Tuesday, May 31, 2011

...mencintaiNya

Berkata  Ibnu Abbas r.a bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda : ( Allah telah berfirman : " Berkata Daud tatkala dia berkata-kata kepada Tuhannya : Ya Tuhanku! Siapakah di antara hamba-hambaMu yang paling Engkau cintai, supaya aku mencintainya dengan sebab cintaMu itu? Berfirman Tuhan: Wahai Daud! Orang yang paling Kucintai di antara hamba-hambaKu ialah yang bertakwa hatinya, suci kedua-dua belah tangannya, tidak menyusahkan orang lain dan tidak membuat fitnah ke sana ke mari, gunung-ganang akan berubah namun dia tetap begitu juga, dia mencintaiKu serta menarik hamba-hambaKu untuk mencintaiKu.

Berkata Daud: Ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawasanya aku ini mencintaiMu dan mencintai orang yang mencintaiMu, tetapi bagaimana dapat aku menarik hamba-hambaMu untuk mencintaiMu. Berfirman Tuhan: Ingatkanlah mereka kepada segala macam nikmatKu, segala macam ujianKu dan segala macam seksaanKu. "Wahai Daud! Sesungguhnya tiada seorang hamba yang menolong orang yang teraniaya atau berusaha untuk melepaskannya dari penganiayaannya, melainkan Allah akan menetapkan kedua-dua tapat kakinya pada hari semua tapak kaki akan tergelincir. )
( Riwayat Baihaqi dan Ibnu Asakir )

Ketekunan membawa kejayaan

Ketekunan  bererti memberi tumpuan kepada sesuatu kerja hingga selesai dengan sempurnanya dan membawa kejayaan serta kecemerlangan kepada agensi dan individu. Bila kita sebut ketekunan yang tergambar dalam ingatan kita ialah semut. Serangga yang kecil ini tidak kenal penat lelah apabila melakukan sesuatu seperti membina sarang ataupun membawa makanan untuk kumpulannya.

Biasanya sang semut akan memikul benda-benda yang berpuluh kali lebih berat daripada dirinya. Namun begitu kegigihan, kesabaran, kekuatan hatinya tidak akan padam sehingga selesai kerja atau matlamatnya tercapai.

Peribahasa ‘ sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit’ memang ditujukan kepada daya usaha sang semut. Daripada Forbes Epigrams kita dapati : “Diamonds are chunks of coal that stuck to their jobs.”

Kedua-dua benda ini (intan dan arang batu)  terdiri daripada unsure yang sama iaitu karbon. Arang batu yang melalui proses perubahan selama berjuta-juta tahun akhirnya berjaya menjadi bahan yang paling keras dan berharga. “Victory belongs to the most persevering,” kata Napoleon Bonaparte.

Ok bila :

  • gigih dalam melaksanakan tugas yang mencabar
  • rajin dan sentiasa berusaha
  • tekun dalam menjalankan tugas
  • sabar dalam menghadapi cabaran pekerjaan
  • berdisiplin dalam setiap pekerjaan
  • berpandangan jauh
  • bersemangat dalam melaksanakan tugas yang diarah
  • dedikasi dalam mencapai matlamat organisasi
  • sanggup berkorban
  • cekal menghadapi kesulitan semasa bertugas
  • tidak patah semangat
  • bercita-cita tinggi
Ko bila :

  • mudah tersinggung
  • kurang berdisiplin
  • mudah putus asa
  • tidak tekun
  • mudah mengalah
  • tidak bercita-cita tinggi
  • tidak bersemangat
  • tidak tahan kena marah
  • tidak ada inisiatif
  • tidak kreatif
  • suka bertangguh
  • disuruh buat, baru buat
( Tonggak Dua Belas, INTAN 1992 )

Monday, May 30, 2011

……sujud terakhirku

Dalam sujud terakhir
Ya Allah...aku teriakkan AsmaMu
sekeras-kerasnya..
agar runtuh dinding kesombongan dalam hatiku

Dalam sujud terakhirku
Ya Rabbi
aku menangis sejadi-jadinya
biar kering mata ini
namun basah ladang hati ini yang gersang

Dalam sujud terakhirku
Ya Rahman
ku lihat semua dosa yang membayangiku
kelam mencengkam jiwa yang lusuh

Dalam sujud terakhirku
Ya Rahim
biar daku patah dalam cahayaMu,
biar daku musnahkan titik-titik kemunafikanku
agar aku kembali dalam pelukan HidayahMu

Dalam sujud terakhirku
biarkan daku hirup nafasku sekali lagi
hanya untuk menyebut nama-Mu dan kekasih-Mu tercinta

Allahu Akhbar!!!!

( Sahi )



Sunday, May 29, 2011

…..wahai hambaKu!

Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah saw berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh baginda daripada Allah swt bahawa Dia berfirman:

Wahai hamba-hambaKu!
Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi.

Wahai hamba-hambaKu!
Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah
kamu meminta hidayat dariKu.

Wahai hamba-hambaKu!
Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan.

Wahai hamba-hambaKu!
Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka
hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian.

Wahai hamba-hambaKu!
Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu.

Wahai hamba-hambaKu!
Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga kamu boleh memudharatkan Aku.

Wahai hamba-hambaKu!
Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku.

Wahai hamba-hambaKu!
Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang
paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu!
Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang
paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam
kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu!
Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta
daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalanganmereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum.

Wahai hamba-hambaKu!
Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya
bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.

( Hadis riwayat al-lmam Muslim )


Menghargai masa

Orang yang menghargai masa menganggap ‘masa itu emas’. Berlalunya masa tanpa sebarang perbuatan atau sumbangan yang berfaedah bererti suatu kerugian kerana masa yang telah berlalu tidak akan kembali. Pada hari ini dengan adanya teknologi canggih maka perhubungan menjadi semakin rapat dan banyak keputusan perlu dilaksanakan dalam masa yang singkat.

Tidak bertindak segera atau melengahkan keputusan akan menyebabkan hilangnya peluang keemasan. Setiap orang diberi masa yang sama banyak. Terpulanglah kepada setiap individu bagaimana dia merancangkan masanya. “Those who make the worst use of their time most complain of its shortness”. – La Bruyere.

Oleh itu gunakanlah masa itu dengan bijak untuk setiap perilaku kita sama ada rasmi, tidak rasmi atau persendirian.

“Demi masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” (Al-Quran, 103 : 1 – 3 )

“An inch of time cannot be bought by an inch of gold. “

OK bila :

  • menepati masa
  • menyegerakan tugas
  • mempunyai perancangan waktu
  • bijak menguruskan tempoh masa yang diberi
  • menumpukan masa pada kerja-kerja yang produktif dan kreatif
  • menetapkan target date untuk menyiapkan kerja
  • menyelesaikan tugas dalam masa yang ditetapkan.

KO bila :

  • berbual-bua1 kosong
  • tidak menyegerakan tugas
  • tidak ada ‘sense of urgency’
  • tidak merancang pekerjaan
  • tidak ada ‘priority’
  • melayan tetamu yang tidak berkenaan
  • tinggalkan kerja pejabat untuk urusan peribadi
  • berniaga di waktu pejabat
  • membuat kerja yang tidak mustahak
  • ke kantin dalam waktu bertugas
  • tidak peka kepada pembaziran masa.
( Tonggak Dua Belas, INTAN 1992 )

Friday, May 27, 2011

.kiri dan kanan

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: ( Apabila seseorang dari engkau semua mengenakan terumpah, maka hendaklah mendahulukan yang kanan dan apabila melepaskannya, maka dahulukanlah yang kiri. Iaitu hendaklah yang kanan itu yang pertama di antara kedua kaki yang dikenakan terumpah dan yang terakhir ketika dilepaskan." (Muttafaq 'alaih)

Hak sedekah

Hendaklah engkau mengetahui bahawa ia adalah harta simpanan yang engkau titipkan pada Tuhanmu serta titipanmu yang tidak membutuhkan saksi. Jika engkau tahu hal itu maka apa yang engkau titipkan dengan cara rahasia adalah lebih kuat dan aman daripada yang engkau titipkan dengan cara diketahui orang banyak.

Engkau lebih patut merahsiakan kepadaNya, sesuatu yang engkau permaklumkan. Dalam segala hal, urusan antara engkau dengan Dia adalah urusan rahsia. Janganlah engkau memberikan titipan itu dengan mempersaksikannya kepada pendengaran dan penglihatanmu, seakan-akan dengan demikian titipan itu lebih aman bagimu.

Juga jika engkau memberikan sedekah, janganlah engkau memberikannya dengan sikap bahawa engkau pemiliknya. Jika demikian itu akan menjadikan dirimu hina di hadapan orang yang kau beri sebab sikapmu itu menunjukkan bahawa engkau tidak lagi menginginkan harta yang engkau sedekahkan itu. Jika engkau masih menginginkannya pasti engkau tidak akan memberikannya kepada orang lain. Dan tak ada daya dan kekuatan kecuali bersama Allah Yang Maha Agung…….


Ya Allah, anugerahkanlah kepadaku kesenangan akan kehidupan akhirat sehingga aku bisa mengetahui hal itu dalam kalbuku melalui kezuhudanku terhadap kehidupan dunia.

Ya Allah, anugerahkanlah kepadaku pemahaman terhadap persoalan akhirat sehingga aku akan mencari kebaikan lantaran rinduku kepadanya dan menjauhi kejahatan kerana ketakutanku kepadanya.

Tandu jenazah…

Diriwayatkan dari Abi Abdillah, AlShadiq as berkata, “ Tandu jenazah yang pertama kali dibuat dalam Islam adalah tandu jenazah Fatimah. Fatimah pernah menyampaikan penderitaannya saat menjelang wafat kepada Asma’ binti ‘Umais, dengan berkata, Tubuhku demikian kurus dan dagingku hilang sudah. Kerana itu, bisakah engkau buatkan untukku sesuatu yang bisa menutup jenazahku nanti?”.

Asma mengatakan, “Ketika saya berada di negeri Habasyah dulu, saya melihat orang-orang di sana membuat sesuatu seperti yang engkau maksudkan. Maukah engkau ku buatkan untukmu”. Fatimah menjawab, “Baiklah”.

Kemudian Asma minta diambilkan  sebuah tempat tidur lalu dituturkannya bagaimana  bentuknya nanti. Diambilnya pula pelepah yang dipasangkan pada kayu-kayu penahannya dan ditutupkannya selembar pakaian di atasnya. Kemudia ia berkata, “ Seperti inilah saya lihat mereka membuat tandu jenazah,”

Kemudian Fatimah berkata, “Buatkan seperti itu untukku. Tutupilah jenazahku, niscaya Allah akan menutupi dirimu dari api neraka”.

Wallahu ‘alam

( Tokoh-tokoh Terkemuka Ahlul Bait Nabi, 1999 )

Thursday, May 26, 2011

….dari Nahj Al-Balaghah

Ayyuhan-Nas, janganlah hendaknya anda sekalian menjauhi jalan menuju hidayah lantaran sedikitnya orang yang melaluinya. Sebab orang-orang itu betul-betul berkumpul di suatu jamuan yang sekejap saja kenyangnya namun laparnya akan berkepanjangan.

Ayyuhan-Nas, sesungguhnya orang banyak bisa bersepakat dalam sesuatu yang diredhai dan dibenci (Allah) dan sesungguhnya unta Tsamud disembelih oleh satu orang saja tetapi Allah meratakan azabNya kepada mereka semua lantaran mereka tak mau tahu tentang apa yang diredhai Allah. Allah berfirman : “ Kemudian mereka menyembelihnya maka jadilah mereka orang-orang yang menyesal. Maka dengan hanya suara sambaran petir yang panasnya mampu mencairkan besi, luluh-lantakklah bumi yang mereka pijak.”.

Ayyuhan-Nas, barangsiapa yang menempuh jalan yang terang, nescaya dia akan sampai ke mata air dan barangsiapa yang menyimpan darinya nescaya dia akan samapai ke jurang.

Ayyuhan-Nas, dunia adalah tempat tinggal sementara sedangkan akhirat adalah kampun yang sebenar-benarnya. Maka jadikanlah tempat tinggalmu yang tetap sebagai tujuan perjalananmu dan janganlah kalian bukakan tabirmu di depan orang yang mengetahui rahasiamu. Keluarkanlah kalbumu dari dunia ini sebelum jasadmu dikeluarkan darinya.
Disitulah kalian memperolehi pengalaman tapi untuk tempat tinggal yang lainlah kalian diciptakan.

Ketika seseorang meninggal dunia, orang-orang pasti akan bertanya, “apakah yang dia tinggalkan?” tapi malaikat akan bertanya, “Apa yang dia bawa?”. Kepada Allahlah kalian kembali. Bawalah sebahagian saja sehingga kalian akan mempunyai ‘piutang’ dan dan jangan tinggalkan semuanya sehingga kalian harus membayar  ‘utang’.

Saya nasihatkan kepada kalian, wahai hamba-hamba Allah agar kalian bertakwa kepadaNya. Takwa itu merupakan bekal dan dengannya kalian menuju tempat kembali. Yakni bekal yang sangat mencukupi dan tempat kembali yang member keselamatan.

Keduanya menyeru kalian dengan seruannya yang sangat jelas dan mengajak untuk memikirkannya dengan sebaik-baiknya. Kerana itu dengarkanlah seruannya dan berbahagilah orang-orang yang mahu memikrkannya.

Wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya takwa kepada Allah itu pasti melindungi wali-wali Allag dari hal-hal yang diharamkanNya dan memberikan rasa takut kepada mereka terhadap siksaNya.Sehingga mereka mengisi malam-malam mereka dengan bangun ( untuk solat) dan siang hari mereka yang panas terisi dengan kehausan (lantaran berpuasa). Kerana itu jadikanlah istirehatmu sesudah lelahmu dan puas minum sesudah dahaga. Kalian semakin dekat kepada ajal kerana itu bersegeralah dalam beramal, dustakan angan-angan dan perhatikan ajal.

Wallahu ‘alam.

Waspadalah

Betapa aku melihat cinta dunia telah banyak mengelabui kebanyakkan manusia, sampai seakan-akan :

# mati hanya ditetapkan bagi orang-orang selain mereka.

# kebenaran di dunia ini menjadi kewajiban orang lain.

# berita kematian yang mereka dengar mengenai orang-orang sebelum mereka seperti
   berita perginya seorang musafir yang akan kembali lagi.

Mereka makan harta warisan mereka sekan-akan mereka hidup kekal.

Mereka telah lupa terhadap nasihat yang ada dalam Kitab Allah.

Mempercayai kejahatan yang merupakan akibat daripada kebobrokannya.

Tidak takut pada turunnya malaetaka.

Tidak gentar pada setiap tragedi.
Kerana itu, gembiralah orang yang menyibukkan diri dengan rasa lebih takut kepada Allah daripada kepada manusia.

Berbahagialah orang yang :

# baik pencariannya, baik rahasia maupun penampilannya serta konsisten budi
   pekertinya.

# mengeluarkan kelebihan dari hartanya

# menahan kelebihan pembicaraannya

# tunduk kepada Allah dengan selalu menyebutNya

# zuhud terhadap apa yang dihalalkan baginya tanpa membenci sunnahku

# mengikuti berita-berita (hadis-hadis ) dari keluargaku

Setelahku :

# bergaul dengan para ahli fiqih, ahli hikmah serta menyayangi orang-orang miskin.

Berbahagialah orang Mukmin yang :

# mencari harta bukan dengan jalan yang dimurkai

# belajar ilmu bukan untuk kepentingan maksiat

# bergaul dengan orang-orang miskin

# menjauhi hal-hal yang membawa kesombongan dan kepayahan serta cinta dunia

# menjauhi orang-orang yang mengada-adakan bid’ah dengan menyalahi sunnahku dan
   mengamalkan ilmunya tanpa mengikuti sunnahku.

Berbahagialah orang-orang yang berlaku baik kepada manusia dalam budi pekertinya, menganggap kecil pertolongannya kepada mereka dan tidak pernah jahat kepada mereka.


( Tokoh-tokoh Terkemuka Ahlul Bait Nabi, 1999 )

Wednesday, May 25, 2011

…berpergian

Dari Anas r.a., katanya: "Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, saya hendak berpergian, maka berilah bekal kepada saya." Beliau s.a.w. bersabda: "Semoga Allah memberikan bekal ketaqwaan padamu." Orang itu berkata lagi: "Tambahkanlah-doa-untukku!" Beliau s.a.w. bersabda: "Dan semoga Allah memberi pengampunan padamu." Ia berkata lagi: "Tambahkanlah untukku!" Beliau s.a.w. bersabda pula: "Juga semoga Allah memberikan kemudahan padamu untuk memperoleh kebaikan di mana saja engkau berada."

Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.

Bahasa Iblis

Iblis  mempunyai bahasa tersendiri yang sering digunakan oleh manusia iaitu :

  1. Dusta
  2. Fitnah
  3. Menghasut
  4. Perbuatan sia-sia
  5. Meratap tangis atas sebab musibah yang ditakdirkan
  6. Menyakiti hati orang
  7. Memuji-muji diri sendiri
  8. Membisukan ilmu yang baik.
Nota :

Zaman para sahabat : manusia   MASA MENGEJAR
Zaman mutakhir ini : manusia     MENGEJAR MAS

Contoh:

  1. Kononnya dengan menjimatkan masa menunaikan solat di rumah tidak berjemaah di masjid yang pahalanya berlipat kali ganda.
  2. Terlalu pantas membaca doa dalam solat
  3. Ibadat sunat dirasakan tidak perlu untuk menambahkan pahala sedangkan solat fardhu pahalanya tidak diketahui tentang penilaian di sisi Allah swt (diterima atau tidak)
  4. Merasakan hidup dibulan Ramadhan terlaku lama kerana menganggu makan minum dan aktiviti lain pada siang hari.
Wallahu’alam

( Siapalah Aku, Percetakan Potensi Sdn. Bhd. )

Mudaratnya fungsi ruh yang buruk…..


    1. Makan : Dengan sekenyang-kenyangnya
    2. Hiburan : Melalaikan
    3. Bermain : Pertaruhan ( berjudi )
    4. Tidur : Menyuburkan sifat malas
    5. Bakat : Mendewakan diri
    6. Beribadat : Terburu-buru
    7. Warak : Bersifat maksum
    8. Ilmu : Disembunyikan
    9. Kaya : Tamak
    10. Marah : Pendendam
    11. Pangkat : Memikat kejahatan
    12. Hidup : Menakutkan orang yang beriman
    13. Mati : Tergolong orang yang rugi
( Siapalah Aku, Percetakan Potensi Sdn. Bhd. )

Nikmatnya fungsi ruh yang baik…….

  1. Makan : Untuk hidup atau keperluan kesihatan
  2. Hiburan : Menyenangkan bukan melalaikan
  3. Bermain : Kemesraan bukan pertaruhan
  4. Tidur : Kerehatan bukan sumber malas
  5. Bakat : Dikemukakan bukan dibanggakan
  6. Ibadat : Ikhlas
  7. Warak : Semakin berasa bersalah kepada Allah swt
  8. Ilmu : Terasa kekurangan
  9. Kaya : Pemurah
  10. Marah : Luahan mendidik
  11. Pangkat : Memberkatkan
  12. Hidup : Mulia
  13. Mati : Beriman
( Siapalah Aku, Percetakan Potensi Sdn. Bhd. )

Tuesday, May 24, 2011

….mahalnya

Dari Abu Hurairah r-a- katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang takut bermalam, tentu ia terus berjalan di waktu malam, untuk pulang  dan barangsiapa yang berjalan malam-malam, tentu sampai di rumah. Ingatlah bahawasanya harta-benda Allah itu adalah mahal sekali. Ingatlah bahawasanya harta-benda Allah yang dimaksudkan itu ialah syurga."

Hasbunallah wa ni'mal wakil
( Cukuplah kita semua menyerahkan diri kepada Allah dan Dia adalah sebaik-baiknya Zat yang diserahi )

Membaca itu……


  1. Nak tahu siapa seseorang pada 5 tahun akan datang tengok buku apa yang dia baca hari ini…..
  2. The beauty of reading will be only knows by those who love books.
  3. Hari ini orang-orang barat yang lebih banyak membaca, orang-orang Islam kurang membaca! Seterusnya kita belajar membaca tetapi mereka membaca untuk belajar!
  4. Orang hebat diukur pada gaya bahasa dan isi bahasa…..dan semua tak mungkin akan datang kalau tidak membaca.
  5. Baca, baca, baca, baca……tak membaca tenggelam.

Monday, May 23, 2011

.. ....pabila bumi berbicara

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. membaca yang ertinya: "Pada
hari itu, di hari kiamat - bumi akan memberitahukan khabar-khabarnya," kemudian beliau
s.a.w. bersabda : "Adakah engkau semua mengetahui, apakah khabar-khabarnya itu?" Para sahabat berkata: "Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Sesungguhnya khabar-khabar yang akan diberitahukan itu ialah bahawa bumi itu akan menyaksikan pada setiap hamba, lelaki atau perempuan, perihal apa yang dilakukan di atas bumi itu. Bumi akan mengucapkan: "Orang ini akan melakukan begini dan begitu pada hari ini dan itu. Inilah khabar-khabarnya."  

Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Doa :
Ya Allah, sesungguhnya ku pohon padaMu akan petunjuk, ketaqwaan,
menahan diri dari apa-apa yang tidak diperkenankan serta kekayaan hati.

Sunday, May 22, 2011

….. menggamit Tetamu Ramadhan

Ya Allah
berikanlah kekuatan kepada kami
untuk menegakkan perintah-perintah-Mu
berilah kami kemanisan berzikir mengingat-Mu
seperti mana yang telah kami lakukan untukMu
ketika Ramadan yang lalu.
hiasilah diri  kami dengan sifat-sifat mahmudah
tutupilah diri kami dengan pakaian qana'ah dan kerelaanMu
tempatkanlah kami di atas jalan keadilan dan bersikap tulus
amankanlah diri kami dari setiap yang kami takuti dengan penjagaanMu
jjanganlah Engkau hinakan kami karena perbuatan maksiat kami terhadapMu
jauhkanlah Kami dari kelalaian dan dosa-dosa kepada Mu serta dari hal-hal yang dapat menyebabkan kemurkaanMu.

Ya Allah
Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi
kami mohon padaMu
bantulah kamu untuk melaksanakan tugas Kami pada Mu
berikan kami kekuatan melakukan ibadah pada malamnya
jadikanlah kami di antara orang-orang yang memohon keampunan Mu
jadikanlah kami sebagai hambaMu yang soleh dan setia pada perintahmu
jadikanlah kami diantara Auliya'Mu yang dekat di sisiMu
Kau tanamkanlah sifat istiqamah di dalam diri kami
agar dapat kami teruskan pengabdian diri kepada Mu
sepertimana yang kami lakukan pada ramadhan yang lalu

Ya Allah
Engkau tetapkanlah keimanan dan ketakwaan kami padaMu
Engkau sampaikanlah kami lagi ke Ramadhan akan datang
di bumi al-Haram dan Kota BercahayaMu
agar dapat lagi kami merasai nikmat Ramadhan
hanya keranaMu
Ameen Ya Rabbal Alaamen.





Saturday, May 21, 2011

…..duduk antara dua sujud

Rabbighfirli ( Tuhanku, ampuni daku )
Warhamni ( sayangi daku )
Wajburnii ( tutuplah aib-aibku )
Warfa'nii ( angkatlah darjatku )
Warzuqnii ( berilah aku rezeki )
Wahdinii ( berilah aku petunjuk )
Wa'Aafinii ( sihatkan aku )
Wa'fuannii ( maafkan aku )

Ameen Ya Rabbal Alameen

Friday, May 20, 2011

……tembok

Seseorang ditanya :

Apakah amalan yang boleh menyelamatkan manusia pada saat arus maddiyyah (kebendaan) terus berleluasan dan menjadi-jadi sehingga menenggelam dan merosakkan hati?

Sahabatnya menjawab :

Dirikan disekelilingmu tembok yang boleh menghalangmu daripada hanyut bersama arus maddiyyah. Berusahalah untuk membersihkan saki-baki hanyiran kesan kotoran maddiyyah, lemparkan ia ke luar tembok. Maka bersihlah hatimu daripada segala yang boleh menghanyutkanmu dan dapat menghirup udara nyaman

( Tazkirah al-Du’at )

kehormatan zahid

Seorang alim berkata : Kehormatan orang zahid itu dalam sepuluh macam

1. Memusuhi syaitan itu dianggap sebagai kewajipan,karena firman Allah : Innasy
    syaithana lakum aduwwun fattakhidzuhu aduwa (Sesungguhnya syaitan itu musuhmu,
    maka jadikanlah ia sebagai musuh ).

2. Tidak berbuat sesuatu kecuali dengan dalil yang dapat dipertahankannya di hari
    kiamat, kerana firman Allah : Qul hatu burhaa nakum in kuntum shaadiqien.
   ( Katakanlah, tunjukkanlah bukti dalilmu jika kamu benar-benar).

3. Mereka selalu siap untuk menghadapi maut kerana firman Allah : Kullu nafsin
    dzaa’iqatulmauut (Tiap jiwa pasti akan merasakan mati).

4. Mereka mencintai atau membenci kerana Allah, kerana firman Allah : Laa tajidu
    qauman yu’minuna billahi wal yaumil akhiri yuwaadduna man haadda Allaha
    warasulahu, walau kaanu aabaa’ahum au abnaa’ahun au ikhwanahum au asyiratahum,
    ulaa’ika kataba fi qulubi himul iemaana. (Tidak akan kamu dapatkan suatu kaum yang
    beriman pada Allah dan hari kemudian itu mencintai orang yang menentang pada
    Allah dan Rasulullah, meskipun mereka ayah kandung atau anak kandung atau saudara
    kandung mereka atau sesuku dengan mereka, mereka itulah orang-orang yang telah
    tercatat dalam hati mereka iman kepercayaan. ) Yakni orang yang beriman tidak
    berkawan atau bersekutu pada orang yang menentang atau menyalahi perintah Allah,
    walau itu ayah, anak atau saudara kandung sendiri.

5. Mereka melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar karana firma Allah : Wamur bil
    ma’rufi wanha anil munkari, washbir alaa maa ashabaka, inna dzalika min azmil
    umuur. ( Anjurkan kebaikan dan cegahlah yang mungkar (kejahatan) dan sabarlah atas
    apa yang menimpa padamu, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang
    agung mulia).

6. Mereka selalu memerhati dan memikirkan makhluk Allah karana firman Allah :Wa
    yatafakkaruna di khalqissamaawaati wal ardhi. ( Dan mereka memperhatikan kejadian
    langit dan bumi ). Di lain ayat : Fa’tabiru ya ulil abshaar. ( Perhatikanlah wahai orang
    yang berpemandangan fikiran )

7. Mereka menjaga hati dan fikiran jangan sampai memikirkan sesuatu yang tidak
    diredhai Allah kerana firman Allah : Innas sam’a walbashara wal fu’aada kullu
    ulaa’ika kaana anhu mas’uula. (Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan dan
    perasaan (hati / pikiran ) semua itu akan ditanyaNya).

8. Tidak merasa aman dari murka Allah (yakni kebalikan dari sesuatu kerana firman
    Allah : Falla ya’manu makra Allahi illal qaumul khaasirun. ( Tidak merasa aman dari
   murka Allah (kekuasaan Allah untuk membalik sesuatu) kecuali kaum yang rugi.

9. Tidak putus dari rahmat Allah, karana firman Allah : Laa taqnathu min rahmati Allah,
    inna Allaha yagh firudz dzunuba jami’a, innahu huwal ghafururrahiem, (Janganlah
    kamu putus harapan dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan semua
    dosa, sungguh Allah maha pengampun lagi penyayang.)

10. Tidak gembira karana mendapat dunia dan tidak susah jika tidak mendapat bagian
      dunia kerana firman Allah : Likallaa ta’sau ala maa faatakum walaa tafrahubimaa
      aataakum, (supaya kamu tidak menyesal atas apa yang terlepas dari tanganmu dan
      tidak gembira pada apa yang tercapai olehmu).  Kerana seorang hamba tidak
      mengetahui kebaikan dirinya dalam apa yang dicapai atau terlepas dari tangannya.
      Kerana itu seharusnya ia tenang dalam kedua-dua keadaan itu. 

Maka contoh seorang mu’min bagaikan bunga aas yang tidak berubah menghadapi dingin dan panas, sedang orang munafiq bagaikan mawar yang mudah rusak kerana sedikit perubahan hawa, maka seorang mu’min tidak berubah dalam senang dan susah, kaya dan miskin, sehat dan sakit kerana ia redha dengan hukum dan takdir Allah yang menimpa pada dirinya sedang orang munafiq jika mendapat ni’mat berbangga, berjingkrak dan merintih jika menderita ujian bala. Maka seharusnya seorang mu’min mengikuti jejak dan bertauladan  pada para nabi dan orang-orang zahid yang salihin dan jangan sekali-kali meniru dan terpengaruh dengan perbuatan orang-orang kafir dan munafiq.

Wabillahit taufiq. Wallahu a’lam.

( Tanbihul Ghafilin, 1978 )


bahagia tanpanya

Setiap orang ingin bahagia. Ada yang menyangka dengan wang yang banyak maka dia akan bahagia sehingga dia pun mencari wang bermati-matian. Ada juga yang menyangka bahawa kedudukan boleh membuatnya bahagia maka ia pun mencuba merebut kedudukan. Ada yang menyangka penampilanlah yang membuatnya bahagia maka bermati-matian ia mengikut fesyen. Ada yang menyangka pengikut yang ramai akan membuatnya bahagia, begitulah seterusnya.

Setiap kali anda memerlukan sesuatu dari selain anda, anda menyangka bahawa itulah yang akan membuat anda bahagia. Anda menggantungkan harapan pada selain anda, selain Allah. Padahal semakin anda berharap orang lain berbuat sesuatu untuk anda maka sebenarnya peluang bahagia itu semakin kecil.Kenapa?

Ibarat cahaya matahari yang memancar tanpa memerlukan ‘input’ dari luar, kebahagiaan yang hakiki itu datang bukan dari seseorang atau dari sesuatu.

Salah satu bentuk kebahagiaan yng sejati adalah ketika anda hanya menggantungkan segala harapan kepada Allah. Bagi orang yang mengenal Allah dengan baik, dan tidak berharap banyak dari selain Allah, itulah salah satu kebahagiaan. Maka bagi anda yang selama ini sangat ingin dihargai, dihormat, dibezakan oleh orang lain, diberi ucapan terima kasih ketika melakukan sesuatu untuk orang lain atau sangat ingin dipuji maka sebenarnya makin tinggi keperluan anda akan penghargaan dari orang lain, itulah yang akan menyempitkan hidup anda.

Sesiapa yang berhasil lepas dari keperluan-keperluan seperti itu dan anda sudah mulai boleh menikmati indahnya memberikan senyuman kepada orang lain dan bukannya diberi senyuman atau merasakan nikmatnya boleh menyapa orang lain dan bukan disapa, nikmatnya menyalami dan bukan menunggu disalami, semakin anda tidak berharap orang lain berbuat sesuatu untuk anda maka inilah landasan anda dalam menikmati hidup ini.

Kenyataan yang berlaku dalam masyarakat anda, terjadinya  berbagai-bagai kemungkaran, kezaliman dan kejahatan itu kerana anda terlalu banyak berharap kepada makhluk dan tidak kepada Allah. Wallahu’alam.

( Qalbu Mutma’innah, 2003 )


Jumaat dengan selawat

Berbanyaklah kamu membaca selawat untuku pada hari Jumaat, kerana hari  Jumaat itu hari yang disaksikan, yang menyaksikan ialah para malaikat. Dan tidak seorang pun yang berselawat untukku kecuali dalam selawatnya itu dibawa ke hadapanku sehingga dia selesaikan selawatnya itu.

Thursday, May 19, 2011

……kurniakanlah

Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu, serta badan yg ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu.

Ya Allah, kurniakanlah kami iman yg sempurna,hati yg khusyuk, ilmu yg berguna, keyakinan yg benar-benar mantap. Ya Allah kurniakanlah kami  din iaitu  cara hidup yg jitu dan unggul, selamatkanlah kami dari segala bahaya dan petaka. Kami mohon Ya Allah kecukupan yg tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain.

Ya Allah,  berikanlah kami iman yg sebenarnya sehingga kami tidak gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri. Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yg bersama-sama kami.

Ya Allah, Janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh kami sendiri walaupun  kadar sekelip mata atau kadar yg lebih mudah dan cepat wahai Tuhan yg memperkenankan doa. Perkenankanlah....ammen.

Tekun berkerja dan berdedikasi

 
Kerja bersungguh-sungguh, tekun dan inginkan hasil kerja yang terbaik adalah ciri-ciri itqan (kecemerlangan).Kejayaan terhasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Istilah Islam untuk itu ialah jihad. Petunjuk dan hidayat Allah itu sendiri adalah hasil daripada jihad. Islam tidak mungkin menang jika penganutnya lemah, malas, jahil dan mundur.

Keikhlasan bisa mendorongnya. Ia juga bisa muncul daripada kelazatan dan kepuasan berkerja.Minat dan suka kepada kerja, menyuburkannya. Dengan itu minat perlu dipupuk dan dibelai bukan sahaja oleh orang yang terlibat juga oleh suasana kerja dan hubungan sesama manusia.

Sabda rasulullah saw :  ( Seseorang pekerja  apabila ia mentaati Allah dan majikannya, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga lebih dahulu daripada majikannya selama 70 tahun,lalu majikannya bertanya, ” Wahai Tuhan, ini pekerjaku di dunia ”. Allah menjawab, ” Aku membalasnya dengan amalannya dan membalas engkau berdasarkan amalan engkau ”. )

                                                                                                            (Riwayat Ak-Tabrani)

Wednesday, May 18, 2011

……doa untuk kedua orang tua

Segala puji bagi Allah, yg telah memerintahkan kami agar berterima kasih kepada kedua ibubapa kami dan berbuat baik kepada mereka. Menggesa kami supaya merebut peluang berbakti kepada mereka, bersungguh-sungguh melakukan kebajikan kepada mereka. Merendahkan diri menghormati mereka. Mewasiatkan kami supaya mengasihani ,mereka sebagaimana mereka memelihara dan mendidik kami semasa kecil.

Ya Allah! Rahmatilah kedua ibubapa kami dan ampunilah dosa mereka, Redhailah mereka dengan keredhaan yg melayakkan mereka mendapat segala keredhaanMu. Dengan Engkau meletakkan mereka di dalam Negara kemuliaanMu, keamananMu, kemaafanMu dan keampunanMu.

Ya Allah ampunilah mereka dengan sesempurna keampunan yang dengannya Engkau hapuskan dosa-dosa mereka yg terdahulu dan kejahatan yg mereka lakukan secara berterusan. Rahmatilah mereka dengan rahmatMu yg dengannya Engkau menyinari tempat pembaringan mereka di dalam kubur. Engkau amankan mereka pada hari Kiamat ketika mereka dibangkitkan dari kubur mereka.

Ya Allah!, kasihanilah di atas kelemahan mereka sebagaimana mereka telah mengasihi kami ketika kami lemah, rahmatilah mereka ketika mereka terlalai daripada mengingatiMu, sebagaimana mereka tetap mengasihi kami semasa kami masih kecil.

Ya Allah!, peliharalah bagi mereka kasih sayang yg telah Engkau curahkan di dalam hati mereka, belas kasihan yg telah Engkau penuhi hati mereka, dan kelembutan yg telah Engkau sibukkan ke atas anggota mereka.

Ya Allah! Jadikanlah kami penyejuk mata hati mereka pada hari kiamat, perdengarkanlah kepada mereka sebaik-baik seruan daripada kami pada hari Kiamat, Jadikanlah mereka disebabkan kami dari kalangan ibubapa yg dicemburui disebabkan anak-anak mereka yg soleh, sehingga Engkau mengumpulkan kami dan mereka serta sekalian muslimin di Negara kemuliaanMu (syurga) di tempat penetapan rahmatMu dan tempat auliya kekasihMu bersama orang-orang yg telah Engkau kurniakan Nikmat.

Alhamdulillahi rabbail ‘alamin..

Tuesday, May 17, 2011

......kebaikan jua

Ya Allah peliharalah Islam pada diriku dalam keadaan aku berdiri, dan peliharalah Islam pada diriku dalam keadaan aku duduk, dan janganlah Engkau benarkan aku patuh kepada perintah musuh dan orang yang berhasad dengki.

Ya Allah aku memohon kepadaMu dengan setiap kebaikan yang khazanahnya di tanganmu, dan aku berlindung kepadamu dari kejahatan yang khazanahnya di tanganmu.

Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkanlah kami dari seksaan api neraka.

Monday, May 16, 2011

Pemaaf

Sifat pemaaf adalah pancaran daripada sifat penyayang.Oleh sebab sayang, kesalahan yang dilakukan seseorang boleh dimaafkan. Lantaran belas kasihan juga, keterlanjuran yang dibuat ke atas diri seseorang dilupa dan diampunkan. Pengampunan dibuat dengan ikhlas dan jujur. Seseorang itu dikatakan bersifat pemaaf apabila kemaafan itu menjadi amalan dan pakaiannya. Walau bagaimanapun jika hanya sesekali sahaja ia memaafkan orang,ia masih belum boleh dikatakan seorang pemaaf.

Seorang pemaaf, memiliki hati yang bersih kerana tekanan nafsu hasad dan marah, tidak menguasai hatinya. Justeru itu ia tidak dipengaruhi oleh nafsu dalam mengambil sesuatu tindakan. Tetapi sifat penyayang dan belas kasihan mendorongnya untuk bertindak sesuai dengan kecenderungan sifat-sifat itu.

Allah swt berfirman :

( Jika kamu keras hati nescaya bersurailah mereka dari sekelilingmu.Maka maafkanlah mereka dan pohonlah kemaafan Allah untuk mereka serta bermesyuwarahlah dengan mereka dalam sesuatu urusan. Apabila keputusan dibuat dengan penuh keazaman, berserahlah kepada Allah. )

                                                                                                (Ali Imran : 159)

Walau bagaimanapun dalam melaksanakan tanggunjawab dan amanah menegakkan hukum-hukum Allah swt perlu bersifat tegas. Sifat pemaaf tidak bererti mengabaikan tanggongjawab dan melonggarkan ketegasan dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.

Sabda rasulullah saw :

( Sekiranya Fatimah (anak baginda) yang mencuri,pastilah akan kupotong tangannya. )

                                                                                                (Riwayat : Al-Nasa’i)

(Panduan al-Quran dan Hadith, JAKIM 2009) 


.....hanya petunjukMu

Ya Tuhanku bantulah daku janganlah Engkau bantu (kejahatan orang lain) ke atas aku, tolonglah daku jangan Engkau tolong (kejahatan orang lain) ke atas aku, rancanglah untuk daku janganlah Engkau rancang (kejahatan) ke atas aku, dan berilah petunjuk hidayah kepada aku dan permudahkan petunjukMu kepada aku, dan bantulah aku keatas setiap yang memusuhiku. Ya Allah jadikanlah aku bersyukur padaMu, menjadi orang yang mengingatimu, menyembah dan mematuhimu dengan penuh kehinaan,keinsafan dan taubat, wahai tuhan terimalah taubatku dan cucikanlah kekotoranku, dan terimalah doaku, dan tetapkanlah hujahku, dan berilah petunjuk dalam hatiku, lancarkanlah lidahku, buangkanlah kehitaman hatiku.

Ya Allah sesungguhnya aku memohon padaMu berbuat amalan kebaikan, dan
meninggalkan kemungkaran, dan mencintai orang-orang yang miskin, dan Engkau ampuni dosaku dan Engkau merahmati akan daku, sekiranya Engkau menghendaki hamba-hambaMu ditimpa ujian maka genggamlah aku tanpa ditimpa fitnah, Ya Allah sesungguhnya aku menagih kepada cintaMu, dan kecintaan hamba yang mencintaiMu, dan kecintaan kepada amalan yang boleh mendekatkan aku kepadacintaMu.

Ya Allah sesungguhnya aku memohon dariMu kunci-kunci kebaikan dan penutup-penutupnya, dan pengumpul-pengumpulnya, permulaan kebaikan dan penutupnya, yang zahir dan yang tersembunyi darinya, dan darjat yang tinggi daripada syurga.

.....kembali memohon

Wahai Tuhan yang membolak–balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamamu

Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu seluruh kebaikan yang datang secara cepat ataupun yang lambat samaada yang aku ketahui darinya mahupun yang aku tidak ketahui, dan aku berlindung kepadaMu dari kejahatan keseluruhannya yang datang secara cepat atau lambat samada yang aku telah ketahui darinya ataupun yang tidak aku ketahui.

Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu dari apa yang hamba dan nabi kamu telah pohonkan, dan aku berlindung dari apa yang telah hambaMu dan nabiMu minta perlindungan, Dan aku pohon dariMu syurga dan apa yang boleh mendekatkan kepadanya dari perkataan dan perbuatan, dan aku berlindung kepadaMu dari api neraka dan apa yang boleh mendekatkan kepadanya dari perkataan dan perbuatan, dan aku pohon padaMu supaya Engkau jadikan setiap ketentuan untukku dengan
ketentuan yang baik.

Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dan dari doa yang tidak didengari, dari nafsu yang tidak pernah kenyang dan dari hati yang tidak khusyuk.

Ya Allah jauhkanlah aku dari kemungkaran akhlak, amal perbuatan (yang jahat), hawa nafsu, dan penyakit-penyakit.

Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu petunjuk hidayah, taqwa, kemaafan, kekayaan, dan amalan yang mana Engkau sukai dan Engkau redhai.

Sunday, May 15, 2011

......demi

Ya Allah, demi rahmatMu aku memohon maka janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku walaupun sekelip mata dan perelokkanlah urusanku keseluruhannya, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.

Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu, adil ketentuanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau telah namakannya dengan diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku.

Aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang menyinari kegelapan dan dengannya
diperbaiki urusan dunia dan akhirat, janganlah Engkau turunkan kemarahanMu ke atasku, atau Engkau halalkan ke atasku kemurkaanmu, bagimu kerelaan sehingga Engkau redho, tiada kemampuan dan juga kekuatan kecuali dengan izinmu.

Ya Allah sesungguhnya aku memohon kapadamu kenikmatan pada hari kemiskinan dan keamanan pada hari ketakutan.Ya Allah (aku) berlindung denganmu daripada kejahatan yang Engkau berikan pada kami dan kejahatan yang Engkau telah tegahkan daripada kami,  hidupkanlah kami sebagai muslim, dan pertemukanlah kami dengan golongan yang soleh tanpa malapetaka dan tanpa ditimpa fitnah (ujian).

Ya Allah perangilah golongan kafir yang menyekat dari jalanmu (Islam), dan mereka yang mendustakan rasul-rasulmu (menyekat dari jalanmu), Ya Allah perangilah golongan kafir yang menerima kitab, ( wahai) Tuhan yang Hak (benar).

Yang dinamakan guru…….

Dinamakan guru itu.........
tegur dan amarahnya memayungi jalan
menangkis hujan sesal hari kemudian
segala ilmu dimiliki untuk dikongsi bersama
sebagai khazanah bangsa tercinta
tiap ayun langkahnya ditenung arah tuju
jadi denai panduan yang akan dilorongi

Dinamakan guru itu ........
senyumnya serentak dibibir di hati
yang  tak tercalit erti dendam
guram wajah terpotret kala hiba
tonton satu per satu pepohon semaian
rebah di lumpur hampa dan kebejatan.

Tiadalah dia kikir akan waktu juga keringat
bersama di kamar didik, di makmal
pencarian
atau di pentas-pentas ujian, di padang latihan
meskipun sering dicemburui anak sendiri
dan dikesali usia diri

Dinamakan guru itu.....
lelah tak perlu dirungut
perit tak payah dirintih
miskin tak minta dipercayai
lalu yang dinamakan guru itu
memang sukar dimengerti........

(Ahmad Hashim Osman, MM  7 Mei 2006 )

Selamat Hari Guru cikgu.........
" Guru Penjana Transformasi Pendidikan "