Friday, December 4, 2015

Pelajaran 31

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata Allah Ta’ala: Hai mereka itu yang percaya akan Allah Ta’ala, takut olehmu akan Allah Ta’ala dengan sebenar-benar takut dan jangan kamu mati melainkan pada hal kamu Islam.

Hai anak Adam, bahawasanya umpama ilmu dengan tiada amal itu seperti halilintar  dan kilat dan guruh dengan tiada hujan.

Dan umpama dengan amal tiada ilmu itu umpama pohon kayu dengan tiada berbuah.

Dan lagi umpama ilmu dengan tiada amal itu, seperti busar dengan tiada tali.

Dan umpama harta dengan tiada zakat itu, seperti perhumaan yang baik pada tanah yang lagang, yakni masin atas belakang tanah yang tinggi.

Dan umpama ilmu orang yang kurang akal itu, seperti mutiara dan intan pada leher binatang.

Dan umpama hati yang keras itu, seperti batu yang jatuh ke dalam air.
 
Dan umpama pengajaran pada orang yang gemar padanya itu, seperti mengencing pada kubur.

Dan umpama sedekah daripada harta haram itu, seperti orang yang membasuh suatu yang keluar daripada kainnya dengan kemehnya (kencingnya).

Dan umpama sembahyang dengan tiada berair sembahyang itu, seperti tubuh dengan tiada nyawa.

Dan umpama amal dengan tiada taubat itu, seperti rumah dengan tiada tiang.

Maka jangan sentosa kamu akan tipu Allah Ta’ala dan akan lorongnya, maka tiada sentosa akan tipu Allah Ta’ala itu melainkan segala kaum kerugian dan celaka.

Dan katakan olehmu: Hai Tuhan kami, kami aniayai akan diri kami dan jika tiada Engkau ampun akan kami dan Engkau kasih akan kami sanya adalah kami itu daripada segala orang yang kerugian.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Asas Kebahagian

Esei 88

Dalam mengejar kebahagian, persediaan dalam adalah penting, antaranya:
a) Kesihatan
b) Penerimaan diri
c) Penerimaan dunia
d) Optimisme,penghargaan dan kepuasan
e)Bertanggungjawab penuh untuk kehidupan anda
f) Melihat dan mencari kebaikan
g) Mempunyai harapan besar, impian-impiian dan tujuan-tujuan dalam kehidupan
h) Satu keberanian dan satu kehidupan yang penuh kecintaan
i) Pertumbuhan bukan kesempurnaan.
j) Imbangan keseluruhan

Apa yang kita perlukan adalah nilai-nilai yang betul, kesejahteraan rohaniah, gaya hidup yang sihat dan cantik serta hubungan-hubungan yang baik. Kita tidak perlukan wang dan kemewahan yang bertimbun, yang tidak lama lagi akan menyusut dengan pulangan yang semakin menurun. Orang yang bersikap dan berkecenderungan yang betul adalah mereka yang penuh keriangan sejak zaman kanak-kanak hingga usia tua, mereka sedia menghadapi sebarang ombak badai tetapi masih dapat menemui kebahagiaan.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Sebuah buku puisi

Sebuah buku puisi
banyak menyimpan rahsia
yang tidak dibuka
 
barangkali kerana itu
ia tidak diperlukan
hadir ke perpustakaan
atau kedai buku di peKan

sebuah buku puisi
lebih banyak berteka-teki
dan menyimpan suara

barangkali kerana itu
ia sering dirungut
si penjaga ruang
apabila menemuinya
tersisip di tengah rak
atau terselit di antara kitab
setelah bertahun
tidak dilihat.

Hilmi Rindu
Kuala Nerus, Terengganu
Mingguan Malaysia
15 Nov 2015

Tuesday, December 1, 2015

Pelajaran 30

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata Allah Ta’ala: Hai anak Adam, bermula harta itu hartaKu jua. Bermula engkau itu hambaKu, maka hartamu itu daripada hartaKu jua, maka tiada bagimu melainkan barang yang telah engkau makan akan dia, maka engkau fana’kan atau yang telah engkau pakai, maka engkau burukkan dia atau yang telah engkau sedekah, maka engkau taruhkan akan dia bagi Aku dan engkau itu tiga bahagi, maka yang satu itu bagiKu, dan yang satu itu bagimu, dan yang satu itu antara Aku dan antaramu. Maka adapun yang bagimu itu, iaitu ilmumu, dan adapun yang bagiKu itu, maka iaitu nyawamu, maka adapun yang antara Aku dan antaramu, maka iaitu yang daripada Aku, dan iaitu Ku perkenankan dan yang daripada meminta doa.

Hai anak Adam, wara’kan olehmu dan padakan olehmu dengan sedikit nescaya engkau lihat akan Daku dengan mata hatimu hal keadaan Aku itu, iaitu pada tiap-tiap suatu dan sembah olehmu akan Daku supaya sampai engkau kepadaKu dan tuntut olehmu akan Daku supaya engkau dapat akan Daku.

Hai anak Adam, apabila adalah engkau itu seperti mereka itu yang masuk mereka itu akan neraka dengan sebab fasiqnya dan ulama’ yang masuk neraka dengan sebab dengkinya, dan saudagar yang masuk neraka dengan sebab khinat dan utus yang masuk neraka dengan sebab jahilnya dan orang yang berbuat suatu masuk neraka dengan sebab taksirnya (lalainya) dan orang yang berbuat ibadat masuk neraka dengan sebab riya’nya dan orang kaya masuk neraka dengan sebab takabburnya dan orang yang fakir masuk neraka dengan sebab dustanya, maka bahawasanya orang yang menuntut syurga itu thabit dengan perbuatan yang diperbuat ia akan dia.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Mengatasi krisis pribadi

Esei 87

Kegagalan dalam perhubungan,kehilangan pekerjaan, krisis kewangan, kehilangan  dan seumpamanya memerlukan kekuatan dalaman. Kita perlu bersedia untuk semua itu. Terdapat empat peringkat yang boleh membawa kepada kehancuran keluarga: Kritikan, mengadu domba, suka membela diri dan penarikan atau mengundur diri.

Berikut beberapa panduan penting:
a) Bina kemahiran perhubungan yang istimewa, prihatin terhadap rasa kurang senang yang boleh membahayakan keadaan mengikut masa. Selami perasaan pasangan masing-masing.
b) Jangan berleter, bantulah pasangan anda.Beri cadangan dan pujukan berbanding kritikan
c) Kasih sayang tanpa syarat.Ambil giliran untuk beralah.
d) Pasangan sepatutnya menjadi teman terbaik, buah hati, dihormati dan dikagumi. Ubahlah pasangan dengan pengaruh dan pujukan yang lembut.
e) Semasa pengeseran dan perselisihan, pasangan merlukan persefahaman dan simpati. Keupayaan untuk mendengar tanpa syarat, untuk merasa empati, tolak ansur dan berbaik semua, menunjukkan kebaikan, keberanian dan kekuatan akhlak.
f) Akui kesalahan dan mohon maaf
g) Penerimaa, kesabaran dan kemaafan dapat menghapus rasa sakit hati dan kurang senang ketika di rumah berbanding di luar rumah.
h) Kejayaan dalam perkahwinan bukan setakat mengahwini orang yang sesuai, ia berkait dengan menjadi diri yang sesuai! Hubungan kemanusiaan berdasarkan siapa sebenarnya diri kita, bukan sahaja apa yang kita kata atau lakukan.

Untuk itu :
a) Bercakap-cakap dengan rakan-rakan
b) Tinggalkan zaman lampau
c) Bayangkan dan gunakan daya khayalananda
d) Bertenang dan rehatkan diri dengan harapan dan aspirasi
e) Berfikirlah secara rasional, elakkan terlalu emosi.
f) Renungilah di senalik kehidupan duniawi, pohon pimpin dan kesejahteraan daripada Tuhan

Setiap krisis memberi satu peluang untuk menyerlahkan diri anda yang lebih besar.
Dr M Maltz

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

13 tahun muflis bangkit jadi jutawan

Pengarah Urusan Al-Faiz Industries Sdn. Bhd. Azhar Md Yusoff, dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana Menteri Hari Peladang,Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2015. Syarikat milik beliau, Al-Faiz Industries Sdn. Bhd pula dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemasar Tani Jaya Peringkat Kebangsaan 2015.
Sebagai pemenang Anugerah Perdana Menteri, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000 dan trofi serta RM30,000 lagi sebagai pemenang Anugerah Pemasar Tani Jaya.

Terus gigih berusaha

Azhar yang berasal dari Jitra, Kedah, pernah menerima Anugerah Pemasar Tani Jaya Peringkat Kedah 2015. Beliau berkata, kegagalan berniaga sehingga diisytiharkan muflis selama 18 tahun tidak mematahkan semangatnya, malah banyak mengajarnya untuk terus gigih berusaha.

Tidak pernah kecewa

Selama 13 tahun saya mengatur semula langkah (selepas muflis) dan memperkukuhkan kedudukan. Tidak pernah sesekali saya berasa sesal atau kecewa menceburi bidang perniagaan terutama berasaskan produk pertanian, katanya. Azhar yang diisytiharkan bankrap pada 1998 dan dilepaskan pada 2011,berkata beliau berpegang kepada prinsip dalam Islam yang menuntut supaya setiap umatnya menjadi kaya. Namun bila kita sudah kaya....jangan sesekali kita alpa dan berusahalah membantu orang lain yang baru mahu mengatur langkah (dalam perniagaan)

Syukur.....dalam tempoh itu,saya berjaya membuktikan bidang pertanian mampu menjanjikan masa depan yang cerah. Sememangnya, ada sinar di hujung kelam dan saya berjaya melahirkan 14 rakan perniagaan lain yang bertaraf jutawan, katanya yang turut bergelar jutawan. Beliau berkata, dalam tempoh kebangkrapan tiada agensi kerajaan mahupun bank yang mahu membantunya.

Berkat doa ibu bapa

Bagaimanapun, berkat doa kedua ibu bapanya serta sokongan dan bantuan rakan, beliau terus berusaha meneruskan perniagaan. Dengan bantuan pembekal mesin yang memberi kredit, akhirnya beliau berjaya mengembangkan perusahaannya dan mencapai tahap jutawan. Mengenai perancabgan masa depanny, Azhar akan meningkatkan latihan kepada pekerja syarikatnya bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berkepakaran dalam bidang pengeluaran produk makanan.

Selain itu, syarikatnya juga akan mempertingkatkan pengiklanan melalui akhbar, majalah, internet, radio, telefon dan medium lain supaya produk yang dikeluarkan mendapat sambutan, sekali gus meningkatkan jualan.

Tonjol produk roselle

Saya juga akan membawa dan menonjolkan produk roselle agar berupaya menembusi pasaran antarabangsa serta mencapai tahap ISO (International Organisation For Standardisation), katanya.

Syarikat Al-Faiz Industries Sdn. Bhd adalah pengeluar pelbagai jenis produk roselle seperti jus pekat roselle, minuman jus roselle. Halwa Roselle dan ubat gigi Roselle White
Syarikat itu turut mengeluarkan produk Pengeluar Peralatan Asal (OEM) untuk usahawan yang ingin mengeluarkan produk mereka sendiri.

Setakat ini, syarikat itu mempunyai enam outlet perkhidmatan pemasaran di utara Semenanjung untuk memudahkan pemasaran produk keluaran Syarikat Al-Faiz Industries Sdn. Bhd.

Hardi Effendi Yaacob &
Mohd Roji Kawi
Berita Harian
29 November 2015

Rumah terbalik

Kuseret kaki di celah kabus
dan kedinginan hawa
pagi sejuk di Tamparuli

Kubeli sekeping tiket
lalu masuk ke rumah terbalik
untuk melihat kelainan
dan keharuan

Aku berpusing di sekitar keanehan
yang tak kutemui pesonanya
di antara sejumlah pengunjung
berwajah kagum dan keriangan
mengetik foto kenangan

Kerana hidup tidak
memerlukan aku terpusing
seperti rumah terbalik ini
segera aku mengungsi ke pintu keluar
di luar kurungan rumah ini
alam terasa begitu indah dan akrab

Langit masih berbalut
kabus dan dingin
matahari masih jauh
untuk menghangatkan pagi
hari ini aku menolak
kelainan dan kebaruan
lalu kembali memilih jejak lama

Yang mengharukan diri
tetaplah alun lagu
jambatan Tamparuli
jauh dan sayup kudengar
mendebur dari dusun masa lalumu.

Riduan Harun
Tamparuli
BH, 22 Nov 2015