Sekarang ini
demam Piliharaya ke-13. Ia dijangka piliharaya yang benar-benar akan
mendemamkan sama ada BN ataupun PR. Maka sekarang parti-parti politik dalam
negara kita sedang sibuk dan menyibukkan diri untuk menghadapi demam tersebut.
Ucapan dan slogan politik kedengaran di sana-sini.
Kuasa, kuasa dan
kuasa. Itulah mimpi sebahagian manusia politik. Saya tidak ingin mengulas pada
minggu ini. Saya hanya ingin memetik pelbagai ucapan beberapa tokoh umat Islam berkaitan dengan perjuangan dan kepimpinan.
Harapnya ia boleh
menjadi bekalan dan renungan untuk semua pihak yang terbabit. Ia boleh menjadi
koleksi dan koreksi untuk mereka yang merasa diri berada di medan perjuangan
dan siasah.
Akui kesilapan :
Nabi Musa berjuang
menghadapi Firaun. Namun Nabi Musa pernah membuat kesilapan sebelum menjadi
rasul iaitu telah memukul seorang warga Mesir keturunan qibti sehingga mati.
Semasa dialog antara Musa dan Firaun, Firaun mempertikaikan tindakan Musa
tersebut.
Nabi Musa mengakui
kesilapan tersebut, namun meneruskan perjuangan yang benar. Allah menceritakan
hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya : (maksudnya) Maka
pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah
kepadanya : Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu
membebaskan kaum Bani Israel mengikut kami.
Firaun menjawab: Bukankah kami telah memeliharamu dalam
kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau
telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah)
engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan
(dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?
Nabi Musa berkata
: Aku melakukan perbuatan demikian
sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk.
Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu,
kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan dan menjadikan daku seorang
RasulNya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah
kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israel. (Surah
al-Syu’ara : 16-22).
Inilah sikap
pejuang yang ikhlas dan benar!.
Pohon maaf dan betulkan kesilapan :
Apabila fitnah
berlaku di zaman pemerintahan Saidina ’Uthman bin ’Affan, beliau menulis surat
kepada rakyat memohon kemaafan dan membuka ruang agar dibetulkan kesalahan
pentadbiran.
Beliau menyebut
dalam suratnya: Aku mengambil
pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku menerintah,
aku telah jadikan umat ini dikusai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy’an
al-Munkar.
Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada
pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka itu haknya. Tiada bagiku atau
keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan ianya ditinggalkan untuk
rakyat.
Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa
ada golongan yang dicerca dan ada pula yang dipukul. Sesiapa yang dicerca
ataupun dipukul secara sembunyi atau sesiapa yang mendakwa sesuatu, apabila
cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada,
daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya
Allah member ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan).
Apabila surat ini
dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata : Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat
ini kejahatan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil.4, hlm.342) iaitu fitnah telah menular di tengah-tengah
umat.
Maksud ‘rakyat
didahulukan’
Jika kita ingin mendengar contoh rakyat didahulukan, maka bacalah Sirah ‘Umar
bin al-Khattab ini: Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin
al-Khattab tidak memakan pada tahun kemarau melanda Madinah lemak haiwan, susu
dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya.
Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat
membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar
enggan makan bahkan berkata: Engkau telah
menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan
pembaziran.
Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang
mengenai mereka?. (Al-Tabari, 2/358, Beirut:
Dar al-Fikr). Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan
disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk
masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu
bahagian belakang unta dan hatinya.
Lalu ‘Umar bertanya: Dari mana diperoleh
ini ?. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai
pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan
yang sisa (Ibn Sa’d, al-Tabaqat
al-Kubra, 3/312, Beirut:
Dar Sadir).
Awasi pengampu
Syaiban al-Ra‘i berkata kepada Harun al-Rasyid:
Wahai Amir al-Mukminin, andainya
engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga
engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi
engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.
Tanya Harun al-Rasyid: Jelaskan maksudnya untukku. Jawab
Syaiban: Sesiapa yang berkata kepada engkau:
Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah lebih baik dari orang yang berkata Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan
dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!. Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga
mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya.
Kata Syaiban lagi: Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan
kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka
saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan
tindakan kamu ke atas saya. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah
al-Risalah).
Menyedari
bebanan amanah
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau
seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya
setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum
keluar ke khalayak ramai.
Kata anaknya: Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis.
Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya.
Apabila ditanya, dia berkata: Wahai
Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa.
Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita,
orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang
jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan
wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru
negara.
Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku
bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis
(lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min
Qada al-Islam, 144).
Dalam Sifat al-Safwah karya Ibn al-Jauzi yang meriwayatkan bahawa ketika
Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa, seorang tokoh umat bernama ‘Abd
Allah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya: Lihatlah ke arah Kaabah. Harun al-Rasyid menjawab: Aku sedang lihat. Kata beliau lagi: Berapa jumlah mereka yang kau lihat? Jawab
Harun: Siapa yang mampu membilangnya.
Kata beliau pula: Berapa jumlah manusia yang seperti mereka? Jawab Harun:
Hanya Allah yang mampu menghitungnya.
Kata al-‘Umari lagi: Ketahuilah engkau bahawa setiap mereka itu hanya akan
ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan
ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib
engkau nanti. Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid
mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.
Menyedari
kemampuan diri
Saidina ‘Umar bin al-Khattab pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari
menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya: Ya
Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku,
bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-siakan tugas
dan tanpa ditimpa fitnah. Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke
Madinah beliau wafat dibunuh.
Demikian Saidina ‘Ali bin Abi Talib walaupun usia belum
lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah
diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu
beliau pun mati selepas itu.

Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz apabila merasakan rakyat
sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia
meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon ALLAH
mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. (lihat: Ibn
Rajab, al-Jami’ al-Muntakhab, 103,
Lebanon: Muassasah Fuad).
Banyak lagi ungkapan yang baik tentang kuasa dan jawatan untuk direnungi oleh
mereka yang merinduinya. Saya petik sedikit daripadanya sebagai bingkisan buat
yang lantang berbicara tentang keinginan kepada kuasa.
Wallaahu a’lam.
Dr. Maza
Sinar Harian, 30 Nov 2012