Friday, October 24, 2014

Pinjamkan aku

Pinjamkan aku kemerduan nabi Daud as
agar dapat kupukau napiri suci
ke serata maya
menggapai angin kebenaran dan
kesejahteraan
menghentikan burung-burung
sedang terbang
menghentikan makhluk sedang
berperang
tiada lagi percikan merah darah
tiada lagi penyelewengan sirah

Pinjamkan aku kesabaran nabi Yusof as
mengelak ingin dan duga wanita
bahawa ketampanan terkadang
menjadi bala
dan pengajaran yang menyiksa
jeriji besi dan tembok batu
menjadi sempadan kuasa
yang melulu
sedari dahulu

Pinjamkan aku kefasihan nabi Harun as
lidah arif menafsirkan makna
pesona wahyu renta berhikmah
kendati gagal membimbing
Yahudi
mencari kebenaran
dan jalan pulang.

Pinjamkan aku kehebatan nabi Sulaiaman as
menerajui kerajaan alam
membantu ratu Balqis
mencari hakiki
emas dan permata perhiasan
sementara
tidak begitu berharga
persis longgokan kerikil di tepi jalan
dengan kesibukan luar biasa
baginda masih sujud dan istighfar
sepanjang malam dan siang.

Abham T.R.
Kota Bharu, Kelantan
Mingguan Malaysia
5 Okt 2014

No comments:

Post a Comment