Sunday, June 2, 2013

Tokoh pendidikan itu telah pergi



Petikan belasungkawa

...Ainuddinlah orangnya yang telah mengubah nisbah pelajar Melayu dan bukan Melayu di UTM daripada 10:90 menjadi 90:10. Siapa lagi kalau bukan Ainuddin yang degil, ketegar dan keras kepala ini. Pembangunan yang berlaku di seluruh negara pada hari ini, tentunya sebahagiannya adalah hasil usaha para graduan UTM dalam bidang sains dan kejuruteraan. Graduan UTM telah berjaya menjadi jurutera awam, elektrik dan mekanikal, arkitek, juruukur tanah, juruukur bahan, perancang bandar, pendidik, pengurus dan sebagainya.

Keistimewaan Ainuddin ialah kecekalannya dalam memajukan bangsanya. Baginya pendidikan merupakan jalan bagi orang Melayu untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Apabila melaksanakan agenda Melayu, tidak ada daerah terlarang bagi Ainuddin....

Ainuddin bersama beberapa tokoh pendidikan kita yang telah pergi tergolong dalam jenis manusia yang kecil jumlahnya. Mereka berada jauh daripada simbahan lampu kamera dan jarang mendapat tempat dalam media. Memang sudah jadi lumrah kebanyakan manusia berhutang budi pada yang sedikit.

Sumbangan Ainuddin akan terpahat dalam lipatan sejarah bangsa kita. Sejarah Ainuddin begitu penting, rekod kerjanya panjang. Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang. Selamat jalan Ainuddin Wahid.

Prof. Madya Dr Roosfa Hashim
Mingguan Malaysia
2 Jun 2013

Ya Allah! Ampunilah kepada orang yang hidup antara kami dan yang mati, orang yang hadir antara kami dan yang tidak hadir, lelaki mahupun perempuan. Ya Allah! Orang yang Engkau hidupkan di antara kami, hidupkanlah dengan memegang ajaran Islam, dan orang yang Engkau matikan antara kami, maka matikan dengan memegang keimanan. Ya Allah! Jangan menghalang kami untuk tidak memperoleh pahalanya dan jangan sesatkan kami sepeninggalannya. Aameen Ya Kareem. 

Jalan Gurney
1982-1987

Selawat 98



 



Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana yang telah Engkau limpahkan kepada Ibrahim
dan keluarga Ibrahim; dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

Saturday, June 1, 2013

Firasat orang yang beriman



Permata 69

Daripada Abi Said al-Khudri ra berkata, rasulullah saw bersabda: Takutlah kamu kepada firasat orang beriman kerana dia melihat dengan cahaya Allah. (Riwayat al-Bukhari dan al-Tirmizi)

Mutiara Hikmah :

a) Maulana Ilyas ra : Walaupun Abu Bakar ra dan Umar ra telah menerima khabar gembira dari rasulullah saw, mereka tetap mengorbankan diri untuk agama dan meninggal dunia dalam keadaan menangis kerana takutkan azabNya.

b) Firasat pelajar merupakan zan yang wajib tahqiq, sedangkan firasat ahli makrifah tahqiq yang mewajibkan hakikat.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Bala penceraian



Permata 68

Daripada Ibn Umar ra secara marfu’ berkata, rasulullah saw bersabda: Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah Taala ialah talak. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibn Uday, Ibn Hibban)

Mutiara Hikmah :

a) Jalan menuju kebahagiaan itu tidak selalu ditaburi bunga mawar yang harum, melainkan penuh  dengan duri yang pahit.

b) Hancurnya kebahagiaan bukan kerana kecelakaan yang besar, tetapi kerana hal-hal kecil yang membahayakan yang datang secara berulang-ulang.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tatkala ramadan berakhir.....



Suatu ketika Wuhaib bin al-Ward melihat satu kaum yang tertawa riang pada hari Aidilfitri, maka dia berkata : Jika mereka adalah orang-orang yang diterima amalannya maka sesungguhnya bukan seperti itu ekspresi orang-orang yang bersyukur. Dan jika amalan mereka tidak diterima maka bukan seperti itu sikap orang-orang yang takut.

Diriwayatkan daripada Hasan, dia berkata: Sesungguhnya Allah telah menjadikan bulan Ramadan sebagai tempat perlumbaan bagi hamba-hambaNya. Mereka berlumba sepenuh ketaatan dan meraih keredaanNya. Lalu sebahagian orang berlumba dengan gigih hingga mereka mencapai kejayaan dan sebahagian lagi tertinggal di belakang sehingga mendapat kekecewaan. Maka sungguh menakjubkan sikap seorang yang bersenda-gurau sambil tertawa pada hari di mana orang-orang berbuat baik meraih kemenangan dan orang-orang yang berbuat kejahatan ditimpa kerugian.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib ra, bahawasanya dia biasa berseru pada penghujung malam bulan Ramadan : Seandainya aku tahu siapakah orangnya yang diterima amalannya agar aku dapat memberikan ucapan tahniah kepadanya, dan siapakah orangnya yang ditolak amalannya agar aku dapat melawatnya.

Abdullah bin Mas’ud ra juga memberikan nada yang sama : Siapakah orangnya di antara kita yang diterima amalannya untuk kita berikan ucapan tahniah, dan siapakah orangnya di antara kita yang ditolak amalannya untuk kita ziarahi. Wahai orang yang diterima amalannya, berbahagialah engkau. Dan orang yang ditolak amalannya, Maha Kuasa Allah musibah bagimu.

Nasihat Ramadan daripada orang-orang soleh
Sulthan Hadi

Tanah bertuah ini



Pada tanah bertuah ini
anak Melayu
berbaju kurung batik sempurna
bergelak tawa mengalun lagu kasih
bersenda gurau menghibur
hati gundah gulana

Pada tanah bertuah ini
anak Cina
bersalut cheongsam merah lengkap
berlari-lari kecil mengendong tanglung
berlompat-lompatan membakar mercun

Pada tanah bertuah ini
anak India
berkain sari labuh menawan
berlagu tari mengikut
nada mengasyikkan
bergendang irama riuh menghibur
indah panorama
meraih suasana
riang citranya

Pada tanah bertuah ini
rumpun yang terbina
ada mesra
ada akrab
ada muafakat
menambah erat bakti budi
mengukuh budaya menyatu bangsa
menggarap murni satu
hala tuju beradat
mengukir tanda pusaka
dalam persefahaman
menghirup merdeka dalam perkiraan
menaut kuntum perdamaian
dalam percaturan
mengukur jejak kemilau
dalam pengharapan
menuntut satu bangsa
Malaysia berdaulat

Merbau berdarah
Kg Rawang. Ledang Johor
BH 26 Mei 2013

Selawat 97



 
Ya Allah, limpahkanlah seutama-utamanya selawat, setinggi-tingginya berkat, dan sebaik-baik tahiyyat di dalam setiap waktu kepada semulia-mulianya makhluk, (iaitu) penghulu dan junjungan kami Muhammad saw, sesempurna-sempurna penduduk bumi dan langit. Limpahkanlah pula kesejahteraan kepadanya, wahai Tuhan kami sebaik-baik tahiyyat, di dalam setiap kehadiran dan pandangan.