Sebermula perkenalan ikatan persahabatan
bersamanya kemesraan bertautan
hari berselisih masa
musim bertukar ketika
dari kawan menjadi ketua
Petah lidahnya berbicara
cerdiknya menyambung kata
pintar fikirnya tidak terkira
wataknya tenang bersahaja
tapi tegasnya tidak mengira siapa
Siapa tidak mengenalnya
dia kawan karibku
gigih bekerja tekun berusaha
tiada beras antah dikikis
tiada emas bungkah diasah
tiada rotan akan dicarikan
tiada kayu kulit ditarah
tiada hujan air ditadah
setiap jalan ada kemahuan
setiap kemahuan di situ ada jalan.
Dia yang kukenal
kata-katanya berbisa bagai sembilu
hati tertekan jadi berbulu
terngiang-ngiang pedihnya halwa telinga
resah gelisah menanggung rasa
pabila kata direnung dihayati
tersapa keinsafan menyelubungi
betapa benar sikap membelengui
semangat baru menyuntik diri
Dia kawan setiaku
bercakap lurus berkata benar
tahu menimbang bijak melakar
bergaul semua kecil dan besar
Kerja tekun banyak faedah
pantang sekali berlengah-lengah
terhadap yang susah hatinya lemah
terhadap yang tertindas hatinya belas
dada lapang fikiran panjang
kerjanya bersungguh pantang berlengahan
hati bersih fikiran jernih
sayangnya tidak memilih kasih
marahnya tidak mencari selisih
Yang sakit selalu dijenguk
yang senang selalu dijulang
yang dekat diingat-ingat
yang jauh ditinjau-tinjau
Dia yang kukenal
rela berkorban kerana kawan
rela dipijak membela yang hak
rela melengas kerana tugas
rela berbagi untung dan rugi
rela meminta jika terpaksa
rela bermati demi bangsa
katanya :
tanah sekepal jadikan daratan
air setitis jadikan lautan
Dia sahabat lamaku
jiwanya kental penuh amanah
taat berpegang janji dan sumpah
terhadap pekerjanya ia peramah
terhadap sahabat ia pemurah
Dia yang akan pergi
akan meninggalkan yang asal
tempat bekerja kenal mengenal
sahabat, kawan, taulan yang ramai
asal benih yang baik
ke laut tidakkan hanyut
ke darat tidakkan sesat
ke hulu tidak berseteru
ke hilir tidak membanjir
Tak kenal maka tak suka
Tak suka maka tak mesra
Tak mesra maka tak biasa
Tak biasa maka tak cinta
Itulah dia yang akan meninggalkan kita......
( Mohd Adnan bin Mohd Noor, Kota Bharu )
No comments:
Post a Comment