Thursday, July 4, 2013

Selawat 112



Selawat al-Shalaah al-‘Adaadiyah

Allaahumma shalli ‘alaa Muhammadin bi’adadi man shalla ‘alaih. Wa shalli ‘alaa Muhammadin bi’adadi man-lam yushalli ‘alaih. Wa shalli ‘alaa Muhammadin kamaa amarta bish-shallati ‘alaih. Wa shalli Muhammadin kamaa tuhibbu an-yusshalla ‘alaih. Wa shalli ‘alaa Muhammadin kamaa tanbaghish-shalaatu ‘alaih.

Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad sebanyak jumlah orang yang berselawat kepadanya. Limpahkanlah selawat kepada Muhammad sebanyak jumlah orang yang tidak berselawat kepadanya. Limpahkanlah selawat kepadanya sebagaimana selawat yang Engkau perintahkan kepadanya. Limpahkanlah selawat kepada Muhammad sebagaimana Engkau suka agar dibacakan selawat atasnya. Dan limpahkanlah selawat kepadanya sebagaimana seharusnya selawat atasnya.

Monday, July 1, 2013

Sifat turunnya wahyu



Permata 97

Daripada Umar al-Khattab ra berkata, rasulullah saw bersabda : Apabila diturunkan wahyu kepada baginda nescaya didengar di sisi wajahnya seperti bunyi lebah. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)
 
Mutiara Hikmah :

a) Keunggulan rasulullah saw mestilah dilihat secara holistik (menyeluruh). Rasulullah saw ditakdirkan oleh Allah SWT menceburi pelbagai bidang. Baginda pernah menjadi gembala kambing, usahawan, jeneral tentera, pendakwa dan seorang pemerintah bagi sebuah negara (Madinah).

b) Pada dasarnya ilmu wahyu itu bersifat mutlak, namun boleh berlaku perubahan dari segi pelaksanaan, terutamanya dalam bidang feqah yang bersifat fleksibel selaras dengan perkembangan zaman dan persekitaran.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Berwaspada dengan perkara haram



Permata  96

Daripada Abu Hurairah ra, rasulullah saw bersabda: Akan datang pada suatu masa manusia tidak memperdulikan dari sumber mana dia mendapat sumber harta sama ada halal atau haram. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasaie)

Mutiara Hikmah :
 
a) Jika Allah telah menetapkan diri anda dalam satu keadaan tertentu, maka jangan meminta yang lain kerana Allah SWT Maha Mengetahui tentang diri anda. Jika Allah telah menjadikan diri anda miskin maka jangan mengatakan, seandainya Allah menjadikan aku kaya, jika Dia membuat anda sakit, maka jangan berkata, seandainya badanku sihat.

b) Rezeki burung itu tidak datang dengan sendirinya saat dia sedang berada dala sarangnya, mangsa singa juga tidak datang dengan sendirinya saat dia sedang berada di sarangnya dan makanan semut tidak datang dengan sendirinya saat dia berada dalam lubangnya. Semua masih harus berusaha dan mencari. Kerana itu berusahalah sebagaimana mereka, nescaya anda akan mendapat seperti mereka.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Pemikiran Tuk Kenali ( 3 )



3. Kezuhudan Tuk Kenali

Beliau pernah ditanya oleh seorang murid tentang kadar yang dibolehkan bagi seseorang menggunakan dunia ini, iaitu sejauh manakah dunia yang dituntut atau diperlukan oleh seseorang Islam?.

Maka dengan tegas beliau menjawab : Ialah sekadar hajat untuk hidup.

Tidak hairanlah, kedapatan Tuk Kenali membentuk hidup sederhana, cukup berpakaian dengan sehelai kain sahaja. Keadaaan seharian bersarung dan berbaju; tetapi Cuma disangkut ke bahu sahaja kecuali di kala bersolat atau hendak menghadiri majlis.

Beliau kerap berkaki ayam di kala berjalan, suka beri’tikaf di masjid, tidurnya kerap berbantalkan lengan sahaja.

Diceritakan pada suatu masa, Sultan Kedah melawat Kelantan. Di hari menyambut ketibaan baginda itu, Tuk Kenali dikatakan dijemput sama menyambut di samping Sultan Kelantan. Bila Sultan Kedah tiba, Tuk Kenali ikut menyambut, di kala Sultan Kedah bersua dengan Tuk Kenali, baginda terus bertanya: Siapakah ini?. Tuk Kenali segera menjawab : Patek ialah Tuk Kenali.Mendengar kata itu, Sultan Kedah pun menyambung: Tuk Kenali masyur di sana... ( kelihatan baginda terkejut sebab melihat Tuk Kenali berpakaian amat sederhana).

Selain itu keadaan Tuk Kenali memeranjatkan juga seorang pegawi pentadbiran Inggeris yang datang melawat Kelantan. Sewaktu hendak pulang ke England, Tuk Kenali juga ada bersama-sama Ke bawah Duli Sultan Ismail yang hendak mengucapkan selamat jalan kepada pegawai tadi. Pegawai bertanyakan pada Sultan : Siapakah orang ini ( di mana pakaiannya amat sederhana) Tuanku?

Maka Sultan menjawab: Beliau adalah seorang alim ilmu bahasa Arab, seorang yang dihormati di negeri ini.

Allahyarham Datuk Hj Ahmad b Ismail (Datuk Lela Negara Kelantan), bekas Penerbit  dan Ketua Pengarang Majallah Al-Hikmah pernah menjelaskan bahawa : Tuk Kenali payahlah hendak disamakan tentang zuhd, wara’ dan khudhu’ (merendah diri)nya, baik daripada tutur-katanya dan pakaiannya. Walhasil ialah seorang yang zahid pada serba-serbinya. Telah 15 tahun saya bercampur dan beramah-ruwah dan meminum madu-madu pengajarannya dengan Allahyarham (sebagai murid), belum pernah saya mendengar satu kalimah pun yang boleh menyakiti pendengaran, lagi tersangat sabar menerima sebarang bala.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

Amalan seorang muslim (10)



Penutup

1. Takwa tidaklah cukup dengan melakukan amal-amal soleh sahaja, akan tetapi harus disertai dengan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah Taala dan rasulNya.

2. Setelah mempraktikkan amal soleh, maka yang terpenting adalah menyempurnakannya dan menjaganya agar tidak gugur pahalanya.

3. Lakukanlah amal-amal soleh sekecil apa pun. Dan hendaklah rutin melakukannya meskipun sedikit.
 
4. Setelah kita mengetahui sebahagian amal-amal soleh yang dapat dilakukan oleh seorang muslim setiap hari, maka kita dituntut untuk mengamalkannya. Allah Taala berfirman : Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu menyatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (QS. Ash-Shaff:2-3)

Segala puji hanya bagi Allah SWT serta salam semoga dilimpahkan kepada nabi Muhammad saw serta keluarga baginda, para sahabatnya, para tabiin dan tabiut tabiin seluruhnya.

Wallahu a’lam

Abu Muhammad Ibnu Shalih bin Hasbullah
Pustaka Ibnu Umar

Wawancara bersama asap



Kenapa marahkan api
kerana dia bernyala di dalam nafsu
yang membakar peribadi kendiri
yang panasnya bukan mereka
si pembakar yang menyalakannya
dan menjadi pembakaran yang tidak direstui
marahnya segala warga alam!

Mengapa marahkan asap
yang berhimpun dalam ruang taulan
sedangkan asap itu milik mereka
yang meniupnya dengan hati yang terpadam
dengan fikir yang tenggelam
rentung dan menakutkan

Jangan marahkan angin
bertiupnya membawa pedih yang lelah
datangnya menakutkan segala perjalanan
kami terpaksa diam dan menutup pandangan
anak-anak terpaksa bermain
di dalam gerhana yang rindu
tersangkut di dahan waktu.

Jangan pula marahkan hujan
lama tak bertandang
takut dengan dosa yang membakar ruang
ikut rasa ikut hati ikut nafsu
dan mentari pun semakin mudah dipandang
tanpa awan hanya putih yang kejang
karya para hati yang terpejam.

Marahkan kepada tangan
yang telah disembunyikan
yang telah dihanyutkan
menghasilkan berjuta pertanyaan
angkara ini siapa pula
yang empunya gerangan.

Solihin Osman
Bandar Puncak Alam, Selangor
Mingguan Malaysia
30 Jun 2013

Selawat 111



Ya Allah, limpahkanlah selawat atas junjungan kami Muhammad, samudera cahayaMu, tambah rahsiaMu, singahsana kerajaanMu, imamMu, bingkai kerajaanMu, perbendaharaan rahmatMu, insane yang menjadi sebab segala yang maujud, penghulu para makhlukMu, yang memperoleh pancaran sinar cahayaMu, dengan selawat yang kekal diriMu, dan tetap sebagaimana tetapMu, tidak ada akhir di balik ilmuMu, selawat yang meredakanMu dan meredakannya serta meredakan kami dengannya, wahai Tuhan Semesta Alam.