Monday, January 30, 2017

Cermin peribadi (1)

Ilmu atau pengetahuan itu mempunyai daya kekuasaan. Kesedaran tentang adanya kekuasaan yang mudah membawa orang kepada kesukacitaan atau kepada perasaan ketinggian diri. Dan ia juga boleh menyeret ke hala angkuh, sombong atau riak jika kurang dasar imannya seseorang itu.

Apabila ia pernah membuat jasa atau menolong orang maka dikiranya orang itu akan membalasnya atas jasa-jasa itu. Ia berfikir ia berhak memerintah dan orang pula harus tunduk dan patuh kepadanya.Tidakkah ini membayangkan yang dia itu dengan tidak disedarinya cuba mengambil hak Allah. Sepatutnya Allahlah yang semestinya dipatuh dan tunduk kerana Dialah yang kita terhutang budi dan nyawa. Sifat sedemikian ini terkadang menghinggapi beberapa penganjur agama dan para alim ulama, sayang sekali kerana sifat sedemikian jika ada pada diri mereka, ini hanya membawanya ke jalan kebinasaan diri di hari akhirat kelak.

Mereka dengan bebasnya menerangkan sifat-sifat jalan ke surga dan jalan untuk mengelak ke neraka padahal mereka sendiri lupa atas sifat mereka yang sedemikian. Jika begitu adanya, apakah layak diberikan panggilan penganjur agama, alim atau ulama atas mereka? Kerana gelaran-gelaran tersebut seharusnya  dimiliki oleh mereka yang mengenal dirinya, lebih takwa kepada Allah, mempunyai rasa tanggungjawab bagi setiap perbuatannya. Hal yang demikian disebabkan mereka tahu akan mana yang buruk dan mana yang baik dan ia lebih menyedari bahawa Allah sentiasa mengetahui akan hal dirinya lebih dari ia tahu akan dirinya sendiri.

Wallahu ’alam

Sentuhan rohani
Yusof Haji WanJor
Thinker’s libarary Sdn.Bhd.
2001

Lelaki yang keciciran lidah

Kami telah berikannya suara
ketika dia merayu-rayu
mohon dikembalikan lidahnya
kerana kami tahu
dia cuma peminta bermusim.

Ketika dia dilambung julang
dalam gemuruh sorak sorai
sambil melucutkan baju
pengemisnya
sekali lagi dia keciciran lidhnya.

Kini dia kembali ke asal
tanpa lidah
sekadar pandai mengangguk-ngangguk
tersihir badi sesumpah
hanya pandai menukar warna
pada lain suasana
sambil menunggu musim baru
untuk menyarung kembali
baju pengemisnya.

Zain Idris At-Tobiari
Jitra Kedah DA
Mingguan Malaysia

22 Januari 2017

Sunday, January 29, 2017

Al-Mu’id

Asma ul-Husna ke-60

Al-Mu’id ertinya Allah Maha Mengembalikan sebagaimana firmanNya bermaksud:

Sesungguhnya Dialah yang menciptakan (makhluk) dari permulaan dan menghidupkannya kembali, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Pencinta.
(Al-Buruuj:13-14)

Maha Mengembalikan

Secara linguistik, akar katasifat ini adalah kembali, pulang. Kita berdoa bermaksud: Ya Allah, kami memohon kepadaMu agar memberi kami kepulangan ke rumahMu, yakni pulang ke Kaabah setelah selesai menziarahinya atau setelah berada di sana.

Seorang manusia yang mu’id adalah orang yang mampu memahami isu-isu atau masalah-masalah tertentu dan lain-lain.

Al-Mu’id ertinya hari kiamat. Diriwayatkan bahawa Jibril as suatu ketika bertanya kepada rasulullah saw: Wahai Muhammad, apakah engkau mempunyai perasaan nostalgia terhadap tempat kelahiranmu, tanah airmu? Baginda mengiakannya. Kemudian Jibril membacakan ayat al-Quran Surah al-Qasas ayat 85 bermaksud: Sesungguhnya yang mewajibkan atasmu (melaksanakan hukuk-hukum) al-Quran benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali.

Kembali ke jalan benar

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang keenampuluh dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah kembali ke jalan yang benar; kepada kehidupan yang hakiki dan matlamat yang suci.

Al-Mu’id menghidupkan kembali yang mati. Ia mengumpulkan semua makhluk pada hari kiamat, mengangkat hijab-hijab dari mereka dan memberi ganjaran atau menghukum mereka, sesuai dengan apa yang telah mereka lakukan. Dia menguji manusia tentang dengan cara bagaimanakah manusia berbuat dengan kurnia-kurnia yang telah diberikanNya kepada mereka. Allah akan menyebabkan semua benda (baik makhluk hidup mahupun benda mati) kembali pada ketiadaan, kemudian Dia akan menghidupkan mereka kembali.

Kita semestinya kembali kepada Allah berkenaan dengan segala sesuatu. Kita harus mencamkan dalam fikiran kita bahawa Allah menciptakan dari tidak ada samasekali. Dialah yang menetapkan takdir kita.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010

Al-Mubdi

Asma ul-Husna ke-59
 
Al-Mubdi erinya Allah Maha Memulai/Pemula yang Menzahirkan MakhlukNya sebagaimana firmanNya bermaksud:

(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana Kami mulakan wujudnyasesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnyalagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.
(Al-Anbiyaa:104)

Maha Memulai dan Maha Menzahirkan

Al-Mubdi bermakna mengawali, memulakan penciptaan semua makhluk sebagaimana disebutkan dalam surah Al-Buruj ayat 13 bermaksud: Sesungguhnya Dialah yang menciptakan (segala sesuatu) dari permulaan dan menghidupkannya kembali.

Secara linguistik, akar katasifat ini mengandungi erti mengawali, memulai, dan seumpamanya. Allah memulai, mengawali, penciptaan semua makhluk dan yang mewujudkan mereka.

Al-Mubdi telah mewujudkan alam cakerawala tanpa contoh atau rekabentuk sebelumnya, yang menciptakan seluruh alam dengan cara yang sempurna, yang memulai pemberian kepadadan bantuan terhadap hamba-hambaNya, membuktikan diriNya sebagai sebaik-baik sandaran dan tempat bergantung.

Memulai dan mempelopori

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kelimapuluh sembilan dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah mempunyai sifat sebagai pelopor yang memulakan sesuatu samaada dalam urusan dunia mahupun urusan akhirat. Inilah yang dikatakan berlumba-lumba dalam kebaikan dan takwa.

Barangsiapa mengingat sifat al-Mubdi seyogianya meminta ampunanNya setiap kali ia mengingatnya dan sentiasa penuh khidmat ketika berdoa kepadaNya. Lantaran Allah dengan sifat ini Maha Memulai perhitungan dan tidak pernah terlambat dalam menghisab. Oleh itu kita perlu menjadi pendahulu atau pelopor dalam setiap amal kebaikan agar kita turut dijadikan orang yang utama di sisi Allah, bukan orang yang terakhir ataupun tidak bernilai di sisi Allah swt.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna

Pustaka Azhar, 2010

Al-Muhsi

Asma ul-Husna ke-58
 
Al-Muhsi erinya Allah Maha Menghitung, Maha Mencatat dan yang Memperhitungkan setiap amal makhlukNya dan Membalasnya sesuai dengan firmanNya bermaksud:

Dia meliputi (dengan pengetahuanNya) segala sesuatu yang ada padamereka dan Dia mencatat segala sesuatunya demi satu.
(Al-Jinn:28)

Maha Menghitung

Akar kata al-Muhsi adalah ihsha’ yang ertinya menghitung atau menjumlah. Secara linguistik, ia juga bererti mengawal atau mampu untuk mengendalikan. Ia pun digunakan untuk melukiskan sebuah sebuah luas tanah di mana terdapat banyak kerikil atau batu-batuan.

Allah adalah al-Muhsi, yang menghitung dan mencatat apa yang kita lakukan dan membacakannya pada hari ketika kita menemuiNya, yakni hari pengadilan, hari hisab, perhitungan atau pembalasan, hari pahala atau siksa.

Menghitung dan menghisab diri sendiri

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kelimapuluh lapan dengan bercermin pada Asma ul-Husma ialah mempunyai kepakaran dalam menghitung, menghisab diri sendiri.

Orang yang menhayati sifat Allah, al-Muhsi akan mengetahui semua masalah sedalam mungkin, rahsia apa yang diperintahkan.

Diriwayatkan bahawa semasa menjadi khalifah, Umar bin Al-Khattab setiap hari akan mencatat dan menghitung dosa-dosanya sebelum tidur. Apabila didapati terdapat kesalahan ataupun kecuaian dalam aktiviti dan perbuatannya selama sehari itu, maka beliau akan menangis sepanjang malam dan takut Allah swt akan menghukumnya disebabkan kesalahan dan kecuaiannya.
 
Demikanlah sikap orang yang menghayati sifat Allah, iaitu Al-Muhsi, akan kerap menghitung dan mencatatkan kelemahan dan aib dirinya sendiri untuk dijadikan wasilah atau jalan menuju Allah dan mencapai maghfirah dan redhaNya.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010

Ijazah

Sekeping ijazah di negaraku
boleh diperolehi semakin mudah
dengan adanya universiti dan kolej
macam cendawan tumbuh dan kemudahan
pinjaman pendidikan menampung yuran
laluan tol masuk ke pintu kolej dan university.

Tepuklah dada tanyalah cita impian
kalau anda mahu menongkat kejayaan
pada ijazah
itulah jenis-jenis pekerjaan
dan tapisan jawatan akan diperhargakan.

Hanya setelah tamat pengajian
para graduan dihantui gundah
dengan bayangan yang mendepangkan
tangan kukunya tajam menghujamkan
pada mereka yang ingkar melunaskan
pinjaman kerana segala peraturan
ada tercatat di kontrak pengajian.

Menjadi penganggur bukannya pilihan
setiap graduan menempuh persaingan
kemahiran memasarkan diri kepada majikan
pada kekosongan pekerjaan yang terhad.

Setiap graduan perlu tunjukkan keistimewaan
pada pihak penemuduga menutup rasa jemu
bukannya memilih kerja
tapi bosan mengharap dan menunggu
berdepan peluang yang dicatu!.

Ismail Hashim
Sikamat
Mingguan Malaysia
22 Januari 2017

Monday, January 2, 2017

Al-Hamid

Asma ul-Husna ke-57

Al-Hamid ertinya Allah Maha Terpuji dan yang Memiliki Kepujian sebagaimana firmanNya bermaksud:

Hai manusia! Kamulah yang perlu kepadaAllah dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
(Faatir:15)

Maha Terpuji

Akar kata al-Hamid adalah hamd, ertinya pujian, sesuatu yang lebih umum berbanding terima kasih. Al-Hamid juga al-Mahmud, ertinya yang Terpuji. Allah adalah al-Hamid kerana memuji DiriNya sendiri sejak masa azali dan juga kerana hamba-hambaNya memujiNya.

Sifat-sifatNya seperti Maha Agung dan Maha Terpuji, adalah fakta bahawa mereka yang menyebutkan sifatNya mengagungkan dan memuliakannya. Hamd dalam konteks ini bererti  menyebut satu persatu atau usaha menyebut satu demi satu sifat-sifat kesempurnaan yang dibayangkan oleh orang-orang yang memujiNya. Al-Hamid memberi kejayaan dan menghapus dosa-dosamu. Dia al-Hamid kerana kebaikan-kebaikanNya.

Terpuji

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kelimapuluh tujuh dengan bercemin padaAsma ul-Husna ialah mempunyai sifat-sifat terpuji, mulia dan cemerlang.

Barangsiapa yang kepercayaan, tingkahlaku, pembicaraan dan perbuatannyaterpuji maka ia disebuthamid. Gelaran seumpama  ini sebenarnya hanya layak bagi rasulullah sawdan orang-orang yang darjatnya dekat dengannya di kalangan para nabi Allah, juga orang lain seperti parawali Allah dan paraulamasoleh. Setiap orang darinya adalah hamid berkenaan dengan kepercayaaan, tingkah-laku dan perbuatannya yang terpuji.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010