Thursday, June 28, 2012

Peribadi seimbang



  1. Arahkan perhatian kita keluar dari diri sendiri. Tumpukan perhatian kita kepada orang lain dan kepada kejadian yang berlaku. Jika kita banyak memikirkan tentang diri kita maka kita akan menjadikan diri kita terlalu penting dan hal itu tidak dapat menimbulkan keseimbangan.

  1. Dalam membuat hubungan dengan alam yang di luar dari diri kita jangan beratkan beban imaginasi kita. Jangan terlalu banyak mengira; lakukan apa yang patut kita lakukan dan tinggalkan apa yang patut kita tinggalkan. Itulah sebaik-baik panduan. Kata orang-orang  tua; buat baik berpada-pada, buat baik jangan sekali.
  1. Kembangkan sifat percaya kepada diri sendiri. Jangan cepat menerima kata orang sehingga kebenaran diakui oleh akal fikiran kita sendiri. Dengar hanya kepada bisekan diri sendiri. Tanamkan sifat sedikit-sedikit menentang . Jangan mudah mengikut kata orang.

Jangan segera terpengaruh kepada pendapat yang ramai sebab yang dapat melihat kebenaran itu hanya segelintir manusia dan kita mungkin termasuk dalam golongan yang sedikit itu.

  1. Jangan bersifat terlalu kasihan belas dan pemaaf. Tuhan bersifat pemaaf dan kasihan belas tetapi Tuhan juga bersifat penghukum yang tegas. Sifat ini memberikan kita kelegaan dan keseimbangan.

  1. Bebaskan diri kita dari bentuk-bentuk tabiat keanak-anakan. Kita akan sedar bahawa kebanyakkan kelemahan kita adalah berbentuk emosi. Mereka yang dapat dipengaruhi oleh emosi tidak akan dapat menjadi orang-orang yang seimbang.

  1. Hendaklah kita bertimbangrasa kepada orang lain. Orang-orang yang seimbang peribadinya ialah orang-orang yang dapat memahami kesulitan-kesulitan orang lain dan dapat pula memberi peluang kepada mereka untuk berkembang dan maju ke depan. Orang-orang yang hasad dengki itu ialah manusia-manusia kerdil yang tidak dapat berbuat sesuatu apa terhadap orang lain. Manusia yang seimbang itu ialah manusia yang besar jiwanya dan kebesaran jiwanya menjadikan orang-orang yang hampir dengannya merasa besar dan seimbang.

  1. Tanamkan suatu peribadi yang menarik. Peribadi yang tidak menarik bukan sahaja dapat merosakkan imej sesaorang itu malah dapat merosakkan kecemerlangan masa depannya. Pembawaan kita hendaklah sederhana dalam serba-serbi sebab orang-orang yang seimbang itu adalah orang yang sederhana.

  1. Pelajarilah peribadi orang yang menarik dan seimbang itu. Perhatikan apakah kualiti atau keistimewaan yang terdapat pada peribadinya yang telah menjadikannya besar dan berjaya.

  1. Jadikan tabiat kita lambang diri kita yang sebenarnya. Perangilah mana-mana tabiat buruk yang terdapat pada diri kita dan amalkan tabiat-tabiat yang baik supaya lekat dan bersebati dengan peribadi kita.

  1. Pelihara dan pupok kesihatan kita. Kesihatan adalah kepunyaan yang mahal. Kesihatan yang sempurna lebih berharga dari dunia selurohnya bagi seseorang itu.

  1. Bersedia menerima perubahan. Seseorang yang yang seimbang ialah seorang yang sangat yakin kepada dirinya akan tetapi itu tidaklah bererti bahawa ia tidak bersedia untuk menerima perubahan jika perlu. Sekali sekala usaha membuat penilaian terpaksa dilakukan terhadap keadaan diri seorang itu, kelemahan dan kelebihannya. Dalam usaha melakukan penilaian itu seseorang itu akan dapati apa yang patut diperbaiki dan apakah perubahan yang perlu dilakukan. Zaman berubah dan pandangan hidup bertukar. Seseorang yang seimbang ialah seorang yang menurut peredaran zaman.
Wallahu’alam.

( Ramsis, PAP 1972 )

1 comment:

  1. Memang banyak yang perlu diseimbangkan di dunia ini. Orang yang beruntung adalah yang mengaut keuntungan dunia dan akhirat dan bukan hanya salah satu daripadanya.

    ReplyDelete