Wednesday, April 30, 2014

Kau suka aku pun suka

Tip Eksekutif Cemerlang 12

Konsep ini menyatukan kita dengan persekitaran. Di mana ianya meliputi bos, rakan sekerja dan pelanggan kita sama ada luar ataupun dalam. Konsep ini menekankan pentingnya kita menurut apa yang disukai orang lain. Terutamanya orang yang penting pada kita.

Biasanya orang yang memiliki persamaan akan mudah serasi dan mesra. Mereka tidak kekok bersama kerana ada banyak perkara boleh dikongsi dan dibualkan bersama. Memberikan tumpuan pada hobi dan minat bos satu jihad yang besar dalam organisasi. Memahami apa kemahuan bos juga kunci kepada strategi kita bagi mendekati mereka. Bos sentiasa sibuk dengan kerjaya dan tugasan organisasi. Peluang bersama-sama bos mungkin tipis terutama dengan pekerja biasa dan tidak popular.

Selidiki apa yang disukai bos sebagai kesukaan anda juga. Prosesnya mungkin memakan masa tetapi tidak terlalu lama sehingga menggagalkan semangat anda mengetahuinya. Dekati bos anda. Bukan setakad bagi mengetahui hobi dan minatnya, malah personalitinya juga. Ini penting supaya anda tidak tersalah cakap perkara yang dia tidak suka dengar apabila berbicara dengannya.Perbanyakkan berbual di luar masa pejabat. Perbualan tidak formal begini lebih mesra dan lebih terbuka. Ini adalah peluang bagi anda mengenali siapa sebenar bos anda.

Apabila berkerja, setiap orang juga berpeluang melihat antara satu sama lain. Komunikasi dan bertukar fikiran berlaku. Emosi positif dan tanpa stress mewujudkan keharmonian dan daya saing dalam organisasi. Polisi mesra pelanggan juga membolehkan urusan berlaku tanpa prejudis. Jangan memilih pelanggan. Jika tidak, pelanggan juga teragak-agak memilih anda! Jadilah pekerja yang tabah, berwawasan, tenang dan senyum selalu.

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006

Aras Intelek

Terdapat intelek aras satu, intelek aras dua, dan intelek aras tiga dengan jendela langit ......

Mereka yang mengumpul fakta tanpa sebarang tujuan dikategorikan sebagai para intelek aras satu

Para intelek aras dua akan membanding beza, menaakul, membuat kesimpulan dengan menggunakan fakta-fakta yang dikumpul.

Mereka yang berada di intelek aras ketiga berupaya untuk membuat tanggapan, berimaginasi, meramal dan mereka diterangi dari cahaya yang masuk melalui jendela langit ......

Wallahu alam

Pintu kalbu

Sewaktu kujenguk jendela takwa
tiba-tiba terkenang suatu sabda
akan ujian dosa pahala keluarga
bencana fitnah jiran tetangga
terhapus oleh solat dan puasa
oleh sedekah jariah sesame kita.

Kekadang ada ujian fitnah bencana
datang gelombangnya tanpa diduga
luas terbentang teranyam perlahan
bagaikan sebidang tikar mengkuang
hitam legam warnanya menyirat hati
laksana belanga telungkup ke bumi
baik buruk sudah tidak dikenali
patuhi hawa nafsu
terkuncu pintu kalbu
besar rapat tidak terbuka daya
begitu tamat riwayat diri ketua.

Kita manusia bisa berpaling
Islam pada mulanya asing
akan semula kembali asing
kecuali diri yang tenang
putih hatinya cemerlang
selagi masih subur iman
belum terjadi hari penghabisan
kita terasing demi kebahagiaan.

A.Aziz Deraman
Zaman Baru, DBP 2006

Doa buat anak bangsaku

Ya Allah
tingkatkanlah azamku untuk berubah
demi mengubah nasib dan masa depanku
keluarga, anak bangsaku, duniaku.

Ya Allah
Kau lenyapkan segala sifat dan kelemahan diriku
yang membantutkan kemajuanku
melambatkan proses kejayaanku
kebahagianku.

Ya Allah
Kau buangkanlah daripada diriku
sikap malas belajar,malas berfikir, malas bertindak,
berusaha keras, takut bersaing, mudah mengalah,
berserah nasib.

Ya Allah
dengan kekuasaan yang ada padaMu
Kau ubahlah sikapku ke arah yang lebih membina
lebih positif, beriman, beramal,
akur segala perintah dan laranganMu
takut akan balasanMu.

Ya Allah
padaMu aku bersujud
padaMu aku berserah
kasihilah anak bangsaku
kau angkatlah daripada mereka di mata dunia.

Aameen Ya Rabbal Alameen.

Datuk Dr Maznah Hamid
Himpunan doa harian, 2013

Sunday, April 27, 2014

Cinta pandang pertama

Tip Eksekutif Cemerlang 11

Konsep ini mewujudkan rasa sayang kepada organisasi. Cinta pandang pertama melambangkan rasa cinta tidak berbelah bagi seorang individu pada kekasih pertamanya. Cinta ini terus diingat olehnya sehingga ke liang lahat. Cuba wujudkan rasa cinta demikian kepada organisasi.

Dengannya kita akan:
v  Memenuhi janji pada organisasi
v  Ingat pesanan diberikan oleh bos kita
v  Melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
v  Menghargai pemberian organisasi
v  Mengenang faedah, kebaikan dan jasa baik rakan-rakan dalam organisasi
v  Menganggap organisasi kita sebagai organisasi paling best
v  Memikir usaha ataupun jasa yang belum disumbang kepada organisasi
v  Fikirkan cara membantu organisasi dalam menambah jumlah pelanggan
v  Fikirkan cara meningkatkan perkhidmatan pelanggan kepada bertaraf dunia
v  Fikirkan cara hendak kurangkan kos organisasi
v  Fikirkan cara hendak kurangkan pembaziran harta organisasi
v  Fikirkan cara supaya semua orang dalam organisasi dapat bekerja dengan tenang dan harmoni.

Tip menunjukan rasa cinta pandang pertama kepada majikan:
v  Anggap majikan itu adalah yang pertama dan terakhir
v  Hargai jasa yang diberikan kerana melantik anda memegang jawatan.
v  Berikan hadiah dan penghargaan kepada mereka
v  Ceritakan perkara yang baik-baik mengenai mereka kepada orang lain
v  Sempurnakan segala amanah yang diberikan kepada kita
v  Sentiasa supportive atas apa yang mereka war-warkan.

Tip menujukkan cinta pandang pertama kepada raka sekerja:
v  Sentiasa penuhi janji yang diberikan kepada rakan sekerja
v  Bantu rakan sekerja dalam menyiapkan tugasan yang sukar dilakukannya.
v  Beri nasihat dan kata-kata dorongan kepada mereka
v  Berikan semangan bagi meningkatkan kejayan perkhidmatan
v  Ingatkan mereka mengenai amalan nilai murni yang perlu ada pada diri masing-masing
v  Dengar keluhan masalah mereka. Walaupun anda tidak mampu menyelesaikannya.

Tip memenuhi cinta kepada pelanggan:
v  Kotakan janji yang diberikan kepada pelanggan anda
v  Ucapkan tahniah kerana dipilih berurusan dengan anda
v  Kirimkan ucapan penghargaan atas pembelian barangan anda
v  Sentiasa hubungi mereka bagi mengetahui masalah berbangkit


v  Beri hadiah dan jemput mereka ke jamuan makan malam
v  Kirimkan khabar-khabar gembira kepada mereka
v  Beri tindakan susulan yang di luar dugaan mereka

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006

Kehilangan

Setiap ketika
Kita kehilangan
Mungkin sebilah pisau waspada
Disimpan dilaci leka
Mungkin kunci kehidupan
Hilang dari kotak kebiasaan
Malah kehilangan waktu
Yang dibiarkan berlalu
Dari duga sumur umur.

Setiap pagi
Ketika menyelak hari
Ada sahaja berita
Tentang kehilangan
Orang tersayang
Harta benda, pekerjaan
Binatang peliharaan
Sehingga
Ada yang kehilangan
Pangkat dan nama
Kuasa dan kemengahan.

Ada bangsa
Kehilangan sebuah negara
Ada bangsa
Kehilangan harapan hidup
Dinafikan kewarganegaraannya
Ada bangsa
Bakal kehilangan kuasa
Belum kering keringat
Kemerdekaan
Kita sudah kehilangan hak
Yang sekian lama dipertahankan.

Kita akan terus kehilangan
Bukan sekadar sebuah
Kapal terbang
Tapi kuasa di tangan
Kerana leka bangsa
Kerana lupa agama.

Shapiai Muhammad Ramly
Batu Pahat, Johor
Berita Harian
20 April 2014

Kembalikan nilai kemanusiaan kami

Ya Allah
dengan linangan air mata keinsafan
kami menadah tangan kepadaMu
memohon pertolonganMu
petunjukMu.

Ya Allah
manusia kini semakin hilang
nilai-nilai kemanusiaannya
semakin terhakis nilai-nilai murni
keprihatinan, kasih sayang, keikhlasan, kejujuran, keimanan
bertukar menjadi kekejaman, kerakusan, rasuah, tamak haloba
nafsu yang tidak terkawal dan kemungkaran.

Ya Allah yang maha mengetahui lagi berkuasa
turunkanlah mukjizatMu
hindari segala bala kemudaratan ini
perbaikilah keadaan ini, ya Allah
sesungguhnya kami berada dalam kebingungan
dan keresahan serta kesedihan.

Ya Allah, yang maha mengasihani
lindungi kami, anak-anak kami, umatMu
selesaikanlah permasalahan kami,
kebimbangan kami.
bendunglah kecelaruan yang berlaku ketika ini
benteraslah segala kejahatan
dan niat-niatnya
ya Allah.

Ya Tuhan
hindari kami daripada sifat dan sikap
pecah belah, fitrnah
dan jatuh menjatuhkan sesame umatMu
yang telah menghilanhkan
nilai-nilai murni ajaranMu
ya Allah.

Ya Tuhan kami
sucikan hati-hati kami
damaikan perasaan kami
satukan hati-hati kami
wujudkan rasa kasih antara kami
persefahaman,, tolak ansur seperti mana anjaranMu.

Ya Allah
jadikanlah kami insan yang pemaaf dan bukannya pendendam.
 
Ya Allah
kasihanilah kami, berilah petunjukMu
bukalah pintu-pintu hati umatMu
berlah keinsafan kepada mereka
hentikan segala tindak tanduk
yang menjatuhkan kemuliaan
dan kesantunan anjaranMu.

Ya Allah
tunjukkan kekuasaanMu
selamatkan umatMu
tenteramkan kehidupan kami
lindungi Negara kami.

Ya Allah
padaMu kami bersujud dan berserah
Aameen Ya Rabbal Alameen.

Datuk Dr Maznah Hamid
Himpunan doa harian, 2013

Friday, April 25, 2014

Istana menanti

Tip Eksekutif Cemerlang 10

Ia membawa anda ke masa hadapan yang bakal dilalui sepanjang kehidupan. Pandang ke depan bermakna kita nampak cita-cita dan harapan yang ingin dicapai kelak. Konsep ini tidak merujuk pada kekayaan fizikal semata-mata. Ia boleh ditafsirkan dengan kebahagiaan dan kesenangan. Kesemua kehendak asas dan keperluan dapat dimiliki dengan mudah. Setiap kehendak itu bergantung pada diri masing-masing. Tiada siapa boleh menghalang kejayaan anda sekiranya anda mampu memilikinya dengan usaha ikhlas dan harmoni.

Kita mungkin tidak berani menjadi kaya kerana:
v  Takut menjadi jahat apabila kaya
v  Takut menjadi murtad apabila kaya
v  Takut menjadi sombong apabila kaya
v  Takut lupa diri apabila sudah kaya
v  Takut mati apabila sudah kaya.

Untuk itu kita perlu ada kekuatan diri:
v  Kekuatan mengelakkan diri menjadi gila kuasa
v  Kekuatan mengelakkan diri menjadi sombong
v  Kekuatan mengelakkan diri menjadi lupa dan alpa
v  Kekuatan mengelakkan diri menjadi murtad
v  Kekuatan mengelakkan diri menjadi jahat dan pelbagai ciri tidak baik yang lain.

Untuk itu susunlah langkah anda agar tidak meruntuhkan istana iman. Di antara ciri-ciri kejayaan dan kesenangan yang sentiasa diredai ialah:
v  Kesenangan dimantapkan dengan ilmu
v  Kesenangan dihiasi cahaya iman dan amal ibadat
v  Kesenangan berteraskan iman dan amal
v  Kesenangan yang dapat ditumpang.

Untuk itu, kesenangan menuntut agar kita senang dan mempunyai harta. Di mana dengannya:
v  Harta bagi kesenangan keluarga
v  Harta sebagai lambang kekuatan agama
v  Harta sebagai simbol Melayu maju
v  Harta sebagai simbol organisasi berjaya
v  Harta sebagai lambang negara merdeka
v  Harta sebagai slogan Tidak Melayu Hilang di Dunia

Ingat, kebahagiaan adalah ganjaran terbesar dalam hidup. Anda sudah bekerja keras dan patut menerima ganjaran. Binalah istana anda demi diri dan keluarga. Bahagiakan insan tercinta dan anda pasti bahagia.

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006

Sejarah

Mereka memusuhi sejarah
Tidak akan temui jalan cari
Ini istana hidup
Pun jalan pernah dilalui
Itu kerikil dan bunga-bungaan
Itu rumput dan pohon-pohonan
Diam dalam lembaran kenangan.

Walau kecil sejarah
Tetap memiliki cermin iktibar
Pada watak dan latar cerita
Pada masa dan sebab punca
Iktibar membina rumah bahagia.

Engkau murung dibelit masalah
Engkau riang dimesrai cinta
Semua tersembunyi
Dalam cermin iktibar
Cermin di dalam rumah sejarah

Rugilah mereka memusuhi sejarah
Untunglah mereka memesrainya
Cermin iktibar mengilhami
Jalan cari
Meraih piala cita-cita
Mahligai kebahagiaan diri.

Nassury Ibrahim
Berita Harian
20 April 2014

Sejahterakan diri, keluarga dan negara


Ya Allah
di hari yang penuh keberkatan ini
kami menadah tangan
memohon keampunanMu
di atas segala kesilapan kami
dosa kami, kebodohan kami
di masa-masa yang lalu
sesungguhnya Ya Allah
kami amat merasai bahana bala
akibat tersasar daripada keredaanMu.

Ya Allah
janganlah Kau terus menghukum kami
menutup pintu-pintu rezeki kami
memberi kesakitan dan penderitaan
yang berterusan.

Ya Allah
bukakanlah pintu taubatMu.

Ya Allah
hindarkanlah negara kami
daripada sebarang kekacauan, kecelakaan,
perang saudara yang pasti membawa kesusahan,
kejatuhan ekonomi, kehilangan mata pencarian dan pekerjaan.

Ya Allah
amankanlah negara kami.

Ya Allah
Kau eratkan ikatan kasih sayang antara kami
dengan suami-isteri kami, isteri-isteri kami,anak-anak kami,
ibu bapa kami, kaum keluarga kami.

Ya Allah
Janganlah Kau biarkan antara kami berada
dalam persengketaan, dendam, hasad dengki
 dan penderitaan yang berpanjangan.
Ya Allah, kami mencari kebahagiaan yang sejati.

Ya Allah
Kau sembuhkanlah
apa jua penyakit yang menjangkiti diri kami ini
Ya Allah
ampunilah kami di atas segala kealpaan
kami terhadap segala nikmat kurniaanMu
hingga ada di antara kami menderita menanggung
pelbagai penyakit
mental, rohani dan jasmani.

Amin, ya Rabbal-alamin.

Datuk Dr Maznah Hamid
Himpunan doa harian, 2013

Thursday, April 17, 2014

Prinsip tidak makan harta

Tip Eksekutif Cemerlang 9

Sesebuah organisasi menjayakan operasi menerusi 4M, iatu Machine (Alatan), Man (Pekerja), Money (Kewangan) dan Method (Kaedah). Gaji yang dibayar  adalah hasil daripada pengendalian 4M dengan cara terbaik. Dengan itu, prinsip tidak makan harta adalah prinsip mendapat gaji daripada sumbangan tenaga fizikal, atau mental yang berpadanan dan setimpal.

Prinsip ini mengajar kita supaya tidak makan harta organisasi dengan cara melengah-lengahkan kerja, ponteng kerja atau pura-pura membuat kerja. Ianya tindakan tidak bermaruah. Sistem penyeliaan yang tidak berkesan akan melahirkan pekerja yang tidak ikhlas. Elakkan berbual-bual di tempat kerja dengan segaja mencuri waktu, begitu juga bekerja perlahan-lahan sambil menunggu masa balik atau pun rehat.

Jadilah pekerja cemerlang dan popular tanpa memakan harta organisasi. Elakkan dosa daripada darah daging yang terhasil daripada sumber tidak sah. Teruskan usaha membantu organisasi membanyakkan hartanya. Jangan haramkan rezeki yang halal......

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006

Guru: Pencetus kreativiti, penjana inovasi


Tema Hari Guru 2014

Guru: Kata guru merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara.

Pencetus: Merujuk maksud peranan untuk menimbulkan sesuatu ilham/idea atau mengeluarkan sesuatu seperti ilmu. Guru bertindak sebagai pencetus idea kepada kreativiti dalam usaha melahirkan generasi intelek.

Kreativiti: Didefinasikan sebagai penghasilan idea, kebolehan untuk mencipta atau proses pemikiran yang mendorong dalam pencetusan idea baru dan berdaya kreatif.

Penjana: Merujuk maksud guru sebagai penggerak atsu perantara yang paling penting dalam proses transformasi ke arah keberhasilan.

Inovasi: Didefinisikan sebagai pengaplikasian kreativiti, pembaharuan, modifikasi, kaedah dan sistem bagi mencari jalan untuk menghasilkan produk baru dan perkhidmatan yang lebih baik, bermakna dan bernilai.

Tema hari guru tahun 2014 dicadangkan iaitu Guru Pencetua Kreativiti Penjana Inovatif adalah selaras dengan transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke-21 iaitu berfikiran kritis dan kreatif serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbangseperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya agar menjadi generasi gemilang iaitu berpengetahuan dan berkemahiran, pemikiran kritis, kreatif dan inovatif; kemahiran memimpin, memiliki sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional. Hal ini sangat relevan dalam PPPM yang terus mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk pendidikan seimbang sebagai asas aspirasi setiap murid.
 
Guru memainkan peranan penting sebagai penggerak agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai ketrampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada murid bagi membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu untuk mencipta ilmu yang baharu bertaraf dunia.

Membudayakan inovasi merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam persekitaran yang kompetitif secara global. Keupayaan warga pendidik menyediakan peluang kepada murid bagi mendapat pengalaman pembelajaran lebih bermakna, pengalaman pembelajaran dalam menyelesaikan masalah, kreativiti dan pemikiran kritikal dilihat mampu meningkatkan kemahiran murid yang dapat berfikir secara kritis dalam konteks akademik dan persekitaran kehidupan sebenar.

Dunia dan ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berrfikir dengan lebih kritis dan kreatif dan inovatif. Justeru peranan guru sebagai penggerak generasi yang intelek dan berdaya saing perlu menghasilkan kualiti pengajaran yang gemilang dengan memperkukuh amalan terbaik dalam pendidikan.

Selamat Hari Guru.Terima kasih cikgu.................

Wallahu alam.

Kunci kebaikan





Ya Allah Ya Tuhanku.....jadikanlah daku kunci segala kebaikan. Aameen.


Wednesday, April 16, 2014

Jangan-jalan cari makan

Tip Eksekutif Cemerlang 8

Dalam konsep ini kita diajar supaya tidak kedekut belanja kawan-kawan makan di restoran ataupun kedai kopi. Ianya akan dapat mewujudkan suasana tidak formal. Anda akan dapat memantapkan perhubungan peribadi dengan mereka. Walaupun ada kalanya terpaksa membayar harga makanan.

Pendekatan ini juga mewujudkan rasa kekitaan dalam kumpulan. Perhubungan erat ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga akan terbina. Perasaan hebat dalalam diri masing-masing terbina apabila berada bersama bagai satu kumpulan. Tidak semua tugas dapat diselesai secara individu. Namun berhati-hati, agar tidak tergolong sebagai kaki bodek pula. Ia sekadar minyak pelincir dalam sesebuah mesin.

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006


Munajat Ya Al-Sabur

Yang Maha Penyabar

Ya Allah
dengan namaMu yang Maha Penyabar ini,
aku memohon perkenanMu
menganugerahkan namaMu itu ke dalam hatiku,
supaya aku menjadi tabah dan sabar
dalam menghadapi semua kesusahan dan penderitaan hidup
apabila ketika Engkau lenyapkan penderitaanku
aku akan katakan
ternyata penderitaan itu membawa nikmat.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011 

Tuesday, April 8, 2014

Jangan ubi jadi kayu

Tip Eksekutif Cemerlang 7

Manusia adakalanya mengalami rasa bosan yang keterlaluan akibat ketidakmampuan kita mengimbangi stres dan tekanan di tempat kerja. Jagalah kesihatan. Keadaan yang memungkinkan ubi menjadi kayu adalah dengan tidak menjaga kesihatan. Aktiflah dalam aktiviti yang mengeluarkan peluh. Sertailah pasukan permainan dan kebudayaan, kelab rekreasi, pertandingan  atau pelajari hobi baru.

Elakkan diri dari tekanan. Kerjalah dengan bijak. Kerja kuat dengan kesihatan yang baik. Ia berkait dengan tekanan (stres). Elakkannya dengan :

a) Mengubah persepsi mengenai stres
b) Sertai sukan dan kelab rekreasi
c) Sertai kumpulan tidak formal / klik
d) Elakkan persengketaan dengan rakan sebaya
e) Wujudkan suasana mesra di tempat kerja

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006

Pintu kalbu

Sewaktu kujenguk jendela takwa
tiba-tiba terkenang suatu sabda
akan ujian dosa pahala keluarga
bencana fitnah jiran tetangga
terhapus oleh solat dan puasa
oleh sedekah jariah sesama kita.

Kekadang ada ujian fitnah bencana
datang gelombangnya tanpa diduga
luas terbentang teranyam perlahan
bagaikan sebidang tikar mengkuang
hitam legam warnanya menyirat hati
laksana belanga telungkup ke bumi
baik buruk sudah tidak dikenali
patuhi hawa nafsu
terkuncu pintu kalbu
besar rapat tidak terbuka daya
begitu tamat riwayat diri ketua.

Kita manusia bisa berpaling
Islam pada mulanya asing
akan semula kembali asing
kecuali diri yang tenang
putih hatinya cemerlang
selagi masih subur iman
belum terjadi hari penghabisan
kita terasing demi kebahagiaan.

A.Aziz Deraman
Zaman Baru, DBP 2006

Munajat Ya Al-Rasyid

Yang Maha Tepat Bertindak

Ya Allah, berilah aku ilham
supaya aku mampu menempuh jalan yang benar
menguruskan semua persoalan dengan tepat
lindungi aku daripada keburukan diriku sendiri.
Ya Allah,
jadikan aku pembimbing dan dibimbing olehMu,
pemberi petunjuk yang tepat
serta mendapat petunjuk yang tepat.
Anugerahkanlah padaku kedudukan dan kemampuan
yang mengangkatku ke tempat yag tinggi di sisiMu,
sehingga aku mendapat perhatianMu
dalam segala urusanKu.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011 

Sunday, April 6, 2014

Macam pernah tengok

Tip Eksekutif Cemerlang 6

Konsep ini sesuai digunakan bagi anda yang masih baru dalam organisasi. Kunci dan rahsia menganganggap mereka seperti orang yang dikenali ialah:

a) Perlu ada perasaan sama-sama ada kepentingan dalam syarikat.
b) Yakin mereka juga kenal anda
c) Percaya mereka tidak sentiasa menyokong anda
d) Dapat mengelakkan rasa takut dan gementar apabila memberikan idea baru
e) Tidak dihantui oleh masalah di luar jangkaan
f) Dapat menyesuaikan diri walau di penjuru mana anda berada
g) Dapat mewujudkan persekitaran sihat semasa melaksanakan tugas
h) Membina persekitaran yang mendorong dan memberangsangkan minda
i) Dapat mengelakkan rasa marah apabila menghadapi suasana sebaliknya
j) Dapat mewujudkan rasa kasih sayang antara satu sama lain.

Apabila menerima arahan berulang-ulang, elakkan kata-kata yang seakan-akan kita prihatin pada ketua. Namun ia juga boleh melahirkan rasa curiga pada keikhlasan kita membuat kerja. Demikian juga bila tugasan ditolak. Usah kecil hati. Perasaan tidak akan tenang. Anggap ketua ingin membimbing ke arah kejayaan menerusi pekerja yang cekap dan berdaya maju. Begitu juga bila diarah bertukar, terimalah dengan positif. Ketua di tempat baru patut dianggap sebagai pemimpin yang pernah ditemui. Ianya akan membantu membiasakan diri di tempat baru.

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006

Kebencian

Bayangkan
apabila seluruh suara buana
berhimpun alunannya di lembah duka
hamburan kata-kata jadi kita buka mata
bantah-membantah peristiwa ke peristiwa
manusia bijak akal hilang bicara
pilu simpati tidak pernah duga
yang bersinar belum tentu berlian
yang kemilau rupanya kaca buangan
adat akibat dengar memilih rupa
ke mana wajah di hala, aib menerpa
oleh datangnya satu suara kebencian
maka terbunuh seribu kesayangan.

A.Aziz Deraman
Zaman Baru, DBP 2006



Munajat Ya Al-Warith

Yang Maha Mewarisi

Wahai Allah, Engkaulah yang mewarisi para makhluk,
campakkan cahaya namaMu al-Warits
ke dalam kalbuku supaya aku dapat memandang
segala sesuatu dan tunduk padaMu
dan aku dapat menuju ke hadiratMu.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Friday, April 4, 2014

Mi mamak : macam-macam ada

Tip Eksekutif Cemerlang 5

Ianya merujuk pada sikap kita yang suka bercampur gaul dengan semua orang dalam organisasi. Pelbagai ramuan, rempah ratus dan sos dimasukkan apabila mamak mula memanaskan kuali sehinggalah ia dihidangkan kepada pelanggan. Anggaplah anda ramuan utamanya, iaitu mi. Ianya sedap bila adunannya bertepatan. Sekiranya pahit, kerana terlebih kapur makan bersihkan mi terlebih dahulu.

Pergaulan dengan organisasi lain amat perlu begitu juga dengan pengurus yang lain. Sikap yang baik dan networking yang luas memudahkan tugasan pelbagai pihak. Begitu juga keperluan pergaulan dengan pengurus daripada jabatan lain. Ia juga satu kelebihan. Sekiranya sudah rapat, kita boleh mempelajari selok belok perjalanan jabatan mereka. Pengetahuan itu berguna bagi memajukan kerjaya kita.

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006

Hilang

Meluncur megah membelah angkasa
Terbang bersama kebanggaan negara
Kini kedamaian berganti huru hara
Ketenangan bertukar resah dan hiba
Bila kau hilang entah di mana
Kau hilang ….hilang….dan terus hilang.

MH370
Sungguh kau satu tragedy
Bermula tragedy bertukar misteri
Tiadalah daya dan upaya kami
Menyingkap hijab yang menutupi
 
Wahai Tuhan Yang Maha Kuat
Jika di sana ada jiwa yang hasad
Hancurkan mereka dengan cepat
Jika di sana ada pakatan yang jahat
Gagalkan mereka segenap tempat.

MH370
Sungguh kau satu musibah
Dalam musibah terselit hikmah
Dalam hikmah menggamit rahmah
Kau ajarkan kami erti sabar dan tabah
Lenyaplah segala rasa megah
Betapa insan ini resah, goyah dan lemah
Kau ingatkan kami kuasa Yang Maha Gagah

Wahai Tuhan!
Andai Kau hilangkan kami pesawat
Jangan Kau hilangkan kami rahmat
Andai kami bersedih
Bimbing kami agar tidak tersisih
Andai segala-galanya hilang
Kasih sayangMu diharap jangan hilang
Kami dariMu
Hanya kepadaMu kami akan pulang.

A,Razak Muthalib
Batu Muda
Sinar Harian
4 April 2014

Munajat Ya Al-Baqi


Yang Maha Kekal

Wahai Allah
Jadikanlah aku hambaMu
yang sentiasa mengingatMu d
alam setiap kesempatan,
sehingga aku menutup mataku,
tetap bersamaMu.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Thursday, April 3, 2014

Senapang lima laras

Tip Eksekutif Cemerlang 4

Empat laras ini merujuk lima kekuatan peluru yang perlu diisi dan digunakan sepenuhnya. Sekali petik kesemua peluru dalam setiap laras memainkan peranannya mengalahkan musuh organisasi.

Laras satu

Ia melambangkan pihak pengurusan, ketua penentu dasar perjalanan organisasi. Ketua perlu didokong dan disokong dari belakang. Katakan ya pada arahan dan dasar. Elakkan senjata anda dianggap rosak dan sasaran tidak mengena dengan mengatakan sebaliknya. Bukan menembak ketua dari belakang, tetapi menembak musuh bagi menyelamatkannya. Untuk itu :

v  Jangan ikut apa orang kata pada ketua
v  Apabila ada orang sedang bercakap sesuatu di belakang ketua, biarkan sahaja mereka.
v  Sentiasa mengulangi kesetiaan pada ketua dalam apa jua keadaan.
v  Jangan biarkan prasangka menghapuskan arahan ketua
v  Bersihkan laras ini setiap masa supaya peluru yang melaluinya tepat ke sasaran.

Laras dua

Ia diguna bagi menyelamatkan pelanggan dalaman, iaitu pekerja lain selain bahagian pentadbiran. Jaga dengan baik kerana mereka juga aset organisasi. Untuk itu:

v  Gunakan diplomasi semasa berurusan dengan mereka.
v  Anggap mereka sebahagian daripada anda.
v  Apabila mereka tidak dapat menyelesaikan masalah dengan pekerja lain, hulurkan pertolongan mengikut kemampuan anda.
v  Sentiasa bertegur sapa dan bertanya khabar.
v  Sambut kehadiran mereka dengan baik tanpa syak wasangka.
v  Dengarkan rungutan dan masalah mereka di mana-mana sahaja walaupun selepas waktu pejabat.
v  Cuba wujudkan hubungan baik dengan mereka apabila ada peluang.
v  Cuba fahami selok belok pekerjaan mereka supaya anda dapat merasai keadaan mereka.
v  Pastikan mereka keluar pejabat dengan gembira dan berpuas hati.
 
Laras tiga

Laras ini digunakan untuk menyelamatkan pelanggan luar, iaitu mereka yang menerima perkhidmatan atau pembeli barangan keluaran organisasi. Untuk itu:

v  Dengar komen dan rungutan mereka berkenaan produk yang anda keluarkan.
v  Berikan masa bagi mereka menilai produk ataupun perkhidmatan anda.
v  Bekalkan produk ataupun perkhidmatan yang baik dan berkualiti.
v  Buat penilaian setiap tahun bagi mengetahui status mutu keluaran ataupun perkhidmatan anda.
v  Adakan potongan harga pada setiap hujung tahun sekiranya perlu.adakan cabutan bertuah pada pelanggan tetap yang sentiasa mendapat bekalan barangan ataupun perkhidmatan anda.

Laras empat

Ianya melibatkan rakan sekerja. Bantulah mereka dalam memusnakan kesukaran yang dihadapi. Untuk itu:

v  Cuba bantu menyelesaikan kerja mereka yang tertangguh.
v  Berikan nasihat ataupun panduan kepada mereka bagi menghasilkan kerja berkualiti.
v  Wujudkan hubungan baik dan intim dengan mereka.
v  Bercakap dengan mereka perkara-perkara positif yang boleh menyihatkan minda.
v  Anggap mereka umpama keluarga supaya hubungan baik dan mesra dapat diwujudkan tanpa paksa.
v  Cuba ambil tahu bidang kerja mereka supaya anda dapat memberikan bantuan apabila perlu.
v  Sekiranya mereka keluar, cuba selesaikan urusan mereka dengan pelanggan apabila pelanggan mereka datang secara tiba-tiba.

Laras lima

Lindungilah pihak pembekal syarikat. Jagalah hubungan baik dengan mengelakkan masalah dalam perhubungan. Untuk itu:

v  Dengar rungutan mereka mengenai bayaran yang belum dijelaskan.
v  Bantu mereka dalam aspek kewangan sekiranya perlu.
v  Terima cadangan mereka yang bersesuaian dengan kewangan anda.
v  Adakan aktiviti luar bersama mereka seperti acara sukan, jamuan tahunan, jualan meja dan sebagainya.

Wallahu alam.

Daripada baik kepada hebat
Samsudin Wahab, 2006