Showing posts with label Petikan teks doa. Show all posts
Showing posts with label Petikan teks doa. Show all posts

Saturday, January 3, 2015

Doa Sambutan Mauludir Rasul Kebangsaan 1436 H / 2015 M


Bismillaahir Rahmaanir Rahim.
Alhamdulillaahi rabbil ’aa-lamin......

Dengan penuh khusyuk dan tawaduk, kami bersyukur di atas segala nikmat dan rahmat yang telah Engkau kurniakan, dapat kami berkumpul pada pagi yang penuh barakah ini di masjid yang mulia ini untuk sama-sama meraikan majlis sambutan Maulidur Rasul saw peringkat kebangsaan bagi tahun 1436 hijri ini. Kami memohon agar diberkati majlis sambutan yang kami adakan ini.

Ya Allah Engkaulah Maha Agung di langit dan di bumi yang mempunyai kekuasaaan. Engkau jadikan kelahiran rasulMu  sebagai membawa sinar cahaya kepada kehidupan. Engkaulah yang mengutus rasul manusia pilihan pemberi penjelasan bagi mengenaliMu menjalani jalan yang suci penuh dengan kebenaran, mentransformasi masyarakat dari budaya jahilliyah yang keji dan kejam, yang gelap gelita di zaman kesesatan, bergelumbang dengan maksiat dan hawa nafsu kepada cahaya iman dan ketakwaan. Dari keruntuhan akhlak kepada kehidupan yang bernilai murni yang mendapat pujian dan penghormatan.

Di saat kami berhimpun di majlis yang mulia ini, kami mohon agar dikurniakan keselamatan dan kesihatan serta taufik dan bimbingan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung, serta pemimpin-pemimpin negara seterusnya seluruh rakyat dan umat Islam, umat Muhammad di seluruh dunia.

Ya Allah, peliharakanlah negara kami Malaysia dan negara-negara Islam yang lain dari sebarang huru-hara, bala bencana. Di suasana negara kami diuji dengan musibah banjir, bencana banjir besar sekarang ini, kami semua memohon, penuh pengharapan, memohon agar Engkau ringankanlah penderitaan mereka. Berilah kekuatan dan ketabahan bagi mereka berhadapan ujian Engkau ini Ya Allah. Semuga keadaan mereka cepat pulih, kembali kehidupan aman bahagia bersama keluarga.

Kurniakanlah kami, keyakinan beriman kepada rasulMu dengan tidak berbelah bagi. Berilah taufik dan kekuatan agar ajaran-ajaran baginda nabi kami hayati, menjadi cahaya dan rahmat untuk kami jalani hidup di dunia ini. Jadikanlah kami umat yang mencintai baginda dalam semua keadaan. Dorongkanlah kami untuk menghayati sunnah baginda dalam kehidupan. Pereratkanlah ukhuwwah, tali persaudaraan antara kami. Selamat sejahtera dalam persefahaman dan perpaduan, selari dengan tema sambutan; Perpaduan Nadi Transformasi Negara. Semuga hidup kami aman dan tenteram, bahagia di dunia berpanjangan seterusnya di akhirat nikmati keredhaan dan beroleh kebahagiaan.

Aameen.

Hj Abd. Manaf b Hj Mat
Masjid Putra, Putrajaya
3 Jan 2015

Monday, August 18, 2014

Doa untuk Malaysia

Bismilllaahirrahmaanirrahim

Kami berdoa agar Malaysia sentiasa menjadi contoh dan qudwah kepada negara-negara lain di dunia amnya dan negara-negara jiran khasnya di samping menyuburkan perasaan muhibbah dan saling hormat menghormati demi mencapai sebuah negara yang cemerlang dalam segala sudut baik rohani dan jasmani.

Allahumma Ya Zal’izzah wal Jabarud
 
Sesungguhnya kami anak-anak watan Malaysia amat terhutang budi kepada arwah para pahlawan bangsa yang telah berjuang serta berkurban bagi membebaskan ibu pertiwi ini daripada cengkaman penjajahan sehinggalah dengan restu dan inayahMu perjuangan mereka menambahkan hasil yang amat bermakna dengan erti sebuah kemerdekaaan.

Justru apalah kiranya Ya Allah, Kau limpahkan rahmat dan keampunanMu ke atas roh-roh mereka sebagai gantian abadi dalam memperjuangkan agama, bangsa dan watan kami.

Allahumma asni wasarafi Allahumma Allah

Kami mohon restu dan inayahMu jua, agar jadikan kami anak watan Malaysia sebagai umat yang berguna dalam meneruskan agenda-agenda kemerdekaan terutamanya dalam menjulang tinggi kesucian agamaMu dan mampu dimanfaatkan kepada saudara-saudara serumpun kami jua.

Kami sekalian para hambaMu amat akur dengan tanggungjawab dan amanah membangunkan negara untuk terus kekal merdeka adalah bukan suatu tugas mudah dan ianya pasti akan menempuh jalan berduri andai tiada inayahMu.

Allahumma Dzul Jalal wa Al Ikram

Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, impian tinggi kami di tanah air bertuah ini hanyalah satu iaitu semuga tanah watan kami ini tergolong dalam negara yang baik serta mendapat keampunanMu Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Dalam usaha kami memohon kesejahteraan dan keamanan buat ibu pertiwi kami, sekali-kali tidak akan terluput dalam permohonan kami agar Kau memberi kerahmatan dan bimbingan kepada pemimpin-pemimpin negara kami dengan menanamkan benih-benih keikhlasan yang jitu dan utuh dalam mengalas amanah suci setiap anak watan kami. Sesungguhnya kekuatan fizikal dan mental amat diperlukan agar mereka berupaya berkerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan agama, negara dan anak watan terbela.

Kami sekalian para hambaMu seluroh anak watan Malaysia khasnya amat akur dengan kudrat dan iradatMu yang Maha Esa dengan pelbagai mehnah dan ujian besar yang menimpa kami iaitu dengan tragedy kehilangan pesawat kebangsaan kami MH370 dan termasuklah musibah pesawat MH17 yang telah menambahkan kemalangan jiwa.

Ya Allah Ya Tuhan kami, andai inilah ujian buat kami, kami terima dengan redha dan pastinya kami sekalian tidak sekali-kali berputus harap dengan kasih sayangMu yang maha kuasa terhadap kami.

Ya Allah dengan hati yang penuh kerendahan, kami mohonkan agar terus mengurniakan kekuatan kepada para pentadbir syarikat penerbangan kebangsaan kami serta para pekerjanya dalam meneruskan amanat tersebut dan andainya musibah dan bencana seumpama ini biarlah ianya menjadi tragedy terakhir dalam lipatan sejarah negara kami.

Allahumma Ya Qayyum Ya Hafiz

Kami sekalian para hambaMu turut berduka atas nasib saudara-saudara seagama kami di bumi Gaza yang menjadi mangsa kezaliman dan kerakusan zionis Israel yang telah berlarutan sekian lama.Ya Allah apalah kiranya dengan rahmat dan kasihMu, kurniakan kepada mereka kekuatan agar mereka juga menikmati kemerdekaan seperti kami.

Allahumma Ya Hafiz Ya Aliim Allahumma Ya Allah

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia yang ke 57 ini, kami mohon restu apalah kiranya Engkau pelihara dan lindungilah kedua hambaMu raja kami Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibn Al-Marhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung Tuanku Hajjah Haminah serta lanjutkanlah usia baginda berdua dalam rahmat dan selamat, dalam iman dan taat dan dipohon taufik dan hidayah yang berkekalan untuk memandu ke arah kebenaran, menjauhi segala krmungkaran. Begitu juga kami pohonka Ya Allah, keselamatan dan kesejahteraan ke atas pemimpin kami dan seterusnya kepada rakyat selurohnya.

Ya Arhamma Rahimi, Allahumma Ya Dzul Jalal wa Al-Ikram, Allahumma Ya Allah

Selamatkan kami pada setiap waktu dan ketika, tidak kira di mana jua kami berada. Selamatkan negeri dan negara kami dari segala anasir, penyakit, wabak dan mara bahaya dari segala kekacauan dan huru hara agar kami dapat hidup dalam aman dan sejahtera.

Wahai Tuhan kami, berilah kemenangan kepada Islam dan muslimin
Wahai Tuhan kami, berilah kemenangan kepada muslimin di semua tempat dan masa
Wahai Tuhan kami, berilah kemenangan kepada orang Islam di Palestine dan pembunuhan di Gaza
Berilah kemenangan kepada orang Islam dan pembunuhan di Gaza.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kalahkan mereka dan menangkan kami ke atas mereka.
Ya Allah Ya Rahman, berikanlah kekuatan dan keazaman kepada perwira kami di Lahad Datu untuk terus berjuang dan tekad dalam usaha mereka.
Berikanlah kejayaan kepada mereka.
Berikanlah ketenangan agar mereka mampu menundukkan musuh negara dan pulang membawa kejayaan.

Subhana raabika rabbil ‘izzati ‘amma yashifuun wasalaamun ‘alal mursaliin walhamdu lillaahi robbil ‘aalamiin.

Hj Zakariah b Isa
Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan
Program doa untuk Malaysia
Dataran Merdeka Kuala Lumpur
15 Ogos 2014