Wednesday, April 11, 2012

Jenis kritikan



  1. Kritik yang wajar

Ia kritik yang sukar dikendalikan kerana kita terpaksan mengakui bahawa kritikan itu adil. Satu kecenderungan apabila bertindakbalas dengan kritikan yang wajar ialah memberikannya perhatian yang lebih daripada yang diperlukan, menjadikannya lebih penting daripada yang sebenar.

Kita perlu sedat bahawa kita semua membuat kesilapan. Kita perlu menerima diri kita walaupun kita telah membuat kesilapan. Apabila kehidupan lebih aktif, keputusan perlu dibuat, kemungkinan untuk membuat kesilapan pun semakin kerap.. Lebih banyak kritikan akan diterima. Mengelakkan diri daripada mengambil tindakan sekadar untuk mengelakkan risiko membuat kesilapan, alternatif seorang pengecut dan tidak produktif!

  1. Kritik  yang tidak adil

Ia mungkin muncul akibat daripada ketidaksamaan, antara fantasi orang lain dengan kita. Biasanya orang tidak menyatakan harapan mereka kepada kita, lantas kita berkemungkinan besar akan menghampakan mereka. Ini kesilapan mereka bukannya kita. Untuk membantu, kritikan itu mesti dinyatakan dengan spesifik dan kongkrit agar  harapan mereka difahami dan tindakan wajar boleh diambil.

Soalan berikut membantu kita samaada kritikan itu wajar atau tidak :

a)      Adakah saya menerima kritikan yang sama lebih daripada beberapa orang individu?
b)      Adakah pengkritik berpengetahuan luas dalam bidang tersebut?
c)      Adakah taraf pengkritik diketahui dan munasabah?
d)     Adakah kritikan itu sebenarnya berkenaan saya/ ( Atau adakah pengkritik mengalami hari  
        bermasalah atau perasaannya terganggu disebabkan sesuatu dan  sebagainya )
e)     Sejauh manakah penting bagi saya untuk bertindak balas terhadap kritikan itu?

Jika anda bertindak balas secara positif kepada satu atau lebih daripada empat soalan pertama, kritikan tersebut mungkin wajar. Jika anda bertindak balas secara negatif kepada kebanyakan daripada soalan tersebut, kritikan tersebut mungkin tidak wajar.

  1. Kritik yang kurang jelas

Ia juga  kritikan yang mungkin hanya menunjukkan perbezaan pendapat. Pengkritik biasanya seorang yang berfikir bahawa nilai dan cara dia berbuat sesuatu adalah lebih baik daripada anda.

Kritikan jenis ini mungkin bertindak sebagai penutup yang berkesan untuk perasaan yang lebih mendalam seperti perasaan cemburu, takut kepada sesuatu yang tidak diketahui, rasa tidak selamat atau keangkuhan.

Apapun ambil kira kritikan ini kerana ia mungkin memberikan kita maklumat yang lebih tentang diri pengkritik berbanding dengan diri kita.


( Memberi dan menerima kritikan; Patti Hathaway )

Wallahu'alam.

Tuesday, April 10, 2012

Bursary

1 609 Pelajar Ditawar Bursary Secara Automatik : Muhyiddin
PETALING JAYA: Kesemua 1,609 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Bursary (dermasiswa) secara automatik oleh Kementerian Pelajaran bagi kursus pra-universiti di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pelajar berkenaan akan layak menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian peringkat tertinggi di dalam mahupun luar negara bermula 2014 sekiranya menepati kriteria dikehendaki.
"Bagi Biasiswa Program Ijazah Luar Negara (PILN), pelajar harus mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 atau menepati syarat pengajian pra-universiti mereka.
"Pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi (luar negara) haruslah mempunyai tawaran kemasukan tanpa syarat dari mana-mana 10 universiti terkemuka dunia berdasarkan senarai yang disediakan oleh kementerian.
"Bagi bidang lain, pelajar-pelajar perlu menerima tawaran kemasukan tanpa syarat dari mana-mana 50 universiti terkemuka dunia (ditentukan oleh kementerian)," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.
Bursary itu akan menampung kos pengajian sama ada di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Martikulasi, Baccalaurate Antarabangsa (IB), A-Level atau kursus asas disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Para pelajar boleh menyemak butiran bursary itu dan mengemaskini profil pelajar di www.moe.gov.my bermula 16 April ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, 50 pelajar terbaik dalam SPM 2011 akan ditawarkan biasiswa di bawah Program Biasiswa Nasional (PBN).
"Tajaan terhadap 50 pelajar paling cemerlang dalam SPM 2011 mengikut senarai kementerian adalah untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan kepada merit akademik.
"Calon yang terpilih akan ditawarkan biasiswa dari peringkat persediaan sehingga ke peringkat Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.
Pemilihan untuk PILN 2014 terbahagi kepada empat kategori iaitu kelayakan akademik (20%), populasi etnik (60%), bumiputera Sabah dan Sarawak (10%) dan latar belakang (10%).
Penyertaan kokurikulum, latar belakang sosio-ekonomi dan temu duga akan diambil kira selain kelayakan akademik dengan menitik-beratkan keempat-empat kriteria di atas.
Muhyiddin berkata, calon penerima biasiswa turut akan dinilai oleh Pusat Penilaian Pelajar (SAC) ketika temu duga.
"SAC adalah lebih komprehensif dalam pemilihan dan cara penilaian dibuat berdasarkan tingkah laku, minat, kepimpinan, semangat patriotik, ketahanan dan keyakinan.
"Panel penilaian terdiri daripada pegawai kerajaan pelbagai kaum, profesion dan gred jawatan," katanya.
Para pelajar yang menamatkan pra-universiti tahun ini turut layak memohon biasiswa JPA.
Katanya, JPA menawarkan 10,300 biasiswa kepada pelajar yang menamatkan program pra-universiti untuk melanjutkan pengajian Ijazah Pertama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
"Kerajaan membelanjakan kira-kira RM2.12 bilion tahun ini untuk menampung kos pengajian pelajar-pelajar di universiti tempatan mahupun luar negara," katanya.
Muhyiddin berkata, sejumlah 300 pelajar akan menerima biasiswa daripada JPA untuk melanjutkan pengajian di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.
( mstar online; 11 Apr 2012 )

Kehendak


Hidup ini ada tujuan
kerana tujuan itu loceng kafilahnya berbunyi
hidup itu terpendam dalam carian
asalnya tersembunyi dalam kehendak

Hidupkan kehendak dalam hatimu
kalau tidak pasirmu akan jadi kubur
kehendak adalah jiwa dunia ini yang penuh dengan warna dan wangian
keadaan sesuatu adalah rumah stor kehendak
kehendak menyebabkan hati itu menari dalam dada
dan dengan sinarannya dada itu dikilatkan seperti cermin.

Ia jadikan tanah kuasa untuk terbang
ianya Khidir kepada Musa pandangan
dari api kehendak api itu mendapat nyawa
dan apabila ia bernyawa
semua yang palsu akan mati.

Apabila ia menahankan dirinya dari membentuk kehendak
sayapnya hancur dan tidak boleh terbang
kehendak ini berkekalan menggelorakan diri
ianya adalah ombak yang bergelora dari laut diri
kehendak ialah alat untuk memburu cita-cita
penjilid buku kelakuan.

Menafikan kehendak bererti mematikan yang hidup
ketiadaan haba memadamkan api
apakah sumber mata kita yang jaga
keseronokan kita dalam melihat menampakkan bentuk
kaki burung siul terbit dari elok gayanya
muncung burung bulbul dari kebolehannya menyanyi
jauh dari tempat tunbuhya buluh
buluh itu rasa gembira
muzik keluar dari penjaranya.

Apakah zat fikiran yang mencari perkara-perkara baru dan mengukur langit?
tahukah anda apa yang membuat mukjizat itu?
kehendaklah yang memperkaya hidup
dan fikiran itu anaknya .

Apakah organisasi sosial, adat dan undang-undang?
apakah rahsia keganjilan sains?
kehendak yang menimbulkan dirinya dengan kekuatannya sendiri
dan meluru keluar dari hati dan mengadakan rupanya
hidung, tangan, otak, mata dan telinga
begitulah juga khayalan, perasaan, ingatan dan fahaman
semua itu adalah senjata dsediakan oleh hidup untuk memelihara diri.

Dalam perjuangannya tanpa henti-henti
matlamat sains dan kesenian bukanlah ilmu
matlamat taman bukanlah kuntum dan bunganya
Sains adalah alat untuk memelihara hidup
Sains adalah alat untuk menyegarkan diri
Sains dan kesenian adalah lumba hidup
hamba yang lahir dan beranak pinak dalam rumahnya.

Bangun wahai anda yang tidak tahu rahsia hidup
bangun mabuk dengan serbat cita-cita (ideal)
cita-cita bersinar seperti fajar sidik
api yang membakar lepada semua yang lain dari Allah.
Cita-cita lebih tinggi dari langit
memenangi, mempengaruhi, mempersona hati insan
pembinasa kepalsuan dahulu kala
penuh dengan huru-hara dan gegak-gempita hari Qiamat
kita hidup dengan membentuk cita-cita
kita bersinar dengan sinaran matahari kehendak!.

( Rahsia-rahsia diri, Muhammad Iqbal)


Sunday, April 8, 2012

Selunak bicaranya………


Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung….terbaiklah di tapak asal…
sedang jajaran budimu melata di bumiNya…..kembali nanti bukannya debu menghampakan.....

…lunakkan bicaraku….meskipun melangit ufuknya dengan suri tauladan kami… nabi Muhamad s.a.w.......

....jazakillah khairan katira buatnya  yang memberi ...... ameen Ya Rabb....


( Marina bt Saidin, Kangar Apr 2012 )

Friday, April 6, 2012

Hormat azan, jawab seruanNya


Dalam zaman serba maju ini, pada saat ramai meletakkan dunia sebagai pilihan nombor satu, apakah kita juga akan terikut-ikut dengan lagak mereka? Inilah masanya akal yang waras digunakan.

Pernahkah terjadi, apabila kita mahu berhenti seketika sewaktu sedang asyik bermesyuarat semata-mata kerana terdengar laungan azan, ramai yang terkejut. Bukannya lama, tidak sampai pun dua minit kerana itu adalah suara menyeru kepada kebaikan.

Padahal mendengar lagu-lagu melalaikan sehingga berjam-jam boleh pula. Ada juga yang berterusan bergosip, berbual perkara mengaibkan dan bergurau senda hingga mengabaikan batas pergaulan tatkala azan berkumandang.

Walaupun amalan menghormati azan nampak kecil sahaja perbuatannya namun apabila terjumpa sebuah hadis yang bermaksud; “Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak ALLAH akan kelukan lidahmu ketika maut menghampiri.” Ah, saya jadi terpana seketika!

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya tidak kita ketahui. Cuba kita amati mengapa kebanyakan orang sedang nazak dan hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa… lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya menahan kesakitan ‘sakaratul maut.’

Ya. Itulah maknanya hadis tadi. Jikalau sudah sahih ada hadis menyarankan agar mendiamkan diri semasa azan berkumandang, maka usahlah dipertikai. Sebagai orang yang bernama Islam maka wajiblah menghormati azan. Banyak fadhilatnya.

Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, ALLAH akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah semasa ajal hampir tiba, tidak dapat mengucapkan kalimah nikmat itu.

Suatu waktu dulu, laungan azan sama ada di radio dan televisyen, akan dimulai dan disusuli dengan doa dan muzik lembut. Ketika itu kita pun mula bangun untuk bersolat. Emak dan bapa sudah mula menjeling-jeling, kita yang asyik bermain atau menonton tv segera bangun.

Namun keadaan sekarang sudah jauh berubah, masuk sahaja waktu solat, azan hanya ditulis pada skrin. Atau jika di radio, juruhebah hanya memberitahu sudah masuk waktu kemudian diikuti dengan lagu rap yang cintan-cintun atau lagu dangdut yang alahai… Maka tumpuan kita pada azan hilang terbang.

Menurut hadis itu lagi sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah “Lailahaillallah” ketika nyawanya dicabut ALLAH, adalah dengan izin-Nya menjanjikan syurga untuk mereka. Tulisan ini tidak lain tidak bukan, ingin mengajak bersama-sama menghormati azan dan mohon kepada ALLAH supaya lidah ini tidak kelu ketika nyawa sedang dicabut.

Diriwayatkan, Siti Zubaidah adalah seorang wanita bangsawan, hobinya suka mendengar muzik. Dia memiliki pentasnya sendiri dan beberapa penyanyi yang menjadi penghiburnya. Apa yang menjadi kelebihannya ialah apabila terdengar sahaja seruan azan, dia segera memerintahkan penyanyi dan pemuziknya berhenti seketika untuk menghormati seruan azan.

Setelah selesai menjawab azan barulah disambung semula nyanyian, hanya itulah sahaja amalan yang sentiasa dijaganya.
Setelah dia meninggal, ramai kalangan orang yang soleh bertemu dengannya. Tanya mereka, “ibadah apakah yang menyebabkan ALLAH mengampunkan dosamu, adakah kerana kamu telah menggali sebuah kolam air antara Makkah dan Madinah?

Jawab Zubaidah, “ALLAH telah mengampun dosaku dengan banyak mengucap syukur. Sebenarnya aku tidak banyak beribadah kecuali semasa hayatku dulu, apabila mendengar sahaja azan, sedang waktu itu aku tengah berhibur maka dengan serta-merta aku menyuruh mereka menghentikan hiburan dan menghormati seruan azan. Itulah ibadah yang benar-benar aku jaga.”


Maka ALLAH berfirman, “kamu dilarang menyeksanya, jika tidak kerana iman yang ada dalam dadanya masakan dia mahu menyebut-Ku dalam keadaan leka.”

Sudah cukup-cukuplah kita dilekakan dengan kerja seharian. Sudah-sudahlah kita hanyut dengan nikmat dunia. Maka simpanlah sedikit jiwa kita untuk hari kemudian dengan melembutkan hati, menjawab seruan azan. Insya-Allah.

Sebenarnya saya terdorong untuk menulis tentang ini setelah hampir khatam buku terbaru terbitan Karya Bestari Sdn Bhd berjudul Tenggelam Dalam Nafsu.

( Sri Diah ; Sinar Harian  8 Mac 2012 )

Wednesday, April 4, 2012

Mari berlumba dengan diri sendiri


SABTU lalu, saya menghadiri sesi beramah mesra dengan pembaca Karnival Karangkraf di Kolej UNITI, Port Dickson. Ramai juga siswa dan siswi datang untuk mendapatkan autogeraf setelah mendapatkan buku saya. Tiba-tiba, seorang siswi tampil dan menghulurkan sebuah buku nota. Dia tidak membeli buku tetapi meminta saya memberinya sebuah mutiara kata.

Bagaimana saya boleh menulis madah secara spontan begitu? Saya terpempan seketika. Meraba-raba mencari ilham dari kotak fikiran ini. Sekilas saya memandangnya yang datang dengan penuh harap. Oleh kerana dia seorang pelajar, saya melihatnya sebagai insan yang sedang dalam sebuah perjalanan yang panjang untuk memajukan dirinya.

Maka tercetuslah kata-kata, “Hidup ini satu perlumbaan. Dan perlumbaan itu adalah dengan dirimu sendiri.” Saya tidak pasti sama ada dia faham apa yang saya maksudkan kerana setelah menyerahkan buku nota kepadanya, dia hanya menatap madah saya buat seketika sebelum tersenyum simpul dan berlalu.

Ya, hidup ini adalah sebuah perlumbaan. Sebuah larian maraton. Sudah menjadi kebiasaan pula, kita biasanya berlumba dengan orang lain. Sejak kecil di tadika emak membandingkan kita dengan teman-teman yang lain, siapa yang dapat nombor satu. Di sekolah menengah pula, siapa yang dapat lebih banyak ‘A’ dalam PMR atau SPM. Di universiti pula, universiti mana atau fakulti mana pula dibanding-banding.

Sehinggalah bila di alam pekerjaan, kita sudah pandai untuk membandingkan sendiri mana satu pekerjaan yang bagus, mana pekerjaan yang tidak bagus. Syarikat mana yang ada kelas, syarikat mana pula yang tiada masa depan. Pendek kata, bila apa yang kita capai itu dibanding-bandingkan, maka ia akan ditanding-tandingkan pula.

Tentu sekali dalam pertandingan, ada konsep menang dan yang kalah. Ada pula yang berjaya dan yang gagal. Kerana itu, bila kita memandang orang yang jauh ke hadapan, atau yang tinggi di atas, kita akan berasa ketinggalan. Sebaliknya, bila kita memandang ke belakang pula, kita nampak juga orang yang sudah kita tinggalkan atau orang yang jauh berada di bawah. Kita berasa yang kita sudah ke depan pula.

Dalam perjalanan yang panjang ini, kita juga melalui pelbagai persimpangan. Samada persimpangan itu membawa kita memasuki sebuah lebuhraya yang dipenuhi dengan mereka yang bergerak laju, ataupun persimpangan sebuah denai sempit dan berlopak hingga menyebabkan kita terpaksa melangkah perlahan.
Kita akan melalui fasa-fasa kehidupan bilamana kita bergerak laju dan meninggalkan kawan-kawan. Itulah saat di mana kita berjaya, kita menang, ataupun kita kaya memperoleh apa yang kita inginkan kerana kita bergerak di lebuhraya laju. Ada ketikanya, kita menggelungsur ke bawah dan bergerak perlahan di lorong yang penuh berliku. Begitulah keadaan bilamana kita jatuh atau gagal.

Lazimnya, tatkala kita berjaya, kita akan di kelilingi oleh mereka yang berjaya juga. Perjalanan kita menjadi mudah dan pantas. Di saat kita tewas, kita dikerumuni oleh mereka yang gagal juga. Ketika itu, perjalanan kita menjadi perlahan dan sukar.

Bila kita selesa berteman dengan mereka yang berjaya, ia bagus sekiranya kita tidak lupa erti kegagalan. Namun jangan sampai kita lupa daratan seolah-olah kita tidak pernah tersembam dalam kehidupan. Ketika kita bersama dengan mereka yang gagal pula, ia tidak bagus sekiranya kita terlupa yang kita pernah berjaya hingga tidak berani mencuba lagi.

Yang penting, walau di mana kedudukan kita sama ada sedang berjaya atau gagal, kita tidak boleh lupa di sebalik semua perlumbaan dengan orang lain, kita sepatutnya berlumba dengan diri kita sendiri. Pedulikan siapa yang berjaya lebih dahulu daripada kita, kerana dalam maraton, perlumbaan masih belum tamat selagi garis penamat iaitu kematian belum tiba.

Berlumba dengan diri sendiri itu lebih jujur dan lebih membahagiakan. Hanya kita yang tahu bila kita mesti memecut laju dan bila pula kita mesti berjalan berjengket-jengket kerana yang penting ialah sampai ke matlamat pada waktu yang kita tentukan sendiri, bukan masa yang dipaksakan oleh orang lain kepada diri sendiri.

Kejayaan yang diperoleh bila berlumba dengan diri sendiri adalah di atas kehendak sendiri, bukan sebab kemahuan orang lain. Begitu juga kegagalan yang dialami bukan membuat kita menangis malu.

Sebaliknya ia adalah tangisan keinsafan di atas kegagalan yang membolehkan kita bangkit, bertatih, melangkah dan berlari kembali ke puncak kejayaan.

(  Sinar Harian, 4.4.2012)

Sunday, April 1, 2012

Khutbah Terakhir


Wahai manusia, dengarlah baik baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.

Kembalikan harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang.

Berwaspada lah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara perkara besar, maka berjaga jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara - perkara kecil.

Wahai manusia , sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,sembahlah Allah, dirikan solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,dan tunaikan zakat dan harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap Allah  pada suatu hari untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai maanusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesunguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikan ya Allah,  bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba hambaMu.

Nabi Muhammad S.A.W.
Lembah Uranah, Gunung Arafah. ; 9 Zulhijjah 10H