Wednesday, January 4, 2012

SALAMAH BIN DINAR ( Bahagian 5 )

Rumah Abu Hazim, Salamah bin Dinar merupakan perigi ilmu untuk para pencari ilmu dan kebenaran. Begitu juga dengan para sahabatnya.

Suatu ketika, Abdul Rahman bin Jarir datang bersama anaknya menemui Abu Hazim. Mereka memberi salam dan mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat untuknya. Salamah bin Dinar menjawab salam mereka dengan cara yang lebih baik dan menyambut kedatangan mereka. Setelah itu mereka berbual.

Abdul Rahman bin Jarir pun memulakan bicara: ” Bagaimana kita mampu membuka hati ini, wahai Abu Hazim?”

” Apabila jiwa ini dibersihkan, segala dosa-dosa akan diampunkan. Apabila seseorang hamba berazam untuk meninggalkan dosanya, akan terbukalah pintu hatinya. Wahai Abdul Rahman, jangan lupa walau sekecil mana sekalipun dunia ini, ia akan melalaikan kita daripada akhirat. Setiap nikmat yang tidak mendekatkan kita kepada Allah sebenarnya adalah bala.” jawab Salamah.

Kini giliran anaknya pula bertanya: ” Guru saya ramai, siapakah yang perlu saya contohi?”

” Wahai anakku, contohilah orang yang takut kepada Allah ketika ketiadaan manusia dan orang yang berhati-hati supaya tidak terjerumus kepada perkara yang mengaibkan. Begitulah juga orang yang sentiasa memperbaiki dirinya semenjak muda lagi dan tidak menangguhkannya ke waktu tua.”

” Anakku sedarlah, setiap kali matahati terbit, orang yang mencari ilmu ini akan berhadapan dengan nafsu dan ilmunya. Nafsu dan ilmu ini akan sentiasa bermusuhan di dalam jiwamu. Jika pada hari itu ilmunya berjaya mengalahkan nafsunya, hari itu adalah hari beruntung untuknya. Jika pada hari itu nafsunya berjaya mengalahkan ilmunya, hari itu adalah hari yang merugikannya” terang Abu Hazim dengan panjang lebar.

Abdul Rahman bin Jarir pula menyoal : ” Engkau selalu menggalakkan kami bersyukur, wahai Abu Hazim. Apakah sebenarnya syukur itu?”

” Setiap anggota yang kita miliki ini mewajibkan kita supaya bersyukur.”

” Apakah kesyukuran mata ini? ” tanya Abdul Rahman.

” Jika dengan mata ini engkau melihat kebaikan nyatakanlah ia,. Jika dengan mata ini engkau melihat keburukan sembunyikanlah ia”.

” Apakah pula kesyukuran telinga ini?” tanya Abdul Rahman lagi.

” Jika dengan telinga ini engkau mendengar kebaikan peliharalah ia. Jika dengan telinga ini engkau terdengar keburukan kuburkanlah ia.”

” Apakah kesyukuran tangan ini” tanya Abdul Rahman untuk mendapatkan lebih penjelasan.

” Janganlah engkau gunakan tangan ini untuk mengambil suatu yang bukan hakmu dan jangan engkau gunakan tangan ini untuk menghalang hak Allah.”

” Engkau jangan lupa wahai Abdul Rahman, orang yang hanya bersyukur dengan lidahnya tanpa disertai oleh angota-anggota dan hatinya yang lain, dia sebenarnya umpama orang yang mempunyai pakaian tetapi hanya memegang tidak memakainya. Pakaiannya tidak mampu memelihara badannya daripada panas ataupun sejuk”.

Sumber : Abdul Rahman Ra’fat al-Basha.(2003). 37 Kisah kehidupan Tabi’in Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Salam : 255 - 256


SALAMAH BIN DINAR ( Bahagian 4 )

Sebaik sahaja Abu Hazim tiba di rumahnya, beliau mendapati Amirul Mukminin telah menghantar seuncang penuh berisi wang dinar. Bersama uncang tersebut terdapat sepucuk surat berbunyi : Belanjakanlah wang ini. Jika perlu masih ada banyak lagi seperti ini untukmu.”

Namun Salamah bin Dinar memulangkan semula uncang tersebut tanpa mengambil walau sesen pun. Beliau menulis : Wahai Amirul Mukminin, saya mohon moga Allah tidak menjadikan segala pertanyaan tadi  sebagai sia-sia dan jawapan yang saya berikan tadi juga sia-sia. Demi Allah, saya tidak redha wang ini berada pada tanganmu, wahai Amirul Mukminin. Jadi bagaimana saya boleh redha wang ini berada di tangan saya?”.

” Wahai Amirul Mukminin, jika wang dinar ini sebagai ganjaran untuk saya kerana apa yang saya katakan kepadamu, maka bangkai dan daging babi ketika darurat lebih halal daripada wang ini. Jika wang ini adalah hak saya daripada Baitul Mal, apakah engkau akan berikan hak yang sama kepada semua umat Islam?”

Sumber : Abdul Rahman Ra’fat al-Basha.(2003). 37 Kisah kehidupan Tabi’in Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Salam : 254 - 255

SALAMAH BIN DINAR ( Bahagian 3 )


” Wahai Abu Hazim, nyatakanlah apa-apa permintaanmu”.

Abu Hazim terdiam sejenak tidak menjawab.

” Nyatakanlah permintaanmu wahai Abu Hazim, saya akan tunaikan walau apa sekalipun.” Sulaiman mengulanginya.

” Permintaan saya ialah semoga engkau selamatkan saya dari neraka dan masukkan saya ke dalam surga,” akhirnya dia menjawab soalan itu.

” Itu bukan kuasa saya, wahai Abu Hazim.”

” Saya tiada permintaan lain selain itu, wahai Amirul Mukminin.” jawab Abu Hazim.

” Doakanlah saya wahai Abu Hazim.” pinta Sulaiman

Abu Hazim mengangkat tangannya dan berdoa: ” Ya Allah, jika Sulaiman hambaMu ini adalah pengikutMu, berikanlah kemudahan kepadanya untuk memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Jika dia adalah musuhmu, bimbinglah dia kepada perkara yang Engkau suka dan Engkau redhai.”

Salah sorang hadirin yang mengikuti perbualan mereka bangun dan berkata: ” Inilah kata-kata yang paling buruk engkau ucapkan semenjak engkau masuk menemui Amirul Mukminin. Engkau letakkan khalifah Islam sebagai musuh Allah dan engkau sakitkan hatinya. ”

Abu Hazim menjawab : ” Apa yang engkau katakan itulah yang buruk. Allah telah membuat perjanjian dengan ulama bahawa mereka perlu mengatakan yang benar. Allah berfirman :

” Demi sesungguhnya? Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya.” [ maksud Aali Imran : 187 ]

Salamah bin Dinar ( Abu Hazim) kemudian memandang khalifah dan berkata : ” Wahai Amirul Mukminin, masyarakat ini kekal kebaikan dan kesejahteraan selagi pemerintah mereka menemui ulama yang ada di kalangan mereka.Selepas itu, ada di kalangan masyarakat ini yang hina, mereka belajar ilmu dan mendekatkan diri mereka dengan pemerintah semata-mata untuk memperolehi sedikit kesenangan dunia.Hasilnya, pemerintah tidak lagi memerlukan ulama. Akhirnya mereka ini tidak memperolehi apa-apa dan kecundang. Nilai mereka ini pun turun di mata Allah Azza wa Jalla. Jika para ulama tidak mencari kurniaan pemerintah,sudah tentu para pemerintah akan mencari ilmu mereka. Malangnya mereka mencari pemberian pemerintah menyebabkan pemerintah tidak mencari mereka malah memperlekehkan mereka.

” Benar, nasihatlah saya lagi wahai Abu Hazim. Tidak pernah saya melihat hikmah itu keluar daripada mulut seseorang seperti engkau, : kata Sulaiman.

” Jika engkau seorang yang boleh menerima dan mengamalkannya, apa yang saya katakan tadi sudahpun memadai. Jika engkau bukan orang yang boleh menerima dan mengamalkannya, tidak perlu saya curahkan air ke daun keladi.” sambung Abu Hazim.

” Namun saya memohon agar engkau nasihatkan saya lagi, wahai Abu Hazim,” pinta Sulaiman lagi.

” Boleh, saya akan nasihatkan secara ringkas. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla. Elakkan supaya Dia tidak melihat engkau melakukan apa yang dilarangNya. Pastikanlah Dia hanya melihat engkau melakukan apa yang diperintahkanNya.”

Abu Hazim kemudiannya memberi salam dan berlalu pergi. Sulaiman pun mengangkat tangan dan berdoa ” ” Moga Allah memberikan ganjarannya kepadamu, wahai orang alim yang memberi nasihat.”

Sumber : Abdul Rahman Ra’fat al-Basha.(2003). 37 Kisah kehidupan Tabi’in Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Salam : 253 - 254


SALAMAH BIN DINAR ( Bahagian 2 )

” Di manakah rahmat Allah? ” Tanya Sulaiman lagi.

” Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya, ” [ maksud Al-A’raf: 56 ]

Jawab Salamah sambil membacakan ayat Al-Quran tersebut.

Sulaiman yang masih belum puas bersoal-jawab bertanya lagi : ” Alangkah baik jika saya tahu bagaimana saya akan berhadapan dengan Allah kelak.”

” Manusia yang baik umpama perantau yang pulang menemui keluarganya. Sementara manusia yang tidak baik umpama hamba yang melarikan diri kemudian diheret menemui tuannya,” jawab Abu Hazim lagi.

Mendengar kata-kata itu, Sulaiman menangis teresak-esak. Kemudian baginda bertanya lagi : ” Wahai Abu Hazim, bagaimanakah saya boleh menjadi manusia yang baik?”

” Buangkan segala rasa takbur dan semailah akhlak yang baik,” jawab Abu Hazim ringkas.

” Apakah ada cara yang  boleh menyemai ketakwaan kepada Allah melalui harta ini?” khalifah cuba mendapatkan penjelasan.

” Engkau memperolehinya dengan cara yang sah, kemudian engkau berikannya kepada mereka yang berhak. Engkau agihkan secara saksama dan adil kepada semua rakyat.”

” Wahai Abu Hazim, siapakah manusia yang paling mulia?” Tanya Sulaiman lagi.

“ Manusia yang berpegang teguh dengan maruah dan akhlak serta bertakwa,” balas  IAbu Hazim.

“ Apakah kata-kata yang paling baik, Wahai Abu Hazim?”

“ Kata-kata yang diucapkan oleh seseorang di hadapan orang yang ditakutinya dan disukainya.”

” Wahai Abu Hazim, apakah doa yang paling cepat diperkenankan?”

” Doa orang yang melakukan kebaikan kepada orang-orang yang baik”, jawab Abu Hazim.

” Apakah pula sedekah yang paling baik?”

” Sedekah daripada orang yang tidak berada kepada orang yang terlalu miskin dan diberikan tanpa disertai kata-kata yang menyakiti hati.”

” Siapakah pula orang yang paling pintar, wahai Abu Hazim? Tanyanya lagi.

” Orang yang mengetahui cara untuk mentaati Allah kemudian dia mengamalkannya dan kemudian dia membimbing orang lain untuk mengamalkannya”.

” Siapakah pula manusia yang paling bodoh?”

” Orang yang menurut kemahuan sahabatnya sedangkan sahabatnya itu zalim. Dia mempertaruhkan akhiratnya semata-mata demi dunia orang lain.”

Akhirnya Sulaiman berkata kepada Abu Hazim : ” Wahai Abu Hazim, bolehkah engkau tinggal bersama kami supaya engkau boleh menerima sesuatu daripada kami dan kami boleh menerima sesuatu daripada engkau?”

” Tidak, wahai Amirul Mukminin,” dengan sopan beliau menolak.

” Kenapa?” tanya Sulaiman lagi.

” Saya bimbang saya akan terpengatuh dengan kamu. Lalu Allah menjerumuskan saya ke lembah kehinaaan hidup di dunia dan di akhirat,” jawab Abu Hazim dengan tegasnya.

Sumber : Abdul Rahman Ra’fat al-Basha.(2003). 37 Kisah kehidupan Tabi’in Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Salam : 255 - 253

SALAMAH BIN DINAR ( Bahagian 1 )

Masyhur dengan panggilan Abu Hazim al-A’raj

“ Tidak pernah saya melihat seseorang yang hikmah bermain di bibirnya seperti Abu Hazim.”
 ( Abdul Rahman bin Zaid )

Pada tahun ke-97 Hijrah, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berhasrat untuk berangkat ke tanah suci bagi menyahut seruan ‘Bapa Para Nabi’, Ibrahim a.s.. Rombongannya bergerak pantas menyusuri laluan Damsyik, ibu kota Bani Umayyah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Jiwanya terasa rindu untuk mendirikan sembahyang di Raudhah yang suci dan rindu untuk mengucapkan salam kepada Nabi Muhammad s.w.a.

Rombongan khalifah ini turut diiringi oleh para qari, ahli hadis, ahli fikah, ulama, pembesar dan panglima tentera. Apabila sampai di Madinah al-Munawwarah, Sulaiman disambut oleh para pemimpin dan tokoh-tokoh ilmuan di Madinah untuk bersalaman dan menyambutnya. Walau bagaimanapun, Salamah bin Dinar, seorang hakim di Madinah dan ilmuan yang berpengaruh serta seorang imam (pemimpin masyarakat) yang dihormati, tidak ada bersama orang-orang yang menziarahi dan menyambut khalifah.

Setelah selesai menyambut kesemua tetamu, Sulaiman bin Abdul Malik berkata kepada hadirin : “ Jiwa ini akan berkarat, sama seperti besi jika tidak ada sesiapa yang mengingatkannya dari semasa kesemasa dan tiada siapa yang menggilap karatnya.”

“ Benar, wahai Amirul Mukminin.” Jawab para hadirin.

“ Apakah tidak ada di Madinah ini sesiapa yang sempat menemui para sahabat Rasulullah s.a.w. dan boleh menasihatkan kita?” Tanya Sulaiman.

Ada, wahai Amirul Mukminin. Di sini ada Abu Hazim al-A’raj.” Jawab para hadirin. “ Siapakah Abu Hazim al-A’raj?” Mereka pun menjelaskan : “ Salamah bin Dinar, ulama dan imam di Madinah. Dia salah seorang tabiin yang sempat bertemu beberapa orang sahabat.”

” Panggillah dia ke sini dan jemputlah dia dengan baik,” arah Sulaiman kepada mereka.

Tanpa berlengah lagi, mereka pun menjunjung perintah dan pergi menjemputnya. Apabila Salamah tiba, Sulaiman menyambut dan mempersilakannya duduk berhampiran dengannya.
Apabila beliau sudah duduk, Sulaiman berkata kepadanya sambil menegur tindakannya:  ” Kenapa hambar sahaja, wahai Abu Hazim?”

” Apakah yang hambar, wahai Amirul Mukminin?” balas Salamah yang tidak mengerti apa sebenarnya yang hendak diperkatakannya.

” Semua orang menziarahi saya tetapi engkau tidak!!.”

” Hubungan hambar hanya selepas saling kenal-mengenali. Sedangkan engkau tidak pernah mengenali saya sebelum ini dan saya juga tidak pernah melihat engkau. Apakah yang hambar daripada tindakan saya ini?” jawab Salamah.

Sulaiman yang terpegun mendengar jawapan Salamah, berpaling kepada hadirin dan berkata : ” Alasan sheikh ini tepat sekali dan khalifah telah tersilap kerana menegurnya.”

Sulaiman kemudian memandang Abu Hazim dan berkata : Di dalam diri saya ada banyak perkara yang ingin saya luahkan kepada engkau, wahai Abu Hazim.”

”Katakanlah wahai Amirul Mukminin, mudah-mudahan Allah akan membantu,” balas Salamah lembut.

Sulaiman pun memulakan soalannya : ” Wahai Abu Hazim, kenapa kita takutkan mati?”

” Sebab kita terlalu membangunkan dunia dan kita musnahkan akhirat kita. Jadi kita tidak suka untuk keluar dari dunia yang kita bangunkan ke akhirat  yang kita telah musnahkan, ” jawab Salamah dengan jelas.

” Benar,” jawab Sulaiman mengiakan kata-kata sheikh itu. ” Wahai Abu Hazim, apakah mungkin kita dapat tahu nasib kita di hadapan Allah kelak?” Sulaiman menyambung soalannya.

” Bandingkan amalanmu dengan kandungan Kitab Allah Taala, nescaya engkau akan tahu nasibmu.”

Sulaiman yang kelihatan begitu tertarik dengan kata-kata Salamah bertanya lagi: ” Di manakah saya akan temuinya dalam Kitab Allah Taala?”

” Engkau akan temuinya dalam firman Allah :

” (Gunanya catatan malaikat-malaikat itu ialah untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang salah) – kerana sesungguhnya orang-orang yang berbakti ( dengan taat dan amal kebajikan), tetapi berada di dalam syurga yang penuh nikmat; Dan sesunguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat di dalam neraka yang menjulang-julang .” [ maksud Al-Infitar : 13 – 14]

Sumber : Abdul Rahman Ra’fat al-Basha.(2003). 37 Kisah kehidupan Tabi’in Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Salam : 249 - 251

Tuesday, January 3, 2012

Doa selamat 2

Ya Allah kami memohon pelindunganMu dari segala hasutan syaitan mahupun kejahatan insan. Kami pohon keselamatan dan kesejahteraan agar hidup dalam aman dan tenteram. Jauhkanlah kami dari segala bala, wabak, mahupun penyakit yang menyusahkan.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Mengetahui apa yang tersirat di dalam hati dan sanubari kami. Engkaulah yang lebih mengetahui hajat dan tujuan kami pada saat ini, lantaran itu makbulkanlah segala permohonan kami. Kami menadah tangan memohon keselamatan dan kesejahteraan yang berterusan.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon kepadaMu kesejahteraan di dalam agama, kesihatan tubuh badan, penambahan di dalam ilmu, keberkatan di dalam rezeki. Kami memohon kepadaMu Ya Allah taubat sebelum mati, rahmat ketika mati dan keampunan selepas mati. Ya Allah permudahkanlah kami menghadapi saat-saat kematian dan selamatkanlah kami dari azab api neraka serta mendapat keampunanMu.

Doa selamat 1

Ya Allah, kami mohon kepadaMu agar sempurnakanlah penghayatan agama yang menjadi pegangan hidup kami, dunia yang menjadi tempat sementara hidup kami, akhirat yang menjadi tempat kembali kami.  Jadikanlah hidup ini tempat untuk menambah segala kebaikan dan mati kami untuk merehatkan diri dari segala keburukan.

Ya Allah, perbaikilah diri antara kami, jinakkanlah antara hati kami, tunjukkanlah kami jalan yang selamat. Selamatkanlah kami daripada kegelapan kepada yang terang, jauhkanlah kami daripada perbuatan keji, sama ada yang nampak, mahupun yang tersembunyi. Ya Allah, limpahkan keberkatan kepada kami, pendengaran dan penglihatan kami, para isteri, para suami dan anak-anak kami, sahabat handai dan rakan taulan kami serta pemimpin kami yang telah berjasa kepada kami.