Showing posts with label Teromba. Show all posts
Showing posts with label Teromba. Show all posts

Thursday, June 28, 2012

Nasihat kepada anak



Kerja yang baik patut dipercepat
Supaya tak masuk perkara yang buruk
Kerja yang buruk diperlambat
Kerja yang baik dipercepat

Jauhkanlah anak  sifat pemarah
Orang yang pemarah cepat melatah
Jauhkanlah anak sifat dengki
Orang pendengki mati berdiri
Orang khianat mati terlaknat
Orang pembohong mati tercampak
Orang sombong mati gembung
Orang tamak mati bengkak




Jangan pula anak besar cakap
Besar cakap masuk perangkap
Besar bual badan terjual
Besar lagak kepala bengkak

Baiklah anak berendah hati
Rendah hati tanda berbudi
Makan jangan menghabiskan
Minum jangan mengeringkan




Nyaringkan telinga tajamkan mata
Banyakkan jaga dari tidur
Banyakkan belajar dari mengajar

Bercakap lurus berkata benar
Putih di luar putih di dalam
Pepat di luar pepat di dalam
Putihnya boleh ditengok
Perisanya boleh dirasa.

( Tenas Effandy, Pekan baru Riau 2003 )

Wednesday, June 27, 2012

Usah begini :


Ke tengah memfitnah, ke tepi mendengki
Ke laut menghasut, ke darat mengumpat
Ke hulu menipu, ke hilir menyindir
Ke atas mengampu, ke bawah melapah
Ke gunung menyombong, ke lurah menista
Berkawan dengan setan, berguru pada nafsu
Beraja pada selera, bersahabat pada maksiat.





Berlabuh pada yang tak senonoh
Berhenti pada yang keji.
Bergantung pada yang serong
Berpijak pada yang merosak
Bersandar pada yang ingkar
Berumah pada yang salah




Aniaya kepada saudara
Khianat kepada sahabat
Iri kepada isteri
Muak kepada orang banyak
Derhaka ke orang tua
Menghina pada yang muda
Mercerca sama sebaya.





Berkerja malas, memimpin culas
Bersusah malu, berpahit tak mahu.








Jadilah

Yang bersopan
Yang berbudi tinggi
Yang pentingkan kemuliaan
Yang berhemah mulia
Yang berpegang pada kekeluargaan
Yang cintakan muafakat
Yang sentiasa mahu berbakti
Yang fikirkan cemerlang dunia dan akhirat.



Tuah ayam pada sisiknya
Tuah manusia pada baiknya
Tuah kain pada tenunnya
Tuah kayu pada elok buahnya
Tuah diri  pada elok maruahnya.

( Anjung Teromba, 2007 )

 

Tuesday, June 26, 2012

Sifat mahaguru sejati


Cakapnya lurus berkata benar
tahu menimbang bijak berfikir
ramah pada anak didik yang mahu belajar
pemikirannya dalam dikata kasar
cakapnya berisi petuah amanah
berdada lapang berfikiran panjang





Hatinya bersih berfikiran jernih
hidupnya ikhlas  berputih hati
buka kulit nampaklah isi
pakaiannya sunnah dan syarak
bertongkat akan budi pekerti.




Ilmunya tidak disimpan tapi suka diberi
susah orang ia terasa sekali
beriman di mulut hatinya tidak berlumut
beriman di lidah hatinya tidak menyalah
menjadi mahaguru hatinya murni






Imannya teguh dada berisi
menjalankan tugas  sepenuh hati
menjalankan amanah amat teliti
sebagai mahaguru ianya ahli






Diiktiraf dalam dan luar negeri
menjadi mahaguru bertuah kami
wahai kawan jangan kita derhaka
pada mahaguru yang sifatnya memang sejati

( Dato’ Dr Mohd Rosli Saludin, 2007)

Wednesday, January 19, 2011

Bila Sudah Bernama Isteri

Bila sudah bernama isteri
Jangan lupa periuk terjerang
Jangan lupa beban dan hutang
Jangan lupa main belakang

Bila sudah bernama isteri
Jangan berkata sebarang-barang
Jangan duduk tuah terbuang
Jangan tegak maruah hilang
Jangan berjalan sampai memetang

Bila sudah bernama isteri
Jangan bertandang pagi dan petang
Jangan duduk suka membelakang
Jangan berdiri suka menyilang
Jangan berjalan suka melintang.

Menjadi isteri hendaklah awas
Kerana syaitan banyak mengipas.

( Rosli Kuala Pilah )


Bersuami Isteri Banyak Pantangnya

Bersuami isteri banyak pantangnya
Pantang kasih, tidak penyayang
Pantang setia, lidang bercabang
Pantang seiring, jalan menyimpang
Pantang kasih, hati tak bersih
Pantang sayang, selalu terbuang
Pantang taat, berlain buat.

Bersuami isteri banyak pantangnya
Pantang setia, tidak seia
Pantang seiring, tidak sebanding
Pantang sejalan, berlainan pedoman
Pantang sesampan, berlainan haluan
Pantang seia, tidak sekata.

Bersuami isteri banyak pantangnya
Pantang sepakat, berlainan niat
Pantang sepiring, berlainan runding
Pantang sepinggan, berlainan makan
Pantng seperiuk, berlainan duduk
Pantang sebelanga, bermasam muka
Pantang serumah, tomah menomah
Pantang sekelambu, hidup cemburu.

( Rosli Kuala Pilah )

Terombo Berumahtangga

Dalam berumahtangga
Ada elok ada buruknya
Bila tak bijak menghadapinya
Di situlah punca silang sengketa
Dalam manis ada pahitnya
Bila tidak bijak menerimanya
Disitulah masuk malapetaka
Dalam berumahtangga
Bagaikan sampan di tengah laut
Ada taufan ada ribut
Ada gelombang selalu membubut
Bila tak faham sampan hanyut
Salah pedoman bala menyambut
Panjang fikiran lapangkan dada
Bijak menimbang arif berkira
Tahu menyukat berpada-pada
Tahu mengukur pada patutnya.

( Rosli Kuala Pilah )

Amanah Berumahtangga

Bersuami isteri tidaklah ringan
Keduanya sama menanggung beban
Pantang sekali berlepas tangan
Baik dan buruk wajib ditahan
Bertanggungjawab dunia akhirat
Salah sedikit akibatnya laknat
Salah hitung hidup melarat
Berkata lurus berjelas-jelas
Mana yang kesat sama dibidas.

Bersuami isteri hendaklah setia
Ke tengah ke tepi seia sekata
Jauhkan sifat berburuk sangka
Buanglah sifat syak dan wasangka
Dalam bekerja samalah tekun
Hidup berrsama bertahun-tahun
Mana berlubang sama ditimbun
Mana yang putus sama ditampun
Mana yang berserak sama disusun.

Bersuami isteri hendaklah jujur
Seangguk bagai balam tekukur
Sebarang kerja hendaklah akur
Jaga menjaga sebelum terlanjur
Jauhkan sifat yang kasar langgar
Petuah amanah sama didengar.

Jaga peragai jangar tercemar
Jagalah laku jangan bertengkar
Jagalah hidup jangan terlantar
Jangan sekali mengada-ngada
Gunakan akal untuk berkira
Di mana tertumbuk berunding semula.

Bersuami isteri hendaklah hemat
Belanjakan harta secara cermat
Elokkan hitung baikkan sukat
Gunakan ia pada yang bermanfaat
Supaya hidup beroleh rahmat.

Bersuami isteri ingat mengingat
Menegur menyapa luruskan niat
Mana keliru diberi nasihat
Supaya hidup tidak tersesat
Pantang menunjuk kuat dan kuasa
Hiduplah dengan rasa merasa
Supaya hidup tidak binasa
Pantang  sekali sifat pemarah
Jauhkan peragai sanggah menyanggah
Kusut dan keruh bawa musyawarah
Jangan diturut nafsu amarah.

Bersuami isteri jangan berbantah
Bertengkar bergaduh membawa pecah
Bercakap jangan patah mematah
Pantang sekali ludah meludah.

Sebelum berladang asahlah parang
Sebelum berperang siapkan pedang
Sebelum terlanjur jauhkan pandang.

( Rosli Kuala Pilah )



Adat Hidup Bersuami Isteri

Adat hidup bersuami isteri
Sama menjaga budi pekerti
Pelihara memelihara setulus hati
Lahir dan batin sama berbahagi
Pahit dan manis sama dirasai
Kasih dan saying tiada berhingga
Ke mana pergi seia sekata.

Adat hidup bersuami isteri
Dalam berkata maniskan muka
Dalam berunding sama terbuka
Dalam bekerja jaga menjaga
Dalam bergaul maniskan kata
Dalam menyapa haluskan bahasa
Dalam menegur haluskan lidah.

Adat hidup bersuami isteri
Pandai-pandai membawa diri
Tahu menjaga berbahagi hati
Tahu mengalah bertahan diri
Mana yang salah sama dibaiki
Mana yang kurang sama diisi
Mana yang hilang sama dicari
Tulus ikhlas samapa ke mati.

( Rosli Kuala Pilah )