Wednesday, August 26, 2015

Misteri Angkut-angkut

Di sebalik jeriji besi
sebuah tingkap
kulihat kau gigih bina istana
kauangkut liat tanah terpilih
yang dicairkan kudrat liurmu

berhari kuperhatikan
kauterus bekerja
yakin dengan upaya
berdikari
tanpa jemu
sesekali kucuba bantu
cairkan liat tanahmu
yang dipunggah
biarpun kutahu
kau tidak menyukainya

petang itu
kutercari-cari
kehilanganmu
tanpa dengung suara
menukangi rumah yang belum siap
dan alangkah bersendunya
bila melihat kau kering
tersepit oleh apitan tingkap
tanpa sempat
mendiami rumah barumu

apakah mungkin
aku juga akan jadi sepertimu
sibuk membina impian
tanpa sempat
mengecapinya?

Asmui Mustapa
Kuantan, Pahang
Mingguan Malaysia
2 Ogos 2015

Ciri-ciri Kerja Sepasukan Yang Cemerlang

1. Tujuan yang jelas
Visi, misi matlamat kumpulan telah dibentuk dan dipersetujui oleh semua. Pelan tindakan diwujudkan

2. Secara informal
Persekitaran menjadi lebih selesa, santai dan lebih  informal. Tidak wujud situasi tegang ataupun kebosanan

3. Penglibatan
Semua pihak digalakkan untuk memberi input dan wujud suasana perbincangan

4. Dengar dengan teliti
Setiap ahli dalam kumpulan akan menggunakan teknik mendengar yang berkesan seperti soal jawab, merumus dan memudahkan (parapharase) untuk mendapatkan idea

5. Penolakan yang beradab
Setiap kumpulan masih selesa dan tidak menunjukkan isyarat mengelak walaupun wujud perbezaan

6. Persetujuan bersama
Setiap pihak bersepakat setelah dibincang dan diperdebat secara terbuka bagi mencapai suatu keputusan yang sangat penting
 
7. Komunikasi dua hala dan kepercayaan
Setiap kumpulan bebas melontar pendapat pada tugasan atau pada tindakan kumpulan, berteraskan kepercayaan yang tinggi dan komunikasi berlaku tanpa halangan

8. Tugasan dan peranan yang jelas
Wujud jangkaan yang tepat mengenai peranan setiap ahli kumpulan. Apabila tindakan diambil tugasan dibuat dengan jelas, diterima dan dilaksanakan. Tugasan diagih secara adil dan saksama

9. Gaya yang pelbagai
Kumpulan dalam organisasi mempunyai gambaran mengenai kepelbagaian keupayaan setiap ahli seperti berupaya menetapkan matlamat, berfokuskan proses yang memberi penekanan kepada tugasan dan sebagainya.

10. Penilaian kendiri
Secara berkala, pasukan tersebut akan meneliti keberkesanan fungsi dan melihat sebarang kemungkinan yang menganggu kelancarannya.

Wallahu a’lam

Norazana binti Mohd Nor & Siti Zainun binti Zainuddin
PrOD, IAB, 2011

Saturday, August 22, 2015

Kepimpinan Transformasi


Kepimpinan Transformasi sering dikaitkan dengan gaya kepimpinan yang efektif dan boleh mengubah persepsi dan motivasi staf serta membawa kecemerlangan kepada sesebuah organisasi (Bass, 1985)

Pemimpin ini adalah seorang yang dapat menjadikan staf saling bekerjasama dan tidak hanya bergantung kepada pemimpin untuk menyelesaikan masalah. Kepimpinan Transformasi meletakkan tahap kepercayaan antara pemimpin serta orang bawahannya tinggi dan semua bertanggungjawab dalam memajukan organisasi.

Kepimpinan ini juga mewujudkan peluang di anta staf untuk berkerjasama dan berkongsi kuasa dengan mereka. Ini dapat dilaksanakan apabila seorang atau lebih pemimpin dan staf saling bantu membantu dan dapat meningkatkan keupayaan mereka ke tahap yang lebih tinggi (Darling-Hammond et al.2010, Bass & Riggio, 2006).

Untuk mengoptimumkan gaya kepimpinan, pemimpin menurut Darling-Hammond(2010) perlulah:
a) Menetapkan haluan / hala tuju dengan menetapkan visi dan tujuan
b) Menerapkan kepercayaan dan budaya saling percaya mempercayai
c) Memberi sokongan secara langsung dan tidak langsung untuk meningkatkan prestasi
d) Memperkembangkan dan memudah cara PdP dan
e) Meningkatkan prestasi sekolah melalui komuniti pembelajaran

Pemimpin Transformasi juga berkebolehan:
a) Menyampaikan visi
b) Menggalakkan staf berfikir secara intelektual dan
c) Menangani perbezaan individu.

Menurut Pounder (2003) dan Burn (1978) terdapat 4 Dimensi Kepimpinan Transformasi iaitu:

1. Dimensi karismatik – Pemimpin akan menyediakan visi, dihormati, dipercayai dan meningkatkan keyakinan diri.
2. Dimensi bertimbang rasa secara individu – Pemimpin akan membimbing, menyediakan maklum balas dan melaraskan keperluan staf dengan misi organisasi. Setiap individu diambil kira keperluan dan perkembangan profesional mereka
3. Dimensi stimulasi intelektual – Pemimpin menggalakkan staf untuk berfikir dan menilai semula keadah melaksanakan tugas dan menyelesaikan masalah dan
4. Dimensi motivasi inspirasi – Pemimpin adalah model, berkeyakinan dan berkebolehan untuk mencapai misi dan visi organisasi.

Wallahu a’lam.

Nor Rajiah bt Ahmad Dawa
PrOD, IAB, 2011

Kupohon sepohon tabah

Pelbagai musibah yang bertandang
mengundang hiba berbau gundah
jelmakan tafsirtan kesedihan
seolah tiada lagi sayang
bertandang
mewangikan perjalanan
kehidupan.

Tanamlah sepohon tabah di taman hati
buat berteduh
tatkala ada musibah pagari dengan sabar
yang utuh
agar pohon tabah mencengkam kukuh
tak goyah
tatkala bertandang ujian.

Berteduhlah di bawah pokok tabah
upaya menyejukkan hati gundah
upaya menerima segala ketentuan
bukannya mencari kekesalan.

Pohon tabah yang rendang          
bajai setiap masa dan ruang
agar tenang tatkala ditimpa ujian.

Kamarulzaman Ismail
Kuala Terengganu
Mingguan Malaysia
2 Ogos 2015

Thursday, August 20, 2015

Pemimpin 360 darjah

Pemimpin 360 darjah adalah orang yang mampu mempengaruhi orang di sekelilingnya yang terdiri daripada orang atasannya (ketua), rakan sejawat dan orang bawahan.  Maxwell (2005) menjelaskan bagi memenangi hati sesiapa sahaja, orang itu perlu berpengaruh kerana pemimpin sebenar adalah pemimpin yang berpengaruh, tidak lebih dan tidak kurang. Pemimpin 360 darjah dapat dicapai oleh sesiapa sahaja yang sudah memiliki kemahiran memimpin tahap sederhana atau yang lebih baik dan hanya perlu berusaha.

Lima nilai yang perlu ada pada Pemimpin 360 darjah iaitu :
1. Pasukan pemimpin lebih berkesan daripada seorang pemimpin
2. Pemimpin diperlukan di setiap peringkat
3. Berjaya memimpin di satu peringkat melayakkan kita memimpin di peringkat seterusnya
4. Pemimpin yang cemerlang di peringkat pertengahan menjadi pemimpin yang hebat di peringkat atasan dan
5. Pemimpin 360 darjah memiliki kualiti yang diperlukan oleh setiap organisasi

Manakala prinsip-prinsip Pemimpin 360 darjah dapat digambarkan sebagai

Memimpin Pihak Atasan
Memimpin Rakan Sejawat
Memimpin Orang Bawahan
1. Penampilan diri
2. Ringankan beban kerja ketua
3. Sanggup melakukan kerja orang lain
4. Pimpin organisasi
5. Memupuk hubungan yang serasi
6. Bersedia setiap kali berdepan dengan pemimpin
7. Mengetahui bila perlu mendesak dan bila perlu mengalah
8. Menjadi orang harapan
9. Jadikan diri kita hari ini lebih baik dari semalam.
1. Memahami, mengamalkan dan melengkapkan pusingan kepimpinan
2. Utamakan pemimpin yang cekap bukan menentang
3. Bersahabat dengan mereka
4. Jauhi pilitik pejabat
5. Ramaikan kenalan
6. Rangsang idea yang baik
7. Jangan berlagak sempurna

1. Perlahankan langkah semasa berjalan ke dewan
2. Anggap mereka semua sempurna (10/10)
3. Kembangkan potensi anggota pasukan
4. Tempatkan individu dalam zon kekuatan
5. Kepimpinan melalui teladan
6. Pindahkan visi
7. Beri ganjaran atas pencapaian


Wallahu a’lam.

Mohd Shahrul Iza b Ismail
PrOD, IAB, 2011

Pasca Ramadan

Tirai rahmat dan pengampunan
Ramadhan
telah dilabuhkan
Syawal menjelma
takbir dan tahmid bergema
di seluruh maya.

kutanya diri
masih penuhkah saf-saf di nasjid
surau dan musala
masihkah ayat-ayat suci membasahi bibir asyik
sembahyang malam berlangsung sentiasa
zikir dan ratib tak lekang di mulut
sabar dan sedekah hiasan indah
roh maknawi
dari sekolah suci
terpahat di setiap nurani
pengajaran Ramadhan karim
istiqamah berterusan
hatta nyawa berpisah badan

Abham T.R
Kota Bharu
Mingguan Malaysia
2 Ogos 2015


Doa kebuntuan

Ya Allah daku mengakui kepadaMu lemahnya kekuatan diriku, sangat terbatasnya kecerdasanku dan kehinaan diriku atas manusia, dengan rahmat Engkau Ya Allah Tuhan Pemelihara sekalian alam.

Engkaulah Tuhan Pemelihara sekalian orang-orang dhaif,Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah Engkau menyerahkan aku, kepada orang asing yang mengusir aku atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Tetapi meskipun demikian aku redha asal saja Engkau tidak memurkai aku. KemaafanMu lebih besar, dari dosaku, aku meminta dengan Nur ZatMu yang menerangi semua kegelapan dan dengannya menjadi baik urusan dunia dan akhirat, semoga aku tidak tertimpa kemurkaanMu dan azabMu. PadaMu sumber keredhaan sehingga Engkau redhai aku. Tidak ada daya dan kekuatan selain dengan kekuasaan Engkau.

Aameen.

Amalan harian sepanjang zaman
At-Tafkir Enterprise
1999