Alhamdulillah
segala puji bagi Tuhan yang Maha Esa maka dengan izinNya kita dapat merentasi
lapar dan dahaga dalam menjunjung ketaatan kepada Allah swt iaitu puasa yang menjadi salah satu
daripada rukun Islam yang lima. Saat kita berada di penghujung ini, kita
mengharapkan kemenangan Ramadan akan hinggap dalam kamus kehidupan kita.
Ramadan merupakan
bulan yang mempunyai banyak karamah dan keberkatan khususnya kepada orang yang
bertakwa. Kita akan dapati terlalu banyak keistimewaan kedua-duanya seperti
sejarah kegemilangan Islam tercatat pada bulan Ramadan antaranya:
Pertama: Permulaan Nuzul al-Quran (25 Ramadan atau 17
Ramadan). Ia merupakan noktah dan titik permulaan peradaban manusia. Ini kerana
ia menyingkap kegelapan jahiliyyah seterusnya dipancar sinar keilmuan Islam
melalui kitab Ilahi dengannya tertegak tamaddun Islam dan insani. Maka
beruntunglah mereka yang berpegang dengan kitab suci al-Quran yang
menjadikannya petunjuk dan pedoman hidup.
Kedua: Peperangan Badar (17 Ramadan). Ia berlaku pada
tahun 2 Hijrah di perkampungan Badar di mana tentera Islam seramai 313 orang
dengan kelengkapan yang amat naif tetapi membawa ketinggian iman dan keyakinan
kepadaAllah swt dapat mengalahkan musuh yang mempunyai kelengkapan dengan jumlah
lebih daripada 900 orang yang dipimpin oleh Abu Jahal. Kemenangan itu merupakan
suntikan semangat kepada umat Islam untuk bersama menegakkan agamanya dan
mempertahankan rasulullah saw.
Ketiga: Pembukaan Kota Mekah (20 atau 21 Ramadan), ia
berlaku pada bulan Ramadan juga iaitu pada tahun 8 Hijrah. Ini hasil daripada
pencabulan perjanjian yang dimeterai antara rasulullah saw dengan puak Quraisy
dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 hijrah.Dengan kemenangan tersebut umat
Islam dapat menjadikan Mekah sebagai
Kota Islam di mana terdapatnya Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam
seluruhnya. Peristiwa ini menyebabkan seluruh semenanjung Tanah Arab berjinak dengan Islam dan mereka masuk
kepada agama Islam dengan berduyun-duyun. Itulah yang dinyatakan Allah swt melalui
Surah an-Nasr.
Keempat: Tersebarnya Islam ke Yaman (Ramadan 10 Hijrah),
di mana rasulullah saw menghantar para sahabat untuk menyebarkan Islam.
Kelima: Peperangan Zallaqah (25 Ramadan 479 Hijrah),
peperangan yang menyaksikan tentera
Islam bertembung dengan tentera kafir yang berkesudahan dengan kemenangan oleh
tentera Islam.
Keenam: Peperangan Ain-Jalut (15 Ramadan 658 Hjrah).
Pada tahun 656 Hijrah, kerajaan Mamalik dapat mengalahkan tentera Monggol dalam
peperangan di ’Ain Jalut. Seorang panglima tentera Islam terkenal, Qutuz yang
menjadi pemimpin Mesir telah mengumpul tentera Islam dan menyuntik semangat
mereka untuk berkorban di samping adanya nasihat seorang ulama terkenal
Izzuddin bin Abdul Salam.
Ketujuh: Pembukaan Kota Andalus (28 Ramadan 92 Hijrah) Di
bawah pimpinan Thariq bin Ziyad, negeri
Sepanyol dapat dibuka yang berjaya merentangi selat antara Afrika dan Eropah di
bawah arahan Musa bin Nusair. Peristiwa ini sebagai mukadimah bertapaknya Islam
di negara Eropah sehinggalah kepada kawasan-kawasan yang lain.
Kelapan: Salahuddin al-Ayubi mengalahkan tentera salib
dalam bulan Ramadan iaitu pada tahun 580 Hijrah. Seterusnya merekaberjaya
mengambil dan menguasai kembali benteng Shafad.
Begitu juga
peperangan muktakhir yang berlaku antara tentera Mesir dan Syria melawan
tentera Israel sehingga memberi kemenangan kepada pihak Mesir. Ini menjadikan
pukulan yang hebat kepada tentera Israel sehingga mengheret kepada perjanjian.
Daripada peristiwa-peristiwa
ini menunjukkan kepada kita betapa para sahabat makin bersemangat dengan
kedatangan ramadan kerana iamemberi kekuatan Ruhi yang seterusnya menjadikan mereka dapat mengalahkan nafsu
syahwat dan juga dengannya cahaya dan sinar ilham Allah swt kepada hati mereka.
Maka dengan sebab itulah apabila mereka menuju ke medan jihad kemenangan
sentiasa bersama mereka. Ini kerana mereka mempunyai dua kekuatan iaitu rohani
dan jasmani sedangkan musuh bergantung kepada zahir jasmani sahaja. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka
kosong, perasaan takut bertapak dalam hati mereka ditambah dengan keberanian
yang luar biasa yang ditunjukan oleh tentera Islam hasil daripada Ubudiyyah
mereka kepada Tuhannya.
Al-Ustaz Fathi
Yakan dalam bukunya Apa Ertinya Saya Menganut
Islam berkata:Orang-orang yang
terdahulu dari kita benar-benar mengetahui dan memahami bahawa dakwah mereka
tidak akan mencapai kejayaan kecuali dengan jihad, pengorbanan, penyerahan
harta kekayaan dan jiwa raga lantas mereka pun mengorbankan diri dan harta
mereka untuk perjuangan. Mereka berjihad pada jalan Allah swt dengan
sebenar-benarnya. Mereka mendengar seruan Allah swt yang menyeru kepada mereka
yang bermaksud:
Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara,
isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan
yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih
kamu cintai dari Allah dan rasulNya dan
dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan
keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(Surah at-Taubah: Ayat 24)
Sebaik sahaja
mendengar seruan yang berupa ugutan itu, mereka pun terus menyambutnya. Mereka
membebaskan diri mereka dari segala sesuatu yang mereka cintai dengan penuh
kerelaan hati malahan mereka bergembira dan merasa bahagia dengan janji setia
yang mereka berikan kepada Allah swt.
Ada di kalangan
mereka yang bertarung dengan maut tetapi masih menyeru: Maralah menuju Allah yang tidak membawa sebarang bekalan. Ada juga
di kalangan mereka yang mengorbankan seluruh harta benda mereka dengan berkata:
Aku tinggalkan untuk keluargaku Allah swt
dan rasulNya. Ada juga di antara mereka yang bermadah sedangkan mata pedang
sedang berada di leher mereka: Aku tetap
tidak peduli, asalkan aku seorang muslim biarpun diriku dibunuh mati untuk
Allah kematian pasti.
Demikianlah yang
telah terjadi kepada mereka yang berjihad dengan jihad yang benar,
pengirbanannya besar, menyerah diri dengan bersungguh-sungguh dan kita juga
melakukan perkara yang sama (dengan izin Allah swt)
Atas dasar ini
selayaknya umat Islam menjadikan Ramadan sebagai bulan tamrin dan latihan dalam
mengatur dan menyusun langkah kehidupan di atas asas syariat Allah swt.
Dalam saat kita menyambut
akhir Ramadan dan bertemu dengan Syawal sudah pasti semangat Ramadan ini
hendaklah kita bawa bersama sebagai mukadimah perubahan hidup kita ke arah yang
lebih baik mengikut kehendak Allah swt. Begitu juga Syawal menjadikan kita
lebih bersyukur kepada Ilahi atas nikmat kurniaan kemampuan untuk melaksanakan
ibadahNya dengan jaya. Amin.
Dr. Zulkifli b
Mohamad Al-Bakri
Prof Madya Dr
Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi
Abdul Manam bin
Mohamad Al-Merbawi
Risalah Ramadan
Majlis
Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu,2011.