Saturday, September 19, 2015

Memperibadikan PPPM 2013-2015

Seseorang pegawai itu :

1. Perlu lebih fokus kepada tugas
2. Mesti mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang tugas
3. Boleh masuk ke kelas untuk menyampaikan PdP
4. Boleh mengendalikan kursus dan bukan hanya sebagai penganjur program sahaja
5. Beri perhatian kepada bimbingan & sokongan dalam hal-hal kerja profesional
6. Mengutamakan precision the order of the day di mana kesilapan dalam membuat keputusan tidak boleh berlaku.
7. Mesti boleh memberikan maklumat & nasihat yang tepat kerana ia amat penting dalam membuat keputusan

When we love we always strive to become better than we are. When we strive to become better than we are, everything around us becomes better too.

Marilah kita sama-sama merealisasikan keadaan yang menjadi semakin baik dengan kita mengasihi profesion keguruan.

Wallahu a’lam.

Datuk Dr Amin bin Senin
Petaling Jaya
September 2015

Program Matrikulasi

 
Penyataan Dasar

Menyediakan pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas ke IPT dalam dan luar negara

Wallahu a’lam.

Dasar Pendidikan KPM
YGM, 2008

Mencelup pena di negeri orang

Detak jantung ikan
geser lalang sawah
dan cicip burung
telah kuisi jadi
dakwat pengalaman
masuk ke kocek kota
 
Menjarakkan persahabatan
dari sungai dan paya
dari subuh dan bilal
dari lumut dan lumpur

Detak jantung kereta
geser asap kilang
dan cicip menteri
telah kuisi jadi……
dakwat kehampaaan
pulang ke kocek desa

Mendekatkan persahabatan
dengan adab dan sopan
dengan nilai dan budi
dengan syukur dan sederhana

Akulah pena yang pernah
menaruh nasib
ketika mencelup dakwat
di negerio orang

AdinataGus
Kajang
Berita Harian
6 September 2015

Doa dari Buraid al-Aslami


Ya Allah, daku sangat lemah. Oleh itu, gantilah kelemahanku dengan kekuatan dalam redhaMu. Peganglah ubun-ubunku untuk menuju kepada kebaikan. Jadikanlah Islam akhir dari keredhaanku. Ya Allah, aku sangat lemah, kuatkan aku. Daku sangat hina, muliakan daku. Aku sangat fakir, cukupkan aku dengan rahmatMu. Wahai Yang Maha Pengasih di antara yang suka mengasihi.

Aameen.

Syeikh Abu Talib al-Makki Muhammad bin Ali bin Athiyyah
Santapan kalbu bermu’amalah dengan kekasih (Allah)
jalan murid menuju maqam tauhid
2013

Tuesday, September 15, 2015

Penilaian dan Peperiksaan

Penyataan Dasar

1. Semua urusan peperiksaan yang dijalankan menepati prinsip ekuiti dalam pendidikan
2. Sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bertanggungjawab menyediakan semua murid bagi peperiksaan yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan 1996.
3. Sistem Peperiksaan Kebangsaan hendaklah dilaksanakan berlandaskan pentaksiran berpusat serta penekanan kepada penilaian formatif
4. Peperiksaan awam yang dikendalikan oleh badan-badan luar negara kepada pihak awam yang melibatkan pelajar dalam sistem persekolahan perlu mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.

Wallahu a’lam.

Dasar Pendidikan KPM
YGM, 2008

Muaz dan rasulullah saw

Ketika hendak berangkat menuju Yaman , beliau duduk di atas untanya sementara rasullah berjalan kaki di sisi untanya, Rasulullah memberikan wasiat kepadanya: Hai Muadz, sesungguhnya kau akan mendatangi kaum Ahlul Kitab. Setibanya di sana, ajaklah mereka untuk bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Jika mereka telah memenuhi ajakanmu, beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan solat lima waktu dalam sehari semalam kepada mereka. Jika mereka mentaatimu, beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan zakat yang diambil dari harta orang-orang kaya dan kemudian dibahagikan kepada orang-orang fakir. Jika mereka mentaatimu, jauhilah kemewahan dan kelimpahan harta mereka. Takutlah terhadap doa orang-orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada penghalang antara mereka dan Allah.

Muadz menjaga wasiat rasulullah itu. Beliau sedar tanggugjawab yang sangat besar membebani bahunya. Kelak Allah akan bertanyakannya berkaitan dengan amanat, apakah dia mensia-siakannya atau bertindak melampaui batas. Rasulullah kemudian bertanya kepada Muadz untuk mengujinya. Hai Muadz, bagaimana jika kau harus memutuskan sesuatu perkara?

Muad menjawab: Aku memutuskannya dengan apa yang terdapat dalam Kitabullah.

Jika kau tidak menemukannya dalam Kitabullah?

Dengan sunnah rasulullah.

Jika kau tidak menemukan dalam sunnah rasulullah?

Aku akan berijtihad dengan pendapatku dan tidak akan melampaui batas

Nabi merasa puas mendengar jawapannya dan baginda meredhainya. Wajah rasulullah kelihatan bersinar-sinar dan rasa senangnya baginda menepukkan tangannya ke dada Muadz. Rasulullah menyatakan kesaksiannya: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan rasulullah untuk apa yang diredhai rasulullah.

Setelah itu rasulullah memberi peringatan kepadanya: Hai Muadz, jauhilah dari bersenang-lenang kerana sesungguhnya hamba Allah bukanlah orang yang suka bersenang lenang. Perbaikilah akhlakmu terhadap manusia, wahai Muadz ibn Jabal.

Muadz merasa sangat gembira kerana rasulullah meredhainya. Namun tiba-tiba air mukanya seketika diliputi duka ketika rasulullah berkata kepadanya: Hai Muadz, mungkin kau tidak akan bertemu lagi denganku setelah  tahun ini. Mungkin kau hanya akan melewati masjidku ini atau kuburku.

Muadz merasakan dadanya sangat sesak. Beliau tidak kuasa membendung deras air matanya. Beliau merasakan duka yang luar biasa menyesakkan, duka yang belum pernah beliau rasakan sebelumnya seumur hidupnya.

Beliau tidak dapat berkata atau melakukan apa-apa ketika mendengar sabda rasulullah yang terakhir itu. Mulutnya seakan terkunci rapat ketika mendengar berita yang sangat menyedihkan itu. Beliau tidak ingin berpisah dari rasulullah. Namun rasulullah menjelaskan hakikat sahabat dan hakikat manusia yang paling utama di sisinya. Rasulullah sekali lagi berkata kepadanya: Sesunggguhnya orang yang paling utama bagiku adalah orang yang paling bertakwa, siapa pun dia dan di mana pun adanya dia.

Waallahu a’lam.

Dr. Nizar Abazhah
Sekolah cinta rasulullah
2011

Monday, September 14, 2015

Kompas di tangan dan masih tersesat

Dengan peta apakah
manusia tidak akan tersesat
dalam perjalanannya
rentung peta dibakar matahari
hancur luluh basah dihujani
berkecai segalanya
ke mana mereka harus pergi

Manusia bersuara senyap
mereka masih ada
sebuah kompas tua
dari seekor kuda padi
yang belum pernah dijinakkan
tetatapi kompas ini tidak pernah
menunjuk arah yang sebenar
jarumnya telah patah dua
kalaupun ia masih menunjukkan arah
di manakah laluan kebenarannya.

Manusia melukis peta sendiri
kompas besi telah terkopak
tanpa disedari
jalan-jalan indah sudah ditapaki
kaki tak dapat membezakan lagi
sungai surgawi dengan terowong keganasan
kudus bunga beracun dipetik
sepanjang jalan mereka menjadi khayal
sejak itu mereka
tidak menemui lagi
arah kiblat ilahi

di manakah destinasi cahaya
yang sebenarnya dicari?

Muzaf Ahmad
Old Town Square, Republik Czech
Berita Harian
13 September 2015




Doa Abu Bakar daripada rasulullah saw


Ya Allah, demi Muhammad yang menjadi nabiMu, Ibrahim yang menjadi kekasihMu. Musa yang Engkau selamatkan dan Yang berbicara langsung kepadaMu. Isa yang menjadi roh dan kalimahMu, demi kalam Musa, Injil Isa, Zabur Daud, Furqan Muhamaammad saw, setiap wahyu yang Engkau wahyukan, setiap keputusan yang Engkau putuskan, setiap pemohon yang Engkau beri, setiap orang kaya yang Engkau buat miskin, setiap orang fakir yang Engkay kayakan, setiap orang tersasar yang Engkau beri petunjuk.

Daku memohon kepadaMu atas namaMu yang Engkau turunkan kepada Musa, aku memohon kepadaMu  atas namaMu yang Engkau tetapkan untuk memberikan rezeki kepada-hamba, aku memohon kepadaMu atas nama yang Engkau simpan di atas bumi sehingga ia menjadi stabil, daku memohon kepadaMu atas namaMu yang Engkau simpan di atas langit, daku memohon kepadaMu atas namaMu yang Engkau simpan di atas gunung sehingga menjadi kukuh,  daku memohon kepadaMu atas namaMu yang menjadi penyluh ArasyMu, daku memohon kepadaMu atas namaMu yang suci, tumpuan harapan yang utuh yang diturunkan dalam kitabMu dariMu, berupa cahaya yang jelas, aku memohon kepadaMu atas namaMu yang Engkau simpan pada siang hari sehingga bersimpan dan Engkau simpan pada malam sehingga gelap.

Daku memohon kepadaMu atas  keagunganMu, kebesaranMu, cahaya ZatMu agar Engkau melimpahkan  rahmat kepada  Muhammad yang menjadi nabiMu dan keluarganya. Dan aku memohon kepadaMu agar Engkau menjadikan al-Quran dan ilmu sebagai rezekiku. Engkau satukan keduanya dalam darahku, dagingku, pendengaranku dan pandanganku/ Semoga Engkau menjadikan al-Quran sebagai amalan jasadku, dengan dayaMu dan kekuatanMu. Kerana tidak ada daya dan upaya bagiku, kecuali olehMu wahai Maha Peyayang di antara yang menyayangi.

Aameen.

Syeikh Abu Talib al-Makki Muhammad bin Ali bin Athiyyah
Santapan kalbu bermu’amalah dengan kekasih (Allah)
jalan murid menuju maqam tauhid
2013

Sunday, September 13, 2015

Tanaman Syurga

Dalam perjalanan agung rasulullah saw juga telah bertemu dengan nabi Ibrahim as, bapa para nabi. Ibrahim berkata kepada baginda: Perintahkanlah umatmu untuk memperbanyakkan tanaman syurga, kerana tanamannya itu baik dan tanahnya luas.

Rasulullah saw bertanya: Apakah tanaman syurga itu?

Ibrahim menjawab: La hawla wa la quwwata illa billah, subhanallah wa al-hamdulillah, wa la ilaha illa allahu allahu akhbar – Tiada upaya dan kekuatan melainkan bersama Allah. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar.

Wallaahu a’lam.

Dr Nizar Abazhah
Sekolah cinta rasulullah
2011

Pendidikan Islam dan Moral

Penyataan Dasar

1. Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan yang dilakukan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
2. Mewajibkan Pendidikan Islam kepada sesuatu institusi pendidikan yang mempunyai lima orang atau lebih yang menganut agama Islam.
3. Pendidikan Islam hendaklah diberikan oleh guru-guru yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri
4. Mengadakan pengajaran bahasa Arab di sekolah rendah dan menengah kepada murid yang menganut agama Islam dan pilihan kepada yang bukan Islam.
5. Semua murid Islam dikehendaki khatam al-Quran di peringkat sekolah rendah
6. Murid tidak boleh mengikuti pengajaran agama selain daripada agama dianutinya kecuali dengan keizinan bertulis ibu bapanya.
7. Mengadakan kurikulum Pendidikan Islam Bersepadu berasaskan pendekatan Islam Hadhari yang merangkumi aspek amalan dan penghayatan.
8. Memberikan penekanan yang lebih besar kepada penerapan akhlak dan moral di kalangan murid Islam dan bukan Islam di semua peringkat pendidikan
9. Pendidikan Moral hendaklah diajar kepada murid yang bukan menganut agama Islam.

Wallahu a’lam.

Dasar Pendidikan KPM
YGM, 2008

Nasib adalah mata lembing

Nasib adalah mata lembing
yang bergeming – menghentak-hentak batu
di tengah tengah jalan tak bernama

(tak perlu sedu-sedan itu –
kau telah memilih
mata lembingmu sendiri
sedang tak kautahu
ke mana akan kautusukkan  ia
- di jalan jalan penuh debu atau
di lorong-lorong penuh liku?)

nasib adalah  mata lembing
yang bergeming
-  menikam nikam tanah di tengah
Tengah padang tak bernama

Tak perlu keluh kesah itu
- kau telah memilih
mata lembingmu sendiri
sedang tak kautahu
ke mana akan kauluncurkan ia
ke tubuh sepia atau bayang-bayangmu sendiri?

Nasib adalah mata lembing
yang bergeming
- menikam nikam mata kalbumu

Zaen Kasturi
Berita Harian
6 September 2015

Doa selepas solat sunat fajar

Ya Allah, daku meminta rahmat dariMu yang dapat menjadi petunjuk dalam hatiku, iaitu rahmat yang dapat menghimpunkan ingatanku dan menyatukannya kembali pada diriku, mengembalikan kelembutanku, membetulkan zahirku, mengukuhkan agamaku, menjaga ketika aku tidak hadir, mengangkat kesaksianku, mensucikan amalanku, yang membuat wajahku putih, membuatku menjadi dewasa dan melindungi dari seluruh keburukan.

Ya Allah, berikanlah aku iman yang benar, keyakinan yang tidak berakhir dengan kekufuran, rahmat yang dapat dipakai meraih kemuliaan keramahanMu di dunia dan di akhirat. Ya Allah, aku memohon kejayaan ketika menghadapi keputusan,darjat para syuhada, kehidupan orang-orang bahagia, berteman dengan para nabi dan mampu mengalahkan musuh.

Ya Allah, daku mengadukan keperluanku kepadaMu, walaupun fikiranku sangat pendek dan amalku sangat sedikit. Daku sangat memerlukan rahmatMu, maka aku memohon kepadaMu, wahai Zat yang memutuskan segala perkara dan menyembuhkan penyakit di dalam dada. Sebagaimana Engkau menjaga satunya air laut, jagalah aku dari seksa neraka Sa’ir, dari doa yang tidak bererti dan fitnah kubur.

Ya Allah, apa yang tidak terjangkau oleh fikiranku, tidak tercapai oleh kelemahan amalku, tidak teraih oleh niat dan angan-anganku, berupa kebaikan yang Engkau janjikan kepada salah seorang makhlukMu atau Engkau berikan kepada salah seorang hambaMu, aku sangat ingin memperolehinya dariMu, aku memintanya kepadaMu, wahai Tuhan seluruh alam.

Ya Allah, jadikanlah kami sebagai orang yang selalu menunjukkan dan ditunjukkan, bukan orang yang tersasar dan menyasarkan orang lain, yang dapat memerangi musuh-musuhMu serta pemberi kedamaian kepada para kekasihMu. Buatlah kami mencintai manusia kerana kecintaan kami kepadaMu, dan buatlah kami memusuhi orang yang menentangMu dari makhluk-makhlukMu.

Ya Allah, inilah doaku dan kabulkanlah, kerana hanya Engkaulah yang dapat mengabulkannya. Ya Allah, inilah sebuah usaha keras, dan hanya kepadaMulah kami menyerahkan segala-galanya. Kami semua adalah milik Allah dan hanya kepadaNya kami kembali. Tidak ada daya dan upaya, kecuali dengan pertolongan Allah Pemilik tali yang kukuh dan keputusan yang lurus.

Aku memohon kepadaMu rasa aman pada hari dibuktikannya ancaman dan syurga pada hari yang abadi, bersama-sama dengan orang-orang yang didekatkan kepada Allah, orang yang selalu rukuk, sujud dan suka memenuhi janji. Sesungguhnya Engkau Maha Kasih dan Pencinta.Engkau dapat melakukan segala yang Engkau kehendaki. Maha Suci Zat Yang lemah-lembut dengan keperkasaanNya dan berfirman: Maha Suci Tuhan Yang Memakai Pakaian Keagungan dan menjadi mulia dengannya. Maha Suci Zat yang tidak layak disucikan selain Dia. Maha Suci Zat Yang Mempunyai keutamaan dan pelbagai nikmat. Maha Suci Zat Pemilik Kekuasaan dan Kemuliaan. Maha Suci Zat yang meliputi segala sesuatu dengan ilmuNya.

Ya Allah, berilah cahaya pada kalbuku, cahaya pada kuburku, cahaya pada pendengaranku, cahaya pada mataku, cahaya di rambutku, cahaya pada kulitku. Cahaya pada dagingku, cahaya pada darahku, cahaya pada tulangku, cahaya di hadapanku, cahaya di belakangku, cahaya di kananku, cahaya di kiriku, cahaya di atasku, cahaya di bawahku.

Ya Allah, tambahkan padaku cahaya, berikanlah aku cahaya.

Aameen.

Syeikh Abu Talib al-Makki Muhammad bin Ali bin Athiyyah
Santapan kalbu bermu’amalah dengan kekasih (Allah)
jalan murid menuju maqam tauhid
2013

Thursday, September 10, 2015

Pendidikan Khas

1. Menyediakan peluang pendidikan kepada murid berkeperluan khas untuk merealisasikan prinsip ekuiti dalam pendidikan
2. Menyediakan pendidikan vokasional bagi murid berkeperluan khas bagi memberi peluang penyertaan dalam memenuhi guna tenaga berkemahiran ke aras peningkatan kualiti hidup dan pembangunan negara.
3. Mensasarkan pencapaian 100 peratus murid berkeperluan khas sekolah rendah dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M)

Wallahu a’lam.

Dasar Pendidikan KPM
YGM, 2008

Semangat Malaysia

Zahirnya pada unggas-unggas terbang bebas
pada pohon-pohon cinta
merimbuni tahun
pada ancala menjulang samudrea terbentang
dan suria yang berulang-ulang datang
zahirnya pada atmosfera nafas takwa
pada semilir zikir mengiringi doa
pada gema azam deram jeram
pada bahtera merempuh gelora

bukan rintih di gurun kasih
bukan beras di medan ganas
bukan mendung di hujung tanjung
bukan rundung dibelai senandung

bukan marah para pendendam
bukan khianat di pintu rahmat
bukan emosi disulami benci
bukan retorika pura-pura

semaraknya di dalam dada
dalam pusara darah perwira
dalam pencaran deria
intelektualisme
seluruh warga

semaraknya di ladang bakti
di pohon budi
demi Ilahi

Ramlah Abd Wahab
Klang, Selangor
Mingguan Malaysia
30 Ogos 2015

Doa Simposium

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Sesungguhnya kami menadah tangan menzahirkan rasa kesyukuran atas iradat dan qudratMu yang telah menentukan dan mengizinkan kami untuk berhimpun pada pagi yang berbahagia ini di dalam Simposium ini.

Ya Allah Ya Munzilarrahman wa Ya Fatihalbarakah
Berkatilah dan permudahkanlah perjalanan symposium ini. Jadikanlah ia seumpama sebuah taman di antara taman-taman syurga. Berilah peluang kepada kami untuk bertukar idea, ilmu dan pandangan dalam mewujudkan budaya penyelidikan. Jadikanlah symposium ini sebagai pencetus inovasi, isu-isu dan cabaran kea rah kemampanan pendidikan.

Ya Allah Ya Zal Jalali Wal Ikram
Jadikanlah kami Ya Allah dalam kalangan hamba-hambaMu yang beriman dan bertaqwa. Jauhkanlah kami Ya Allah daripada melanggar perintahMu. Kurniakanlah kepada kami kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan yang sempurna, minda yang cergas, rezeki yang halal, zuriat dan generasi yang beriman serta kurniakanlah kepada kami segala kebaikan di dunia dan juga akhirat.

Aameen.

Dewan Serbaguna
Aras 9, Blok E12 Kompleks E KPM
9 September 2015

Sunday, September 6, 2015

Penyembuhanan Diri

Esei 73

Samuel Smiles mencatat....semangat tolong diri adalah punca kepada semua pertumbuhan tulen bagi setiap individu....bantuan daripada luar kerap memberi kesan yang sangat lemah tetapi bantuan daripada dalam adalah menceriakan. Biar kita mengatasi penyakit dan penyerahan, setiap sel dalam badan-badan kita telah diprogram berjuang untuk hidup. Penyelidikan juga telah menunjukkan bahawa minda dan kepercayaan kita adalah begitu kuat sehingga boleh membalikkan kesan-kesan ubat yang telah dipreskripsikan!.

Untuk itu :
i. Bersikap berani, mempunyai keazaman dan keupayaan.
ii. Sikap minda yang cemerlang
iii. Bersabarlah dan bertoleransi
iv. Percaya akan keajaiban
v. Sayangi diri anda dan orang lain. Cinta memulihkan manusia – baik yang memberi atau yang menerima.
vi. Maaf diri sendiri dan semua orang. Kita tidak sempurna. Remedi terbaik dengan buang yang keroh, ambil yang jernih.
vii. Baiki keadaan dan apa yang diminati

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Berlumba ke Masjidil Haram, balik 'haram' ke masjid?

MEKAH 25 Sept. - Bukan mudah untuk meraih haji mabrur. Namun tidaklah sukar memperolehnya jika jemaah haji itu meletakkan sepenuh keikhlasan dan jiwa raganya dalam mengerjakan ibadah kerana Allah.

"Kesan haji Mabrur itu (hanya dapat dilihat) hanya setelah enam hari selepas wukuf di Arafah," kata pakar rujuk Tabung Haji, Datuk Fadzil Awang dalam forum Penghayatan Haji Sepanjang Hayat di Hotel Land Premium, Mekah malam tadi.

Fadzil mengingatkan sepanjang beribadah di tanah suci termasuk menjelang lapan hari wukuf di Arafah, jemaah haji harus berupaya mengelak atau menangani godaan dan ancaman mendatang.
"Ini datang dalam bentuk yang pelbagai. Ada kalangan kita mengerjakan umrah banyak kali, kemudian menyatakan bangga (riak) kepada jemaah lain…kata boleh khatam al-Quran banyak kali di Masjidil Haram.

"Cuba kita tanya hati kita, kita buat ini semua kerana apa... belum tentu kerana Allah," kata beliau.

Fadzil berkata, berusaha untuk memperoleh haji mabrur juga bermaksud 'memburu' haji yang pahalanya telah dijanjikan Allah hanya syurga ganjarannya.

"Bukan kita memburu pelanduk atau kijang, tetapi kita memburu anugerah Allah, yang mana Allah melihat hati kita. Dalam hal ini, pastikan segala perbelanjaan ke tanah suci ini termasuk kenderaan yang kita naik dari rezeki yang halal, bukan syubahah," katanya.

Menurutnya, pengertian penghayatan haji sepanjang hayat juga bermaksud bahawa apabila jemaah kembali ke tanahair nanti, sikap untuk berubah ke arah lebih baik mesti ada pada diri.

"Maknanya, kecenderungan kita kepada dunia berkurangan dan kepada akhirat bertambah. Di sini mungkin kita berlumba-lumba ke Masjidil Haram, mahu buat solat sunat, dhuha dan lain-lain.
"Jadi, bila balik nanti, mestilah perkara sama dilakukan.

"Jangan nanti di tanah suci kita berlumba-lumba ke Masjidil Haram, tapi apabila balik (ke tanah air) 'haram' ke masjid," kata beliau.

Lebih 2,000 jemaah Malaysia dari Maktab 88 dan 89 menghadiri forum berkenaan yang dipengerusikan oleh Pengurus Ibadat Mekah Musim 1435H, Shahrul Azam Noor Zeli dan turut menampilkan seorang lagi pakar rujuk, Prof Dr. Anisah Abdul Ghani.

Wallahu a’lam.

Utusan Malaysia
26 September 2014

Pendidikan Teknik dan Vokasional

Penyataan Dasar

Memperkukuhkan dan memperkemaskan sistem pendidikan teknik dan vokasional ke arah mewujudkan golongan pelajar yang berorientasi kemahiran teknikal dan vokasional bagi memenuhi keperluan guna tenaga negara.

Wallahu a’lam.

Dasar Pendidikan KPM
YGM, 2008


Biarkan damai berpanjangan

Bacakan aku satu puisi
riwayat cinta kasih abadi
yang melata subur di persada budi
menjadi keramat di bumi pertiwi

Alunkan aku irama kedamaian
yang menyuburkan rindu
pada ketenangan
dan menghambat resah
di medan kedaulatan
lantas menyejukkan wajah
bangsa gemilang

Lagukan aku syair nan merdu
yang menghembus kehitaman debu
moga palitan warna di halaman tanahku
membentuk lukisan jiwa bersatu

Bisikan aku amanat
Sang pahlawan
tentang nilai sebuah kebebasan
moga berganding restu
sepanjang jalan
dan jati diri pun takkan
pernah hilang

Coretkan aku bingkisan harapan
yang jernihnya tak dibayangi mimpi siang
moga impian warisku
di puncak bintang
kan bisa kugarap kemas
di genggaman

Titipkan aku doa sejauh jalan
untuk kupudarkan gusar
yang mencerlang
moga derita tak kembali bertandang
dan biarkan damai terus berpanjangan

Aidamarni Salleh
Padang Tembak, Kelantan
BH, 30 Ogos 2015

Perutusan UPSR 2015

Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Selamat Sejahtera

Anak-anak murid Tahun 6 yang dikasihi sekalian

Tarikh 8,9 dan 10 September 2015 merupakan tarikh penting untuk anak-anak murid Tahun 6 menghadapinya kerana pada tarikh tersebut Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2015 akan berlangsung di seluruh sekolah rendah negeri Kelantan. UPSR merupakan peperiksaan utama peringkat sekolah rendahsebelum anak-anak memasuki alam persekolahan peringkat menengah. Oleh itu, saya mengharapkan agar anak-anak menjadikan UPSR ini sebagai titik permulaan mencipta kejayaan dalam pencapaian akademik peringkat sekolah rendah.

Semoga anak-anak murid Tahun 6 sentiasa tenang dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan UPSR tahun 2015 ini. Jadikan segala usaha dan ilmu yang telah diberikan oleh guru-guru sebagai pendorong dan pembakar semangat kepada anak-anak untuk melakukan yang terbaik sepanjang peperiksaan UPSR berlangsung nanti. Selain itu, anak-anak perlu menjaga kesihatan dan keselamatan diri sepanjang masa agar anak-anak dapat menduduki peperiksaan UPSR dengan baik dan sempurna. Dalam pada itu, saya ingin menasihatkan anak-anak supaya sentiasa memperbanyakkan doa dan menjaga amalan solat dengan sempurna serta memohon restu daripada ibu bapa dan para guru.

Akhir kata, saya sentiasa mendoakan agar anak-anak calon UPSR 2015 dapat menjawab semua soalan peperiksaan UPSR dengan baik dan sempurna. Yakinlah bahawa anak-anak adalah insane yang hebat dan mampu menggapai kejayaan dalam UPSR nanti.

Sekian, terima kasih.

September 2015

Saturday, September 5, 2015

Satu pendapat baru, optimisme dan jenaka

Esei 72

Kehidupan telah menunjukkan bahawa kesukaran akan memaksa manusia berfikir dan satu krisis boleh memimpin manusia ke satu perspektif yang baru. Hanya orang baik yang meninggalkan kapal yang sedang tenggelam. Mereka yang enggan itu adalah kayu mati. Kita perlu menukar persepsi kita sebelum kita boleh mengubah diri kita sendiri. Kita perlu menukar diri kita sebelum kita mengubah kehidupan kita. Apa juga nasib yang menimpa anda, jangan mengalah kepada tangisan.....Seseorang yang bijaksana tidak akan bersedih bagi perkara yang belum ada tetapi bergembira dengan apa yang dimiliki sekarang!

Bagi minda yang lembab, semua alam adalah muram. Bagi minda yang terang seluruh dunia terang berderang dan berkelipan dengan cahaya. Sering masalah kita terletak bukan pada benda itu sendiri tetapi dalam cara kita menilainya.

Apabila tidak acuh, mata mengambil gambar-gambar tetap, apa berminat, mata menangkap gambar filem. Marilah kita menonton filem. Tumpukan harapan kepada masa depan sementara kita hidup dan maju dengan gembira dan optismisme sekarang. Dalam menghadapi ketidakpastian, tidak semestinya kita silap apabila menaruh harapan. Di mana ada kehidupan, di situ ada harapan. Apabila satu pintu ditutup akan ada satu pintu lagi dibuka.

Perasaan lucu adalah satu rahmat besar yang menjauhkan bermacam-macam masalah. Ketawa ubat terbaik demikian juga jenaka.Jenaka yang baik mungkin tergolong sebagai satu bahagian yang terbaik dalam pakaian yang boleh dipakai dalam masyarakat.

Seni perubatan termasuklah menghiburkan pesakit sementara alam semula jadi akan memulihkan pesakit.
Dr Maxwell Martz

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Pendidikan Menengah

Penyataan Dasar

1. Mengubahsuai kurikulum selaras dengan keperluan semasa
2. Meningkatkan penekanan kepada kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
3. Menyediakan infrastruktur pendidikan yang lengkap
4. Melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada semua peringkat sekolah
5 Mewujudkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi membolehkan pelajar cemerlang luar bandar mengembangkan potensi dan mencapai kecemerlangan akademik
6. Menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang cukup dan berkualiti selaras dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) atau Information Communication Technology (ICT)
7. Menekankan kemahiran mengaplikasi ICT bagi menghasilkan pelajar yang berkemahiran dalam ICT
8. Mencapai 60 peratus penyertaan pelajar dalam aliran sains dan teknologi berbanding 40 peratus pelajar dalam aliran sastera.
9. Memperluaskan program peningkatan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
10. Menekankan program pembangunan insan untuk menghasilkan pelajar yang mengamalkan sikap positif.
11. Menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi serta terlatih, berkemahiran dan berpengentahuan.

Nota : PPPSMI telah digantikan dengan MBMMBI dan akan softlanding sepenuhnya pada 2017 dan STEM dalam penyertaan murid mengikut aliran.

Wallahu a’lam.

Dasar Pendidikan KPM
YGM, 2008

Kalau kau sibuk kapan kau sempat

Kalau kau sibuk berteori saja
Kapan kau sempat menikmati mempraktikkan teori?

Kalau kau sibuk menikmati praktik teori saja
Kapan kau memanfaatkannya?

Kalau kau sibuk mencari penghidupan saja
Kapan kau sempat menikmati hidup?

Kau kau sibuk menikmati hidup saja
Kapan kau hidup?

Kalau kau sibuk dengan kursimu saja
Kapan kau sempat memikirkan pantatmu?

Kalau kau sibuk memikrkan pantatmu saja
Kapan kau menyadari joroknya?

Kalau kau sibuk membodohi orang saja
Kapan kau sempat memanfaatkan kepandaianmu?

Kalau kau sibuk memanfaatkan kepandaIanmu saja
Kapan orang lain memanfaatkannya?

 Kalau kau sibuk pamer kepintaran saja
Kapan kau sempat membuktikan kepintaranmu?

Kalau kau sibuk membuktikan kepintaranmu saja
Kapan kau pintar?

Kalau kau sibuk mencela orang lain saja
Kapan kau sempat membuktikan cela-celanya?

Kalau kau sibuk membuktikan cela orang saja
Kapan kau menyedari celamu sendiri?

Kalau kau sibuk bertikai saja
Kapan kau sempat merenungi sebab pertikaian?

Kalau kau sibuk merenungi sebab pertikaian saja
 Kapan kau akan menyedari sia-sianya?

Kalau kau sibuk bermain cinta saja
Kapan kau sempat merenungi arti cinta?
Kalau kau sibuk merenungi erti cinta saja
Kapan kau bercinta?

Kalau kau sibuk berkhutbah saja
Kapan kau sempat mentedari kebijakan khutbah?
Kalau kau sibuk dengan kebijakan khutbah saja
Kapan kau akan mengamalkannya?

Kalau kau sibuk berzikir saja
Kapan kau sempat menyedari keagungan yang kau zikiri?
Kalau kau sibuk dengan keagungan yang kau zikiri saja
Kapan kau kan mengenalNya?

Kalau kau sibuk berbicara saja
Kapan kau sempat memikirkan bicaramu?
Kalau kau sibuk memikirkan bicaramu saja
Kapan kau mengerti erti bicara?

Kalau kau sibuk mendendangkan puisi saja
Kapan kau sempat berpuisi?
Kalau kau sibuk berpuisi saja
Kapan kau memuisi?

Kalau kau sibuk dengan kulit saja
Kapan kau sempat menyentuh isinya?
Kalau kau sibuk menyentuh isinya saja
Kapan kau sampai intinya?
Kapan kau memakrifatinya?
Kalau kau sibuk memakrifatinya saja?
Kapan kau bersatu denganNya?

Kalau kau sibuk bertanua saja
Kapan kau mendengar jawapan

K.H.A Mustofa Bisri
1987