Saturday, May 25, 2013

Doa Majlis Anugerah Cemerlang



Segala puji hanya untukMu Ya Allah, selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammd saw. Ya Allah, kami merafa’kan kesyukuran di atas keizinanMu untuk kami berkumpul, menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah hati agar kami dikurniakan limpah kurnia, inayah dan riayah,  taufik dan hidayah, agar kami dikurniakan keafiatan dan kekuatan, tekad dan azam yang tinggi untuk berjaya serta dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Segala puji juga bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Yang maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah Tuhan yang kami sembah dan Engkaulah tempat kami memohon pertolongan . Tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka. Bukan jalan orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang yang sesat.

Sesungguhnya kecemerlangan menjadi tuntutan dalam ajaran agamaMu, kualiti dan kecemerlangan jugalah tuntutan RasulMu Muhammad saw. Semoga segala kecemerlangan yang kami kecapi bakal menjadi perangsang dan pencetus kepada kegemilangan organisasi yang kami cintai, agama, bangsa dan negara kami.

Dengan berkat kebesaranMu Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada kami, semoga dapat kami teruskan kecemerlangan dan kejayaan serta dapat kami cernakan amalan kualiti dalam segenap bidang kehidupan kami. Ya Allah, seandainya kami cemerlang pada pandangan manusia maka jadikanlah kecemerlangan kami itu lebih gemilang dalam melaksanakan tuntutan agamaMu. Ya Allah, kerana itulah matlamat sebenar kehidupan kami untuk mendapatkan kebahagiaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, berilah kami kekuatan, agar kecemerlangan itu dapat dipergunakan seluruh tenaga dan pemikiran bagi menjana nafas baru dalam perkongsian ilmu, kemahiran dan sikap yang mampu menangani keperluan dan tuntutan semasa, selari dengan era bestari dan globalisasi. Lahirlah hendaknya generasi berminda subur dan kreatif, berkemahiran mapan, bersemangat mantap serta mampu beraksi di pentas dunia berteraskan neraca iman dan tauhid dalam intelektual, iman dan akhlaknya. Pahatkanlah nama-nama kami, generasi kami yang terdahulu dan akan datang ,Ya Allah di pintu syurga-Mu.

Ya Allah, Engkau mantapkanlah semangat dan hasil kerja kami, untuk terus menghambat kejayaan demi kejayaan, dengan penuh dedikasi dan cekal, ke arah menjana kecemerlangan yang berterusan. Kami bermohon agar orang yang cemerlang dari kalangan kami memimpin orang yang buruk akhlaknya, orang yang cuai dipimpin oleh mereka yang rajin bekerja. Kurniakanlah kepada kami kebaikan dengan berkat keagungan zatMu yang mulia.

Sesungguhnya kami sedar Ya Allah, bahawa kami tidak berdaya menjalankan tugas dengan sempurna, melainkan dengan keizinan dan kehendakMu jua. Justeru itu Ya Allah, Engkau gilapkanlah minda kami agar mampu berfikir menjangkau zaman serta berupaya membuat perancangan di luar kebiasaan. Sucikanlah hati nurani kami, agar sentiasa jujur dan ikhlas, dalam melaksanakan segala tugas. Jika amal kami itu tidak suci, mahu disucikannya Ya Allah. Mudah-mudahan, segala nilai kecemerlangan yang dimaksudkan untuk anugerah ini, benar-benar cemerlang, cemerlang menurut penilaian kami dan cemerlang jua di sisiMu Ya Allah.

Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami dan dosa mukminin dan mukminat seluruhnya sama ada yang masih hidup mahupun yang telah terlebih dahulu meninggalkan kami.

Ameen.Ya Kareem.

Ust. Hj. Muhidir b Hj Tamjis
Senjata Mu’min

Helah Syaitan



Permata 59

Daripada Abu Hurairah ra berkata: Aku mendengar rasulullah saw bersabda: Siapa yang bermimpi melihatku maka pasti ia melihatku dalam keadaan sedar kerana syaitan tidak mungkin menyerupaiku. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Mutiara Hikmah :

a) Maulana Ilyas ra : Ketahuilah bahawa syaitan adalah makhluk yang sangat lick. Dia sentiasa menyerang dalam setiap kesempatan. Apabila kamu keluar dari rumahmu untuk menuntut ilmu, maka syaitan akan kecewa kerana kamu tidak lagi jahil

b) Apabila kesenangan dianggap sebagai khabar gembira, maka itu adalah satu helah besar yang direncanakan oleh syaitan. Dia membuat manusia merasa puas dengan kesenangan sahaja.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Menjaga Keturunan



Permata 58

Daripada Saad ra berkata : Aku mendengar rasulullah saw bersabda: Siapa yang mendakwa kepada selain ayahnya sedangkan dia mengetahui bahawa itu bukan ayahnya, maka syurga diharamkan ke atasnya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

Mutiara Hikmah :

a) Maafkanlah orang yang pernah melakukan kezaliman kepada anda, sambunglah tali silaturahim orang yang memutuskan silaturahim dengan anda, berilah sesuatu kepada orang yang tidak pernah memberi kepada anda dan bersabarlah terhadap orang yang berbuat jahat kepada anda, nescaya anda akan memperolehi rasa bahagia dan aman dalam diri anda.

b) Apabila anda mengharapkan anak anda menjadi baik, biarkanlah mereka mendengar hal-hal yang baik mengenai mereka yang anda ceritakan kepada orang lain.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Ramadan dalam fungsi kesucian waktu (2)



b) Persaingan dan prestasi

Manusia didorong untuk bersaing dan saling berlumba tatkala iman dihayati.Amal kebajikan di bulan Ramadan akan digandakan. Situasi yang melingkari dan waktu dilaksanakan membuatkan ia berbeza. Pada bulan ini ada malam yang kemuliaanya lebih baik daripada 1000 bulan. Saat-saat itu adalah kesempatan menabung, mencari bekal sebanyak mungkin, jua berusaha meraih kelebihan Ramadan buat tampalan kehidupan hari-hari yang lain. Semacam musim bunga, hadirnya menghapus keringnya musim kemarau.

c) Penghargaan

Bulan Ramadan yang barakah diertikan sebagai anugerah penghargaan Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beriman  Kita didorong untuk berbuat kebajikan untuk orang lain. Justeru, bagi mereka yang memberikan sesuatu kepada orang yang berpuasa, Allah menjanjikan pahala seperti pahala orang berpuasa. Mereka terdorong melakukan sebanyak mungkin kebajikan. Inilah perinsip dasar daripda penghargaan.

d) Memenuhi keperluan kemanusiaan

Tabiat dan fitrah  manusia, makhluk ini bergantung kepada simbol-simbol kehoratan. Mereka punya keperluan jiwa dalam batas tertentu untuk miliki simbol kesenangan, perayaan keramaian serta kesucian di atas sesuatu yang memenuhi rasa pengharapan. Islam mendapat tempat yang sepatutnya. Ramadan menganjurkan bersahur an menyegerakan berbuka. Unsur-unsur kejiwaan orang-orang berpuasa yang merindui saat berbuka dipenuhi. Begitu juga setelah Ramadan, diharamkan berpuasa. Juadah dan melalui hari raya dan perayaan yang sah, semuanya memberi kesan memenuhi jiwa yang luar biasa oleh Ramadan.

Wallahu a’lam.

Nasihat Ramadan daripada orang-orang soleh
Sulthan Hadi

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang disapa Ramadan. Ameen Ya Rabb.

Selawat 93



 
Ya Allah, Tuhan yang sentiasa memberikan kurnia kepada manusia, Tuhan yang selalu membukakan tanganNya lebar-lebar dengan pemberian, Tuhan yang mempunyai pemberian-pemberian yang mulia, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, sebaik-baik manusia, dengan penghormatan, ampunilah kami, wahai Tuhan Yang Maha Tinggi, di petang ini.

Friday, May 24, 2013

Menghormati Jenazah



Permata 57

Daripada Aisyah ra katanya nabi saw bersabda : Jangan kamu memaki orang-orang mati kerana mereka telah mendapati apa yang mereka lakukan. (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Mutiara Hikmah:

a) Memberi penghormatan kepada bangsa sendiri, memberi keyakinan diri kepada bangsa sendiri, memberikan kesanggupan bagi berdikari adalah mutlak bagi tiap-tiap bangsa di sudut dunia dan di bawah langit mana pun.

b) Penghormatan daripada orang yang sezaman dengan kita adalah kebahagiaan yang lebih besar daripada kekaguman generasi mendatang.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Hakikat Zikir



Permata 56

Daripada Abi Musa ra katanya nabi saw bersabda: Seumpama yang berzikir kepada Tuhannya dan tidak berzikir seperti antara yang hidup dan mati. (Riwayat al-Bukhari)
 
Mutiara Hikmah :

a) Maulana Muhammad Ilyas ra : Zikir adalah benteng dari kejahatan syaitan dan juga benteng yang teguh. Oleh itu, jika kita keluar ke tempat yang buruk suasana dan keadaannya, maka perbanyakkanlah zikir agar hati kita terselamat dari keburukannya.

b) Hakikat zikir yang sebenarnya ialah mengetahui kehendak, perintah dan larangan Allah SWT pada setiap masa, tempat dan keadaan.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri