Friday, November 16, 2012

Memahat kejayaan


Ramai orang membeli jamu
Di bawah pokok cuaca redup
Bersungguh-sungguh mencari ilmu
Ilmu dicari penyuluh hidup

Inilah serangkap pantun yang membuatkan Muhammad Hazrin Othman, penerima Anugerah Pengerusi  pada Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) kali ke-7 baru-baru ini tidak pernah putus asa untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi. Walaupun pernah gagal ketika belajar di institusi pengajian tinggi terkemuka di luar negara, namun berkat tidak mudah mengaku kalahnya dan restu ibu bapa, akhirnya beliau melanjutkan pelajaran di Unisel dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian).
 
Beliau yang dilahirkan pada 4 Februari 1987 di Melaka merupakan anak keempat daripada tujuh beradik. Tambahan dia adalah salah seorang anak peneroka Felda Palong 15 dan dibesarkan di kawasan Felda.

Anak muda yang bercita-cita untuk menjadi pengatur cara terhebat dalam bidang pengkomputeran  dan menjadi usahawan berjaya ini berkata, kini beliau sedang bekerja sebagai jurutera perisian di Syarikat CEO Consultancy Sdn. Bhd.

Ketika saya menjalani latihan industri di syarikat sama, saya sedaya upaya komited terhadap kerjaya sehingga diberi kepercayaan untuk menyelesaikan masalah pada system SKF@ptitude Analysis yang digunakan oleh lebih 5 000 syarikat di seluruh dunia.

Selain itu, saya sering menjadikan peribahasa Melayu yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya, katanya kepada Kampus.

Beliau yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada April lalu, sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa, isteri, adik beradik dan rakan-rakan yang telah banyak memberi dorongan atas kejayaan beliau. Anugerah yang diterima juga mendapat tajaan daripada Yayasan Selangor.

Sementara bagi penerima anugerah utama, Anugerah Canselor yang ditaja sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Nur Hanani Ishak, 24 berkata, beliau berpegang pada prinsip ; kejayaan datang bersama mimpi tetapi dengan hanya bermimpi tidak akan memberikan kejayaan.

Kejayaannya itu hasil minat mendalamnya dalam bidang ketenteraan yang telah mendorong Hanini memilih isu, Kurangnya remaja memasuki Angkatan Tentera Malaysia sebagai kerjaya untuk tajuk utama projek Ijazah Muda (kepujian) bidang Seni Reka Grafik Digital. Projek ini berjaya menghasilkan idea identity korporat yang kreatif serta menyakinkan kedua-dua penilai dalam dan luar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR). Justeru Unisel menganugerahkannya markah 4.0 gred purata (GPA).

Anak bongsu daripada tiga beradik kepada pasangan Ishak Abd Aziz dan Wan Halimah Wan Yusof ini memberanikan diri menyambung pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bidang Seni Reka Grafik Digital kerana minat mendalam terhadap bidang ini walaupun tanpa sebarang latar belakang seni.

Anak gadis yang senang dipanggil dengan Nini ini telah disenaraikan sebagai penerima Anugerah Dekan sepanjang pengajian selama tiga tahun berturut-turut dan sekali gus memperoleh Ijazah Kelas Pertama serta membolehkannya menerima biasiswa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Dan kini beliau telah menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah  Sarjana dalam bidang seni (Pengajian Komunikasi Visual) di UPSI dan bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah.

 ( Kampus, Sinar Harian 14 Nov 2012 )

Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar ( 4 )


Al-Qasim bin Muhammad memiliki sifat-sifat yang tidak jauh berbeza daripada datuknya Abu Bakar al-Siddiq ra. Malah ada yang berkata : Tiada seorangpun anak-anak Abu Bakar yang menyerupai Abu Bakar seperti anak muda ini.

Al-Qasim  memiliki sifat-sifat ketinggian akhlak dan keperibadian Abu Bakar. Beliau juga memiliki keteguhan iman, kewarakan, mudah bertolak ansur dan pemurah. Terdapat banyak riwayat yang menceritakan kata-kata dan tindakannya yang menunjukkan sifat-sifat ini. Antaranya suatu ketika, seorang Arab dari pendalaman datang ke mesjid dan bertanya kepsdanya : Siapakah yang lebih berilmu, engkau atau Salim bin Abdullah?

Al-Qasim tidak menghiraukan soalan itu. Lalu lelaki tadi bertanya lagi. Dia menjawab : Maha Suci Allah... Lelaki tadi mengulangi soalannya lagi. Dia pun membalas : Di sana itu Salim bin Abdullah, wahai anakku...

Orang yang hadir di situ berkata : Alangkah hebatnya, beliau tidak mahu berkata : Saya lebih berilmu daripadanya, kerana itu bermakna dia memuji dirinya sendiri dan beliau tidak mahu berkata, dia lebih berilmu daripada saya, kerana itu bermakna beliau menipu. Beliau sebenarnya lebih berilmu daripada Salim.

Suatu ketika, beliau berada di Mina. Ketika itu, para jemaah haji dari seluruh wilayah sedang mengerumuninya untuk bertanya soalan. Beliau menjawab setiap soalan yang diketahui jawapan dan bagi soalan yang tidak diketahui jawapannya, beliau berkata : Saya tidak tahu...Saya tidak tahu...Saya tidak tahu....

Jawapannya ini memeranjatkan mereka. Namun beliau berkata : Tidak semua yang kamu tanya itu saya tahu. Jika saya tahu, sudah tentu saya tdak akan menyembunyikannya. Malah tidak seharusnya saya menyembunyikannya. Hidup dalam keadaan jahil adalah lebih baik bagi seseorang (setelah mengenali hak Allah) daripada dia bercakap apa yang tidak diketahuinya.

Pada suatu ketika, beliau diamanahkan mengagihkan zakat kepada mereka yang berkelayakan. Jadi beliau memberikan setiap yang berhak mengikut ijtihadnya. Cuma ada seorang di kalangan mereka tidakk berpuas hati dengan bahagian yang diterimanya. Lalu orang ini datang ke mesjid ketika al-Qasim sedang mendirikan sembahyang. Orang ini terus mempertikaikan bahagian zakatnya.

Ketika itu, anak al-Qasim membalas : Demi Allah, kamu mempertikaikan seorang yang tidak menyentuh sedikitpun zakat kamu walau sedirham malah walau seperenam dirham. Malah sebiji tamar pun tidak usik.

Mendengar suara lelaki tadi, al-Qasim mempercepat sembahyangnya dan kemudian berpesan kepada anaknya : Wahai anakku, lain kali jangan engkau berkata perkara yang tidak engkau ketahui.

Walau bagaimanapun orang ramai berkata : Apa yag dikatakan oleh anaknya itu benar. Namun beliau mahu mendidik anaknya supaya menjaga mulutnya agar tidak terlalu banyak bercakap.

Al-Qasim bin Muhammad hidup sehingga berusia melebihi 72 tahun. Ketika usianya semakin lanjut matanya mula kabur. Pada tahun-tahun akhir hayatnya, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji. Ketika dalam perjalanan ini, beliau menemui ajalnya.

Sebelum menemui ajalnya, beliau berpesan kepada anakandanya : Apabila ayah mati, kafankan ayah dengan pakaian yang selalu ayah pakai untuk sembahyang. Baju ayah, kain ayah dan selubung ayah. Itulah kain kafan datukmu, Abu Bakar. Selepas itu, masukkan ayah dalam liang lahad dan teruslah pulang ke keluargamu. Jangan sekali-kali kamu berdiri di kubur ayah dan kamu katakan. Dahulu ayah saya....Dahulu ayah saya...sedangkan ayah tidak memiliki apa-apapun.....

Wallahu a’alam.

( 37 Kisah Kehidupan Tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar ( 3 )


Apabila anak kecl keturunan Abu Bakar ini meningkat dewasa, beliau telahpun menghafaz kitab Allah Allah Azza wa Jalla. Beliau juga banyak menerima hadis rasulullah saw melalui ibu saudaranya, Aisyah ra. Beliau kemudiannya beralih ke Masjid Nabawi dan mengikuti kelas-kelas ilmu yang bertaburan di segenap penjuru masjid ibarat bintang yang bergemerlapan memenuhi ruang angkasa.

Di sini beliau menerima hadis daripada Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Abdullah bin al-Zubair, Abdullah bin Jaafar, Abdullah bin Khabbab, Rafi’ bin Khadij, Aslam hamba Umar bin al-Khattab dan ramai lagi.

Setelah sekian lama mendalami ilmu, akhirnya beliau menjadi seorang imam dan mujtahid. Malah beliau merupakan orang yang paling mahir dengan sunnah di zamannya. Pada zaman itu, seorang lelaki tidak dianggap sebagai lelaki sejati kecuali dia benar-benar mahir tentang sunnah.

Apabila anak mudah ini memiliki segala ilmu, orang ramai mula berlumba-lumba menimba ilmunya. Beliau pula dengan murah hati mencurahkannya kepada orangramai. Beliau akan datang ke masjid rasulullah saw setiap pagi pada waktu yang sama. Perkara pertama yang dilakukannya ialah mendirikan sembahyang tahiyyatul masjid dua rakaat, kemudian mengambil tempatnya di hadapan khaukhah Umar yang terletak di dalam kawasan Raudhah yang mulia antara kubur rasulullah saw dengan mimbar baginda.

Seketika kemudian, tempat ini dipenuhi oleh penuntut ilmu dari segenap tempat. Mereka begitu dahaga untuk menikmati segala limpahan ilmunya. Akhirnya, al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar dan sepupunya, Salim bin Abdullah bin Umar terkenal sebagai imam Madinah yang dihormati, pemimpin yang ditaati dan tokoh yang disegani walaupun mereka tidak memiliki sebarang kuasa. Mereka dilantik sebagai pemimpin oleh masyarakat Madinah kerana ketakwaan da kewarakan mereka, kerana ilmu ilmu pengetahuan yang memenuhi dada mereka, kerana sikap mereka yang zuhud dengan apa yang ada di tangan manusia dan hanya mengharapkan kurniaan Allah azza wa Jalla.

Kedudukan yang mereka kecapi dalam masyarakat ini menyebabkan para khalifah dan pemerintah bani Umayyah sentiasa mengambil kira pandangan mereka sebelum membuat sessuatu keputusan yang membanitkan Madinah.

Ini dapat dilihat apabila suatu ketika, al-Walid bin Abdul Malik bercadang untuk membesarkan Masjid Nabawi al-Sharif. Namun pembesaran ini tidak dapat dilakukan kecuali memecahkan keempat-empat dinding masjid dan merobohkan rumah-rumah para isteri rasulullah saw kerana kawasan rumah-rumah ini ingin dimasukkan ke dalam kawasan yang dibesarkan. Sudah tentulah cadangan ini berat untuk diterima dan tidak disenangi oleh masyarakat Madinah.

Oleh itu, al-Walid menulis sepucuk surat kepada Umar bin Abdul Aziz, gabenornya di Madinah ketika itu. Surat itu menyebut :

Saya bercadang untuk membesarkan masjid rasulullah saw seluas 200 hasta kali 200 hasta. Pecahkanlah keempat-empat dindingnya dan masukkan bilik-bilik para isteri rasulullah saw ke dalam kawasan yang baru ini. Belilah ruah-rumah yang termasuk dalam pembesaran ini. Jika boleh hendaklah ia menghadap kiblat.

Engkau akan berjaya melakukannyadengan bantuan saudara-saudaramu keluarga al-Khattab yang disegani di kalangan penduduk Madinah. Jika penduduk Madinah enggan berkerjasama, mintalah bantuan al-Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdullah bin Umar. Bawalah mereka bersama dalam perkara ini. Berilah bayaran yang tinggi sebagai ganti rugi kepada pemilik rumah-rumah yang dirobohkan. Engkau boleh lihat contoh yang pernah dilakukan oleh Umar bin al-Khattab dan Uthman bin Affan.

Sebaik sahaja menerima surat al-Walid, Umar bin Abdul Aziz terus memanggil al-Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdullah dan beberapa orang tokoh lain di Madinah. Beliau membacakan kepada mereka surat Amirul Mukminin. Mereka gembira mendengar cadangan khalifah ini dan mereka bersedia melaksanakannya.

Apabila orangramai melihat dua orang ulama dan imam besar Madinah sendiri memecahkan dinding dinding masjid, mereka pun turut serta bersama-sama memecahkannya dan melaksanakan cadangan yang termaktub dalam surat Amirul Mukminin.

Dalam masa yang sama, tentera-tentera Islam yang gagah sedang mara menghadapi kota-kota yang berada di sepanjang jalan menuju Kota Konstantinopal. Satu demi satu kota ini berjaya ditawan oleh tentera-tentera yang dipimpin oleh panglima agung Maslamah bin Abdul Malik bin Marwan yang akhirnya membuka jalan penaklukan Kota Konstantinopal.

Apabila Maharaja Rom mengetahui cadangan Amirul Mukminin untuk memperbesar Masjid Nabawi al-Sharif, baginda berhasrat melakukan sesuatu yang disenangi oleh Amirul Mukminin dengan tujuan mengambil hatinya. Untuk tujuan itu dia menghantar 100 000 karat emas. Sebagai tambahan dihantar pula 100 orang pekerja mahir  yang bertanggungjawab membina bangunan di Rom dan setiap pekerja dibekalkan 40 kotak Fusaifisa.

Semua hadiah ini dihantar kepada Umar bin Abdul Aziz untuk digunakan dalam pembinaan masjid. Lalu Umar menggunakan barang-barang ini menurut pandangan al-Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdullah.

Wallahu a’alam.

 ( 37 Kisah Kehidupan Tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

Thursday, November 15, 2012

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1434H


Tanggal 21 Julai 1939, telah memahat sejarah kelahiran seorang insan yang akan membuat jasa pada agama, bangsa dan negara. Siapa sangka anak jati Kampung Kemelong, mukim Sik Kedah Darul Aman, jasa baktinya bakal dikenang dan dijulang sepanjang zaman.Dalam suasana kampung, beliau telah diasuh dan dididik mengenal ilmu dan hukum hakam.

Sejarah musafir ilmu beliau, telah bermula di Sekolah Melayu Sik, Kedah kemudian mendapat talbiah pula di Madrasah Al Nadah, Bukit Besar sehingga tahun 1954 Selepas itu menyambung pula pengajiannya di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar Perak. Tidak terhenti setakad itu, insan ini terus berusaha dengan penuh tekad membongkar makna iqrak, Kolej Islam Klang menjadi destinasi pemukiman ilmu sehingga dianugerahkan Sijil Tinggi Agama dan Diploma Pendidikan.

Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, beliau terus berlari dengan pantas mengejar ilmu, merantau pula di bumi Anbia’ Mesir. Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara, itulah hijrah dan pengorbanan.  Akhirnya beliau berjaya dikurniakan Ijazah Sarjana Perundangan Islam, Universiti Al-Azhar Mesir.

Beliau terus berada di puncak kesarjanaan. Dianugerahkan pula Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Saint Andrews, Scotland. Itulah liku-liku  jejak beliau mencari makna ilmu dan budi. Seperti mafhum sabda nabi saw : Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain.

Insan ini memulakan career sebagai guru di Kolej Islam, Klang Selangor. Selepas itu bertugas pula sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan seterusnya telah dilantik sebagai pengetua Maktab Perguruan Islam.

Sejarah perkhidmatan beliau ini telah menonjolkan betapa tingginya cinta beliau terhadap ilmu. Seterusnya kegemerlapan kecemerlangan career beliau terus berkilau sehingga dilantik pula sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam BAHEIS, Jabatan Perdana Menteri.Bak kata pepatah, benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung, beliau terus diberikan amanah besar dalam kerajaan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan seterusnya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bermula detik itu, beliau telah memerahkan sepenuhnya tenaga dan pengalaman untuk agama, bangsa dan negara . Beliau terus komited berjuang memberikan sumbangan besar kepada kemajuan umat Islam di Malaysia.Beliau adalah arkitek penting dalam meneruskan landskap pembangunan Islam sehingga dikenali di persada antarabangsa.

Atas jasa besar beliau, Sukatan Pelajaran Agama Islam telah dilaksanakan di sekolah-sekolah peringkat rendah dan menengah. Selain itu idea emas beliau juga telah berjaya menubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di seluruh  Malaysia. Begitu juga sistem Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) serta Program Takmir Masjid dan Surau telah diperkasakan beliau. Inilah jariah besar beliau untuk anak bangsa.

Walaupun telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan, kepakaran beliau terus didamba. Beliau terus menabur bakti buat agama Islam yang suci. Beliau pernah dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama Islam kepada YAB Perdana Menteri. Beliau juga pernah berkhidmat selaku Setiausaha Agung Terhormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia iaitu PERKIM.

Sudah menjadi ketentuan Ilahi, insan yang amat berjasa dan amat kita sayangi ini telah kembali ke rahmatullah pada 23 Disember 2011. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham di alam sana. Mudah-mudahan segala usaha, jasa bakti beliau semasa hayat kepada agama, nusa dan bangsa menjadi amal jariah kepada beliau.

 Ternyata pengorbanan serta sumbangan Allahyarham kepada agama, bangsa dan negara begitu tinggi nilainya. Ia wajar dijadikan semangat buat seluruh anak Malaysia untuk terus melakar bakti kepada nusa dan bangsa yang bertuah ini.

Oleh yang demikian, setelah menilai dan meneliti segenap sudut maka Jawatankuasa Pemilih Tokoh Maal Hijrah berpuashati untuk memilih dan mengisytiharkan bahawa Allahyarham Tan Sri Datuk Dr Abdul Hamid b Uthman sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan bagi tahun 1434H bersamaan 2012M.

Marilah kita sama-sama membaca Al-Fatihah, menghadiahkan kepada Allahyarham   Tan Sri Datuk Dr Abdul Hamid b Uthman. Al-Fatihah.

PICC, Putrajaya
1 Muharram 1434H
15 Nov 2012

Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar ( 2 )


Pada suatu hari, beliau menyarungkan kami pakaian berwarna putih dan saya didudukkan di pehanya manakala adik saya didudukkan dipehanya yang satu lagi. Rupa-rupanya beliau telah memanggil bapa saudara saya Abdul Rahman. Apabila Abdul Rahman sampai, beliau menyambutnya dan bercakap sambil memuji-muji Allah Azza wa Jalla dengan segala sifat yang terpuji. Saya tidak pernah melihat seorang lelaki mahupun perempuan sebelum atau selepas tu yang bercakap dengan begitu petah dan indah sepertinya.

Beliau berkata dengan lembut: Saudaraku, saya melihat engkau selalu menjauhkan diri dari saya semenjak saya mengambil dan membela kedua-dua budak ini. Demi Allah, apa yang saya lakukanini bukan kerana membelakangkan hakmu atau kerana wasangka denganmu atau kerana merasakan engkau akan mengabaikan mereka. Cuma engkau mempunyai isteri yang ramai sedangkan budak-budak ini belum lagi pandai menjaga diri sendiri. Jadi, saya takut isteri-isterimu tidak sanggup melihat kecomotan mereka sehingga menyebabkan mereka tidak senang hati. Oleh itu, dalam usia ini saya merasakan saya sepatutnya membela mereka ini.

Namun sekarang mereka sudah besar dan sudah pandai menjaga diri. Ambil dan belalah mereka. Lalu bapa saudara kami mengambil kami dan membela kami di rumahnya.

Walau bagaimanapun, anak kecil keturunan Abu Bakar ini lebih suka dengan rumah ibu saudaranya, Aisyah Ummu Mukminin ra. Rumah ini lebih selesa baginya kerana rumah ini segar dengan suasana nubuwwah. Di rumah ini juga beliau membesar dan dididik dengan belaian isteri baginda. Dengan belaiannya juga beliau memperolehi segala-galanya.

Oleh kerana itu, beliau sering berulang-alik antara rumah ibu saudaranya dengan rumah bapa saudaranya.

Kenangan selama membesar di rumah ibu saudaranya yang sungguh indah menjadi ingatan sepanjang hayatnya. Cuba dengarkan ceritanya mengenai kenangan manis yang dilaluinya itu. Dia bercerita :

Pada suatu hari saya bercakap dengan ibu saudara saya, Aisyah ra. Wahai ibuku, tolonglah tunjukkan kepada saya makam nabi saw dan makam-makam sahabat baginda. Saya teringin melihatnya.

Pada masa itu, makam ketiga-tiga mereka masih berada di dalam rumahnya. Beliau telah menutup kubur-kubur itu supaya tidak kelihatan. Atas permintaan saya, beliau menunjukkan saya ketiga-tiga makam tersebut. Ketiga-tiga makam tersebut tidaklah tinggi dan tidaklah rendah. Pada bahagian atasnya dilitupi batu-batu kecil berwarna merah yang diambil dari laman masjid. 
 
Dengan berdebar-debar saya bertanya : Di manakah makam rasulullah saw?. Ini dia, jawab beliau perlahan sambil menunjukkan kedudukan makam tersebut dengan tangannya. Kelihatan airmatanya mula mengalir tetapi segera disapunya. Makam nabi saw terletak di hadapan makam dua orang sahabatnya.

Saya bertanya lagi; Yang mana satukah kubur datuk Abu Bakar? Itu dia, jawab beliau lagi. Abu Bakar dikebumikan di sebelah bahagian kepala rasulullah saw.

Inikah makam Umar? Saya bertanya inginkan kepastian. Beliau mengiyakan dan menjawab : Ya. Bahagian kepala makam Umar terletak di bahagian pinggang datuk saya dan berhampiran dengan bahagian kaki nabi saw.

Wallahu a’alam.

( 37 Kisah Kehidupan Tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar ( 1 )


Jika saya ada kuasa dalam hal ini sudah tentu saya akan melantik al-Qasim bin Muhammad sebagai khalifah.
( Umar bin Abdul Aziz )

Pernahkah anda mendengar kisah ulama tabiin yang agung ini? Segala kegemilangan bersatu dalam jiwanya. Bapanya adalah Muhammad bin Abu Bakar al-Siddiq dan ibunya ialah anak perempuan Kisra, Yazdajurda, maharaja terakhir kerajaan Parsi. Ibu saudaranya ialah Aisyah, Ummu Mukminin.

Malah apa yang lebih utama ialah beliau telah memahkotakan dirinya dengan mahkota takwa dan ilmu. Adakah selain daripada kemuliaan ini, ada lagi kemuliaan lain yang dicari-cari oleh manusia.

Beliau ialah al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar al-Siddiq. Salah seorang daripada tujuh ulama Madinah dan orang yang paling terkehadapan dalam keilmuan di zamannya. Seorang yang tajam fikirannya dan sangat warak.

Marilah kita ikuti kisah hidupnya.

Al-Qasim bin Muhammad dilahirkan di akhir zaman pemerintahan Uthman bin Affan ra. Ketika anak kecil ini masih dalam buaian lagi, negara Islam telah terjebak dalam kancah yang melanda. Ketika inilah Khalifah Uthman bin Affan yang digelar sebagai Zu Nurain, seorang yang terkenal dengan ibadat dan zuhudnya terkorban rebah di atas lembaran al-Qurannya. Setelah itu, timbul pula pertembungan yang hebat antara Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib dengan Gabenor Sham, Muawiyah bin Abu Sufyan.

Dalam suasana yang penuh kegawatan dan genting, anak kecil ini bersama-sama dengan adik perempuannya terpaksa berpindah dari Madinah ke Mesir. Mereka terpaksa mengikut ayah mereka yang baru sahaja dilantik oleh Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib sebagai gabenor di sana. Malangnya tangan-tangan khianat menjerut ayahnya dan membunuhnya dengan kejam.

Peristiwa malang ini memaksa anak kecil ini berpindah semula ke Madinah setelah Madinah ditawan oleh pengikut Muawiyah. Anak kecil ini kini menjadi yatim.

Al-Qasim pernah menceritakan  sendiri kisah malang yang menimpanya. Beliau menceritakan :

Setelah ayah dibunuh di Mesir, bapa saudara saya Abdul Rahman bin Abu Bakar datang untuk untuk membawa saya dan adik perempuan saya ke Madinah. Sebaik sahaja kami sampai di Madinah ibu saudara saya, Aisyah ra datang mengambil kami dan membawa kami ke rumahnya. Kami kini diasuh dalam belaiannya.

Saya tidak pernah melihat seorang ibu atau ayah yang begitu baik dan pengasih sepertinya. Beliau menyuapkan sendiri makanan ke mulut kami dengan tangannya. Malah beliau tidak makan ketika kami makan dan hanya sisa-sisa makanan kami yang menjadi makanannya. Kami dibelai olehnya seperti seorang ibu yang menyusukan anaknya. Beliau akan memandikan kami dan menyikat rambut kami dan sentiasa memakaikan kami dengan pakaian yang putih bersih.

Beliau tidak pernah lupa menyemai kami dengan nilai budi yang baik dan mendidik kami supaya melakukannya. Beliau juga tidak lupa melarang kami daripada melakukan kejahatan dan mendidik kami supaya tidak melakukannya. Kami sentiasa diajar Kitab Allah dan dididik supaya menghafal hadis-hadis Rasulullah saw mengikut keupayaan kami.

Ketika hari raya, kemesraannya lebih terasa, apatah lagi dengan hadiah yang diberikannya. Pada malam hari Arafah, beliau mencukur rambut saya dan kemudian memandikan saya dan adik perempuan saya. Ketika pagi raya beliau menyarungkan kami pakaian baru. Setelah itu beliau menyuruh seseorang membawa saya ke masjid untuk menunaikan sembahyang hari raya. Apabila saya pulang, beliau memanggil saya dan adik saya berkumpul, beliau kemudiannya, melakukan upacara korban di hadapan kami.

Wallahu a’alam.

( 37 Kisah Kehidupan Tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

Wednesday, November 14, 2012

Huruf Tho


Tuhanku
Engkau lepaskan lidah-lidah untuk menyebutMu
Engkau ikatkan segala nikmat dengan syukurMu
Engkau lapangkan segala dada bagi perintahMu
Engkau perjalankan kenderaan harapan pada daratan kebaikanMu
Engkau lepaskan segala fahaman ahli kehampiran pada padang luas hadratMu
terbanglah kepadaMu oleh segala hati dari sangkarnya
segala jiwa melepas diri dari belenggunya menuju hadratMu
dan bergantung denganMu
oleh segala tangan-tangan pengharapan
orang-orang yang menuntut redhaMu

Dan di dalam penjara tabiat
seseorang hamba itu tidak mempu untuk melarikan diri
ikatan penjara itu adalah memegang semua yang terpenjara
Engkaulah yang melepaskan segala ikatan
yang memberi pertolongan kepada segala yang berharap

Tuhanku
hujanilah daku dengan awan-awan kelembutanMu yang tersembunyi
apa yang menyucikan daku daripada kekotoran tabiat
yang menjagakan daku adab-adab syariat
limpahkanlah kepadaku percikan rahmatMu
yang meliputi segala langkah
dan membukakan segala penutup
kurniakanlah padaku persediaan yang sempurrna
untuk menerima limpahanMu yang paling suci
sehingga setiap sirna dariku
menerima hadrat namaMu yang layak bagiku
lindungilah daku
pada menerima dan memberi
dan bentengkanlah daku dengan lapisan-lapisan
maknawi kepadanya
disertakan pada demikian itu
dengan suatu rahsia yang tunduk kepadanya
oleh jiwa-jiwa sebagai tunduk kecintaan yang bersalutkan kekaguman

Jadikan daku dapat membezakan di antara haq dan batil
zalim dan adil
dengan kurniaan furqan dariMu
sucikanlah daku daripada segala ikatan
sebagai kesucian yang menjernihkanku dari najis nafsu
dan melepaskanku dari zahir yang terbelenggu
sehingga tidakku lalu melainkan laluan yang diredai olehMu
dan tidaklahku berdiri melainkan di sisi-Mu destinasi hakiki

Wahai Tuhan yang menjadi kegembiraan para muqarrabin
bantulah daku
sesungguhnya kautsar I’nayahMu itu
penyuci para pencintaMu

Selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad saw Nabi yang ummi dan ke atas seluruh keluarga dan sahabat baginda saw.
Ameen.

( Rahsiah dan khasiat huruf-huruf Hijaiyyah; Abu Al-Baqir )

Selamat datang 1434H
 Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah