Sunday, April 19, 2015

Lukisan pujangga

Semakin kita mewarnakan pengalaman
kita semakin hampir
kepada titik-titik
dan garis-garis
yang terlukis di kanvas diri
memantulkan makna imej
dan cahaya peribadi
kehilangan ruang
dan keindahan

Semakin kita kehabisan
warna ilham
kita semakin bimbang
dengan bayang-bayang
diri sendiri
jelmaan lakaran dendam
walau yang jatuh
ke jurang paling dalam.

Mungkin inilah riwayat akhir
sebuah lukisan
bersemadi dalam aman
di pusara pujangga

Baharuddin Sairi
Sungai Nibong, Sekinchan
Berita Harian
12 April 2015

Selawat melapangkan kesempitan

Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami nabi Muhammad saw dan keluarganya dengan berkat selawat penghuni langit dan bumi. Lakukanlah wahai Zat yang menguasaiku, akan kelembutanMu yang samar dalam urusanku. Dan perlihatkanlah rahsia keindahan ciptaanMu di dalam apa yang aku angan-angankan dari Mu, wahai Zat yang menguasai seluruh alam. Aameen.

Fathullah Yasin
Doa & zikir penawar tekanan segera

Saturday, April 18, 2015

Amanah pemimpin


Khadam kepada saidina Umar Ibnu Abdul Aziz ra merasa hairan kerana di malam hari titisan airmata khalifah itu sering menimpanya yang tidur di pangkin bawah. Apabila khadam itu bertanyakan perkara berkenaan, beliau berkata:

Amanah Allah swt yang dikurniakan kepada diriku seperti anggota tubuh, anak isteri dan sedikit harta benda. Aku cemas kalau-kalau tidak dapat menjawabnya di hadapan Allah swt. Betapalah kini aku sedang memikul beban dan tanggungjawab umat Muhammad. Seluruh urusan umat ini Allah swt akan tanya kepada aku satu persatu.

Wallahu a’lam.

Shuib Sulaiman
Prestasi umat cemerlang, 2012

Kelebihan Ilmu dan Ulama

1. Kata Imam Syafi’i ra : Barangsiapa tiada kasih akan ilmu, tiada kebajikan padanya. Maka jangan ada antara kamu dan antaranya berkenalan dan bertaulan dengan dia. Maka bahawasanya, ilmu itu menghidupkan segala hati dan pelita bagi segala hati.

2. Daripada Saiyidina Ali bin Abi Thalib ra : Barangsiapa ada ia di dalam menuntut ilmu adalah syurga itu di dalam tuntutnya. Dan barangsiapa ada ia di dalam menuntut maksiat, adalah neraka itu di dalam tuntutnya.

Wallahu a’lam.

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013



Isteri

Matlamat: Menjadi isteri solehah

v  Mengetahui peranan,hak & tanggungjawab sebagai isteri & ibu
v  Melaksanakan peranan & tanggungjawab ke atas mereka yang berhak
v  Patuh,taat & menghormati suami selama mana tidak bertentangan dengan syariat
v  Bertindak sebagai pengurus rumahtangga & membantu suami dalam urusan rumahtangga & pendidikan anak-anak
v  Sentiasa memberikan kerjasama kepada suami dalam urusan rumah tangga
v  Bertanggungjawab menjaga harta & maruah suami terutamanya ketika ketiadaan suami
v  Menghormati kedua ibu bapa & mertua
v  Menghormati keluarga suami & menjalin hubungan mesra
v  Penyayang terhadap anak-anak & mengamalkan komunikasi yang baik
v  Mengimbangi antara aktiviti luar rumah & keperluan keluarga
v  Menjaga maruah diri & keluarga terutamanya apabila berurusan di luar rumah
v  Menanamkan sifat kepatuhan anak-anak kepada ibu bapa

Wallahu a’lam

Panduan keluarga Mawaddah Negeri Kelantan
Urusetia PWKK&KR
Kerajaan Negeri Kelantan, 2014

Menjadi sahabatmu

Aku setia membaca
puisimu sahabat
Aku harap tiada henti yang mula
Tiada riuh yang bungkam
Tiada bunyi yang diam
Tiada damai yang dendam
Tiada tenang yang suram
Tiada selesa yang gumam
Tiada suka yang muram
Tiada mimpi yang lena
Tiada rawa yang tangis
Tiada jawab yang tanya
Tiada hampa yang budi
Tiada bicara yang bisu
Tiada pandang yang buta
Tiada gopoh yang sabar

Dalam desah tarikan nafas
mengalir ke degup jantung
hadir dalam setiap ruang
siang menjadi malam
malam menjadi siang
semalam yang luka
adalah khilaf aku pelajari

Menjadi sahabatmu
ada damai tercipta
merungkai setiap kalimah
menanam benih muhasabah
menghayati kebesaranNya
mengakar imamat ke lahad sukma
membelai syauqina ke raudhah hijrah
ayat-ayatNya menjadi multazimah

Norjannah MA
Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang
Berita Harian
12 April 2015

Selawat mencapai kejayaan

 Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami nabi Muhammad saw dan kepada keluarganya, dengan berkat selawat sekalian penduduk bumi. Dan lakukanlah ya Allah akan kehalusanMu yang samar dalam urusanku dan seluruh umat Islam. Aameen.

Fathullah Yasin
Doa & zikir penawar tekanan segera