Monday, February 4, 2013

Melayu kita


Melayu di mata dunia
hanya tercatat di buku lama
tertinggal di muzium negara
salah kita yang nyata.

Melayu dan sejarahnya
dirobek dan disalah nyata
dek kerana manusia durjana
kerana kita manusia alpa.

Melayu lupa asalnya
tiada rasa cintakan bangsa
terlupa pada adatnya
kita juga penyebabnya.

Melayu hilang di dunia
kalau kita lupa sejarahnya
kalau kita terus alpa
akhirnya kita tiada harga.

Melayu hilang di dunia
kalau kita lupa rumpunnya
adat yang ada tidak dijaga
punah bangsa bersama negara.

Mazniah Md Yunus
Kota Tinggi Johor
BH 3 Feb 2013

Sunday, February 3, 2013

Sudah tahu


Sudah tahu galah cuma sedepa
masih hendak mengait kelapa
mengaku dialah juara ditempa
direbus tak empuk
dibakar tak hangus
lupa cuaca berubah tiba-tiba
kelkatu nak terbang ke angkasa
akhirnya jatuh di tepi pelita.

Sudah tahu lagi dicanang
akulah calon mampu menang
ini wajah pemimpin pelapis
garang bercakap tak berlapis
jeritnya jalan mati lagi diredah
inikan pula lebuh raya nan lurus
adat mata memilih yang molek
telinga mendengar yang baik-baik
sudah tahu kelarai sesat taja
mengaku salah perkara tak sengaja
jangan malas menganyam semula.

Sudah tahu diri antah dalam beras
apa ditunggu apa diharap
janji lima tahun sekali itu aturan
dari akar baiklah rotan
sayangkan rakyat ramai pengikut
bertepuk sorak terangkat ribut
jangan terkejut ada yang belot
bak kijang ditambat rantai emas
terlepas lari ke hutan juga
sampai masa undur bermaruah
tak rugi basi nasi sekawah!

Khadijah Hashim
TTDI Kuala Lumpur
BH, 3 Feb 2013

Saturday, February 2, 2013

Doa Abu Darda’


Doa mustajab selepas Subuh dan Maghrib

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad saw semulia-mulia rasul dan juga ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekalian.

Ya Allah, Engkau Tuhan kami, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Engkau. Kepada Engkaulah kami bertawakal dan Engkaulah Tuhan Arasy Yang Maha Besar.

Sesuatu yang dikehendaki Allah pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki Allah pasti tidak akan berlaku. Tiada daya upaya dan tiada sebarang kekuatan yang dapat menjayakan dan menggagalkan sesuatu selain Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Kami mengetahui  sesungguhnya Allah (atas tiap-tiap sesuatu) amat berkuasa. Dan sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya pada tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan Engkau daripada kejahatan atau keburukan pada diri kami dan daripada tiap-tiap makhluk yang melata (jin, syaitan, binatang dan manusia). Engkaulah yang mengawasi ubun-ubunnya (segala gerak gerinya). Sesungguhnya Tuhan kami di atas jalan yang benar.

Dan cucurilah rahmat dan kesejahteraan atas penghulu kami nabi Muhammad saw, keluarganya serta sahabat-sahabatnya sekalian. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.

Datuk Hj Md Hashim Yahaya

Mandi sunat


Mandi bagi perempuan yang istihadah setiap kali hendak solat

Berdasarkan hadis Ummu Habibah rha yang keluar darah istihadah, lalu bertanya kepada rasulullah saw dan baginda menyuruhnya mandi. Lalu dia mandi pada setiap kali solat.

Terdapat hadis daripada Aisyah rha bahawa Zainab bt Jahsy rha telah keluar darah haid, lalu rasulullah saw berkata kepadanya : Mandilah untuk setiap solat.
(Hadis Abu Daud dan Ibn Majah)

Diharuskan menghimpunkan dua solat dengan sekali mandi, iaitu menghimpunkan solat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak.

Berdasarkan hadis daripada Aisyah rha bahawa Sahlah bt Suhail b Amru telah keluar darah istihadah. Lalu dia bertanyakan rasulullah saw tentang perkara ini dan baginda menyuruhnya mandi untuk setiap solat.

Tetapi apabila perkara itu membebankannya, baginda menyuruhnya untuk menghimpunkan di antara Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak dengan sekali mandi, dan Subuh pula sekali mandi,
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Wallaahu a’lam.

Ensiklopedia solat; Datuk Hj Md Hashim Yahaya

Ya Allah, jadikanlah  saudara-saudara kami mereka yang beroleh kebaikan dan bertakwa kepadaMu serta  yang akan bertakbir di tempat yang tinggi.  Rapatkanlah bumi, dekatkanlah jaraknya dan mudahkan perjalanan mereka. Engkaulah pendamping dalam perjalanan dan pengganti kepada keluarga yang ditinggalkan. KepadaMulah sahaja kami memohon perlindungan daripada kesulitan perjalanan, pemandangan yang menyedihkan dan kembali yang buruk pada harta dan keluarga. Aameen.

Friday, February 1, 2013

Doa Taubat


Dengan nama Allah Yang Maha  Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam. Selawat dan salam ke atas Penghulu kita nabi Muhammad saw dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Ya Allah, kami memohon keampunanMu daripada segala dosa yang telah kami lakukan, dengan sengaja atau tidak atau kerana kami tidak mengetahuinya. Kami memohon keampunanMu daripada segala dosa yang telah kami bertaubat kemudian kami ulangi semula. Dan kami memohon keampunanMu daripada dosa-dosa yang hanya Engkau mengetahuinya dan hanya Engkau yang dapat mengawalnya.

Kami memohon keampunanMu daripada semua dorongan hawa nafsu kami yang menjurus kepada perkara syubhah sedangkan ia haram di sisiMu. Kami mohon keampunanMu daripada segala amalan yang kami lakukan untukMu tetapi kemudiannya bercampur aduk dengan amalan yang lain.

Tiada Tuhan yang disembah selain Engkau, wahai Yang Maha Pengasih. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Penghulu kami, Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya.Aameen Ya Rabb.

Makruh dalam solat ( 2 )


7. Solat dalam keadaan menahan air kecill dan air besar

Aisyah rha pernah menceritakan rasulullah saw bersabda : Tidak sempurna solat di hadapan makanan dan begitu juga ketika terdesak untuk membuang air kecil dan air besar.
(Riwayat Muslim dalam sahih Muslim)

8. Solat dalam keadaan terlalu mengantuk

Aisyah menyatakan telah bersabda rasulullah saw : Apabila seseorang itu mengantuk ketika hendak mengerjakan solat hendaklah dia tidur sehingga rasa mengantuknya hilang. Kerana jika seorang yang mengantuk bersolat dia tidak mengetahui mungkin ketika hendak memohon keampunan (istighfar) dia sebaliknya memaki dirinya.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

Abu Hurairah juga mengatakan rasulullah saw telah bersabda : Sekiranya seorang bangun tengah malam tetapi dia tidak dapat membaca al-Quran dengan betul (kerana mengantuk) sehingga dia tidak mengetahui apa yang disebutnya, hendaklah dia berbaring (tidur).
(Riwayat Muslim)

Syarat-syarat mendahulukan tidur sebelum solat :

1. Waktu masih panjang
2. Yakin bangun semula pada masanya
3. Bertujuan menyegarkan badan

9. Meludah ke hadapan atau ke sebelah kanan

Ketika bersolat, seseorang itu sedang bermunajat kepada Tuhannya, atau Tuhannya berada di antaranya dan kiblat. Oleh itu, jangan kamu meludah ke arah kiblat, tetapi ludahlah ke kiri dan di bawah tapak kaki.
(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban meriwayatkan sebuah hadis marfu’ daripada Huzaifah, menyatakan siapa yang meludah ke arah kiblat, di akhirat kelak dia akan dibangkitkan dengan air ludah itu di mukanya. Perkara yang sama diceritakan oleh Ibn Khuzaimah dalam hadis Ibn Umar yang marfu’.

Abu Daud juga ada meriwayatkan sebuah hadis daripada al-Said bin Khallad bahawa seorang atau sekumpulan orang telah meludah ke arah kiblat ketika bersolat. Setelah selesai solat, rasulullah saw menegur dengan menyatakan solat mereka tidak sah atau tidak sempurna. Baginda juga mengatakan mereka telah menyakiti Allah dan rasulNya dengan perbuatan tersebut.

10. Menguap dalam solat.

a) Menguap itu adalah daripada syaitan. Oleh itu, jika sesiapa menguap hendaklah dia menahannya sebaik mungkin.
(Riwayat  Muslim dalam sahih Muslim )

b) Jika sesiapa menguap hendaklah dia menutup mulutnya dengan tangan. Sebab syaitan akan masuk (ke dalam mulut jika tidak menutupnya)
(Riwayat Muslim daripada Said al-Khudri)

11. Rukuk sebelum sampai ke saf

Oleh kerana lewat tiba, ada yang tergesa-gesa memulakan solat agar sempat rukuk bersama imam. Ia rukuk sebelum benar-benar masuk dalam saf. Perbuatan ini tidak disukai rasulullah saw sebagaimana yang berlaku kepada Abu Bakrah. Baginda menegur perbuatannya dengan berkata : Semoga Allah menambah kegigihanmu dan jangan sekali-kali kamu mengulanginya.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

12. Memakan makanan yang mengeluarkan bau busuk sebelum solat

Diriwayatkan daripada Jabir b Abdullah ra bahawa rasulullah saw  bersabda :
Sesiapa yang makan bawang putih atau bawang merah hendaklah dia menjauhi kami atau jauhi masjid kami, dan dia hendaklah duduk di rumahnya.
(Riwayat al-Bukhari)

13. Bermain-main dengan jari dan membunyikannya (mematahkannya)

Apabila seorang berwuduk, hendaklah dia berwuduk dengan sempurna. Kemudian terus keluar ke masjid dan tidak menjalinkan jari-jarinya ketika dia sedang solat.
(Riwayat al-Tirmizi daripada Ka’ab bin ’Ujrah dalam sunan al-Tirmizi)

14. Mengkhususkan satu tempat di dalam masjid untuk menunaikan solat

Abdul Rahman b Syibl telah berkata : Rasulullah saw menegah (sujud seperti) patukan burung gagak, (duduk seperti) duduk haiwan, dan seorang yang menetapkan satu tempat di dalam masjid seperti unta yang ditambat.
(Riwayat Abu Daud)

Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan larangan ini adalah untuk mengelakkan sikap riyak, ujub dan gah dengan menetapkan tempat khas untuknya.

Wallaahu a’lam.

Ensiklopedia solat; Datuk Hj Md Hashim Yahaya

Maksiat batin 10


Riak

Adapun riak, dinamakannya syirik tersembunyi. Sekalian ulama bersepakat mengharamkannya dan syarak mencelanya :

1. Firman Allah Taala : Maka binasalah bagi orang-orang yang bersembahyang, yang lalai dari sembahyangnya yang mengerjakan sesuatu kebaikan untuk dilihat orang, agar dipuji dan diperbesarkan orang.

2. Sabda nabi saw : Sesungguhnya apa yang terlebih takut daripada apa yang aku takuti ke atasmu ialah syirik kecil. Ada sahabat bertanya: Apa syirik kecil itu wahai Rasulullah? Maka sabdanya yang bermaksud : iaitu riak. Pada hari kiamat nanti ketika Allah Azza wa Jalla membalas sekalian hambaNya dengan amalan mereka, Ia berfirman kepada mereka yang riak itu : Pergilah kamu kepada mereka yang kamu perlihatkan amalan kamu kepadanya. Maka lihatlah adakah kamu dapat pada mereka pahala yang jadi balasan segala amalan kamu itu.

3. Sabda nabi saw : Allah Taala tiada menerima amalan yang ada riak di dalamnya, walaupun sekadar habuk yang halus.

4. Sabda nabi saw : Engkau pintalah dengan Allah Taala supaya dipelihara daripada telaga dalam. Ada sahabat bertanya : Apa dia telaga dalam wahai Rasulullah? Maka sabdanya : Iaitu sungai di dalam neraka Jahnam disediakan bagi qari-qari yang riak.

Iaitu disediakan bagi qari yang riak yang berkehendakkan dipuji orang bacaannya, lagunya dan sebagainya kerana yang demikian itu riak lagi haram.

5. Kata Imam al-Ghazali : Hakikat riak itu ialah menuntut martabat kepujian di dalam hati manusia dengan mengerjakan ibadat dan berbuat amal kebajikan.

Iaitu berbuat demikian supaya dipuji orang supaya diperbesarkan orang atau supaya dikasihi orang supaya dikatakan orang salih dan sebagainya. Maka sekaliannya itu haram lagi berdosa besar.

Wallaahu a’lam.

Hidayah Salikin
Syeikh Abdul Samad al-Palimbani.