Sunday, March 27, 2011

Surah Al-Buruj ( Bintang-bintang )

Dua puluh dua ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlahlangit yang mempunyai bintang
2. Dan (perhatikanlah) hari yang dijanjikan,
3. Dan perhatikanlah syaahid dan masyhud,
4. Celakalah orang (yang membikin) parit,
5. (Dari) api yang bernyala-nyala,
6. Ketika mereka duduk dipingginya,
7. Dan mereka jadi saksi atas perbuatan mereka (sendiri) kepada orang-orang
    mu’min.

Keterangan :

Perhatikanlah langit yang mempunyai bintang-bintang itu maksudnya perhatikanlah langit  yang mempunyai matahari dan bintang-bintang yang teratur sebagaimana bintang-bintang atau mahligai-mahligai yang teratur dengan pintu-pintu, pelita-pelitanya dan perhiasan perhiasannya.

Perhatikanlah hari yang dijanjikan itu maksudnya bahawa dengan memperhatikan langit dan isinya daripada matahari dan bintang serta peredarannya sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat yang pertama itu, kamu akan dapat tahu bahawa sekiranya Allah Taala ubahkan sedikit sahaja perjalanan bintang-bintang itu, akan beradu dan berlanggar sekalian isi langit satu dengan lainnya dengan perlanggaran mana akan hancur lebur  langit dan isinya.

Dengan hancurnya bintang-bintang dengan sebab berlanggar dan bertempur itu, jadilah kiamat – ialah hari yang dijadikan oleh Allah. Jadi perhatikanlah hari yang dijadikan itu, maksudnya perhatikanlah sebab-sebab yang akan menimbulkan hari yang tersebut yang mana kaum kafir tidak mahu percaya itu.

Perhatikanlah Syahidin itu ertinya perhatikanlah barang yang jadi saksi iaitu barang-barang yang hadir di hadapan mata kita seperti matahari, bintang-bintang serta peredarannya dan perhatikanlah Masyhudin itu ertinya perhatikanlah barang yang ghaib yang disaksikan oleh barang yang hadir ini, iaitu perhatikan dan fikirkanlah kedatangannya hari kiamat yang sekarang masib ghaib bagi kita, yang mana tentu akan datang apabila dikehendaki oleh Allah swt dengan diubahnya sedikit perjalanan falak bagi benda-benda yang diudara itu.

Perintah-perintah menyuruh perhatikan dan fikirkan hari kiamat dengan mengambil contoh keadaan di langit itu, tidak lain melainkan supaya manusia beriman kepada Allah dan beramal untuk hari peperiksaan yang tidak dipercaya oleh kaum kafir itu.

Orang  yang membikin parit dari api yang bernyala-nyala itu  ialah satu kaum di zaman dahulu yang menyiksa kaum mukminin dengan menggali satu parit yang meeka penuhkan dengan kayu bakaran dan mereka bakar hingga bernyala-nyala lalu mereka masukkan ke dalam api itu kaum mukminin yang sudah beriman kepada agama Allah yang sebenarnya. Perbuatan mereka yang sedemikian bengisnya itu mereka saksikan sendiri dengan duduk di tepi parit pembakar kaum mukminin tadi.

Mereka tidak lakukan perbuatan yang kejam, bengis dan buas melainkan lantaran mereka tidak percaya kepada hari pembalasan.

Oleh sebab itulah Allah swt perintah di ayat-ayat yang di atas tadi supaya manusia fikirkan bumi dan langit dan peredarannya yang mana akan menyebabkan mereka percaya kepada hari kesudahan yang dijanjikan oleh Allah.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

1) Hendaklah kita belajar ilmu perjalanan bintang-bintang walaupun sedikit kerana
    dengan mengetahui ilmu itu dapat kita perhatikan dan fikirkan apa yang diperintah
    oleh Allah di ayat-ayat itu.

2) Hendaklah kita jadikan contoh bagaimana kekuatan iman kaum mukminin di zaman
     dahulu hingga tidak berubah walaupun dimasukkan kedalam api.

8. Dan mereka itu tidak menyiksa mereka (yang mukminin) itu melainkan lantaran
    mereka beriman kepada Allah yang maha gagah dan terpuji.
9. Yang mempunyai kerajaan di langit dan bumi dan Allah itu menjadi saksi atas tiap-
    tiap suatu.

Keterangan :

Maksudnya bahawa kaum kafir yang tersebut di ayat-ayat yang terdahulu itu tidak membakar kaum mukminin serta duduk di pinggir parit api menyaksikan perbuatan mereka sendiriitu melainkan lantaran mukminin itu beriman kepada Allah swt. Yang mempunyai kerajaan bumi dan langit tetapi Allah menjadi saksi atas perbuatan mereka yang bengis itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Walaupun dengan mengorbankan harta dan jiwa hendaklah kita mengerjakan perintah-perintah Allah dan menyiarkan agama Allah – walaupun dipancong dan dibakar.

Janganlah kita khuatir, kerana pembalasan bagi kita dan bagi penganiaya itu Tuhanlah akan memberi kerana Tuhan menyaksikan tiap-tiap suatu.

10. Sesungguhnya orang-orang yang menyusahkan kaum mukminin dan mukminat
      kemudian mereka tidak bertaubat maka mereka akan mendapat azab jahanam dan
      mereka akan mendapat azab bakaran.
11. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal solih akan
      mendapat surga yang mengalir padanya sungai-sungai yang demikian itu satu
      kemenangan yang besar.

Keterangan :

Orang-orang yang menganggu dan memaksa kaum mukminin dan mukminat dengan bunuhan dan bakaran itu jika tidak bertaubat dan masuk Islam akan mendapat siksa jahanam yang amat pedih.

Adapun orang-orang yang beriman teguh dengan tidak berubah dan beramal solih itu akan mendapat ganjaran-ganjaran syurga yang amat cukup dan satu kemenangan yang besar.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

1) Orang-orang kafir walau bagaimanapun bengis, jahat dan kejam perbuatannya jika
    bertaubat, masuk Islam nescaya Allah ampunkan sekalian dosanya.
2) Kemenangan yang besar untuk kaum mukminin ialah masuk surga.

Manusia tidak akan masuk syurga melainkan dengan iman sebagaimana diperintah oleh Allah dengan beramal solih menurut agama Allah yang sebenarnya.

12. Sesungguhnya balasan Tuhanmu itu sangat (pedih)
13. Sesungguhnya Ialah yang memulakan dan akan mengembalikan,
14. Dan Ialah Pengampun dan Penyayang,
15. Yang mempunyai arsy yang terpuji,
16. Yang sangat berkuasa membuat apa yang Ia kehendaki.

Keterangan :

Sesungguhnya amat pedih balasan yang disediakan oleh Tuhanmu di dunia atau di akhirat untuk kaum kafir yang tidak mahu percaya kepada kebangkitan kiamat.

Sewajibnya mereka percaya kepada hari kemudian, kerana sebagaimana Allah telah mulakan iaitu telah jadikan alam ini daripada tidak ada kepada ada. Ia akan kembalikan jasad-jasad manusia yang sudah hancur-lebur itu kepada ada.

Ialah Tuhan yang amat mengampuni dosa hambaNya yang bertaubat dan amat penyayang akan hambaNya yang menjalankan perintah-perintahNya ialah Tuhan yang mempunyai arsy ialah Tuhan yang amat terpuji yang amat berkuasa membuat apa yang dikehendakinya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

1) Oleh sebab Allah adakan makhluk daripada tidak ada kepada ada maka patutlah Ia
     sediakan balasan yang pedih untuk mereka yang tidak mahu percaya kepada hari
     pembalasan itu.
2) Sungguhpun pedih siksaan yang Ia ada sediakan untuk si kafir Ia sediakan juga
    keampunan dan percintaan kepada mereka yang bertaubat dari kesalahannya dan
    masuk agamaNya yang mulia.

17. Sudahkah datang kepadamu khabar tentera-tentera,
18. Firaun dan Tsamud?
19. Tetapi orang-orang kafir itu tetap mendustakan,
20. Padahal Allah mengepung (mereka) dari belakang mereka,
21. Bahkan iaitu Al-Quran yang mulia,
22. (Terpelihara) di Loh Mahfuzh.

Keterangan :

Maksudnya sudahkah engkau, ya Muhammad! Dengar khabar dari hal tentera-tentera yang kuat dan gagah berani seperti Firaun dan Tsamud dan pengikut-pengikutnya?. Bukankah Allah telah binasakan mereka lantaran kedurhakaan dan kekufuran mereka?

Mereka yang jadi musuhmu itu sudah mendengar khabar kaum-kaum kafir yang dahulu kala.

Sungguhpun begitu tetap juga mereka mendustakan pesuruh Allah dan agamaNya. Biarkanlah mereka berlaku begitu. Mereka tidak akan terlepas kerana Allah  akan mengepung mereka dari belakang mereka.

Biarkanlah mereka tidak percaya, biarkanlah mereka dustakanmu, biarkanlah mereka dustakan kitabKu.

KitabKu itu tidak lain melainkan Al-Quran yang mulia yang terpelihara di Loh Mahfuzh yang tidak akan terganggu walau bagaimanapun usaha mereka padaemadamkan cahayanya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

1)      Orang yang mendustakan urusan Allah atau kitabNya akan dapat balasan yang secukupnya kerana tidak ada yang tidak di dalam gengaman dan kepungan Allah.
2)      Walau bagaimanapu kaum kafir itu berusaha dan berikhtiar hendaklah memadam cahaya Al-Quran maka Al-Quran tidak akan berubah, tidak akan rusak, kerana Al-Quran selamanya di dalam penjagaan Allah, tertulis di Loh Mahfuzh, di papan tulis yang terpelihara.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Saturday, March 26, 2011

Surah Ath-Thaariq ( Bintang Penebus )

Tujuh belas ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlah langit dan ath-thaariq!
2. Sudahkah engkau tahu apa (yang dikatakan) ath-thaariq itu?
3. (Iaitu) bintang yang (cahayanya) menembus,
4. Tidak ada satupun jiwa melainkan atasnya adalah penjaga.

Keterangan :

Maksudnya : Perhatikan langit dan isinya dari bintang-bintang yang berjuta-juta mil jauhnya dari bumi kita, padahal cahayanya sampai kepada kita sesudah menembusi beberapa banyak jenis udara!

Orang yang memperhatikan itu, akan dapat tahu bahawa tiap-tiap  satu jiwa ada penjaganya, ialah Allah swt iaitu orang yang memperhatikan hal langit dan isinya dari bintang-bintang yang besar-besar dan jauh-jau dan terang-terang hingga tembus menembus cahayanya sampai kepada kita, akan dapat tahu bahawa semua itu tak dapat tiada ada yang menjaga dan mengedarkannya dan dari itu ia akan dapat tahu bahawa apabila benda-benda yang tak bernyawa itu ada penjaganya tak dapt tiada bahkan teristemewa tiap-tiap barang berjiwa tentulah ada penjaga atau pengurusnya yang tidak lain melainkan ialah Allah, Tuhan yang menjadikan segala sesuatu dan memberi rezeki akan segala sesuatu dengan ukuran yang ditentukannya bagi tiap-tiap sesuatu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita beribadat dan taat kepada Tuhan yang menjaga dan mengurus tiap-tiap suatu maupun yang bernyawa atauoun tidak.

Hendaklah kita malu dan jauhi larangan Tuhan yang tiap-tiap suatu benda ada dalam penjagaanNya.

5.Cubalah manusia lihat dari apa dijadikan dia!
6. Dijadikan dia daripada air yang terpancar,
7. Yang keluar dari laki-laki dan perempuan.

Keterangan :

Ash-shulb di sini maksudnya laki-laki dan At-tara-ib maksudnya perempuan.

Sesudah memperhatikan langit dan isi-isi dari bintang-bintang yang besar-besar dan jauh-jauh dan terang-terang hingga menembus cahayanya sampai kepada kita – sesudah memperhatikan sekalian yang tersebut dan sesudah dapat tahu bahawa tiap-tiap satu bebda ada di dalam penjagaan Allah yang maha kuasa.

Maka cubalah perhatikan keadaan dan kejadian manusia! Apakah ia satu makhluk yang patut bermegah diri, takabbur, sombong? Tentu tidak! Manusia hanya satu makhluk yang dijadikan daru air yang terbit dari laki-laki dan perempuan. Tidak berbeda manusia daripada lain-lain jenis haiwan kecuali dengan amal solih untuk akhirat dan untuk pergaulan di dunianya.

Oleh sebab itulah Allah berkata di surah Wal-Ashr bahawa manusia semua di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal solih dan firman Allah di suah Al-Hujurat ayat 13, bahawa orang yang paling mulia pada pandangan Allah ialah orang yang paling berbakti kepada Allah.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Dengan kejadian badan kasar ini janganlah manusia menyangka yang ia satu makhluk yang mulia. Badan kasar manusia ini tidak lain melainkan berasal dari air yang manusia sendiri merasa jijik memegangnya juga air yang jijik dipegang itu, tidak jadi manusia  manusia yang  sombong dan takabbu, ini melainkan sesudah melalui beberapa kali akan tempat yang dilalui oleh kotoran.

Hendaklah kita jadi manusia yang sebenarnya dan mulia dengan amal yang solih untuk dunia dan akhirat kita.

8. Sesungguhnya Allah amat berkuasa atas mengembalikannya,
9. Di hari yang dibuka sekalian rahsia,
10. Maka tidak ada baginya kekuatan dan tidak ada penolong.

Keterangan :

Sesudah menyuruh manusia memikirkan hal kejadian dirinya di ayat-ayat yang telah lalu maka di ayat-ayat ini seolah-olah Allah berkata : Janganlah manusia menyangka bahawa badan yang dijadikan daripada air yang terpancar itu, apabila mati habis sekalian urusannya, tidak sekali-kali!.

Bahkan Allah itu amat berkuasa menghidupkannya kembali di hari yang akan terbuka sekalian rahsia manusia iaitu di hari kiamat untuk dibalas sekalian amal baik dan amal jahat manusia. Di hari itu manusia tidak akan mempunyai kekuatan untuk melepaskan diri daripada menerima balasan siksa dan tidak akan mempunyai pembantu atau penolong yang dapat menolong dia di dalam hal tersebut.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita tunduk dan taat kepada hukum-hukum Allah dan jauhi sekalian laranganNya kerana kita sekalian akan dibangkitkan dan akan dibalas di hari kemudian.

Sebagaimana kita mengerjakan perintah-perintahNya dan jauhi larangan-laranganNya yang zahir hendaklah kita penuhi batin kita dengan sekalian perangai yang baik-baik dan hendaklah kita jauhi sekalian dengki, riak, ujub dan lain-lain penyakit di hati kerana sekalian itu akan dibuka di hadapan kalayak yang ramai di hari yang manusia tidak akan mempunyai sedikitpun kekuatan atau bantuan untuk menutup rahsia-rahsia itu.

11. Perhatikanlah langit yang mempunyai air,
12. Dan bumi yang mempunyai tumbuh-tumbuhan,
13. Sesungguhnya (yang demikian) itu perkataan benar,
14. Dan iaitu bukan (perkataan) sia-sia.

Keterangan :
Di sisi Allah Taala kuatkan lagi tanda kekuasaanNya dengan perkataan. Perhatikanlah langit yang menurunkan hujan yang jadi sebesar-besar rahmat bagi kamu dan bagi tanaman-tanaman kamu serta binatang-binatang peliharaan kamu dan perhatikanlah bumi yang mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk jadi makanan, perlindungan bagi kamu.

Dengan memperhatikan hal-hal itu, kamu akan yakin bahawa perkataan-perkataanKu tentang langit, bintang, kejadian manusia, bangkitan di hari kiamat itu benar dan berguna bukan suatu hal atau perkataan yang sia-sia.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita syukur kepada Allah atas pemberian hujan dan tubuh-tumbuhan yang jadi pokok kehidupan kita, dan hendaklah kita percaya bahawa Tuhan yang telah mengadakan kita daripada tidak ada dan membesarkan dan menjadikan kita manusia dengan air dan tumbuh-tumbuhan itu amat berkuasa membangkitkan kita di hari yang Ia kehendaki dan hendaklah kita percaya bahawa firman Allah itu benar dan berguna bukan perkataan yang sia-sia.

15. Sesungguhnya mereka itu membikin tipu daya,
16. Dan Aku akan membalas tipu daya,
17. Lantaran itu, biarkanlah orang-orang kafir itu1 Berilah tempo kepada mereka itu
      sebentar!

Keterangan :

Di ayat-ayat yang telah lalu, Allah Taala telah beri  beberapa contoh dan tamsil supaya manusia perhatikan dan beriman kepada Allah dan kepada hari kiamat, hari pembalasan yang mana manusia tidak akan terselamat daripada bahayanya kalau tidak beragama dengan agama Allah, agama Islam.

Sungguhpun begitu tetapi kaum-kaum kafir Mekah dan sekelilingnya selalu membikin tipu daya menghasut supaya manusia tidak beragama dengan agama Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad saw.

Lantaran itu di ayat ini, Allah berkata :

Kaum kafirin itu membikin tipu daya, menghalangi manusia masuk agamaKu dan Aku akan balas tipu daya dan pekerjaan jahat yang mereka lakukan. Oleh sebab itu, janganlah engkau susah hati, biarkanlah kaum-kaum kafir itu berbuat apa yang mereka suka dan berilah mereka tempoh sebentar iaitu hingga mereka berpindah dari dunia ini atau hingga Aku balas mereka di dalam dunia ini juga.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Kewajiban kita tidak lain melainkan menyampaikan perintah-perintah dan larangan Allah kepada hambaNya. Di dalam antara kita berkerja itu kalau ada yang menghalangi jangan kita berdukacita kerana tipu daya dan hasutan jahat yang mereka kerjakan itu Tuhan akan balas dengan secukupnya.

Kita wajib berkerja terus, wajib berusaha terus. Barangsiapa menolong agama Allah, Allah akan menolong dia.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Friday, March 25, 2011

Surah Al-A’laa ( Yang paling tinggi )

Sembilan belas ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Anggaplah kesucian nama Tuhanmu yang maha tinggi,
2. Yang telah menjadikan lalu menyempurnakan,
3. Dan yang telah menentukan, lalu menunjukka,
4. Dan yang telah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan,
5. Lalu menjadikan dia kering yang berubah warna,

Keterangan :

Isma rabbika : Nama Tuhanmu iti dan wajhu rabbika : Muka Tuhanmu itu, dikebanyakkantempat terpakai dengan makna Tuhanmu atau dzat Tuhanmu.

Jadi maksud ayat-ayat itu : Hendaklah engkau percaya dan mengaku bahawa Tuhanmu itu maha Tinggi dan maha Suci yang menjadikan sesuatu dan menyempurnakan kejadiannya ialah Allah Tuhan yang telah menentukan kejadian sesuatu lalu menunjukkan jalan yang baik dan jalan yang jahat buat dipilihnya ialah Tuhan yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang segar-segar dan ialah Tuhan yang menjadikannya layu kering dan berubah warna.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Memang amat patut kita percaya dan akui memuji serta berbakti kepada Tuhan yang maha Tinggi, yang maha Suci daripada tiap-tiap kekurangan yang telah jadikan kita dan telah beri kita adama dan akal yang dapat kita gunakan untuk memilih jahat dan baik serta membawa kita kepada keselamatan di dunia dan akhirat.

6. Nanti Kami bacakan kepadanya maka sesudah itu tidak bakal engkau lupa,
7. Kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah kerana sesungguhnya Ia mengetahui apa
    yang terang dan barang yang tersembunyi.

Keterangan :

Maksudnya : Nanti Kami turunkan lagi kepadamu ayat-ayat Al-Quran yang mana engkau akan baca dan tidak bakal engkau lupa kecuali jika dikehendaki oleh Allah, ayat mana untuk jadi pimpinan bagi manusia di dalam urusan zahir dan batin  mereka kerana Allah Taala mengetahui sekalian apa yang zahir dari antara hal ehwal manusia dan juga hal ehwal yang tersembunyi.

.Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Al-Quran yang diterima  oleh Rasulullah lalu disampaikan kepada kita dengan perantaraan tulisan dan ingatan (hafaz) itu ialah sesuci-suci perkataan yang seterang-terangnya datang dari Allah untuk jadi pedoman bagi kita di dalam urusan zahir, batin, dunia dan akhirat kita.

8. Dan kami akan mudahkanmu kepada (agama) yang mudah,
9. Oleh sebab itu, ingatkanlah kerana sesungguhn-sungguhnya peringatan itu
    memberi manfaat,
10. Orang yang takut itu akan teringat,
11. Dan akan membuang dia orang yang celaka,
12. Yang akan terpanggang di api yang amat besar,
13. Kemudian tidak bakal ia mati di dalamnya dan tidak (pula) akan hidup,

Keterangan :

Maksudnya : Kami akan beri kepadamu agama yang mudah yang akan membersihkan zahir dan batin, oleh sebab itu berilah peringatan kepada manusia, kerana peringatan itu sesungguhnya memberi faedah kepada mereka, orang yang takut kepada allah akan terima peringatan dan nasihat itu, tetapi akan ditolak oleh sicelaka yang akan masuk dan terpanggang di api neraka yang amat besar, di mana tidak ia akan mati supaya tidak merasa azab lagi dan tidak pula akan hidup hingga dengan tidak merasa sengsara yang besar itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Wajib kita berkerja, mengajar, memberi peringatan, memberi nasihat kepada manusia.

Asal sahaja kita mahu berkerja tentu akan berfaedah kerana agama Islam yang mudah difahami dan mudah dikerjakan itu akan diterima oleh orang yang takut kepada Allah dan orang yang celaka itu memang suka menolak kebenaran.


14. Sesungguhnya berbahagialah orang yang bersihkan dirinya,
15. Dan ingat nama Tuhanmu serta sembahyang,
16. Tetapi kamu lebihkan penghidupan dunia,
17. Padahal akhirat itu lebih baik dan kekal
18. Sesungguhnya (hal) ini ada di kitab-kitab yang dahulu,
19. (Iaitu) kitab-kitab Ibrahim dan Musa.

Keterangan :

Maksudnya, bahawa orang-orang yang bersihkan dirinya dan ingat kepada Tuhannys sera sembahyang itulah orang yang berbahagia tetapi kebanyakkan daripada kamu tidak begitu hanya kamu pentingkan penghidupan di akhirat itu lebih baik dan kekal.

Hal-hal itu bukan sahaja tersebut di Al-Quran bahkan tersebut juga di kitab-kitab yang dahulu kala seperti kitab-kitab nabi Ibrahim dan nabi Musa.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita bersihkan diri dengan mengingat Tuhan dan bersembahyang serta mementingkan urusan-urusan yang akan memberi kebahagiaan bagi kita di akhirat yang kekal kerana kedatangan sekalian agama-agama Allah yang dibawa oleh nabi-nabi maksudnya begitu.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Thursday, March 24, 2011

Surah Al-Ghaasyiah ( Kejadian yang dahsyat )

Dua puluh enam ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Sudahkah datang kepadamu khabar kejadian yang dahsyat?
2. Di hari itu ada beberapa jiwa yang tunduk (terhina),
3. (Padahal) telah bekerja berpenat, berlelah,
4. Akan terpanggang di api yang sangat panas,
5. Akan diberi minum dari mata air yang mendidih,
6. Mereka itu tidak akan dapat makanan melainkan dari duri,
7. Yang tidak akan menggemukkan dan tidak mengenyangkan,
8. Di hari itu (pula) ada beberapa jiwa yang bersenang-senang,
9. Sentosa lantaran usahanya,
10. Di surga yang tinggi,
11. Tidak akan engkau dengar padanya perkara yang sia-sia
12. Di dalamnya ada mata air yang mengalir,
13. Di dalamnya ada tempat-tempat peraduan yang tinggi,
14. Dan piala-piala (minuman) sedia terletak,
15. Dan bantal-bantal yang teratur,
16. Dan hamparan-hamparan yang terbentang.

Keterangan :

Maksud ayat-ayat itu : Sudahkah engkau dapat khabar tentang kejadian yang dahsyat iaitu dari hal keributan besar di hari kiamat?

Di hari itu, beberapa banyak manusia yang sudah bekerja dan berpenat lelah di dunia ini akan tunduk terhina lantaran pekerjaan dan penat lelah mereka itu tidak di jalan yang diperintah atau dibenarkan oleh Allah tetapi di jalan hawa nafsu mereka.

Mereka akan terpanggang di api neraka yang amat panas, mereka tidak akan diberi makan melainkan dari duri-duri atau pohon-pohon yang tidak dapat menambah daging dibadan-badan mereka dan tidak dapat menghilangkan kelaparan mereka.

Di hari itu  beberapa banyak manusia akan bersuka ria mendapat nikmat dan senang sentosa lantaran amal-amal baik yang sudah dikerjakannya di dunia mereka akan ditempatkan di surga yang tinggi, di dalamnya tidak ada perkara yang sia-sia, di dalamnya ada mata-mata air yang mengalir, di dalamnya ada tempat-tempat peraduan yang tinggi, di dalamnya ada tersedia piala-piala iaitu tempat-tempat minuman dan di dalamnya ada bantal-bantal sandaran yang teratur dan hamparan yang terbentang.




Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita berjaga diri jangan sampai termasuk di dalam golongan yang tunduk terhina, tersiksa di dalam neraka yang amat panas itu dan hendaklah kita bersedia amal yang baik supaya termasuk kita di dalam golongan hamba-hamba Allah yang bersuka-ria, tenang sentosa, di dalam surga yang tidak ada bandingannya.

17. Tidakkah mahu mereka meliat kepada unta bagaimana dijadikan,
18. Dan (melihat) kepada langit bagaimana ditinggikan,
19. Dan (melihat) kepada gunung-gunung bagaimana ditegakkan,
20. Dan (melihat) kepada bumi bagaimana dihamparkan?

Keterangan :

Maksud ayat-ayat itu : Tidakkah mereka tidak mahu percaya kepada hari kiamat tentang siksanya dan nikmatnya itu, memperhatikan kejadian-kejadian unta,langit, gunung dan bumi? Kerana dengan memperhatikan kejadian-kejadian itu mereka akan tahu bahawa Allah yang menjadikan sekalian benda yang besar-besar dan berfaedah itu amat berkuasa mengadakan hari Kiamat dan menghidupkan manusia semula untuk membalas amal mereka yang baik dan jahat.

.Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita rajin dan selalu memperhatikan kejadian-kejadian yang dapat kita capai dengan pancaindera dan fikiran kita kerana dengan memperhatikan keadaan-keadaan dan hal-hal itu kita akan bertambah yakin kepada kekuasaan Allah dan kepada sekalian apa yang dijanjikan untuk kita di hari kiamat walaupun hal-hal yang tidak pernah terlintas di hati-hati kita.

21. Oleh sebab itu ingatkanlah kerana engkau itu hanya seorang pengingat,
22. Bukan engkau seorang yang berkuasa atas mereka,
23. Melainkan siapa-siapa yang berpaling dan menolak kebenaran,
24. Maka Allah akan siksa dia dengan sebesar0besar azab,
25. Kerana sesungguhnya kepada Kamilah kembali mereka,
26. Kemudian atas (tanggungan) Kamilah perhitungan mereka.

Keterangan :

Maksudnya : Mereka yang engkar kepada hari kiamat dan kepada agama itu, terkadang kerana bodohnya, kerkadang kerana lalainya dan terkadang kerana lain-lain hal. Oleh sebab itu hendakla engkau ingatkan mereka dan nasihati mereka supaya mereka suka mengambil jalan yang lurus iaitu beragama dengan agama Allah dan percaya kepada hari kiamat dan kepada azab dan nikmatNya.

Dan jangan engkau paksa atau berlaku keras supaya mereka masuk agama Allah kerana engkau hanya seorang pemberi ingatan bukan seseorang yang diberi kuasa pada memaksa mereka kerana orang yang berpaling daripada agama dan menolak kebenaran itu Allah akan mengazab akan dia dengan sebesar-besar azab kerana sesungguhnya tempat kembali mereka tidak lain melainkan kepada Allah dan urusan perhitungan dan pembalasan bagi amal yang mereka sudah kerjakan itu tidak terserah melainkan kepada Allah.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Tiap-tiap orang Islam berkewajiban mengajak manusia yang tidak beragama ke jalan Allah sebagaimana Nabi kita saw berkewajiban menyampaikan perintah Allah. Oleh sebab itu hendaklah kita mengajak manusia ke agama Islam dengan lemah lembut dan nasihat.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Wednesday, March 23, 2011

Surah Al-Fajri ( Fajar )

Tiga puluh ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikan fajar dan sepuluh malam
2. Dan (perhatikanlah) genap dan ganjil
3. Dan (perhatikanlah) malam apabila ia berjalan
4. Bukankah ada padanya satu perhatian bagi yang beraqal?

Keterangan :

Allah menyuruh kita perhatikan cahaya fajar dan cahaya bulan yang beransuran dari malam pertama sampai sepuluh dan Ia menyuruh kita perhatikan keadaan genap dan ganjil di dalam urusan yang dapat dihitung dan Ia menyuruh kita perhatikan malam yang terus bertambah gelap hingga menutup benda-benda yang dapat dipandang pada waktu terang.

SuruhNya supaya kita perhatikan sekalian yang tersebut itu ada mengandungi isyarat dan ibarat bahawa sementara kuat tubuh badan kamu dan sehat jasad kamu hendaklah kamu berbakti dan taat kepada Allah dengan menjalankan sekalian perintah-perintahNya dan menjauhi sekalian larangan-laranganNya kerana kesehatan dan kekuatan itu terkadang hilang dengan serta merta sebagaimana hilangnya gelita malam dengan terbit fajar dan sebagaimana hilangnya siang dengan sebab tiba malam.

Dan terkadang hilangnya itu beransuran sebagaimana datang dan perginya cahaya bulan di sepuluh malam dari tiap-tiap bulan dan hendaklah kamu ingat bahawa keadaan manusia itu tidak beda dengan peredaran genap dan ganjil iaitu sesudah berkecukupan (genap) akan datang kekurangan (ganjil).

Barangsiapa suka perhatikan sumpah-sumpah itu akan dapat tahu kebenaran erti yang kami katakan tadi – atau lebih terang daripadanya – kalau suka memperhatikan!.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Di dalam Al-Quran memang ada banyak ayat-ayat yang terlihat dengan sepintas lalu sebagai perkataan yang tak mempunyai erti yang penting tetapi semakin kita perhatikan semakin kelihatan luas, dalam atau lebat ertinya bahkan tidak pula luput daripada mengandungi tamsil, ibarat dan nasihat yang baik untuk manusia.

Janganlah kita tertipu dengan kekuatan, kemegahan dan kekayaan kita.

Di waktu kita segar dan kuat janganlah kita lalai daripada mengerjakan bakti kepada Allah.

Di waktu kita kaya dan mampu janganlah lalai daripada menderma di jalan Allah kerana sekalian nikmat badan dan harta yang ada pada kita akan hilang dengan serta merta atau pun beransuran.

5. Tidakkah engkau lihat bagaimana Tuhanmu lakukan kepada (kaum) ’Aad (iaitu)
    Iram  yang mempunyai kemegahan,
6. Yang belum pernah diadakan bandingannya di negeri-negeri ini,
7. Dan (kaun) Tsamud yang membawa batu gunung yang besar ke lembah itu,
8. Dan Firaun yang mempunyai bina-bina  yang teguh,
9. Yang meliwati batas di negeri-negeri itu?
10. Iaitu mereka telah  lakukan banyak kedurhakaan padanya,
11. Lalu Tuhanmu curahkan atas  mereka cemeti azabNya,
12. Sesungguhnya Tuhanmu itu tetap di tempat pegawasan.

Keterangan :

Tidakkah engkau lihat – iaitu tidakkah engkau perhatikan – bagaimana Tuhanmu binasakan ’Aad iaitu kaum Iram bin Sam bin Nuh as – kaum Iram yang mempunyai kemegahan, kekuatan dan kekayaan yang belum pernah diadakan bandingannya di negeri-negeri mereka itu iaitu di negeri Arab?.

Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Tuhanmu binasakan kaum Tsamud yang mempunyai kekuatan, kepandaian dan kemajuan hingga dapat mereka memindahkan batu gunung yang besar-besar ke lembah mereka diam lalu mereka korek dan jadikan rumah serta lain-lain perabot dan perkakas yang besar-besar?.

Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Tuhanmu telah binasakan Riraun (raja  Mesir yang mempunyai bina-bina yang teguh-teguh yang tidak ada bandingannya di dalam dunia, yang terkenal di dalam bahasa Arab sekarang dengan nama Al-Ahram dan terkenal di dalam bahasa Eropah dengan nama Piramid?)

Mereka itu telah melakukan perbuatan-perbuatan yang melanggar batas agama dan kemanusiaaan, mereka telah membanyakkan permusuhan dan kedurhakaan lalu Tuhanmu turunkan azab yang diibaratkan sebagai cemeti yang terus menerus menyebat mereka hingga hilang kekuatan, kemegahan, kekuasaan, kebesaran, kekayaan dan kesombongan mereka hingga tidak tinggal apa-apa sekarang melainkan bekas-bekas mereka sahaja.

Mereka melanggar batas dan durhaka lantaran sudah lupa kepada Tuhanmu tetapi sesungguhnya Tuhanmu itu sentiasa mengawasi mereka.




.Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Di dalam Al-Quran Allah Taala ada menyuruh kita berjalan-jalan di bumi sambil memperhatikan bekas-bekas kaum-kaum dan kerajaan-kerajaan  yang dahulu-dahulu. Sebagaimana Ia perintah kita memperhatikan cahaya fajar, bulan dan malam di surah ini yang jadi ibarat dan tamsil bagi naik turunya satu-satu kaum atau bangsa kerana dengan memperhatikan sekalian yang tersebut itu, kita akan insaf dan dapat tahu bahawa kaum, puak, golongan, bangsa dan sebagainya itu, kekuatannya, kemegahannya, kekayaannya dan lain-lainnya tidak akan berfaedah kalau tidak terikat dan terlingkung di dalam batas dan sempadan agama Tuhan yang sentiasa memperhatikan dan menguasai sekalian perbuatan makhluknya.

13. Tetapi adapun manusia itu apabila dicoba oleh Tuhannya iaitu Ia muliakan dia
      dan Ia beri nikmat kepadanya.
14. Maka berkatalah ia : Tuhanku telah muliakan daku,
15. Dan apabila (Tuhannya) mencoba dia iaitu Ia kurangkan rezekinya,
16. Maka berkatalah ia: Tuhanku telah hinakan daku.

Keterangan :

Maksudnya: Manusia itu kalau dapat nikmat dari Tuhannya iaitu kalau Tuhannya beri kekuatan, kemegahan, kebesaran,kekayaan dan sebagainya sepatutnya ia mengucapkan syukur kepada Tuhannnya atas pemberian itu sambil menggunakan dan mendermakannya di jalan yang diperintah dan diredhai oleh Tuhannya.

Dan janganlah sekali-kali ia gunakan nikmat itu pada mendurhaka dan membikin rusuh di bumi Allah.

Sepatutnya begitu!. Tetapi umumnya manusia kalau Tuhannya beri kemuliaan dan nikmat maka hanya ia ucapkan dengan lidahnya : ’Tuhanku telah beri kemuliaan kepadaku’, padahal tidak ia gunakan nikmat-nikmat itu di tempat-tempatnya yang diperintah dan disukai oleh Tuhannya;

Dan  apabila Tuhan kurangkan rezekinya atau beri dia kesusahan maka di waktu itu ia berkata : ”Tuhanku telah hinakan daku’ padahal tidak ia perhatikan bahawa kekurangan dan bahaya atas dirinya itu datang kepadanya lantaran perbuatannya sendiri.

.Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Kalau Allah Taala beri nikmat kepada kita mahupun ilmu, kekayaan, kekuatan, kemegahan, kebesaran atau lainnya hendaklah kita mengucap syukur dengan lidah dan berterima kasih dengan anggota kita iaitu kita gunakan pemberian-pemberian itu di tempat yang diredhai olehNya.

Kalau kita dapat kesusahan janganlah kita berkeluh kesah dan menyebut-yebut bahawa Allah Taala telah beri kesusahan kepadaku tetapi hendaklah kita perhatikan adakah yang demikian itu daipada kesalahan kita sendiri lantaran tidak menggunakan nikmat-nikmat pemberianNya sebagaimana mestinya atau tidak. Kalau tidak, hendaklah kita percaya bahawa hal itu satu percubaaan dari Allah atas kita dan hendaklah kita terima dengan sabar.

17. Tidak! Bahkan tidak kamu muliakan anak yatim,
18. Dan tidak kamu genarkan (manusia) atas memberi makan orang miskin
19. Dan kamu makan sungguh-sungguh harta warisan orang,
20. Dan terlalu sangat kamu tamak kepada harta.

Keterangan :

Maksudnya : Tidak sekali-kali kamu gunakan nikmat-nikmat yang diberi oleh Allah pada tempat-tempatnya, bahkan kamu tidak muliakan anak yatim iaitu tidak mahu urus keperluan anak-anak yatim dengan memberi palajaran, makan, pakai dan sebagainya dan tidak pula kamu gemarkan orang lain supaya suka memberi makan dan membantu orang-orang miskin tetapi kamu makan harta warisan anak-anak yatim dan lainnya sekenyang-kenyangnya dengan jalan yang tidak halal. Dan kamu tamak pula kepada harta setamak-tamaknya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Sebagai terima kasih dan syukur atas nikmat yang diberi oleh Tuhan kepada kita hendaklah kita gunakan sebahagian daripada harta kita tentang keperluan anak-anak yatim dan tentang keperluan orang-orang miskin  kerana menggemarkan orang lain supaya beri makan orang miskin itu tidak manis dan tidak patut kalau tidak kita mendahulukannya.

Kalau kita dikuasai memegang harta warisan orang kecik atau besar, yatim atau bukan janganlah kita makan melainkan sekadar yang halal bagi kita sahaja.

Janganlah kita tamak kepada harta kecuali untuk menggunakan dia di jalan yang disukai oleh Allah.

21. Tidak! Apabila dihancurkan bumi kelak sehancur-hancurnya,
22. Dan datang (perintah) Tuhanmu, sedang malaikat (akan hadir) berbaris-baris,
23. Dan di hari itu akan dihadirkan (neraka) jahanam,
24. Maka di hari itu manusia akan ingat pada keadaan di mana (akan berguna)
     peringatan baginya!
25. Ia akan berkata : Alangkah baiknya kalau aku sudah bersedia untuk
      penghidupannk (disini),
26. Maka di hari itu tidak ada siapapun dapat mengazab seperti azabNya!
27. Dan tidak ada siapapun dapat mengikat seperti ikatanNya!




Keterangan :

Maksudnya : Tidak patut begitu, iaitu tidak patut kamu menghina anak yatim, membiarkan orang miskin, makan harta warisan  anak yatim dan lainnya dan tidak patut kamu tamak dan simpan harta bertumpuk-tumpuk kerana di hari yang akan dihancurkan sehancur-hancurnya iaitu di hari kiamat, yang akan dikeluarkan sekalian jasad manusia dari kuburan dan akan datang perintah Tuhan buat memutuskan hukum sedang malaikat-malaikat hadir berbaris-baris, bersaf-saf dan neraka pula dihadirkan, bersama-sama buat menerima makanannya – di hari itu, manusia akan ingat kepada dosanya, kesalahannya, kelalaiannya padahal peringatannya itu sudah tidak berguna baginya, kecuali penyesalan yang tidak putus-putus dengan berkata : : Alangkah baiknya kalau aku sudah jauhi masiat serta sediakan amal yang baik untuk kehidupan di hari yang tidak ada seseorang atau sesuatu pun dapat menolong manusia ini!

Bangkan penyesalan itu tidak akan berguna di hari yang tidak ada siapa pun yang dapat mengazab seseorang atau menhikat seseorang supaya tidak terlepas daripada azab sebagaimana azab dan ikatan Tuhan akan manusia yang jahat itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita jauhi sekalian pekerjaan yang tidak disukai oleh Allah dan hendaklah kita taat kepada Allah sedapat-dapatnya supaya kita terlepas daripada azab Allah di hari yang tidak akan berguna melainkan amal yang solih, di hari yang tidak akan berfaedah penyesalan, harapan, tangisan dan sebagainya.

28. Hai jiwa yang tetap dan yakin! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan sentosa,
29. Iaitu masuklah di dalam (golongan) hamba-hambaKu,
30. Dan masuklah ke surgaKu.

Keterangan :

Di ayat-ayat yang telah lalu, Tuhan telah terangkan  kejahatan  manusia dan balasannya dengan umum : hal itu tentulah menyebabkan kekhuatiran  kepada manusia yang beramal solih di dalam dunia untuk dunia dan akhirat serta menunggu-nunggu bagaimana balasan mereka kelak. Maka datangnya khabaran yang baru tersebut itu menghilangkan kekhuatiran dan kebimbangan mereka.

Maksud ayat-ayat yang tersebut : Tuhan berseru: Hai manusia yang tetap hatinya di dalam agamaKu dan yakin kepada hari pertemuan ini! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan senang sentosa iaitu masuklah di dalam golongan hamba-hambaKu yang solihin dan masuklah ke dalam surgaKu bersama mereka itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklah kita bekerja dengan bersungguh-sungguh supaya kita jadi orang-orang yang senang dan sentosa di dalam surga nersama-sama hamba-hamba Allah yang salihin.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Tuesday, March 22, 2011

Surah Al-Balad ( Negeri )

Dua puluh ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlah sungguh-sungguh negeri ini
2. Padahal engkau jadi barang halal di negeri ini
3. Dan (perhatikanlah) satu benih dan sesuatu yang diperanakkannya
4. Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia di dalam kepayahan

Keterangan :

Laa uqsimu itu erti lafaznya : ’ Aku tidak bersumpah’ tetapi sudah biasa dipakai oleh orang-orang Arab bagi sumpah yang sungguh-sungguh. Jadi ertinya : Aku bersumpah bersungguh-sungguh’. Oleh sebab sumpah-sumpah di dalam Al-Quran itu maksudnya menyuruh memperhatikan – sebagaimana sudah kami terangkan beberapa kali maka perkataan laa uqsimu itu kami ertikan dengan ’ Perhatikanlah sungguh-sungguh ”

” Negeri ini ’ maksudya negeri Mekah.

’ Engkau jadi barang halal di negeri ini ’ maksudnya engkau diganggu dan disakiti orang dengan semahu-mahunya sebagai satu benda yang halal orang menggunakannya.

’ Perhatikan satu benih dan sesuatu yang diperanakkannya’ itu, maksudnya perhatikan sesuatu kejadian dan asalnya seperti kejadian manusia, binatang dan seperti kejadian pohon-pohon dan lain-lainnya.

’ Kami jadikan manusia di dalam kepayahan ’ itu maksudnya bahawa kejadian manusia dari mula-mula dikandung oleh ibunya hingga dilahirkan dia, tahu berjalan, besar, teguh dan kuat itu semua di dalam kepayahan atas dirinya dan diri ibu bapak atau pemeliharanya.

Allah memerintah Nabi kita saw supaya memperhatikan negeri Mekah dan benih sesuatu itu maksudnya hendak memberi pengajaran bahawa sesudah nabi Muhammad melalui beberapa kesusahan, kepayahan, halangan dan rintangan iaitu sesudah disusahkan, disiksa, dihina dan dibuat semahu-mahunya oleh ahli Mekah maka nabi Muhammad akan jadi pemerintah negeri dan kaum itu sebagaimana satu benih atau bibit bagi sesuatu kejadian dari pohon dan barang-barang yang bernyawa tidak akan sampai kesempurnaan melainkan sesudah melalui beberapa hal dan keadaan-keadaan yang dinamakan kesusahan, kepayahan, halangan atau rintangan.

Lantas Tuhan sambung dengan perkataan : ” Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia di dalam kepayahan”, iaitu manusia tidak akan sampai kepada keadaan kesempurnaannya melainkan sesudah melalui beberapa hal yang serupa tersebut di atas.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Jangan kita keluh-kesah, kecil hati, putus asa di dalam mengerjakan, mengejar atau mencari sesuatu yang kita makdudkan walaupun dirintangi dan dihalangi oleh seteguh-teguh halangan dan sebesar-besar rintangan kerana telah menjadi sunnah Allah yang umum bahawa tiap-tiap satu kesempurnaan tidak akan datang sebelum digiliri oleh beberapa hal dan keadaan-keadaan yang boleh dinamakan kesusahan, kepayahan, rintangan dan halangan.

5. Adakah ia sangka bahawa tidak ada siapa yang berkuasa atasnya?
6. Ia berkata : Aku telah belanjakan harta tidak sedikit!
7. Adakah ia sangka bahawa tidak ada siapa-siapa yang melihat dia?.

Keterangan :

Lantaran sudah sempurna kejadiannya, sudah kuat tubuhnya, sudah teguh keadaannya itu patutkah manusia menyangka bahawa tidak ada siapa-siapa yang terkuasa atasnya?

Lupakah ia kepada Tuhan yang menjadikan dia di dalam keadaan sempurna, kuat, teguh dan...................itu?

Dan patutkah ia belanjakan hartanya di jalan-jalan yang disukai oleh hawa nafsunya tetapi apabila ada yang minta derma untuk keperluan di jalan Allah ia berkata : Aku sudah belanjakan hartaku tidak sedikit?

Apakah ia menyangka tidak ada siapa-siapa yang tahu tentang apa ia telah belanjakan hartanya yang banyak itu?

Lupakah ia kepada Tuhan yang menjadikan dia dan memberi kekayaan kepadanya dan yang tahu hingga gerak-gerik hatinya?.

.Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Janganlah kita takabbur dengan sebab bertubuh kuat, berkeadaan teguh, berkekayaan cukup kerana takabbur itu hanya patut menjadi sifat bagi Tuhan yang memberi kekuatan, keteguhan, kekayaan itu dan sebagainya.

Walau berapa pun kita belanjakan harta kita kalau tidak di jalan Allah tidak dinamakan kita menderma

Hendaknya kita berderma dengan ikhlas kerana Allah dan di jalan Allah kerana Tuhan mengetahui bukan sahaja di jalan apa yang kita sudah belanjakan harta kita  bahkan Ia mengetahui di jalan apa kita akan belanjakannya.

8. Bukankah Kami telah jadikan baginya dua mata,
9. Dan satu lidah dan dua bibir,
10. Dan Kami telah tunjukkan baginya dua jalan?
11. Tetapi tidak ia menempuh jalan yang payah itu,
12. Sudahkah engkau tahu apa dia jalan yang payah itu?
13. (Iaitu) merdekakan hamba,
14. Atau memberi makan di hari kelaparan,
15. Kepada anak yatim sekeluarga
16. Atau kepada orang miskin yang sangat kepayahan
17. Kemudian (tidak) ia jadi dari golongan mereka yang beriman dan berpesan-pesan
     pada (mengerjakan ) kesabaran dan berpesan-pesan pada mengasihani.
18. Mereka ini ialah orang-orang pihak kanan,
19. Dan mereka yang tidak percaya kepada perintah-perintah Kami itu, ialah orang-
      orang celaka,
20. Mereka ini akan ditutup rapat di neraka,

Keterangan :

Maksudnya bukankah Kami telah jadikan bagi manusia itu dua mata, lidah, dua bibir dan Kami telah tunjukkan baginya dua jalan : pertama jalan yang mudah iaitu jalan masiat dan kedua jalan yang payah iaitu jalan berbakti dan kebaikan tetapi manusia itu tidak suka menempuh jalan payah iaitu tidak suka mengerjakan bakti dan kebaikan yang biasanya payah dan berat bukan lantaran apa-aps melainkan lantaran memang sudah biasa bahawa kebaikan itu payah dan kejahatan itu mudah.

Sudahkah engkau tahu apa yang dimaksudkan oleh Tuhan di sini dengan perkataan ’jalan yang payah’ itu?

Iaitu menerdekakan hamba milik atau beri makan anak yatim yang sekeluarga atau orang miskin yang sangat payah, di hari kelaparan atau di hari kesusahan makanan.

Dan tidak juga manusia itu mahu masuk di dalam golongan orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan satu dengan lainnya pada menjalankan kesabaran iaitu sabar di dalam mengerjakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya dan berpesan-pesan satu kepada yang lain supaya mengasihi anak yatim atau orang-orang yang di dalam kesusahan umum.

Manusia yang mahu menempuh jalan yang payah iaitu mereka yang mahu merdekakan hamba dan mahu beri makan anak yatim dan orang miskin di hari kesusahan dan kelaparan dan mereka yang beriman serta berpesan-pesan pada menjalankan kesabaran dan kasihan itulah orang-orang yang dipihak kanan iaitu orang-orang yang terselamat daripada siksa Allah di hari kiamat.
Adapun mereka yang kufur tidak mahu percaya kepada perintah-perintah Kami itu ialah orang-orang yang celaka dan akan ditutup rapat di dalam api neraka sebagai balasan bagi kekufurannya.

.Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklsh kita gunakan tiap-tiap anggota kita pada mengerjakan kebaikan dan bakti kepada Allah serta kita jauhkan diri daripada berbuat maksiat kepadaNya.

Tuhan tunjukkan kepada kita dua jalan itu bukan buat dikerjakan tetapi buat dipilih dan diambil jalan yang baik serta dijauhkan jalan yang jahat.

Menerdekakan hamba, memberi makan anak yatim dan orang miskin itu sebesar-besar amal yang patut kita kerjakan sekuat-kuat kita dan sedapat-dapatnya.

Hendaklah kita berkerja dengan segenap ikhtiar pada menghasilkan jalan buat menyampaikan kita kepada darjat golongan manusia yang dipihak kanan itu dan hendaklah kita jauhkan diri daripada tiap-tiap jalan yang akan menjadikan kita orang yang celaka.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )