Thursday, March 9, 2017

Aj-Jami’

Asma ul-Husna ke-87

Aj-Jami’ ertinya Allah Maha Mengumpulkan, Zat Yang  Mengumpulkan sebagaimana firmanNya bermaksud:

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya, Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
(Ali Imran: 9)

Maha Mengumpulkan
Aj-Jami’ berasal dari jami’ akar katanya, yang bererti mengumpulkan, menyatukan atau menggabungkan. Hari perkumpulan adalah hari pengadilan. Ia disebut demikian kerana Allah akan mengumpulkan seluruh makhlukNya dari generasi pertama hingga generasi terakhir, dari golongan jin dan manusia, semua penduduk langit dan bumi dan setiap hamba Allah dan perbuatannya, setiap penindas dan yang ditindas dan setiap hamba Allah dan perbuatannya, setiap penindas dan yang ditindas, dan setiap nabi dan kaumnya. Dia juga akan menggabungkan antara ganjaran bagi mereka yang menaatiNya dan hukuman bagi mereka yang menderhakaiNya.

Berjemaah

Merujuk kepada perkara ini, makasifat manusia yang kelapanpuluh tujuh dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah berjemaah dan bersatu padu dengan kaum muslimin, tidak bercerai berai yang  menyebabkan hilangnya kekuatan kaum muslimin.

Kalau dikatakan Allah itu bersifat Aj-Jami’, ertinya Maha Mengumpulkan, maka termasuk di antara makna mengumpulkan ialah menghimpun jemaah kaum muslimin di dalam satu barisan, yang disebut dengan Saf sebagaimana saf di dalam solat berjemaah di masjid.

Sesiapun yang berpengetahuannya sempurna dan akhlaknya baik berhak untuk disebut jami’. Atas alasan ini, seorang yang sempurna adalah orang yang tidak memadamkan cahaya kesolehan dengan cahaya pengetahuan.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna

Pustaka Azhar, 2010

Menjaga perkataan

Usah kauhunus keris wacanamu
dengan perkataan yang membunuh kedamaian
usah kautusuk jantung hati saudara dan sahabatmu
dengan kerambit bergerigi hasad
usah kaulukai perasaan mereka
dengan ketajaman lidah dan penamu
yang berdakwatkan fasad.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan

DBP, Kuala Lumpur 2016

Wednesday, March 8, 2017

Al-Muqsit

Asma ul-Husna ke-86

Al-Muqsit ertinya Allah Maha Mengadili, Zat yang Sangat Adil sebagaimana firmanNya bermaksud:

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan.
(Ali Imran:18)

Maha Mengadili

Akar kata dari sifat ini, yakni qisth (keadilan atau kejujuran) adalah sebagai berikut:

1. Aqsatha ertinya keadilan yang terwujudkan
2. Qasatha ertinya menjadi tidak jujur atau tidak adil
3. Qasith merupakan orang yang zalim atau tidak jujur, seorang penindas
4. Muqsith adalah orang yang adil dalam keputusan atau ketetapannya.
5. Qisth ertinya bahagian, kesatuan atau jatah sesuatu
6. Qasithun kata benda pluralnya adalah orang-orang yang menyimpang dari keadilan.

Jujur dan adil dalam semua perkara

Merujuk kepada perkara ini maka sifat manusia yang kelapanpuluh enam dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah berlaku adil dalam semua perkara.

Penerapan keadilan dengan mengambil sesuatu yang telah diperolehi seseorang secara tak sah dan mengembalikannya kepada pemiliknya yang sah. Ertinya seseorang diberi bahagiannya sendiri yang halal.

Al-Muqsit adalah Yang Maha Kuasa, yakni Zat yang jujur dan adil dalam semua keputusan dan ketetapannya, yang mengurus setiap makhluk menurut sebuah sistem. Al-Muqsit muncul untuk menyelamatkan orang-orang tertindas dan menegakkan keadilan.

Kesempurnaan dalam melakukan hal demikian merupakan fakta bahawa Dia mengabulkan permohonan orang-orang tertindas. Takutlah kepada Allah, kerana Ia akan menegakkan keadilan pada hari pengadilan kelak.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010

Djul Jalali Wal-Ikram

Asma ul-Husna ke-85

Djul Jalali Wal Ikram ertinya Allah Maha Pemilik Keagungan dan Kemuliaan, Zat yang mempunyai Ketinggian Kemuliaan yang Sempurna.

Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.
(ar-Rahman:78)

Maha Pemilik Keagungan, Kemuliaan dan Ketinggian

Djul Jalali wal-Ikram merupakan sebuah  sifat agung yang memadukan keagungan dan keindahan, yang merupakan satu pesona dan daya tarikan yang Maha Agung. Tidak seorang hamba Allah pun yang dapat mencapai tingkat ilmu yang tinggi kecuali ia mempunyai pengertian (sifat) Djul Jalali wal-Ikram. Sesunguhnya sifat ini menggabungkan di dalamnya kemuliaan, daya pesona, harapan, cita-cita dan kecemasan.

Yang Maha Kuasa memonopoli sifat-sifat jall, keagungan, dan ikram, kemuliaan. Semua kebesaran dan keagungan adalah milikNya serta (semua) kemuliaan dariNya; Maha Suci Dia; tidak ada keagungan melainkan bahawa Dialah mata airnya, sedangkan kemuliaan sentiasa milikNya. Keagungan bersumber dariNya dan meliputi seluruh makhlukNya dan norma-norma kemuliaanNya dari penciptaanNya tidaklah terhitung, tidak terukur.

Oleh itu, hanya Dia yang layak untuk disucikan oleh makhluk-makhlukNya. Mereka harus mengutarakan penghormatan mereka kepada kebesaranNya, memperlihatkan penghargaan akan kurnia dan kelembutan-kelembutanNya dan mengenali tanda-tanda dan anugerah-anugerahNya.

Djul Jalali wal-Ikram bererti Zat yang memiliki semua kebesaran. Tidak ada kekhususan, keagungan, kebesaran kecuali jika Allah mengizinkannya. Sesungguhnya semua realiti adalah milikNya, dariNya dan keranaNya. Keagungan dan kemuliaan adalah kepunyaanNya, Zat yang merupakan sumber dan muara dari segenap keagungan, kesempurnaan, kehormatan, martabat dan kebesaran. Tidak ada kebesaran, kurnia, rahmat atau kebaikan melainkan semua itu bersumber dari lautanNya.

Mu’adz bin Jabal diriwayatkan mengatakan bahawa suatu hari rasulullah saw berpapasan dengan seorang lelaki yang mengulang-ulang ucapan, Wahai Zat yang memiliki keagungan dan kehormatan! Maka baginda berkata kepadanya, Permintaanmu akan dihargai, maka teruskanlah dan ungkapkanlah.

Mempunyai martabat dan maruah yang terpuji

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kelapanpuluh lima dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah mempunyai martabat dan maruah yang terpuji hasil daripada menghayati kebesaran Allah menerusi sifatnya Djul Jalali wal-Ikram.

Rasulullah saw bersabda, Tegakkanlah Djul Jalali wal-Ikram, yakni Ikutilah jalanNya dan bersabarlah dalam melakukan demikian dan ucapkanlah berulang-ulang sifat ini dalam doa-doamu.

Jika seorang hamba Allah terus mengulang-ulang sifat ini dan cahayanya pada akhirnya akan bersinar dalam batinnya, maka iaakan menjadi sangat terhormat di kalangan kaumnya. Barangsiapa menyedari kebesaran Allah, akan menjadi sangat rendah hati di hadapanNya.

Salah satu tanda perbuatan baik hati  seorang hamba adalah ia meminta kedekatan kepadaNya dengan menyandarkan dirinya sendiri kepadaNya, dengan menjadi sangat rendah hati, dengan menampilkan kerendahan hatinya di hadapan Allah. Dia harus menyedari bahawa segenap kebesaran dan kesempurnaan adalah milikNya dan Dia memuliakan hamba-hambaNya dengan memberi mereka kurnia dan rahmat yang berlimpah ruah.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010

Malik Al-Mulk

Asma ul-Husna ke-84

Malik Al-Mulk ertinya Allah Maha Pemilik Kekuasaan, Zat yang mempunyai kerajaan sebagaimana firmanNya bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Ali Imran: 26)

Allah Maha Pemilik Kekuasaan

Malikul-Mulk mempengaruhi kehendakNya dalam kerajaanNya bagaimanapun Dia berkehendak,membiarkan sebahagian hidup dan yang lainnya binasa. Mulk dalam konteks ini bererti kerajaan dan Malik adalah Yang Maha Kuasa, Yang Paling Berkuasa. Segala sesuatu yang ada termasuk dalamkerajaanNya, maka kepunyaanNya adalah satu kerajaan lantaran segala sesuatu yang ada di dalamnya terkait satu sama lain.

Malikul-Mulk menjalankan kerajaanNya sebagaimana Dia kehendaki, dan tak seorang pun dapat menolak ketetapanNya atau tak seorang pun dapat menarik atau memupusnya. Segala sesuatu yang hidup, dalam semua tingkatan dan level mereka, merupakan satu kerajaan yang dimiliki oleh Yang Maha Tunggal.

Mempunyai jiwa memimpin

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kelapanpuluh empat dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah mempunyai jiwa dan minda sebagai pemimpin. Lagi pun kita adalah pemimpin walaupun pemimpin di dalam rumah tangga.

Suatu hari Amirul Mukminin SaidinaAli bin Abu Talib ditanya oleh Ababah bin Rab’i al-Asdi tentang kemampuan. Amirul Mukminin balik bertanya kepada Ababah, Apakah engkau melakukannya tanpa Allah atau denganNya? Ababah tidak mampu menjawab, maka khalifah menyuruhnya untuk menyatakan sesuatu. Apa yang harus kukatakan, wahai amirul Mukminin? Tanya Ababah. Beliau menjawab, Engkau harus mengatakan bahawa engkau melakukannya dengan izin Allah yang mempunyai kawalan sepenuhnya tanpa pertolonganmu. Apabila Dia memilih untuk memberikannya kepadamu, maka itu merupakan rahmat yang Dia berikan kepadamu. Dan apabila Diamenghalangnya, itu merupakan satu ujian dariNya. Dialah pemilik sejati dari harta milikmu dan Zat yang memiliki apa yang Dia mudahkan bagimu untuk memilikinya. Tidakkah engkau mendengar tentang (orang yang memohon pertolongan dan kekuatanNya dengan mengatakan La  hawla wala quwwata illa billah (Tiada daya dan upaya melainkan dari Allah)?.

Orang itu bertanya kepada beliau, Apakah makna ucapan itu wahai Amirul Mukminin?.  Beliau menjawab, Itu ertinya Kita tidak menjauh dari melakukan tindak tanduk kederhakaan kepada Allah melainkan Dia melindungi kita dari menderhakaiNya dan kita tidak punya kekuatan untuk menaatiNya kecuali jika Dia memberi kita pertolonganNya.

Kerajaan setiap dan semua hamba Allah adalah tubuhnya sendiri. Jika tubuhnya menjalankan kehendaknya berdasarkan hati dan akalnya, maka ia akan menjadi pemilik kerajaan sesuai dengan tingkatan pengendalian atas tubuhnya.

Wallahu ’alam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma ul-Husna

Pustaka Azhar, 2010

Kemasukan murid tingkatan 4 alian sains mulai tahun 2015 berdasarkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah peringkat menengah rendah

Mesyuarat Laporan Strategik Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal: Sastera yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia pada 5 November 2012 memutuskan salah satu daripada 15 perakuan dalam Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal: Sastera ialah  40 peratus murid lepasan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) disalur ke aliran sains secara automatik oleh Lembaga Peperiksan (LP). Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan Sesi Khas 2013 pada 17 Disember 2013 memutuskan bahawa penyaluran ini mula dilaksanakan untuk kohort Tingkatan 4 tahun 2015.

Walau bagaimanapun mulai tahun 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi menggantikan PMR. Sehubungan dengan itu, mulai  tahun 2015 kkemasukan murid ke Tingkatan 4 aliran Sains akan dilaksanakan berdasarkan keputusan PT3. Keputusan PT3 yang diumumkan pada 22 Disember 2014 telah menimbulkan banyak kegusaran dalam kalangan ibu bapa berkaitan pemilihan murid ke aliran sains. Secara keseluruhan pencapaian bagi mata pelajaran Sains dan Matematik bagi PT3  kurang memberangsangkan iaitu  hanya 2.0 peratus daripada keseluruhan murid yang menduduki PT3 mendapat gred A bagi  kedua-dua mata pelajaran. Hanya 12.8% mendapat minimum C dalam mata pelajaran  sains dan matematik. Hampir separuh iaitu, 48.1 peratus mendapat gred F bagi kedua-dua matapelajaran Matematik dan Sains.

Penyataan media

Susulan daripada pengumuman keputusan PT3, tajuk utama yang menjadi isu pendidikan di media cetak dan sosial adalah berkaitan dengan keputusan PT3. Berikut adalah beberapa penyataan yang telah diutarakan.

1) Sebuah sekolah menengah di Selangor mencatatkan rekod 38 orang pelajarnya mendapat straight F dalam kesemua sembilan mata pelajaran yang diambil.
(http://btmmari.blogspot.my/2014/12/pt3-berita disorok dari arus perdana.htm)

2) Buktinya jelas, tak ada seorang pelajar pun yang dapat semua A dalam PT3 di sekolah anak saya di Hulu Langat dan lebih teruk lagi, hampir semua pelajar gagal dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Sudahlah gagal, layak pula masuk ke kelas aliran sains. Cuba bayangkan bagaimana mereka nak hadapi mata pelajaran di aliran sains yang lebih mencabar nanti.

3) Keputusan peperiksaan tingkatan versi terbaharu PT3 diumumkan kemarin. Ibu baps yang melihat keputusan anak-anak mereka ramai yang menggeleng kepala. Sepatutnya keputusannya lebih baik kerana ia adalah pentaksiran antara sekolah, guru dan murid.
(Utusan Online,24 Disember 2014)

4) For PT3 students will receive a set of four result slips which are PT3 result slips which are the PT3 result, the school-based assessment (PBS), a psychometric assessment and sport assessment. Schools will then decide based on all four assessments, which stream a student is best suited for, thus helping parents and students make a more informed decision on the selection of streams. So, it is quiet safe to say that if the students did not perform well in the written exams, we can evaluate them and see their potential based on other areas of the assessment especially in deciding which stream andschool are suitable for them in Form 4
(The Malaysian Insider; 25 September 2014)

5) Para pelajar dan ibu bapa perlu mempertimbangkan keputusan ujian PT3 secara menyeluruh  supaya pentaksiran tersebut boleh dijadikan panduan bagi menentukan hala tuju pendidikan seterusnya. Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, keputusan PT3 akan diambil kira bersama Pertaksiran Psikometrik (Ppsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)  dan Pentaksiran Sekolah (PS) bagi menentukan sama ada mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang sastera, sains atau latihan teknikal dan vokasional.
(Utusan Malaysia, 24 Disember 2014)

6) For those who have scored straight As in their mid year andalso their trial examination respectively, not obtaining straight As for the actual examination was a big blow to them, especially for those who intended to apply to fully residental schools which required grade A for both Mathematics and Science. I have no done an official survey nor do  I know the actual statistics but from asking around friends and family members in others schools and states, there appears to be a discrepancy in the results. A good school in state A only had eight strudents with straight As compared to 14 straight As an everage school in state B. Not to mention another good school with one straight As student.
(Star Online, 23 Disember 2014)

7) Pengetua SMK Bukit Jambul, Norzeela Abu Bakar berkata, hanya enam daripada 183 calon PT sekolah itu mencatat keputusan  semua A. Beliau mengakui agak sukar untuk membandingkan pencapaian PT3 dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana format kedua-dua peperiksaan jauh berbeza. Melalui PT3 pelajar diuji dengan soalan berasaskan Kemahiran Berfikiran ArasTinggi (KBAT) dengan tiada soalan berbentuk objektif seperti PMR.
(FeeMalaysiaToday, 23 Disember 2014)

8) Satu kenyataan akhbar oleh YBhg. Dato’ Sri Dr KPPM telah dikeluarkan pada 24 Disember 2014 bagi menjawab segala isu yang telah dibangkitkan oleh orang ramai di media  cetak dan media sosial. Salah satu daripadanya menyatakan keputusan PT3 tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh dan kealiran sains atau sastera. Pemilihan ke aliran tersebut dibuat bukan sahaja berdasarkan  keputusan PT3, tetapi juga mengambilkira pelaporan keempat-empat komponen PBS iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (Psi) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Kementerian Pendidikan Malaysia pada 30 Disember 2014 telah mengeluarkan surat siaran Kriteria Kemasukan Murid Tingkatan 4 Aliran Sains Mulai Tahun 2015 Berdasarkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Peringkat Menengah Rendah. Kriteria bagi kemasukan murid ke Tingkatan 4 aliran Sains ialah:

i) murid yang mendapat sekurang-kurangnya Gred B dalam mata pelajaran Sains dan Matematik digalakkan mengikuti aliran Sains di Tingkatan 4

ii) murid yang mendapat gabungan Gred A/C, B/C atau C/C dalam  mata pelajaran Sains dan Matematik, mendapat sekurang-kurangnya Band 4 dalam Pentaksiran Sekolah bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut serta berminat untuk belajar dalam aliran Sains berdasarkan Pentaksiran Psikometrik dibenarkan mengikuti aliran Sains di Tingkatan 4.

iii) Kes Khas
’murid yang mendapat gabungan gred A/D, B/D atau C/D dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, mendapat sekurang-kurangnya Band 4 dalam Pentaksuran Sekolah bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut, serta berminat untuk belajar dalam aliran Sains berdasarkan Pentaksiran Psikometrik dibenarkan mengikuti aliran Sains di Tingkatan 4 dan

iv) murid yang mendapat Gred E dalam mana-mana mata pelajaran Sains dan Matematik tidak digalakkan mengikuti aliran Sains di Tingkatan 4.

Selain kriteria di para 2, pihak sekolah boleh mempertimbangkan memasukkan murid ke aliran sains sekiranya mereka berminat dan berkemampuan mengikuti aliran sains Tingkatan 4.


Tindakan BPPDP

Cadangannya adalah supaya BPPDP melaksanakan tindak susul penempatan murid ke aliran sains berdasarkan surat siaran yang telah diedarkan. Berdasarkan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), sejauh manakah perakuan dalam Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal : Sastera, iaitu 40 peratus murid disalur ke aliran sains secara automatik tercapai. Tindak susul ini boleh dijadikan sebagai early warning signal kepada pemutus dasar bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara dan bekalan murid dalam bidang Sains dan Teknologi (S&T).

Wallahu ’alam

Koleksi Brif Isu Dasar Pendidikan 2012-2015
Sektor Dasar, BPPDP, KPM
ms 62-65

Retrospeksi

Pada usia yang bersisa
aku tidak akan banyak berbicara
atau banyak bertanya
kecuali yang meningkatkan dan memperjelas makna
tentang kehidupan yang fana
dan kehidupan yang baqa

Aku akan lebih banyak merenung
memperhatikan
mentafsirkan
dan memahami erti keberadaanku
dimayapada
erti penciptaan alam sarwa
dan erti Pencipta
yang mengatasi segala pencipta

Kukira berpadalah
selama ini aku melayan kehidupan dunia
dengan pelbagai tipu dayanya
dengan pelbagai kepalsuannya

Pada usia yang bersisa
aku perlu membuat pilihan
yang benar-benar bermakna.

Awang Sariyan
Di denai kehidupan
DBP, Kuala Lumpur 2016