintah-perintah Allah dan mengerjakan larangan-laranganNya kerana tidak lain melainkan kecelakaanlah yang menimpa kita kalau sampai ajal padahal kita di dalam keadaan yang tersebut.

3. Tidak sekali-kali! (bahkan) kamu akan ketahui,
4. Dan tidak sekali-kali! (bahkan) kamu akan ketahui.

Keterangan :

Maksudnya bahawa persangkaan kamu bahawa harta dan kemuliaan dunia akan menolong itu, tidak benar sekali-kali.Sesungguhnya tidak begitu! Bahkan kamu akan ketahui sendiri kesalahan sangka dan buah dari dari usaha kamu itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Kita akan menyesal sebesar-besar penyesalan kalau kita lalai pada mencari benda-benda keduniaan dan kemegahan-kemegahannya dengan mengerjakan tegahan-tegahan Allah atau dengan meninggalkan perintah-perintahNya yang pahalanya akan kekal jadi nikmat bagi kita selama-lamanya.





5. Tidak sekali-kali! (Alangkah baiknya) kalau kamu ketahui dengan pengetahuan
    yang  yakin :

Keterangan :

Sudah dua kali Allah menidakkan dan mendustakan persangkaan mereka dengan firmanNya : Kalla tsumma kalla, maka di sini sekali lagi Allah menolak dan menyalahkan persangkaan mereka yang mengejar dan mencari kekayaan dunia dan kemegahannya dengan meninggalkan perintah-perintahNya dan mengerjakan larangan-laranganNya lalu Ia iringkan dengan prkataan:

’ Alangkah baiknya kalau kamu ketahui dengan pengetahuan yang yakin!’ iaitu kalau kamu ketahui betul-betul bahawa kekayaan dan kemuliaan dunia tidak berguna dan tidak dapat memberi kesenangan yang kekal nescaya tidak kamu berlumba-lumba dan berkejar-kejar pada mengumpulkan benda-bendanya dan kemegahan-kemegahannya dengan meninggalkan perintah-perintah agama tetapi apa boleh buat, kebodohan kamu yng timbul dari kesalahan kamu telah menyesatkan kamu!.

Ringkasan dan maksudnya :

Kesalahan yang kita kerjakan lantaran kebodohan kita itu, kitalah yang akan dapat buahnya dan kitalah yang mesti memikul dosanya.

Kebodohan kita itu, kitalah yang wajib menghilangkannya.


6. Sesungguhnya kamu akan melihat neraka,
7. Dan sesungguhnya kamu akan lihat-dia dengan penglihatan yang yakin,

Keterangan ;

Sesungguhnya nanti kamu melihat neraka tempat balasan amal yang sudah kamu lakukan di dunia ini; dan sesungguhnya kamu akan lihat dia dengan penglihatan yang yakin.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Orang yang mencari kekayaan, kebesaran, kemegahan didunia dengan membelakangkan perintah-perintah Allah dan menghampiri larangan-laranganNya akan disiksa oleh Allah dengan sepedih-pedih siksaan.

8. Kemudian sesungguhnya kamu akan diperiksa dari hal nikmat


Keterangan :

Maksudnya bahawa di hari yang kamu akan disiksa itu, akan diperiksa kamu darihal nikmat, iaitu datihal kekayaan dan kemampuan kamu, tentang apakah telah gunakan dia, adakah kamu belanjakan dia di jalan Allah sebagaimana diperintah olehNya?

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Kalau kita ada kemampuan dan tenaga hendaklah kita gunakan dia pada urusan-urusan yang diperintah oleh Allah supaya di hari kemudian kita tidak disiksa lantaran menggunakan dia pada bukan tempatnya.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Wednesday, March 9, 2011

Surah Al-‘Ashr ( Masa )

Tiga ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlah masa.

Keterangan :

Masa itu zaman yang sudah dan yang sedang berjalan dan yang akan datang. Kejahatan dan kebaikan yang dikerjakan oleh manusia, dikandung oleh masa. Jadi masa itu tempat menyimpan keterangan amal manusia.

Kalau seorang bersumpah dengan  nama Allah atas sesuatu perkataan atau perbuatan maka maksudnya bahawa ia benar di dalam hal itu, dan ia beritikad bahawa jika ia salah atau dusta, Allah akan siksa dia.

Begitulah sumpah makhluk dengan nama Tuhan.

Adapun sumpah Tuhan dengan nama makhlukNya itu tentu tidak begitu. Kalau Allah bersumpah dengan sesuatu makhlukNya bererti Allah mementingkan urusan itu supaya difikirkan dan diperhatikan oleh makhlukNya yang lain.

Kerana itulah kami ertikan ’wal-’ashri’ dengan perkataan ’perhatikanlah masa’, walaupun menurut asalnya perlu diertikan ’demi masa’.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Oleh sebab masa itu begitu berharga dan penting, maka Allah menyuruh kita memperhatikannya. Memperhatikan masa itu tidak lain melainkan menjaga jangan sampai luput satu saat dengan tidak kita kerjakan kebaikan padanya atau sekurang-kurangnya kita kerjakan kewajiban kita dan hendaklah kita jaga jangan ada satu saat pun melalui kita dengan membawa amal kita yang jahat.

2. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian.
3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal baik dan berpesan-pesanan pada
    (menjalankan) kebenaran dan berpesan-pesanan pada (menjalankan) kesabaran.

Keterangan :

Sekalian manusia yang ada di muka bumi ini dipandang oleh Allah sebagai orang-orang yang di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan pekerjaan yang baik-baik dan bernasihat seorang kepada seorang pada menjalankan kebenaran di dalam tiap-tiap hal dan bernasihat satu kepada yang lainnya pada menjalankan kesabaran iaitu sabar pada menanggung susah payah tentang menjalankan perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-laranganNya.

Jadi sabar itu maksudnya bukan menerima pencelaan dan kezaliman orang atas kita bahkan sabar itu ialah bekerja dengan teguh dan tekun( tetap dan terus) padamenolak apa-apa yang tersebut itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Oleh seban masa itu penting, oleh sebab masa itu berjalan terus, oleh sebabmasa itu tak dapat ditahan, oleh sebab masa yang berjalan dengan tidak membawa amal kita yang baik itu, bererti kerugian atas kita maka hendaklah kita hargakan masa itu dengan beriman sebagaimana diperintah oleh Tuhan yang membikin masa serta kita habiskan masa itu dengan mengerjakan amal yang baik-baik sebagaimana yang ditunjukkan oleh agama kita dan bernasihat, ingat-mengingatkan antara satu dengan  lain pada menjalankan kebenaran walau bagaimanapun pahitnya dan juga bernasihatlah antara kita pada  menolak bahaya-bahaya yang ada dan yang akan menimpa kaum Muslim dengan sabar iaitu dengan tetap, tekun dan terus.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Tuesday, March 8, 2011

Surah Al- Humazah ( Pencela )

Sembilan ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Kecelakaan itu adalah bagi pencela, penghina,
2. Yang mengumpul-ngumpulkan harta dan menghitung-hitung dia,
3. Ia menyangka, bahawa hartanya itu memelihara dia,

Keterangan :

Ayat yang kedua itu ada yang ertikan seperti yang tersebut dan ada pula yang ertikan begini :

’ Yang mengumpul-ngumpulkan harta dan menjadikan dia persediaan’, tetapi ertinya hampir sama sahaja kerana orang yang menghitung-hitung hartanya selalu itu, maksudnya ialah orang yang tidak membelanjakannya, maka orang ini sama dengan orang yang simpan hartanya semata-mata untuk persediaan.

Ayat yang ketiga itu dapat diertikan seperti yang tersebut dan boleh juga diertikan begini :
’Ia menyangka bahawa hartanya itu telah mengekalkan di di dalam kesenangan’ dan boleh juga begini :

’Ia menyangka bahawa harta itu tentu akan menjaga dia selama-lamanya’.

Jadi maksud tiga ayat itu bahawa kecelakaan dan siksa di akhirat, akan didapati oleh orang yang mencela si miskin dan menghina akan orang yang tidak mampu, yang pencelaa dan penghinaannyatersebab oleh tamaknya pada mengumpul-ngumpulkan harta dan pada menghitung-hitung dia atau menjadikan dia persediaan kerana ia sangka bahawa hartalah yang telah menjaga dan memelihara dia atau ia sangka bahawa hartalah yang akan menjaga dan mengekalkan dia didalam  kesenangan selama-lamanya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Jangan kita kumpul-kumpulkan harta untuk dilihat-lihat, dihitung-hitung atau dijadikan semata-mata penjaga bagi kesusahan yang kalau-kalau akan mengenal, kerana orang yang keadaannnya begitu akan bersifat dengan beberapa sifat yang dikeji oleh agama, akal dan perasaan.

1. Ia akan jadi bakhil, peloba, tamak dan kikir.
2. Kerana kebakhilannya ia akan menghina, mencela atau merendahkan dengan hatinya

    dengan kelakuannya atau dengan omongannya akan orang-orang yang tidak mampu  
    atau orang-orang miskin yang datang meminta pertolongannya.
3. Ia akan  menyangka tida ada lain yang telah memelihara dia di dalam kesenangan dan
    akan menjaga kesenangannya dan kenikmatannya itu melainkan harta.
4. Dengan sangkaan itu, ia akan jadi orang yang tidak bertawalkal kepada Allah, hanya
    bertawalkal kepada harta.
5. Ia akan jadi orang yang tidak berterima kasih kepada Allah atas nikmat-nikmat yang
    telah diberikan kepadanya.

Keterangan :

Janganlah pencela dan penghina yang mengumpul-ngumpul hartaitu, sangka bahawa hartanya itu akan menolong dia! Tidak sekali-kali!. Bahkan sesungguhnya ia akan dicampakkan ke dalam Huthamah. Sudahkah engkau tau apa yang dikatakan Huthamah (pengancur) itu? Ialah api Allah yang menyalai atau api yang dinyalakan oleh Allah yang tidak hanya memakan badan penghina, pencela, pengumpul-ngumpul harta sahaja bahkan akan menjulang masuk ke hatinya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Harta tidak akan menolong orang-orang yang mengumpul-ngumpulkan dia hingga bersifat bakhil, loba, tamak, menghina, mencela, hilang tawalkal, tidak berterima kasih kepada Allah dan sebagainya. Orang yang begitu akan dapat siksa bukan hanya badannya bahkan api neraka akan berjulang-julang masuk ke hatinya yang jadi pokok pangkal bagi segala kejahatan.

8. Sesungguhnya (neraka itu) akan ditutup atas mereka
9. Dengan palang-palang yang panjang (melintang)

Keterangan :

Sesungguhnya pencela, penghina dan pengumpu harta itu akan ditutup rapat di neraka dengan palang-palang yang panjang melintang.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Oleh sebab dosa pengumpul-pengumpul harta itu amat besar maka Allah tambah lagi dua ayat pada menunjukkan kekerasan siksaNya atas mereka.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )