Sekian lama kita sambut merdeka
lancarkan pelbagai logo dan tema
kenapa masih berleluasa warga
banyak berteori kurang berusaha
bijak beretorika miskin rekacipta
seru sama rata cauvinis bangsa?
Sekian lama kita sambut merdeka
dendang pelbagai lirik dan irama
kenapa masih berleluasa warga
hafal liriknya tetapi pesan terlupa
kenal melodi tetapi samar makna
lantang suara tetapi hilang gema
tegak berdiri tetapi hormat tiada
segak busana tetapi sifar budaya?
Sekian lama kita sambut merdeka
kibar pelbagai panji dan bendera
kenapa masih berleluasa warga
setia berkiblat ke bumi leluhurnya
puja bahasa luar keji bahasa nenda
takwa beragama terpenjara minda?
melafaz pelbagai akujanji dan ikrar
kenapa masih berleluasa warga
hulur salam ramah melumur nista
tabur gula cinta bercampur tuba
ikrar bersaudara kekal prasangka?
Sekian lama kita sambut merdeka
memuja pelbagai tokoh dan wira
kenapa masih berleluasa warga
terlepassangkar terbelenggu jiwa
terlerai rantai terbantut cita-cita
bebas kurungan tertawan minda
merdeka penjara tergadai pusaka?
Sekian lama kita sambut merdeka
anjurkan pelbagai acara dan pesta
kenapa masih berleluasan warga
pupuk mesra tapi ditakluk curiga
timbun harta tetapi bertokok cela
dianugerah kuasa tapi punah etika
petah bicara tapi berbelah agenda?
Sekian lama kita sambut merdeka
bercerita pelbagai cetera lagenda
kenapa masih berleluasa warga
ingin berpadu tapi gemar berbalah
mahu bersatu tapi asyik berpecah
damba damai tapi seronok bercekah
suka harmoni tapi leka bertelangkah
anjur muhibbah tapi tegar berbantah?
Sekian lama kita sambut merdeka
menggubal pelbagai pelan agenda
kenapamasih berleluasa warga
ingin berjiran tapi memagar rumah
ingin berkat tapi menyambar rasuah
ingin maruah tapi menguar-uar fitnah
ingin bersih tapi mencemar sampah?
Azmi Yusoff
Mingguan Malaysia
21 Ogos 2016.
No comments:
Post a Comment