Tuesday, June 4, 2013

Faqih dalam agama



Permata 73

Daripada Muhammad bin Kaab al-Qurazi ra secara mursal berkata, rasulullah saw bersabda: Apabila Allah mengkehendaki kebaikan dengan seseorang nescaya diberi kefahaman di dalam agama, dizuhudkan pada dunia dan diberi penglihatan akan keaibannya. (Riwayat al-Baihaqi)

Mutiara Hikmah

a) Agama itu tidak mungkin diyakini oleh manusia sekiranya hanya daripada sumber akal sahaja, akan tetapi perlu daripada sumber yang timbul daripada perasaan dan keinsafan hati serta petunjuk Ilahi.

b) Agama itu berdasarkan iman, sedangkan ilmu pengetahuan tidak. Dua hal ini hanya dapat berpadu dan bersatu dalam jiwa ilmuan yang beriman.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tip mendidik anak



Permata 72

Daripada Ali ra berkata, rasulullah saw bersabda: Didiklah anakmu atas tiga asas : Kasihkan nabimu dan ahli keluarganya. Begitu juga bacaan al-Quran. Ini kerana pembawa al-Quran berada dalam bayangan Allah pada hari kiamat di mana tiada bayangan kecuali bayanganNya bersama para nabi dan golongan pilihanNya. (Riwayat al-Dailmami)

Mutiara Hikmah

a) Imam al-Ghazali ra: Kasih dan cinta kepada rasulullah saw adalah satu kemestian dalam kehidupan seorang muslim. Setiap muslim mesti disemai berbuat demikian kerana baginda adalah orang yang paling berjasa di dalam membimbing dan memberi petunjuk kepada manusia sejagat.

b) Anak lebih utama daripada kekayaan, kesihatan lebih baik daripada harta bebda, keamanan lebih baik daripada tempat tinggal dan pengalaman lebih mahal daripada harta.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Soalan biar pendek



Kalau memakai kalung
Biar panjangnya takat ke dada
Jangan pula sampai ke pusat

Kalau berkain samping
Biar panjangnya takat ke lutut
Jangan pula sampai ke tumit

Kalau mengukur lengan baju
Biar panjangnya takat ke pangkalnya
Jangan pula sampai ke hujung jari

Kalau berazan
Biar pendek
Jangan sampai habis waktu

Kalau bertanya
Soalan biarlah ringkas
Jangan panjang-panjang

Prof. Abdullah Hassan, Aripin Said & Ainon Mohd.
2004

Selawat 99



                                             
 



Semoga Allah mencurahkan selawat kepada Muhammad

Sunday, June 2, 2013

Doa yang dizalimi



Permata 71

Daripada Ibn Abbas ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana tiada baginya dan Allah sebarang hijab. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie, Ibn Majah)

Mutiara Hikmah

a) Imam al-Bukhari : Berdoalah apa sahaja kepada Allah kerana ia merupakan kekuatan orang yang beriman. Selain itu, doa adalah hadiah istimewa daripada Allah kepada umat Muhammad.

b) Apabila anda ingin memperoleh kekuatan sejati, berdoalah berulang-ulang kali kepada Tuhan.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mentaati pemerintah



Permata 70

Daripada Abi Umamah ra berkata, rasulullah saw bersabda: Sembahlah tuhanmu, solatlah lima waktu, puasalah bulan Ramadan, tunaikanlah zakat hartamu dan taatlah kepada pemerintah nescaya kamu masuk syurga tuhanmu. (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Hibban dan al-Hakim)

Mutiara Hikmah:

a) Saidina Abu Bakar al-Siddiq ra : Taatilah kamu kepadaku selama mana aku mentaati Allah dan rasulNya. Sebaliknya, apabila aku derhaka kepada kedua-duanya, maka tiadalah wajib ke atasmu mentaatiku.

b) Saidina Umar al-Khattab ra ketika dilantik menjadi khalifah berkata: Jika kamu melihat pada diriku sifat yang menyeleweng, maka perbetulkanlah diriku. Itulah ketegasan khalifah Umar ra dalam mencari kebenaran.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Empat catatan



i
Kealpaan berusaha hari ini
mungkin merubah hidup kita
di hari muka
menjadi lebih gelita

ii
Kegigihan bekerja hari ini
boleh membawa hidup kita
di hari muka
menjadi ceria dan bahagia

iii
Keterlanjuran langkah hari ini
boleh membawa hidup kita
di hari muka
menjadi hancur binasa

iv
Kesedaran diri hari ini
mungkin memberi hidup kita
di hari muka
menjadi lebih bertakwa

Pena Mutiara
Taman Keramat Permai
Kuala Lumpur
Mingguan Malaysia
2 Jun 2013