Friday, September 27, 2013

Tidak layak sijil SPM



a) Apabila Sejarah wajib lulus (2013)…..3 situasi :

1.      BM lulus; Sej gagal
2.      BM gagal; Sej lulus
3.      BM gagal; Sej gagal

b) Apabila Bahasa Inggeris wajib lulus (2016)…..7 situasi :

1.      BM lulus; Sej lulus; BI gagal
2.      BM lulus; Sej gagal; BI gagal
3.      BM lulus; Sej gagal; BI lulus
4.      BM gagal; Sej lulus; BI lulus
5.      BM gagal; Sej gagal; BI lulus
6.      BM gagal; Sej gagal; BI gagal
7.      BM gagal; Sej lulus; BI gagal

Wallahu a'lam.

Hjh Norzila bt Mohd Yusof
Kuala Terengganu
 25-27 Sept 2013

Kasih sayang, baik budi, kemurahan hati dan keampunan



Esei 16

Robert Browning pernah menegur, buanglah kasih sayang nescaya dunia kita ini akan menjadi kubur. Robert Holden pula menulis, kasih sayang secara terbaik didefinisikan sebagai kuasa hidup di dunia. Tanpanya sudah pasti tiada kehidupan.

Kasih sayang bermula dari rumah dan semestinya disemaikan ke tempat kerja dan kawasan persekitaran. Kita tidak akan mudah gagal sekiranya kita sayangkan keluarga kita, kerja kita, orang-orang di sekeliling kita dan sentiasa sedia berusaha dan memberi yang terbaik.

a) Dalam analisis yang terakhir, kesudahannya kita mesti berkasih sayang untuk tidak jatuh sakit. (Freud)

b) Bahagian terbaik daripada kehidupan seseorang manusia ialah tingkah laku kebaikan dan kasih sayang yang tidak diingati, walaupun sedikit dan tidak diketahui. (Wordsworth)

c) Berikanlah apa yang kamu ada, kerana bagi sesetengah orang, ia adalah lebih baik daripada apa yang kamu fikirkan (Logfellow)

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Bersyukur



Bersyukur
masih ada umur
masih boleh datang ke masjid
dapat pahala iktikaf masjid
dapat pahala solat tahiyyatul masjid
dapat pahala solat mahgrib berjemaah
dapat pahala dengar kuliah mahgrib
dapat pahala hadir di majlis ilmu
dapat pahala yang menganjurkan majlis
dapat pahala yang merestui majlis
dapat cerca dari iblis
di akhirat pengikut iblis menjadi muflis
50 tahun merdeka
kita masih dapat segalanya.

HMS Abu Bakar
Taman Meru, Ipoh
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Perjalanan pulang



Hidup ini perjalanan pulang
yang belum tentu berkesudahan
hidup ini perjalanan pulang
berdestinasi dan tetap tujuan
alam terdedah hanyalah wadah
menerima tugas sebagaimana adanya
burung-burung ada pohon
tempat hinggap
tempat teduh
setinggi bangau terbang ada kerbau tempat singgah
kerbau bendang ada lopak tempat berkubang
lembu padang ada kandang tempat mengunyah
kapal lautan ada pengkalan tempat berlabuh.

Demikian hari pagi pulang pada petang
bagaimana setiap siang pulang pada malam
awal berhenti pada akhir
masing-masing bergerak
suatu ketentuan hak dan mutlah
sebagai makhluk dan bersifat baharu
segala-gala tunduk pada ketentuan-Mu
Tuhanku

Mohaya Bt Ab. Rasid
SMK Infant Jesus Convent ,
Melaka
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Menafsir wajah kita



Kita pun berasakan hidup ini
bagaikan tangan menggenggam bara
bagaikan tubuh melangkahi api
kerana bara dan api itu
membakar cinta kita
kepada kekasih bernama
tanah air.

Kita mesti kembali dari kealpaan
menyelongkar erti kemerdekaan itu
daerah demi daerah generasi
cerita derita nenek-moyang
meratah ubi kayu
dan ketika langit tiada tembok lagi
kita mesti pulang menafsir
warna jiwa dan akal budi bangsa.

Hari ini kita mesti menatap iktibar
usah berpaling dari menatap
jalur-jalur gemilang di laman
kerana bukan bernama kita
generasi meraung laung
merempat di malam embun
menjulang budaya benua
tidak berwajah kita.

Barangkali kita mesti kembali
bersimpuh dalam doa:
selaut kesyukuran kepada-Nya
sepadang keinsafan kepada sejarah
segunung ingatan kepada pejuang
setaman kenangan kepada pemimpin
sejambak terima kasih kepada pertiwi
sebelum sejarah derita berulang tandang
dan bumi kita ini kembali sengsara.

Ihsan Noorzali
Kuala Kedah
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Lipur lara bangsa



Hujan panas melanggar musim
musim petaka empat keturunan
empat keturunan bangsa lara
bangsa lara melangkah gontai.

Pak Kaduk giat di gelanggang sabung
sekarung duri dipikul pulang
harga menang pertaruhan mimpi
bijak Pandir rusa dijerat
penat melapah daging terdampar
junjung balik tanduk sepasang
gantung kebanggaan di dinding pujian.

Sungguh Si Jenin berangan tinggi
subur di ladang lalang
sepadang pusaka tinggal sekangkang
tuahnya Lebai Malang, menghilir mudik
rezeki seupih terlambak ke tanah
punai di ketiak terbang lepas.

Kala ombak menongkah laut
parit penuh tapi kemarau di bendang
dituai cuma antah segantang.
Kala akar menunjang bumi
Pak Belalang menujum zaman
bangsanya lara berkepalakan kaki
bangsanya lara tak habis bermimpi
tidurnya lena berbantalkan lengan
lengan sudah tak berjari lagi.

Ibnu Hayat
Sungkai
Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka
JaPen., 2013

Waki’ bin Jarrah



Beliau merupakan salah seorang ulama dan banyak menghafaz hadis nabi saw. Guru kepada Imam Syafie. Dikatakan orang lain menghafaz dengan sukar dan payah dalam mengingati sesuatu tetapi baginya amat mudah seperti tabiat yang amat senang. Ali bin Khasram berkata aku melihat Waki’ tetapi aku tidak pernah melihat di tangannya sebarang kitab kerana dia menghafaznya lantas aku bertanya, apa penawar untuk hafazan yang baik?. Jawabnya meninggalkan maksiat dan aku tidak dapati percubaan seumpamanya lebih hebat daripada menghafaz.
 
Hal ini mengingatkan kita kepada nasihat Waki’ terhadap muridnya Imam Syafie berkenaan dengan cara supaya ingatan menjadi kuat lantas dialunkan syair :

Aku mengadu kepada Waki’ buruknya hafazanku
Beliau menunjukku supaya meninggalkan maksiat
Dan beliau memberitahuku bahawa ilmu adalah cahaya
Sedangkan cahaya Allah SWT tidak diberi kepada derhaka

Wallahu a’lam.

Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Hafazan al-Quran, 2013