Monday, September 2, 2013

Prasangka baik terhadap semua



Esei 5

Memang banyak benar yang perlu dilihat dan betapa banyak sebab untuk terus melalui kehidupan. Alangkah sedih jika kita terpaksa meninggalkannya tanpa melihat, mengalami, mencintai dan menyumbang sesuatu dengan sebaik-baiknya. Orang yang pintar dan tajam penglihatan dapat menghayati banyak peristiwa yang gagal dialami orang lain akibat terlupa atau tidak dipedulikan atas alasan kesibukan. 

Eksploit seluruh daya dalaman serta luaran sepenuhnya. Itulah rahsia dorongan yang membuat seseorang itu berjaya walaupun keseorangan di dalam tahanan, membaca atau menulis buku-buku. Jangan mengalah dengan apa jua rintangan dan halangan yang timbul, hadapi hidup dengan penuh prasangka baik terhadap semua.

a) Ukuran kesihatan minda ialah kecenderungan untuk prasangka baik terhadap semua orang. (Emerson)
b) Biasanya sesuatu benda itu sukar hendak dilihat, walaupun ia berada di dalam garisan visi penglihatan, kerana ia bukan berada dalam bidang visi intelek. (H.D. Thoreau)

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Perlis



Negeri Perlis Indera Kayangan
Buminya indah jadi kesayangan
Rakyatnya mesra jadi sanjungan
Budi bahasa mekar kenangan

Padang Besar di sempadan utara
Ramai pengunjung tidak terkira
Barangan murah menjadi citra
Erat hubungan dua negara

Kuala Perlis Bandar dermaga
Tempat berkumpul para peniaga
Berlabuh kapal feri pun juga
Selalu sibuk tidak terhingga

Laksa enak menjadi tarikan
Berkuah belut dan juga ikan
Takkan terlupa sekali makan
Datang lagi halangan bukan

Harum Manis indah namanya
Hasil bumi enak rasanya
Buahan tempatan terkenal hebatnya
Di luar Negara sering ditanya

Daerah Chuping tebu ternama
Dijadikan gula makanan utama
Rahmatnya berkat kekal selama
Perlis membangun rakyat bersama

Negeri Perlis negeri sempadan
Sering ke depan menjadi teladan
Rohani jasmani diadun padan
Semakin membangun nikmat bertindan

Bandar Kangar ibu negeri
Bersih dan indah tidak terperi
Penduduk ramah wajah berseri
Ke mana pergi tidak sendiri

Berkunjung datang ke Gua Kelam
Lorong berliku nampak berbalam
Indah terpapar kejadian alam
Dikagumi orang luar dan dalam

Timah Tasoh tasik yang lebar
Pandangan indah hati berdebar
Menguji daya tenaga tercabar
Kenangan indah menjadi khabar

Persembahan canggung warisan seni
Sudah diketahui di sana sini
Masih diingat sehingga kini
Tidak terpupus tetap harmoni

Sudilah kiranya bertandang datang
Tamu disambut bagai ditatang
Tegur menegur tiada pantang
Peribadi mulia pekerti matang.

Ghazali Lateh
Negara Tercinta

Mohon kebaikan dan syurga



Ya Allah, aku memohon padaMu semua kebaikan, cepat atau lambat, yang aku ketahui ataupun tidak. Dan aku berlindung padaMu dari segala keburukan, cepat atau lambat, yang aku ketahui ataupun tidak.
 
Ya Allah, aku memohon dari kebaikan yang diminta oleh hamba dan nabiMu (Muhammad). Dan aku berlindung padaMu dari keburukan yang berlindung kepadaMu hamba dan nabiMu (Muhammad).

Ya Allah, aku memohon syurga padaMu, dan apa pun yang mendekatkanku padanya dalam ucapan atau amalanku. Dan aku berlindung padaMu dari neraka dan apa pun yang mendekatkanku padanya, dari ucapan ataupun amalan. Aku juga memohon padaMu agar Engkau jadikan segala ketetapan yang Engkau tetapkan padaku adalah baik selalu.
( HR Ibnu Majah )

Sunday, September 1, 2013

Pemikiran Tuk Kenali ( 20 )



Keikhlasan membawa keberkatan

Suatu hari gurunya Tuan Mukhtaar ’Ataarid, seorang alim daripada Indonesia mendapati seorang muridnya tidak menghadiri kuliah di Masjid Al-Haram. Keesokkannya murid itu datang dan menjemput guru itu dan kawan-kawan sepengajian untuk ke rumahnya di Ma’la, 3 kilometer daripada Ka’bah.

Bila tiba di kawasan kediaman, mereka berhadapan dengan sebuah masjid yang indah seimbas Masjid Madinah Al-Munawwarah. Setelah solat jenazah setiap daripada mereka diberikan suatu pundi-pundi kain sabagai hadiah. Ada yang membuangnya apabila mendapati kandungan hanyalah berupa kulit bawang sahaja.

Manakala Tuk Kenali terus membimbitnya pulang ke penginapannya di Syi’b ’Ali. Setelah sampai dan masuk ke bilik dia pun berhenti menghilangkan  kepenatan. Demikanlah halnya guru beliau. Kemudian barulah pundi-pundi itu dibuka. Terdapat seketul emas di dalamnya.

Keesokkannya Tuk Kenali bersua dengan kawan sepengajiannya itu. Beliau menceritakan bahawa sebenarnya dia adalah seorang Jin Islam. masjid indah tempat solat jenazah bapanya itu ialah masjid Jin. Datuknya telah Islam di zaman rasulullah saw lagi.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

Miqdam bin Ma’dikarib RA



Miqdam bin Ma’dikarib bin Amru bin Yazid bin Ma’dikarib digelar dengan Abu Karimah, dikatakan juga kuniyahnya Abu Yahya al-Kindi. Seorang sahabat yang masyhur, meriwayatkan daripadanya beberapa hadis. Begitu juga beliau meriwayatkan daripada Khalid bin al-Walid, Muaz dan Abi Ayyub. Yang meriwayatkan daripadanya pula ialah anaknya Yahya, cucunya Soleh bin Yahya, Khalis bin Ma’dan, Habib Ubaid dan lain-lain. Menetap di Hims. Meninggal dunia pada tahun 87 Hijrah mengikut pendapat yang sahih dalam usia 91 tahun. Uthman berkata : meninggal ketika usia 93 tahun dan ada pendapat 96 tahun. Abi Yahya bin Salim al-Kilaie berkata : Kami bertanya kepada Miqdam bin Ma’dikarib, ramai orang menyangka kamu tidak melihat nabi saw, lantas jawabnya : Bahkan sesungguhnya aku melihatnya dan dia memegang telingaku dan sesungguhnya aku berjalan bersama bapa saudaraku.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Keajaiban muzik dan gelak ketawa



Esei 4

Wajah-wajah yang riang adalah pantulan kecantikan dalaan daripada jiwa yang bersih. Senyuman dan gelak ketawa kenalan rapat akan bertahan lama dalam ingatan. Hidup ini ibarat menghadap cermin, sekiranya senyum dan ketawa yang diberikan maka baiklah hasil pantulannya. Readers Digest menyediakan halaman khasnya : Laughter is the best medicine – dari kaca mata perubatan atau teknikal, ketawa yang sihat itu bagus. Ia meningkatkan keupayaan badan menerima oksigen, saluran darah ke otak dan merangsang saraf penghantar-neuro untuk memberi mesej bahawa anda selesa, bebas dan gembira.

a) Kita perlu lebih riang dengan gelak ketawa dan terhibur dengan lagu unruk mengisi masa lapang agar tidak banyak melepak bagi meneruskan perjalan hidup. ( Stephen W.K Tan)
b) Irama yang mengusik jiwa juga adalah anugerah Tuhan, begitu juga bagi mambantu manusia menjalani hidup bahagia; ramai manusia tidak mengerti bagaimana hendak memanfaatkannya. (Plato)
c) Ketawalah dan seluruh dunia akan ketawa bersama-sama kamu…( E.W.Wilcox)

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Doa terhindar lapar dan khianat



 

Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dar kelaparan kerana lapar adalah seburuk-buruk tempat tidur. Dan aku berlindung kepadaMu dari khianat kerana ia adalah seburuk-buruk teman.
( HR Abu Daud )