Friday, September 27, 2013

Dijauhkan sifat tamak



 


Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari sifat tamak yang menjadi tabiat.
( HR Ahmad )

Thursday, September 26, 2013

Merdeka, bertanggungjawab



Esei 15

Yang pelik mengenai kebebasan ialah apabila semua orang boleh berbuat sesuka hati, tiada siapa yang bebas! Kemerdekaan mutlak akan berakhir apabila kebebasan orang lain dibendung. Jika kebebasan itu mutlak, pengawal zoo akan membiarkan singa bebas berkeliaran di kawasan awam, juruterbang pesawat akan mendarat begitu hampir dengan pyramid bagi membolehkan penumpang melihat dengan lebih dekat dan mungkin anda boleh memandu kereta di kaki lima, merempuh kedai bunga dan mewujudkan medan membeli belah pandu sendiri!

Sejarah tamadun memperlihatkan manusia heboh berjuang untuk kebebasan. Setelah memilikinya, undang-undang perlu pula digubal bagi mengawal mereka! Kemerdekaan anugerah agung daripada Tuhan. Hormatilah kebebasan. Tanggungjawab membolehkan pemerolehan yang lebih banyak.

a) Nilai harga sesuatu kebesaran itu adalah tanggungjawab. (Winston Churchill)

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Erti merdeka



Apakah merdeka itu ertinya
bebas daripada hukum agama
bebas daripada adat resam
bebas daripada undang – undang
bebas daripada batasan kesopanan
bebas daripada tata susila
bebas daripada norma – norma kehidupan
bebas segala – galanya?


Merdeka yang sebenar bererti
bebas daripada penjajahan rohani dan jasmani
bebas daripada pencemaran budaya dan cara hidup
bebas daripada penyelewengan
bebas daripada ketaksuban membuta – tuli
bebas daripada kekolotan
bebas daripada hasad dengki
bebas daripada tikam belakang
bebas daripada kepura – puraan
bebas daripada kesia – siaan
bebas daripada segala kedurjanaan.

Husaini A
Kota, Negeri Sembilan
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Negeri kita sudah maju



Negeri kita sudah maju
lain sekarang lain dulu :

dulu makan ubi kayu kini roti dengan keju
dulu minum air kosong kini air susu
dulu rumah buruk kini rumah batu
dulu naik kereta lembu kini kereta baru
dulu naik basikal kini motor laju
dulu hantaran ratus-ratus kini ribu-ribu
dulu duduk kampung kini duduk kota
dulu bangunan papan kini batu bata
dulu kedai runcit kini pasar raya
dulu makan lempeng kini makan pizza
dulu pelita ayan kini lampu kaca
dulu tv hitam putih kini tv warna
dulu main guli kini main kasut roda
dulu belajar sekolah atap kini di IPT
dulu cuma ABC kini belajar ICT
dulu borak kedai kopi kini chit chat di CC
dulu pakai surat kini SMS & faksimili
dulu tengok bangsawan kini tengok teater
dulu rokok daun kini rokok filter
dulu jamban angkat kini jamban tarik
dulu dapur kayu kini dapur eletrik
dulu semak belukar kini telah bertukar
dari kampung terbiar menjadi sebuah bandar
jalannya sudah bertar selesa dan lebar
kita semakin bahagia hidup ceria merdeka

Negeri kita sudah maju
lain sekarang lain dulu.

Ehsan Jamily
Taman Desa Baru, Melaka
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Tidak mungkin



Tidak mungkin
kita tiba di sini
tanpa keringat melimpah
tanpa darah tertumpah
berbekal semangat dan maruah.

Tidak mungkin
kita selesa di sini
tanpa toleransi dan dedikasi
tanpa berusaha dengan hati waja
menikmati erti merdeka.

Tidak mungkin
kita selamanya di sini
dengan leka dan berfoya-foya
dengan sikap sambil lewa
tanpa immunisasi dan jati diri.

Adnan A.M
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Kita sebenarnya



Kita sebenarnya cemerlang
menatang semangat juang
menongkah arus sejarah
memiliki ketuanan
apakah mula
apakah punca
kita terhidu asap alpa
kita terlupa cumbuan leka
dengki khianat pangkat darjat
mengubah ceria warna suasana
dan kita menjadi hina
bukan salah sesiapa.

Kita sebenarnya bangsa jagoan
mengepak sayap berkokok di gelanggang
rela bertumpah darah
rela berkorban harta
apakah malang datang menggalang
nafsu bijak merayu
syaitan bijak mengumpan
dan kita akur setia
kepadanya.


Kita sebenarnya anak setia
bangsa timur pendukung susila
sopan ditatang santun dijulang
lantaran lupa lantaran alpa
lalu kita
membeli kaca menjual permata
melucutkan kebenaran menyarungkan kebatilan
tertugulah yang keji di runtuhan budi.

Kita sebenarnya bisa mengubah
aturan iklim percaturan dunia
kita semestinya tidak menangguhkan
menserumahkan susila, kesedaran dan perjuangan
demi agama demi bangsa demi negara
atau lemas dihimpit kemajuan.

Kita sebenarnya masih berupaya
menyisihkan keterlanjuran menggera kealpaan
demi keimanan demi masa depan
demi Islam demi keturunan
sediakan payung sebelum hujan.

Kita sebenarnya mesti menggali
kita sebenarnya mesti mencari
milik hakiki dan jati diri
di mana rumpun di mana umbi
tiang seri tegak peribadi.

Adnan A.M
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Sajak rentetan hati



Kutatap kepayahan lalu
adalah pengajaran
adalah pengalaman
moga anak-anakku
melupai kenangan itu.

Kupimpin diri
dari rebah yang panjang
agar perjalanan ini
adalah liku-liku hidup
ketentuan Tuhan.

Kecintaan yang mendalam
pada wajah insan
adalah sementara
dari kecintaan pada-Mu
seharusnya
aku tidak keliru
dalam memilih yang tepat.

Melihat keadaan
yang bertentangan dengan hati
merasakan pedih dan luka
kesabaran adalah senjata
paling ampuh.

Lepaskan sepatu yang basah itu
dari kesejukan kaki
kerana rentetan hati
sudah tidak intim lagi.

Zamri Rahman
Hutan Melintang, Perak.
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013