Monday, March 7, 2011

Surah Al-Fiel ( Gajah )


Lima ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannnya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Tidakkah engkau tahu bagaimana Tuhanmu telah berbuat kepada orang-orang
     yang mempunyai gajah-gajah?
2. Bukankah daya-upaya mereka itu Ia telah jadikan sia-sia,
3. Dan Ia telah kirim untuk (membinasakan) mereka itu burung yang berduyun-duyun,
4. Yang melempar mereka dengan batu dari azab,
5. Lalu Ia jadikan mereka seperti daun yang dimakan ulat?

Keterangan :

Menurut riwayat-riwayat yang sahih, bahawa pada tahun diperanakkan nabi kita s.w.a, datang seorang pahlawan bangsa Habasyi yang jadi wali (gabnor) bagi kerajaan Habasyah di Yaman bernama Abrahah, hendak merubuhkan Ka’bah supaya orang-orang Arab naik haji ke gereja yang ia telah sediakan di Yaman. Maka berangkatlah ia dengan tenteranya berserta gajah-gajah peperangan. Setelah sampai di satu tempat yang berhampiran dengan Mekah, ia beri tahu kepada ahli Mekah bahawa kedatangannnya itu bukan kerana hendak berperang tetapi kerana hendak merubuhkan Ka’bah sahaja. Di waktu itu orang-orang Mekah lari ke gunung-gunung kerana hendak menantikan perbuatan yang akan dilakukan oleh Abrahah.

Di hari kedua – sebelum ia merubuhkan Ka’bah tenteranya terkena penyakit cacar yang telalu hebat yang belum pernah terjadi di tanah Arab hingga gugur daging-daging dari badan-badan mereka dan Abrahah juga kena penyakit itu dan gugur daging-dagingnya berserta jari-jarinya hingga mati dengan itu.

Jadi burung-burung yang dikirim oleh Allah itu ialah hama-hama atau mikrob-mikrob kerana yang dinamakan burung itu ialah tiap-tiap yang terbang mahupun besar atau kecil, dapat dilihat atau tidak dan yang dimaksudkan dengan batu dari azab itu ialah benih penyakit cacar tersebut.

Ringkasan dan maksudnya :

Walaupun orang-orang telah gunakan sebagai tempat berhala, tetapi Ka’bah itu tetap rumah Allah, rumah yang mula-mula didirikan untuk menyembah Tuhan dengan sebenar-benarnya dan Tuhan telah kehendaki rumah itu jadi kiblat bagi Nabi akhir zaman dan umatnya. Kerana itu, maka Allah sia-siakan usaha orang-orang yang membawa tentera dan gajah-gajah peperangan untuk merubuhkan dan menghapuskan rumah itu dan Allah telah kirim berduyun-duyun hama yang membawa penyakit cacar atas mereka hingga binasa dan hancur luluh mereka seoalah-olah daun-daun kayu yang dimakan ulat.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

  1. Walau bagaimanapun manusia berikhtiar akan menghilangkan syiar-syiar dan tempat-tempat orang beribadat kepada Allah, tidak akan hasil, bahkan kecelakaannya akan kembali kepadanya sendiri.
  1. Janganlah kita bermegah atau bersombong diri dengan sebab mempunyai kekuatan atau kekayaan kerana tentera yang begitu banyak dan gagah berserta gajah-gajah peperangan yang begitu besar-besar, dihancurkan oleh Allah dengan binatang-binatang (hama-hama) yang begitu kecil-kecil yang tak dapat dilihat dengan mata biasa.
  1. Orang yang zalim itu Allah akan binasakan dengan cara yang tidak disangka-sangka.
  1. Al-Quran telah isyaratkan satu daripada ilmu-ilmu kedoktoran yang halus yang orang dunia tidak mengetahui dia melainkan sesudah ada teropong-teropong halus yang dinamakan mikroskop.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Sunday, March 6, 2011

Surah Quraisy ( Bangsa Quraisy )

Empat ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannnya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Kerana (Allah) melindungi Quraisy,
2. (Iaitu Ia) melindungi mereka di dalam pelayaran musim dingin dan musim panas,
3. Maka hendaklah mereka menyembah (Allah) Tuhan bagi tumah ini,
4. Yang memberi makan mereka daripada kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan.

Keterangan :

Orang-orang di zaman Jahiliyah ada memounyai dua pelayaran; dimusim dingin ke negeri Yaman dan dimusim panas kenegeri Syam.

Dalam dua-dua pelayaran itu, mereka tidak diganggu oleh kaum-kaum perompak dan penyamun Arab di perjalanan lantaran mereka menghormati penjaga rumah Allah yang memang dihormati oleh kaum Arab dari zaman rumah Allah itu bersih daripada syirik hingga zaman penuhnya dengan berhala.

Dengan sebab jadi penjaga rumah Allah itu mereka dapat berdagang dengan aman dan dengan sebab aman di dalam perdagangan itu, dapat mereka mencari keuntungan untuk menolak kelaparan dari negeri yang ahli-ahlinya tidak mendapat makanan melainkan dari luar.

Lantaran itulah, maka Allah berkata yang maksudnya: Hai kaum Quraisy!, oleh sebab Allah telah lindungkan kamu di dalam pelayaran kamu ke Yaman dan ke Syam untuk penghidupan kamu maka sebagai mengucap syukur hendaklah kamu beribadat kepada Tuhan yang mempunyai rumah yang mulia ini, yang telah menyelamatkan kamu daripada kelaparan dan ketakutan dengan menjadikan kamu penduduk negeri yang suci dan penjaga rumah yang mulia, yang dihormati oleh kaum-kaum Arab hingga oleh perompak-perompak dan penyamun-penyamunnya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Wajib kita syukur berlipat ganda dan mengerjakan ibadat yang seikhlas-ikhlasnya kepada Tuhan yang mengamankan kita daripada sekalian bala bencana yang tidak dapat ditolak dan yang memberi makan kepada kita dengan tidak susah payah menyeberangi lautan pasir yang penuh  dan rata dengan bahaya sebagaimana yang diderita oleh kaum Quraisy itu.


 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Saturday, March 5, 2011

Surah Al-Maa’un ( Pertolongan )

Tujoh ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannnya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Tahukah engkau oramg yang (hendak) mendustakan agama?
2. Iaitu orang yang menengking anak yatim,
3. Dan tidak menggemarkan (manusia) atas memberi makan orang miskin.

Keterangan :

Allah bertanya kepada nabi Muhamammad s.w.a. atau kepada tiap-tiap seorang yang membaca Al-Quran, bahawa sudahkah engkau tahu siapa dia orang yang hendak mendustakan agama, iaitu orang yang mahu kufur kepada agama?

Lalu Allah beri tahu bahawa orang yang mahu mendustakankan agama itu, ialah orang yang menengking dan menunjukkan kekasarannya kepada anak yatim.

Orang yang berlaku kejam, bengis atau benci kepada anak-anak yatim itu, dipandang sebagai orang yang hendak mendustakankan agama. Orang yang menyatakan agama dusta itu tidak lain melainkan kafir.

Jadi menguruskan anak yatim itu bukan satu perkara yang kecil dan pahalanya juga tentu tidak sedikit.

Dan Allah beri tahu lagi bahawa orang yang hendak mendustakan agama itu, ialah orang yang tidak menggembirakan manusia atau tidak mengajak mereka supaya memberi makan dan menolong orang-orang miskin.

Di dalam perintah Tuhan supaya kita mengajak manusia memberi makan orang-orang miskin itu, sudah terkandung perintah supaya kita sendiri lebih dahulu memberi makan dan menolong mereka.

Jadi kita diperintah memberi makan orang miskin dan diperintah juga mengajak orang lain berbuat begitu.

Oleh sebab perkara itu besar kepentingannya maka orang yang tidak mahu mengerjakan itu dipandang sebagai orang yang mahu mendustakan agama.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Orang yang memelihara anak yatim, wajib berlaku halus dan sabar, jangan sampai menyentak, menengking atau menyakitkan hatinya kecuali atas jalan mendidik dan mengajar itupun dengan seikhlas-ikhlasnya bukan dengan kebencian atau kebengisan.

Wajib kita berusaha sedapat-dapatnya pada menolong orang-orang miskin dengan kekuatan sendiri dan mengajak orang lain pada menolong mereka.


4. Maka kecelakaan akan didapati oleh orang-orang yang sembahyang,
5. Yang lalai daripada sembahyangnya,
6. Yang riak,
7. Dan tidak memberi pertolongan.


Keterangan :

Di ayat-ayat yang telah lalu, sudah tersebut siapa dia orang yang hendak mendustakan agama.

Di ayat-ayat ini, Tuhan terangkan sifat-sifat orang sembahyang yang akan dapat kecelakaan iaitu,

1)      Orang yang sembahyang dengan lalai, iaitu dengan tidak memperhatikan maksud sembahyang dan tidak memperhatikan maksud sembahyang dan tidak memperhatikan isi-isi bacaannya, yang mana jika ia perhatikan nescaya tidak ia berlaku kasar kepada anak yatim dan tidak akan membiarkan orang-orang miskin di dalam kesengsaraan kerana di tiap-tiap rakaat itu ia membaca arrah-ma-nir-rahiem sekurang-kurangnya dua kali, bacaan mana tidak patut tidak memberi bekas didalam hatinya kecuali ia sembahyang dengan lalai.

2)      Orang yang sembahyang dengan riak iaitu orang yang beribadat supaya dilihat, dipuji atau disukai orang.

3)      Orang yang sembahyang padahal tidak mahu memberi pertolongan kepada siapa-siapa atau kepada apa-apa urusan yang perlu kepada pertolongannya.


Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Dengan mengerjakan sembahyang itu :

1)      Hendaklah hilang sifat-sifat kekejaman dan kebengisan kita dan hendaklah timbul perangai-perangai baik dan halus seperti sabar, kasihan dan lainnya terhadap anak-anak yatim.

2)      Hendaklah hilang dari kita sifat-sifat bakhil, malu atau malas mengerjakan kebaikan dan sebaliknya hendaklah terganti dengan sifat-sifat pemurah, pengasihan dan rajin mengajak manusia kepada melakukan kebaikan dan kebajikan terhadap orang miskin.

3)      Hendaklah hilang dari kita sifat riak dan terganti dengan sifat-sifat ikhlas di dalam mengerjakan sembahyang, di dalam memelihara anak-anak yatim, tentang menolong dan mengajak manusia kepada menolong orang-orang miskin dan di dalam mengerjakan lain-lain perintah Allah yang berhubung dengan adat dan ibadat.

4)      Dengan mengerjakan sembahyang itu, jika tidak dapat perubahan-perubahan baik seperti yang tersebut maka siksalah yang kita dapat.


( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Friday, March 4, 2011

Surah Al-Kautsar ( Terlalu banyak )

Tiga ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannnya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Kami telah beri kepadamu terlu banyak.

Keterangan :

Di waktu ketua-ketua Quraisy melihat anak-anak Nabi kita s.a.w. banyak yang mati, mereka berkata: ‘Muhammad itu orang yang putus berkat dan turunannya dan akan hilang sebutannya’ dan mereka anggap yang demikian itu satu kekurangan.

Di waktu mereka melihat kelemahan dan kepapaan orang-orang Islam mereka berkata bahawa kalau agama Muhammad itu benar, tentulah diturut oleh orang-orang kaya dan orang-orang yang mempunyai kekuatan.

Mereka yang baru masuk Islam, tergoda juga hati mereka dengan omongan-omongan yang demikian kerana di waktu itu memang keadaan kaum Islam di dalam serba kekurangan.

Di dalam keadaan yang sedang begitu, Allah wahyukan kepada Nabi kita s.a.w. ayat tadi yang maksudnya : Kami telah beri kepadamu nikmat yang terlalu banyak, iaitu Kami jadikanmu Nabi dan Rasul, Kami beri kepadamu agama yang amat sempurna, Kami beri kepadamu Al-Quran yang tidak ada bandingannya.Kami jadikanmu hidup mulia dan disebut orang hingga hari qiamat.

Kami berikan kepadamu pengikut-pengikut yang setia kepadamu di dalam masa susah payah.Nikmat-nikmat ini sekalian lebih besar harganya dan lebih tinggi kemuliaannya daripada anak-anak dan kekayaan yang dimegah-megahkan oleh musuhmu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Semulia-mulia nikmat itu ialah taat kepada Allah, hidup di dalam keridhaan Allah, dapat kemuliaan yang disukai Allah, terpimpin di jalan Allah, dapat gelaran pembela agama Allah.

Mempunyai anak buah yang banyak, turunan yang akan menyebut nama kita, kaum yang banyak yang melindungi kita, harta benda yang banyak itu tak dapat dinamakan nikmat jika tidak disukai oleh Allah, jika tidak di jalan Allah, jika tidak untuk melindungi agama Allah.


2. Oleh sebab itu hendaklah engkau sembahyang kerana Tuhanmu dan hendaklah
    engkau berqurban.

Keterangan :

Maksudnya kerana Allah telah beri kepadamu nikmat yang begitu besar harganya dan begitu mulianya maka sebagai mengucap syukur kehadratNya hendaklah engkau kerjakan ibadat dengan badan, sembahyang dan lain-lainnya dan hendaklah engkau kerjakan ibadat dengan harta seperti qurban dan lain-lainnya untuk dimakan dan digunakan oleh orang-orang miskin.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Kalau kita perhatikan betul-betul nanti kelihatan tidak sedikit nikmat-nikmat Allah telah tumpahkan atas kita daripada nikmat yang zahir hingga nikmat yang batin terutama nikmat iman iaitu satu pemberian yang tak dapat dinilai harganya.

Oleh sebab itu sebagai mengucap syukur dan terima kasih atas pemberianNya yang tidak ternilai, wajib kita mengerjakan sekalian perintahNya yang dapat dikerjakan dengan badan kita dan sekalian perintahNya yang mesti dikerjakan dengan harta benda kita.

3. Sesungguhnya orang yang benci kepadamu itulah orang yang keputusan.

Keterangan :

Maksudnya bahawa orang-orang yang menyatakan engkau orang yang putus berkatnya akan putus keturunannya akan hilang sebutannya itulah yang akan putus berkatnya dan keturunannya dan akan hilang sebutannya yang baik.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Orang yang mencela akan siapa-siapa yang berbuat kebaikan itulah yang akan hilang berkatnya dan hilang namanya yang baik dan akan tinggal sebutannya yang buruk.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Thursday, March 3, 2011

Surah Al-Kaafirun ( Orang-orang kafir )

Tiga ayat – turun di Madinah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannnya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Katalah: Hai kaum kafir!
2. Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah;
3. Dan tidak (pula) kamu menyembah apa yang aku sembah;

Keterangan :

Allah menyuruh NabiNya atau tiap-tiap seorang Islam berkata kepada kaum kafir bahawa kami tidak menyembah tuhan yang kamu sembah, dan kamu pula tidak menyembah Tuhan yang aku sembah.

Sungguhpun kamu mengaku menyembah Allah sebagaimana aku mengaku menyembahNya tetapi kamu sifatkan Allah dengan sifat yang lain daripada aku sifatkan. Oleh sebab itu, boleh dikata : Allahku lain dan Allah kamu lain, aku tidak beribadat kepada tuhan kamu dan kamu tidak beribadat kepada Tuhanku.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Sama sebutan itu tidak menunjukkan sama dzat.

Sebagaimana perbedan antara Allah pada i’tiqad Islam dan Allah pada anggapan kafir begitulah agama pada pandangan sebahagian daripada kaum Islam dan agama pada anggapan segolongan lain.

Sebahagian berkata : Agama itu ialah firman Allah dan sunnah RasulNya; dan tidak dinamakan agama jika tidak ada keterangan dari salah satunya.

Sebagian lain pula berkata : agama itu betul asalnya dari Allah dan RasulNya tetapi buat kita tidah sah beragama kalau tidak menurut apa-apa yang ditetapkan oleh ’ulama dan apa-apa yang dipandang baik oleh ’ulamak.

4. Aku bukan penyembah sebagaimana (cara) kamu menyembah.
5. Dan kamu (juga) bukan penyembah sebagaimana (cara) aku menyembah.

Keterangan :

Di ayat yang kedua dan ketiga tadi, dikatakan bahawa kita orang Islam tidak menyembah apa yang disembah oleh orang kaum kafir.

Maka di ayat keempat dan ke lima ini, Allah perintah NabiNya atau tiap-tiap seorang Islam berkata kepada kaum kafir bahawa cara kamu menyembah dzat yang kamu katakan Allah itu berlainan dengan cara aku menyembah Allah yang Maha Suci.

Kamu menyembah Allah itu dengan wasilah menyembah berhala. Kamu beri’tiqad bahawa berhala-berhala yang kamu sembah itu akan hampirkan kamu kepada Allah atau akan mintakan kepada Allah apa-apa hajat kamu. Kamu beri’tiqad bahawa berhala-berhala  itu akan syafaatkan kamu kepada Allah.

Jadi perbedaan antara kaum Islam dan kaum kafir itu bukan saja di tentang tuhan yang dianggap oleh masing-masing bahkan di dalam cara melakukan ibadat pun ada perbedaan yang jauh.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Jangan sekali-kali kita beribadat atau berdoa kepada Allah dengan pakai perantaraan makhluk itu dan ini.

Ibadat kita hendaklah kita hadapkan terus dan semata-mata kepada Allah dengan tidak pakai tambahan : ” Hai Tuhanku! aku  harap Engkau terima ibadatku dengan berkat si anu”.

Kalsu kita meminta (berdoa), hendaklah terus kepada Allah : jangan sekali-kali kita hadapkan kepada seorang atau satu kuburan supaya ia sampaikan kepada Allah : dan jangan sekali-kali kita hadapkan doa kepada Allah dengan pakai tambahan : ” Ya Allah ! kabulkanlah permintaan hambaMu ini dengan berkat si anu atau dengan berkat kuburan anu”.

Wajib kita nasihati dan larang orang-orang Islam yang meminta-minta kepada kuburan-kuburan dengan alasan kepercayaan bahawa maya yang di dalam kubur itu nanti mintakan kepada Tuhan atau doakan keselamatan baginya.

Cara-cara memakai perantaraan itu semuanya cara-cara orang-orang kafir yang dicela dan dikufurkan oleh Quran dibeberapa ayat yang sebahagian daripadanya ialah ayat-ayat yang tersebut itu.

6. Untuk kamulah agama kamu dan untukkulah agamaku.

Keterangan :

Oleh sebab tuhan yang kamu sembah itu lain daripada Tuhan yang aku sembah dan cara kamu beribadat dan berdoa itu lain daripada cara aku beribadat dan berdoa maka ta’dapat dipandang agama kamu sama dengan agama maka : kerana itu, agama kamu itu untuk kamu dan agamaku ini untukku; tidak ada persamaan sedikit juapun antara agama kamu dengan agamaku.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Walaupun sama pengakuan, sama nama dan sama tujuan tetapi kalau tidak sama asas dan tidak sama cara menyampaikan diri kepada apa yang dituju, tidak dapat dinamakan urusan itu sama.

Kaum Islam sungguhpun pengakuannya sama namanya sama dan tujuannya sama tetapi oleh sebab ada yang berasas kitab Allah  dan sunnah RasulNya dan ada yang berasas perkataan ’ulama’ dan ada yang berasas fatwa guru0guru, maka satu dengan lain itu ta’dapat dipandang sama.

Memandang sama akan beberapa golongan yang berlainan asas itu, bererti menganggap sama akan barang yang salah dengan barang yang benar.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Wednesday, March 2, 2011

Surah An-Nashr ( Pertolongan )

Tiga ayat – turun di Madinah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannnya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,

2. Dan engkau lihat manusia masuk ke agama Allah berduyun-duyun.

3. Maka hendaklah engkau berbakti dengan memuji Tuhanmu dan hendaklah engkau
   minta ampun daripadaNya kerana sesungguhnya Ia itu adalah sangat Pengampun.

Keterangan :

Di dalam Quran ada ayat-ayat yang dihadapkan kepada Nabi dan dimaksudkan untuk Nabi saja ; dan ada pula yang dihadapkan kepadanya dan dimaksudkan baginya dan bagi umatnya dan ada pula yang dihadapkan kepadanya tetapi dimaksudkan jadi pelajaran bagi umatnya.

Surah ini satu daripada yang dihadapkan kepada Nabi tetapi maksudnya mengajar sahabatnya dan umatnya.

Sebelum dapat kemenangan sebahagian daripada sahabat Nabi menunggu-nunggu kedatangnnya dengan tidak sabar dan dengan keluh kesah. Hal ini Tuhan pandang sebagai satu kesalahan.

Allah menyuruh minta ampun itu tampaknya atas kesalahan itu supaya mereka tidak akan berbuat begitu lagi atau sekurang-kurangnya jangan mereka melampaui dari itu.

Jadi ertinya : apabila datang pertolongan dari Allah dan dapat kamu mengalahkan musuh-musuh kamu serta kamu lihat orang-orang kafir masuk agama Islam berduyun-duyun, bukan satu-satu, dan bukan dengan ketakutan seperti yang sudah-sudah maka janganlah kamu lalai daripada berbakti dan janganlah kamu lemah daripada memuji Tuhan yang telah memberi kemenangan kepada kamu, dan janganlah kamu lupa meminta ampun daripadaNya atas kesalahan kamu tentang menunggu-nunggu kemenangan dan pertolongan dari Allah dengan tidak sabar dan keluh kesah yang menunjukkan kurang kuat kepercayaan kamu tentang kedatangan pertolongan dari Allah kerana Allah itu Tuhan yang sangat suka memberi ampun akan hambaNya yang minta ampun.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Manusia sudah memang berperangai suka beribadat keras atau selalu ingat kepada Tuhannya dengan tidak putus-putus selagi belum hasil maksudnya atau selama ia di dalam kesusahan dan juga manusia bertabiat tak suka sabar bahkan suka keluh kesah menunggu hilangnya kesusahan atau menanti datangnya kesenangan.

Sesudah tercapai hajatnya atau sesudah hilang kesusahannya lemahlah ibadatnya, lupa ia menerima kasih kepada Tuhannya dan lupa ia merasakan kesalahannya.

Oleh itu kalau kita dapat kemenangan untuk diri kita atau untuk agama kita, kalau hasil maksud kita, kalau hilang kesusahan kita, kalau datang kesenangan kepada kita, janganlah kita lalaikan ’ibadat kita kepada Tuhan yang menghasilkannya, janganlah kita lupa mengucap syukur dan memuji akan Dia, janganlah kita lupa meminta ampun kesalahan atau dosa yang kita lakukan dengan tidak sabar dengan keluh kesah dan dengan bersungut.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

Tuesday, March 1, 2011

Surah Lahab ( Julangan )

Lima ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannnya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Rugilah hendaknya dua tangan Abu Lahab! Dan (sebenarnya) telah rugi ia

Keterangan

Di dalam bahasa Arab sebutan ’dua tangan seseorang ’ itu maksudnya diri orang itu. Jadi ertinya : ’Mudah-mudahan rugilah Abu Lahab’ , dan sebenarnya telah rugi Abu Lahab sebagaimana yang didoakan itu, iaitu maksud-maksud Abu Lahab itu tidak hasil dan ia pun telah mati.

Abu Lahab itu gelaran bagi bapak saudara Nabi kita, namanya ’Abdul-Uzza ’Abdul Muth-thalib. Abu Lahab seorang daripada musuh-musuh yang amat sangat menyakiti Nabi kita s.a.w. Ia seorang yang amat menganggu dan menghalang Nabi kita di waktu menyampaikan perintah-perintah Allah.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Abu Lahab dapat kerugian dan tidak hasil maksudnya pada menghalangi dan menganggu serta menyakiti Nabi yang hendak menyampaikan perintah-perintah Allah kepada manusia.

Begitulah akan dapat kecelakaan dan kerugian dan tidak hasil maksud siapa-siapa yang menghalangi dan menganggu orang-orang yang hendak menyampaikan firman Allah dan sabda Rasul kepada manusia.

2. Tidak memberi faedah baginya hartanya dan apa yang diusahakan.

Keterangan :

Tidak memberi faedah bagi Abu Lahab harta yang ia belanjakan dan usaha yang ia gunakan pada memusuhi dan menghalangi Nabi s.a.w. daripada menyampaikan agama Allah.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :

Hendaklah kita bekerja terus pada menyampaikan agama Allah kepada manusia.

Janganlah kita dukacita dan janganlah terlalu banyak kita fikir-fikirkan harta dan usaha orang lain pada menghalanginya kerana harta dan usaha orang-orang pada menghalangi kemajuan agama Allah itu tidak akan memberi faedah bagi mereka.


3. Ia akan masuk di api yang berjulang

Keterangan :

Abu Lahab yang sudah membelanjakan harta dan menggunakan usahanya pada menghalangi Nabi kita itu sudah rugi dan mati. Ia akan masuk neraka yang menyala-nyala untuk menerima balasan bagi perbuatannya yang jahat itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu ;

Orang-orang yang mencela, menghalangi dan menyakiti akan kaum yang hendak menyampaikan firman Allah dan sabda Rasulullah kepada manusia itu sama dengan Abu Lahab tidak hanya akan rugi harta dan usaha tetapi akan masuk ke neraka yang berjulang-julang.

4. Dan isterinya (iaitu) pembawa kayu bakar.

5. Yang dilehernya ada tali dari sabut.

Keterangan :

Tidak Abu Lahab saja yang masuk neraka kerana perbuatannya yang jahat terhadap Nabi kita s.a.w., bahkan isterinya yang bernama Ummu Jamiel pun juga akan masuk neraka.

’Pembawa kayu bakar yang lehernya ada tali dari sabut’ itu sifat bagi orang yang membawa, menggendong atau memikul kayu yang banyak – diikat dengan tali lalu ditambatkan ditengkuk atau di sebelah kanan atau kiri lehenya.

Isteri Abu Lahab dikatakan pembawa kayu bakaran kerana perempuan ini selalu membakar hati orang dengan beberapa dusta, hasutan, fitnah dan sebagainya supaya mereka benci kepada nabi Muhammad s.a.w. dan supaya mereka tinggalkan agamanya atau supaya tidak beragama dengan agamanya.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :

Tentang balasan amal tidak ada perbedaan antara laki-laki dan perempuan. Siapa berbuat kejahatan akan dapat balasannya sebagaimana orang yang berbuat kebaikan akan dapat ganjarannya.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )