11 tip cipta mood ekstrem
1. Makan angin (previu)
Iaitu berjalan-jalan, tengok-tengok sambil
memerhati dan menikmati pemandangan serta gambaran bagi setiap helaian muka
surat bagi sesuatu bab. Lihat gambar-gambar yang ada. Baca topik dan subtopik
yang ada dalam bab tersebut. Lihat berapa muka surat yang ada dalam bab
tersebut. Tujuannya memberi peluang kepada minda supaya tahu apa yang akan
ditemui sepanjang proses pembelajaran itu dan lebih bersedia menghadapinya.
Mungkin ia nampak remeh. Biasanya proses makan angin hanya mengambil masa 2-3
minit.
2. Masuk pintu depan (pengenalan)
Bacalah bahagian pengenalan. Biasanya bahagian
pengenalan mengandungi gambaran awal tentang apa yang akan dipelajari dalam
sesuatu topik dan perkara utama yang bakal disentuh. Maka dengan membaca
pengenalan secara langsung memberi peluang kepada minda untuk mendapat gambaran
kasar dan bersedia terhadap maklumat-maklumat yang bakal ditemui dan dicerna
untuk menghasilkan satu pemahaman yang berguna. Ini membolehkan pelajar
membezakan antara fakta yang penting dan kurang penting.
3. Meneroka, menjelajah dan berkenalan
dengan perkara baru
Mari kita lihat satu persatu benda-benda besar
atau perkara penting yang ada dalam bab ini yang belum pernah anda lihat
sebelum ini. Caranya ialah dengan meneliti dan membaca topik-topik, subtopik,
ilustrasi atau gambar rajah, konsep dan istilah.
Selepas membaca dan memerhati terlebih dahulu
topik dan subtopik, kemudian baca pula poin-poin kecil atau butiran penting
yang terdapat dalam setiap topik dan subtopik itu. Tetapi tidak perlu baca
penjelasannya yang panjang lebar.
Untuk setiap butiran tersebut fikirkan dan cuba
fahamkan, cuba bayangkan dalam imaginasi apakah yang hendak disampaikan. Cuba
kaitkan dengan apa yang pernah dipelajari sebelum ini atau kaitkan dengan
segala pengetahuan yang ada. Kemudian tandakan dengan pensel bagi setiap
butiran atau poin yang anda tidak tahu.
Seterusnya perhatikan pula gambar, gambar rajah,
jadual, graf atau apa sahaja ilustrasi yang terdapat dalam bab tersebut. Baca
penjelasan yang menerangkan tentang gambar, gambara rajah, jadual, graf atau
apa sahaja ilustrasi tersebut.
4. Keluar pintu belakang (penutup)
Selepas itu, keluar mengikut pintu belakang
(penutupnya). Bahagian penutup merupakan kesimpulan atau ringkasan terhadap
keseluruhan bab tertentu. Oleh itu, membaca bahagian penutup membolehkan kita
memahami secara keseluruhan terlebih dahulu tentang isi kandungan penting yang
hendak disampaikan sebelum kita membaca secara terperinci satu per satu tentang
bab tersebut. Walaupun terdapat sesetengah pelajar yang cenderung untuk mengabaikan
daripada membaca bahagian pengenalan dan penutup kerana mereka beranggapan
membaca isi utama dan subtopik-subtopik penting adalah lebih utama kerana
itulah yang hendak disampaikan dan diajar oleh penulis buku teks. Tetapi
mendapatkan gambaran awal dan kesimpulan ringkasnya memudahkan kita untuk
memahami isi kandungan keseluruhannya yang lebih rumit.
5. Kembali ke bahagian (2) dan baca
Setelah selesai meneliti membaca penutup atau
kesimpulan bab tersebut, rujuk semula poin-poin yang tidak difahami yang telah
kita tandakan dengan pensel tadi. Kemudian cuba baca penerangan kepada poin
tersebut dan fahamkan.
Wallahu alam.
Edisi Khas
Fokus
PISA 2015
No comments:
Post a Comment