Sunday, March 15, 2015

Duka sejarah


Usah diungkit kata
segala peristiwa duka
menumpahkan air mata
terjajah negara tercinta
biarlah ia jadi kenangan
dan teladan masa depan.

Teks sejarah di sekolah
biarlah anak-anak kita
kenali baca segala peristiwa
dikaji, difahami dan dhayati
luka bangsa sejarah penjajah
tidak berulang kembali
akhirnya tinggal sejarah
parut luka dan darah.

Duka sejarah duka kita
kitalah pencipta sejarah
agama, bangsa dan Negara
biar gagah dan perkasa.

Ami Masra
USJ 4, Subang Jaya
Berita Harian,
8 Mac 2015

Saturday, March 14, 2015

Tanda utama kegagalan dalam mendidik manusia (1)

Banyak undang-undang

Di dalam Al-Quran, wahyu berkaitan undang-undang dan hukuman turun di hujung tempoh kerasulan. Tidak banyak diperkatakan mengenai hukuman berbanding persoalan lain. Maksudnya, Allah SWT memberi panduan kepada manusia supaya mengutamakan didikan berbanding hukuman. Didikan yang sangat diutamakan pula ialah membina iman, takwa, peribadi dan akhlak.

Allah mahu supaya manusia menjadi baik melalui didikan. Negara-negara sekular seperti Amerika dan Eropah mempunyai banyak undang-undang, akta, peraturan dan etika. Apabila timbul masalah baru, undang-undang baru akan digubal. Amerika diumpamakan seperti negara dengan undang-undang sepuluh perpustakaan. Mereka mungkin berbangga kononnya bijak dan pintar menyedia dan mencipta begitu banyak undang-undang. Sebenarnya mereka lupa itulah tanda kegagalan dalam mendidik manusia.

Manusia yang berjaya dididik tidak memerlukan banyak undang-undang kerana sangat minima membuat kesalahan. Banyaknya undang-undang itu menjadi bukti mereka sangat mengunakan akal yang mana akal tidak boleh dan tidak mampu mendidik rohani, akal dan terutamanya nafsu. Mereka hanya menggunakan akal dalam usaha mengatasi masalah. Sedangkan masalah manusia kerana nafsunya. Maka banyaklah berlaku kaedah trial and error. Sedangkan kaedah itu tidak sesuai dipraktikkan untuk manusia.

Wallahu a’lam

Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi
2012

Bicara hati anak (4)


16. Usah menolak pertanyaan saya. Jikalau ini berlaku, saya tidak akan bertanya lagi dan pasti memberi jawapan daripada punca lain.

17. Usah katakan bahawa ibu dan bapa serba sempurna, ataupun tidak ada cacat cela. Ini memeranjatkan saya.

18. Usah berasa terhina apabila hendak meminta maaf daripada saya. Saya pasti berasa lebih mesra dengan ibu dan bapa apabila mendengar ucapan maaf yang tulus ikhlas.

19. Usah lupa bahwa saya cepat membesar. Memang sukar untuk ibu dan bapa mengikut serta mengesan pertumbuhan saya. Walau bagaimanapun, cuba untuk berbuat demikian.

20. Usah lupa bahawa saya suka melakukan percubaan. Hati saya resah sekiranya saya tidak mencuba. Jadi, izinkan saya mencuba.

21. Usah lupa bahawa saya memerlukan kasih sayang dan persefahaman supaya saya dapat membesar dengan baik.

Wallahu a’lam.

Padanya ada bahagia
Dr. Robiah K.Hamzah
Bahruddin Bekri
2014

Air yang menjilat tebing

Air yang menjilat tebing itu
dengan rakus menumpahkan
lahar amarahnya
ke segenap rubrik kecil sang penghuni
suara teriakan kecil anak-anak
melantun menerjah daun jendela
yang perlahan-lahan sirna
ditelan lumpur

Air yang menjilat tebing itu
menemukan air mata dan harapan
sang ibu mencari sisa suara tumpah
di celah reput roboh dinding
tersadai di ranting harap

Air yang menjilat tebing itu
keruh warnanya mengusung lumpur
dari tarahan bukit teroka rakus
para ilmuan teknokrat
tanpa peduli pesan keramat
para wali

Air yang menjilat tebing itu
berpusar nanar
hilang kompas arah
hadirnya begitu pantas
menyimpang resah hati sang bapa
dicatu puluhan ribu warga anak
hilang dahan bergayut
tercabar iman dan takwa

Maruah kita
bagai air yang menjilat tebing
nanar berpusar
bagai air bah yang melandai
jika tidak disiapkan
kitalah sang pelarian
diburu bimbang
yang hilang kata-kata
yang miskin muafakat.

Asmui Mustapa
Tumpat, Kelantan
Mingguan Malaysia
1 Mac 2015

Friday, March 13, 2015

Kekuatan pemimpin

Ada tiga, iaitu:

a) Akal

Genius atau cerdik. Banyak menguasai ilmu dan minda. Mempunyai idea yang bernas dan praktikal. Pandai menyusun, mengatur dan mentadbir. Mampu mengeluarkan pandangan dan ulasan terhadap sesuatu isu atau persoalan. Berupaya memberi rasional terhadap sesuatu perkara.

b) Jiwa

Kemahuan yang kuat dan bercita-cita tinggi. Sangat sabar, cekal dan tabah. Sentiasa mahu mara ke hadapan. Sanggup mermikul beban dan bertanggungjawab. Tahan ujian. Tidak kecewa dan tidak putus asa. Berani tetapi berstategi. Kuat berkorban.

c) Perasaan

Peka terhadap hal ehwal masyarakat dan segera memberi tindak balas. Prihatin dan mudah bersimpati terhadap kesusahan masyarakat. Perasan yang halus atau sensitif. Cepat menyelami susah senang orang lain. Berseni dalam kepimpinan. Bersopan dan berakhlak. Bertimbang rasa. Mudah simpati dan mudah berkongsi rasa.Teliti dan hati-hati dalam semua perkara terutama ketika membuat keputusan.

Kekuatan perasaan juga  dapat mengimbangi kekuatan jiwa. Jika gopoh melulu akan menjadi tenang dan berhati-hati. Jika berbelanja tidak sampai nenjadi boros. Jika marah tidak sampai terlajak menjadi mengutuk. Kesalahan kecil tidak dibesar-besarkan sehingga riuh rendah satu negara. Juga tidak bersikap terlalu nampak kesalahan, kesilapan dan cacat cela orang lain saja.

Wallahu a’lam

Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi
2012

Bicara hati anak (3)


11. Usah lupa, saya tidak bijak dalam menyatakan hasrat saya. Itu adalah sebab mengapa saya tidak selalu betul.

12. Usah buat janji yang tergesa-gesa. Ingatlah bahawa saya akan berasa kecewa kalau janji-janji itu tidak ditepati.

13. Usah memaksa saya menunjukkan kejujuran. Ini mudah menakutkan saya sehingga saya bercakap bohong.

14. Usah selalu bertukar-tukar sikap. Ini membuatkan saya keliru dan kurang yakin terhadap ibu dan bapa.

15. Usah cuba membodoh-bodohkan saya apabila saya takut. Ketakutan saya berasas dan saya mampu mendapatkan keyakinan sekiranya ibu dan bapa memahami saya.

Wallahu a’lam.

Padanya ada bahagia
Dr. Robiah K.Hamzah
Bahruddin Bekri
2014


Lebih baik



Lebih baik damai
daripada menang
lebih baik menang
daripada luput
lebih baik jadi manusia
daripada binatang mabuk perang.

Kuntum biru kembang lestari
Muhammad Haji Salleh
2013