Saturday, January 3, 2015

Pelita akhir tahun

Sebuah pelita
terus menyala
dengan sumbu ibadah
dalam kaca akidah
bersumber cinta
kimia keyakinan

Pelita sebuah itu
pelita akhir tahun
dibawa ke mana-mana
ke dalam hati
menjadi sufi
ke mimbar ilmu
menjadi buku
ke dasar laut
menjadi mutiara
ke gurun sahara
menjadi lembah
ke kutub-kutub
menjadi sawah

Sebuah pelita
dari daerah kelam
ke dunia terang

Pelita sebuah itu
pelita hidayah
hijrah ke wilayah terindah

Shapiai Muhammad Ramly
Batu Pahat, Johor
BH, 28 Dis 2014

Doa Sambutan Mauludir Rasul Kebangsaan 1436 H / 2015 M


Bismillaahir Rahmaanir Rahim.
Alhamdulillaahi rabbil ’aa-lamin......

Dengan penuh khusyuk dan tawaduk, kami bersyukur di atas segala nikmat dan rahmat yang telah Engkau kurniakan, dapat kami berkumpul pada pagi yang penuh barakah ini di masjid yang mulia ini untuk sama-sama meraikan majlis sambutan Maulidur Rasul saw peringkat kebangsaan bagi tahun 1436 hijri ini. Kami memohon agar diberkati majlis sambutan yang kami adakan ini.

Ya Allah Engkaulah Maha Agung di langit dan di bumi yang mempunyai kekuasaaan. Engkau jadikan kelahiran rasulMu  sebagai membawa sinar cahaya kepada kehidupan. Engkaulah yang mengutus rasul manusia pilihan pemberi penjelasan bagi mengenaliMu menjalani jalan yang suci penuh dengan kebenaran, mentransformasi masyarakat dari budaya jahilliyah yang keji dan kejam, yang gelap gelita di zaman kesesatan, bergelumbang dengan maksiat dan hawa nafsu kepada cahaya iman dan ketakwaan. Dari keruntuhan akhlak kepada kehidupan yang bernilai murni yang mendapat pujian dan penghormatan.

Di saat kami berhimpun di majlis yang mulia ini, kami mohon agar dikurniakan keselamatan dan kesihatan serta taufik dan bimbingan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung, serta pemimpin-pemimpin negara seterusnya seluruh rakyat dan umat Islam, umat Muhammad di seluruh dunia.

Ya Allah, peliharakanlah negara kami Malaysia dan negara-negara Islam yang lain dari sebarang huru-hara, bala bencana. Di suasana negara kami diuji dengan musibah banjir, bencana banjir besar sekarang ini, kami semua memohon, penuh pengharapan, memohon agar Engkau ringankanlah penderitaan mereka. Berilah kekuatan dan ketabahan bagi mereka berhadapan ujian Engkau ini Ya Allah. Semuga keadaan mereka cepat pulih, kembali kehidupan aman bahagia bersama keluarga.

Kurniakanlah kami, keyakinan beriman kepada rasulMu dengan tidak berbelah bagi. Berilah taufik dan kekuatan agar ajaran-ajaran baginda nabi kami hayati, menjadi cahaya dan rahmat untuk kami jalani hidup di dunia ini. Jadikanlah kami umat yang mencintai baginda dalam semua keadaan. Dorongkanlah kami untuk menghayati sunnah baginda dalam kehidupan. Pereratkanlah ukhuwwah, tali persaudaraan antara kami. Selamat sejahtera dalam persefahaman dan perpaduan, selari dengan tema sambutan; Perpaduan Nadi Transformasi Negara. Semuga hidup kami aman dan tenteram, bahagia di dunia berpanjangan seterusnya di akhirat nikmati keredhaan dan beroleh kebahagiaan.

Aameen.

Hj Abd. Manaf b Hj Mat
Masjid Putra, Putrajaya
3 Jan 2015

Thursday, January 1, 2015

Mutiara dari Imbasan seorang pendidik (2)

KATA HIKMAH :

Ada orang yang pandai berbicara
Ada orang yang pandai berfikir dan
Ada orang yang pandai bertindak:
Sekiranya orang yang pandai bicara
Juga berfikir dan bertindak
Sekiranya orang yang berfikir
Juga pandai bicara dan bertindak dan
Sekiranya orang yang bertindak itu
Berbicara dan berfikir
Sudah tentu kita akan bergerak maju ke arah
Matlamat suci yang dinamakan Peradaban.

Dunia ini boleh mengsengsarakan manusia, tetapi kemudiannya ramai yang kuat dalam mengharungi kesengsaraan itu.

Masalah kita akan terus wujud selagi kita melatih orang untuk mengenalpasti masalah dan tidak mengasuh cara menyelesaikannya.

Adalah tidak munasabah bagi seseorang itu mengkritik kerja orang lain sekiranya dia sendiri tidak membuktikan yang dia cemerlang dalam tindakannya.
( Addison )

Untuk menjadi seorang juara anda mesti yakin yang anda adalah yang terbaik, sekiranya anda bukan juara maka berpura-puralah sebagai juara.
( Muhammad Ali )

Seorang pemimpin itu paling unggul apabila stafnya tidak perasan kehadirannya, tetapi apabila semua kerja sudah selesai dan matlamat tercapai, maka semua mereka berkata: semua ini kami lakukan sendiri!

Dunia ini penuh dengan orang yang mahu bekerja; setengah daripadanya mahu bekerja, selebihnya mahu melihat orang lain melakukannya.

Apa yang kita belajar secara seronok, kita tak lupa.
( Alfred Mercier )

Seseorang itu tidak akan mengetahui kebolehannya sekiranya dia tidak mencuba, dan ramai orang tidak akan mencuba sekirannya mereka tidak dipaksa melakukannya.

Wallahu a'lam.

Dato Hj Abdul Rahim b Hj Abdul Majid
2009

Menelusi hidup

Renungan 32

Manusia sebagai status hamba terhadap Penciptanya dan khalifah di bumi ini yang diutus untuk mentadbir diri, manusia dan alam diberi peluang mencorakkan kehidupannya di dunia yang fana ini sebagai jambatan menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi. Laluilah sisa hidup ini dengan penuh keberanian dan ketakwaan kepada Allah SWT. Ketahuilah bahawa apabila manusia beriman dan bertakwa kepada Allah SWT serta banyak mendekatiNya maka Allah SWT akan mengurniakan kepadanya ketenangan dan kebahagiaan dalam menelusuri liku-liku kehidupan ini.

Wallahu a’lam.

Ya Allah
Hjh Maimunah Hj Mohamad
& Dr Noor Azniza Ishak
2008


Menggali khazanah maklumat ucapan

 
1. Buku
2. Mutiara kata
3. Ensiklopedia
4. Majalah, jurnal dan akhbar
5. Wawancara
6. Buku tentang statistik
7. Sumber lain : kamus, almanak, buku tahunan, buku panduan, peta, atlas, kertas persidangan, tesis dan sebagainya.

a) Perkara paling mustahak yang perlu dipelajari oleh setiap manusia adalah bagaimana hendak belajar. Dengan kata lain, perkara paling mustahak bukanlah kemahiran yang spesifik tetapi kemahiran umum iaitu menggunakan pengetahuan dan cara mendapatkan pengetahuan itu sebagai asas bagi segala kemahiran dan pencapaian.
(Peter Drucker)

b) Cara yang terbaik untuk mendapatkan idea yang baik adalah untuk mempunyai banyak idea.
(Linus Pauling)

Wallahu a’lam.

Jeniri Amir
Berucap seperti pemimpin terbilang
2008

Sehabis hujan


Sambil merenung daun yang basah
dan sisa air yang bergenang di keluk tanah
kukenang rintikmu yang berbaki
dan gigil hutan yang berdoa

di dalam ingatan
seperti selalu aku memilih
bersendiri dengan sunyiku
setelah jenuh dan lelah
dibadai gelisah

ketika kaukirimkan percik air ke mukaku
mendinginkan segala dukacita
di sumur hati lelakiku

aku pasrah
dan di sejadah kuselawatkan
syukurku
menjadi doa yang tulus dan dalam

sambil kuhayati sunyi ini
dengan dinginmu
hujan yang selalu mendamaikan.

Marsli N.O
Kuantan Pahang
Mingguan Malaysia
7 Dis 2014

Padamu Ya Rasulullah saw

Petikan doa oleh Habib Umar b Muhammad b Salim Hafiz

Ya Allah kumpulkanlah kami dengannya (rasulullah saw), letakkanlah kami dalam kumpulannya, rasakanlah kami kelazatan cinta sebenar kepadanya, berikanlah kami daripada minumannya, jadikanlah rohnya merindui kami, lembutkanlah hatinya  kepada kami, masukkanlah kami dalam lingkungannya, jadikanlah kamu kekasihnya, jadikanlah kami orang yang membantunya, jadikanlah kami daripada kalangan orang yang menjaga dan memeliharanya, angkatkanlah tahiyyat dan salam kami ke hadratnya pada ketika ini

Ya Allah, sampaikanlah kepadanya daripada kami sebaik-baik selawat daripada penduduk  langit dan bumi, juga salam dan keberkatan. Ya Allah, jadikanlah roh Muhammadiahnya merindui kami, tambahkan kami kerinduan daripada roh ini, bukakanlah kepada kami sebesar-besar futuh. Jadikanlah kami penjuangnya, jadikanlah kami penolongnya, jadikanlah kami orang yang mendapat limpahan cahayanya, jadikanlah kami orang yang beramal dengan peninggalannya. Pakaikanlah kami akhlak dengan akhlaknya, pakaikan kami adab dengan adabnya, jalankanlah kami pada jalannya, masukkanlah kami dalam kumpulannya, berikanlah kami minum dengan keadaan perhatiannya.

Janganlah pisahkan kami dengannya ketika masih hidup, janganlah pisahkan kami dengannya kematian, janganlah pisahkan kami dengannya pada hari pembalasan nanti. Jalankanlah kami bersama-sama di atas sirat lebih laju daripada kerdipan mata Ya Allah, kurniakanlah kami berjalan bersama mereka (Ahlul Bait dan orang soleh) melintasi sirat,dan melintasinya bersama-sama mereka menujuke tempat yang palingmulia (syurga) dan ke tempat tinggal di negeri kemuliaan dan tempat rahmat....

Aameen.

Ingin kubalas cintamu ya rasulullah
Ust Muhadir hj Joll