Wednesday, October 2, 2013

Iktikaf



Telah turun kembali malam-malam ratib
di atas sepotong doa memacu genderangan sunyi
kembalilah dalam ramamu
melepaskan duka lara Adam
ketika Hawa memandang ufuk
tenggelam dalam dinihari

Perlahan dalam senyapmu
maut menatapku kembali
memberikan sunyi yang jauh
apabila langit membuka pintunya :
Aku ingin sebuah dunia yang diam

Ramlee b Hj Gollah
Kuin
DPB, 1991

Dijauhkan fitnah kekayaan dan kefakiran



Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari fitnah neraka, azab neraka, fitnah kubur, azab kubur, buruknya fitnah kekayaan, dan buruknya fitnah kefakiran. Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari buruknya fitnah Dajjal. Ya Allah, sucikanlah hatiku dengan air salji dan hujan salji. Bersihkanlah hatiku dari kesalahan, seperti Engkau membersihkan batu putih dari kekotoran. Jauhkanlah jarak antara aku dengan kesalahanku seperti Engkau menjauhkan jarak antara timur dan barat. Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari sifat malas, dosa dan hutang.
( HR Bukhari )

Tuesday, October 1, 2013

Maafkan diri anda dan orang lain (3)



1.3 Pemudahkan memberi kemaafan.........

Ahmad telah memaafkan kesalahan rakannya. Tetapi dia masih ragu-ragu samaada mereka masih boleh berkawan baik semula.

Orang yang melakukan kesalahan, sebenarnya berada dalam aura atau ekspresi yang berlainan. Manakala orang yang telah memaafkan juga berada dalam ekspresi yang berlainan. Terdapat 3 ekspresi pada diri manusia iaitu :

a) Fizikal
b) Rohani
c) Emosi

Antara ketiga-tiga ekspresi ini, rohani adalah paling tinggi. Unsur kerohanian yang tinggi akan membawa diri lebih hampir kepada Allah, sekaligus mudah menerima dan menyesali kesilapan.

Apabila seseorang itu membuat kebaikan, seperti mudah memaafkan orang, dengan sendirinya kehidupannya akan bertambah baik. Orang yang memaafkan itu akan melihat kehidupannya lebih aman dan harmoni.

Hal ini dapat membuka mata dan menyedarkannya bahawa persengketaan, sifat marah ataupun berdendam langsung tidak membawa kebaikan kepada kehidupan. Oleh itu, minda yang positif penting bagi menangani emosi, supaya aura ketenangan diri dapat dirasai.

Kesimpulan : Manusia hidup di dunia ini hanyalah sementara. Oleh itu, carilah sebanyak mungkin keredaan Allah supaya ia dapat menjadi bekalan di akhirat nanti. Janganlah hidup di dunia ini hanya untuk marah, dan tidak mahu memaafkan orang lain kerana ia adalah sifat mazmumah dan amat merugikan kita. Oleh itu, kita perlu mudah memaafkan orang, insya-Allah orang lain juga akan mudah memaafkan kita, dan hidup kita akan lebih bahagia di dunia dan akhirat.

Wallahu a’lam

Prof. Dr Muhaya Hj Mohamad
Bahagia & membahagiakan, 2012

Maafkan diri anda dan orang lain (2)




1.2 Berlemah-lembutlah dalam berbicara

Kakak saya adalah seorang yang suka bercakap kasar lebih-lebih lagi dengan ahli keluarga sendiri. Tetapi jika dengan orang luar, perwatakannya berbeza.

Kebiasaannya, manusia akan bertindakbalas melalui imej dirinya. Apabila dia bersama ahli keluarga yang tidak pernah menghargai apa yang dilakukan ataupun berbual agak lasar dengannya, maka imej dirinya bersama keluarga amat rendah. Ini berterti, dia mungkin merasa kurang diterima dalam keluarganya.

Tetapi apabila dia bersama orang luar, dia dipuji dan dihargai, maka imejnya akan meningkat dan dia akan bertindak balas dengan baik. Perbualannya penuh sopan santun dan sebagainya., kerana dia berada di sekeliling orang-orang yang menghargai apa yang dilakukannya. Orang yang pemarah adalah orang yang takut; takut kehilangan dan takut tidak dihormati.

Orang yang marah akan berasa takut kerana dia bergantung kepada manusia dan penghargaannya, bukan kepada Allah swt. Contohnya sesiapa yang bergantung kepada jawatan, akan bimbang jawatannya itu hilang.

Sesiapa yang bergantung kepada Allah, dia akan sentiasa kuat dari segi mental dan fizikalnya, kerana tidak memikirkan mengenai apa yang orang lain katakan. Orang yang tidak yakin kepada diri sendiri adalah orang yang mudah marah dan tidak menfokuskan keyakinan kepada nilai yang tersirat, iaitu makna dan ganjaran, perbuatan yang sebenar adalah di sisi Allah swt.

Wallahu a’lam

Prof. Dr Muhaya Hj Mohamad
Bahagia & membahagiakan, 2012

Mengenali



Kalau kamu mahu mengenali sesuatu bangsa lihatlah pasarnya, kalau kamu mahu mengenali sesebuah organisasi lihatlah majlisnya, kalau kamu mahu mengenali sesebuah keluarga lihatlah tandasnya dan kalau kamu mahu mengenali individu lihatlah kasutnya.
( Falsafah Jepun )

Khailani A Jalil
Pengucapan sekolah menjana kecemerlangan

Hujan semalam



Rintik-rintik hujan semalam
yang datang bersama angin
masih meninggalkan kesan
kerana sudah mencatatkan kenangan.

Dia yang datang dengan basah kuyup
berhenti dekat tangga rumahku
memberi salam dengan nada harapan
memohon pinjam sekaki payung

Tolong pinjamkan saya payung
esok saya akan pulangkan
sepurnama masa telah berlalu
payung yang dijanji tiada tiba.

Sewaktu ada orang memerlukan
untuk dijadikan payung pelindung diri
setelah hujan berhenti
orang akan lupa budi payung.

Seperti pernah terjadi
dalam kesusahan orang minta pinjam wang
sesudah diberi pinjam
janji-janji jarang ditepati.

K Bali Abdul Rahim
Kun
DPB, 1991

Terhindar penyakit gila



 


Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari penyakit barosh (penyakit yang bersumber dari cicak), penyakit gila, penyakit lumpuh dan penyakit buruk lainnya.
( HR Abu Daud )