Showing posts with label Buku Budaya. Show all posts
Showing posts with label Buku Budaya. Show all posts

Friday, January 14, 2011

Pesan Nenek Moyang – Bahagian 8

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

Yang bernama pemimpin adat
Janganlah hati goyang lidah bercabang
Hati berkarat fikiran tumpat
Banyak ilmu beramal tak mahu
Banyak harta bersedekah tak suka
Lupa hidup akan mati
Lupa harta akan pergi
Lupa musim akan berganti
Lupa ilmu lupa diri.




Pesan Nenek Moyang – Bahagian 7

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

Janganlah jadi pemimpin adat
Beriman di mulut, hati berlumut
Lidah bercabang, langkah menyilang
Cakap berlecoh, perangai tak senonoh
Tamak harta mabuk dunia
Loba pangkat, lupa akhirat
Kemaruk puji, lupa diri
Ke tengah memfitnah, ke tepi mendengki
Ke laut menghasut, ke darat mengumpat
Ke hulu menipu, kehilir menyindir
Ke atas mengampu, ke bawah melapah
Ke gunung menyombong, ke lurah menista
Berkawan dengan syaitan, berguru dengan nafsu
Beraja pada selera, bersahabat pada maksiat
Berlabuh pada yang tak senonoh
Berhenti pada yang keji
Bergantung pada yang serong
Berpijak pada yang merosak
Bersandar pada yang ingkar
Berumah pada yang salah.                                

Bekerja malas, memimpin culas
Bersusah malu, berpahit tak mahu
Berbual menjual, menolong sombong
Berjanji ingkar, bersumpah mungkar
Diberi tuah kerja menyalah
Diberi daulat lupakan umat
Diberi kuasa lupakan bangsa
Diberi petuah lupakan maruah
Diberi ingat umpat mengumpat
Diberi beban mencari ringan
Bila tinggi lupa diri
Bila rendah berkeluh kesah
Bila senang luoakan orang
Bila kaya merajalela.

Bila senang tidak memandang
Ketika susah menyembah-yembah
Ketika kaya tak ingat saudara
Ketika melarat mencari sahabat.

Pemimpin adat jangan janji tidak diisi
Berpesan tidak diturutkan
Menjemput tidak diikuti
Kerana kedekut lupakan pengikut
Kerana dunia lupakan usia
Kerana selera lupakan amanah
Mengejar pengaruh mau bergaduh
Mengejar dunia mau menganiaya.

Ke atas jangan mengampu
Ke bawah jangan memalu
Ke atas memuji ke bawah jangan mengeji
Ke atas menjilat ke bawah jangan menyebat
Mengukur biarlah seukur
Menghukum jangan memilih kaum
Memakai jangan pada tak sesuai
Menyuruh jangan tidak senonoh
Memerintah biarlah semenggah
Dalam mesyuarah jangan berbantah-bantah
Dalam helat jangan cacat mencacat
Sesama keluarga jangan laga melaga
Sesama lawan jangan makan memakan
Sesama sahabat jangan sebat menyebat
Sesama bangsa jangan paksa memaksa
Sesama anak buah jangan dilupa.

Pesan Nenek Moyang – Bahagian 6

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

Yang bernama pemimpin adat
Hukumnya menyelesaikan
Yang kusut diselesaikan
Yang keruh dijernihkan
Yang berbonggol diratakan
Yang kesat diampelaskan
Yang bengkok diluruskan
Yang menyalah dibetulkan
Yang renggang dirapatkan
Yang sumbing dibaikkan
Yang jauh didekatkan
Yang terkurung dikeluarkan
Yang tersepit dilepaskan
Yang teraniaya dibebaskan
Yang hilang dicarikan
Yang sakit diubatkan.

Yang bernama pemimpin adat
Harus menjadi suluh dalam gelita
Menjadi penawar penolak bisa
Menjadi penenang dalam duka
Menjadi penyejuk dalam derita
Menjadi penyabar dalam murka
Menjadi benteng dusun dan kampung
Menjadi pagar teluk dan tanjung.

Karam di laut menjadi pelampung
Panas di darat jadi penaung
Basah di hilir jadi penudung
Patah di hilir jadi penyambung.













Pesan Nenek Moyang – Bahagian 5

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

Yang bernama pemimpin adat
Bagaikan kayu besar di tengah padang
Rimbun daun tempat berteduh
Kuat dahannya tempat bergantung
Kukuh batangnya tempat bersandar
Besar akarnya tempat bersila
Cerdiknya penyambung lidah.
Beraninya pelapis dada
Alimnya tempat berfatwa
Bijaknya tempat beramanah
Sabarnya tempat mengadu
Adilnya tempat bertimbang
Lurusnya tempat berwakil
Benarnya tempat berpijak
Budinya tempat berhutang
Bijaknya tempat berguru
Teladannya tempat meniru.

Rumahnya tempat beradat
Tepat berunding bermuafakat
Tempat berhenti jauh dan dekat
Tempat berhimpun kaum kerabat
Tempat singah taulan dan sahabat
Tempat mengadu segala rakyat.

Elok kain kerana beragi
Elok benang kerana dipintal
Elok pemimpin kerana berbudi
Elok orang kerana berakal.

Elok kain kerana benang
Bila dicelup amatlah cantik
Elok pemimpin berdada lapang
Seumur hidup berbuat baik.

Apa tanda kain pelikat
Ragunya halus berwarna warni
Apa tanda pemimpin adat
Budinya halus mulia pekerti.

Pesan Nenek Moyang – Bahagian 4

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

Yang bernama pemimpin adat
Tahu diri dengan perinya
Tahu duduk dengan tegaknya
Tahu alur dengan patutnya
Tahu berbudi arif memberi
Tahu merasa bijak berbicara
Tahu membaca dalam gelita
Tahu memandang masa datang
Tahu menengok hari esok
Tahu memelihara harta pusaka
Tahu menjaga harta soko
Tahu membela segala rakyatnya
Tahu menjaga kampung halamannya
Rela berlapang dalam sempit
Rela berbahagi walau sedikit.

Menjalankan tugas tahan beragas
Menjalankan amanah tahan dilapah
Menjalankan yang hak tahan diinjak
Menunaikan jani tahan dikeji
Membela rakyat tahan dikerat
Membela bangsa tahan binasa
Membela negeri tahan mati
Rajin bersedekah pantang meminta
Rajin berguru pantang berseteru
Rajin beramal pantang menyesal
Rajin menolong pantang disanjung.

Sepadan amal dengan iman.
Sepadan ilmu dengan kelakuan
Sepadan lidah dengan perbuatan
Sepadan tokoh dengan bawaan.

Walau rumput mati terlapah
Uratnya tidak mahu tenggelam
Walaupun  laut menjadi marah
Semangat beradat janganlah padam.

Pesan Nenek Moyang – Bahagian 3

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

Yang bernama pemimpin adat
Pakailah syarak lahir dan batin
Iman tebal adat pun kental
Takwa nampak ilmu pun banyak
Berdada lapang berfikiran panjang
Bermuka jernih berlidah fasih
Berpendirian kukuh berakal senonoh
Berpijak tidak berkisar
Bercakap tidak beralih
Beraninya menahan uji
Setianya tahan dicuba
Taatnya tahan dilipat
Tegaknya pada yang hak
Duduknya pada yang elok
Berbekal pada yang halal
Bercakap pada yang beradab
Berkata pada yang bermakna
Memakai pada yang sesuai
Bergaul pada yang betul.

Berguru pada yang tahu
Mencontoh pada yang senonoh
Adil menjadi hakim
Bijak dalam bertindak
Cermat dalam melihat
Teliti dalam berjanji
Amanah dalam bersumpah.










Pesan Nenek Moyang – Bahagian 2

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

Pemimpin adat

Dikemukakan oleh rakyat
Dimuliakan oleh kaumnya
Didudukan pada patutnya
Ditegakkan pada layaknya
Dikukuhkan dengan adatnya
Ditinggikan dari orang banyak
Didahulukan dari orang ramai
Diutamakan dari orang biasa
Sesuai menurut adat yang dijaga.

Adat perpatih yang
Tak lapuk dek hujan
Tak lekang dek panas
Tak kuning dek kunyit
Tak lemak dek santan
Tak haus dek masa
Kok dibasuh berhabis air
Kok dikikis berhabis besi
Hukum lembut bak air
Adat putih bak kapas.

Pesan Nenek Moyang – Bahagian I

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

Yang bernama pemimpin
Didahulukan selangkah
Ditinggikan seranting
Dilebihkan serambut
Dimuliakan sekuku

Diberikan kepercayaan
Diberikan kekuasaan
Diberikan beban berat
Diberikan tanggungjawab
Diikat janji dan sumpah
Disimpai petua dan amanah
Walau rumput sudah menjalar
Dahan kayu bercabang juga
Walaupun laut sudah terbakar
Sampan pepatih berlayar juga.

Adat Menjadi Suluh Diri

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin


Bangsa yang lupa diri
Bangsa yang lupa pakaian
Bangsa yang sudah lupa diri
Bangsa yang sudah lupa pakaian
Banyak bala yang hampir
Banyak kerja yang salah
Bala yang menimpa negeri
Di situ tempat kembangnya syaitan
Di situ tempat binasanya iman.

Harus ada adat untuk :
Telaga budi
Menunjuk yang elok
Mengajar yang benar
Mencelikkan mata
Menyaringkan telinga
Membersihkan hati
Menyempurnakan budi
Membaikan pekerti

Bangsa yang terpuji :
Dahulukan adat sebagai suluh diri
Bukan menunjuk dengan maki
Bukan mengajar dengan caci
Menunjuk pada yang perlu
Mengajar supaya tahu
Petunjuknya berfaedah
Pengajarannya berguna.

Berilah manfaat pada penganutnya
Supaya menjadi contoh pada semua
Langkahnya diikuti, lidahnya dipegang
Sesuaikan tingkah dengan bicara
Ke darat tidak jadi durjana
Ke laut tidak jadi bergelora
Ke hulu tidak jadi berdengki
Ke hilir tidak jadi menista
Ke gunung tidak jadi caci mencaci.

Tanda bangsa terpuji ialah :
Budi halus dan rendah hati
Lemah lembut sebarang pekerti
Sesama manusia ia hormati.

Pucuk manis condong ke paya
Sayang selasih pada yang lain
Mulut manis jangan percaya
Hati kasih di tempat lain
Mari pergi mencari rotan
Dapat sebatang rotan daun
Buah manis jangan dimakan
Kalau dimakan jahanam badan.

Jangan jadi tak tahu diri
Orang bebal mengaku ahli
Orang ke hilir awak ke hulu
Duduk beramai memandai-mandai
Tegak bersama mengada-gada
Dalam berunding tengking menengking
Dalam muafakat umpat mengumpat
Diri bebal lagak menyombong
Ke tengah menyalah ke tepi binggung
Cakap meninggi kepala kosong.

Kenapa ramai tiada adat menyuluh diri?
Kenapa ramai tiada suluh hati?
Orang ke kanan awak ke kiri
Hidup menurut selera sendiri
Tunjuk ajar orang tiada perduli
Lupa kepada bodoh sendiri.

Ditunjuk ajar ia tak sudi
Kebaikan orang dibalas dengki
Tak tahu diri lagaknya angkuh
Ke mana pergi membuat gaduh
Nasihat yang baik ia cemuh.

Jangan jadi bangsa celaka
Diri sendiri ianya lupa
Tak tahu aturan lupa agama
Diberi nasihat masamlah muka
Lupa diri tak ingat asalnya
Kepada orang dengkian sahaja
Syaitan iblis kawan setianya
Hantu jerangkung saudara maranya
Pontianak pelesit jiran rapatnya
Sundelbolong  polong bisikan hatinya
Lupa diri lupa ibadat
Tanah sekangkang hudupnya terlaknat
Hidup bergelumang dalam maksiat
Orang mengutuk tuhan melaknat.

Lupa diri, binasa sendiri
Lupa diri, hidup keji
Lupa diri, musnahlah budi
Lupa diri, binasa ’body’
Lupa diri, akalpun mati.

Jadilah bangsa yang ikhlas berdada lapang
Mulut manis akalpun panjang
Niat tidak iri dan dengki
Buka kulit nampak isi
Disimpai dengan budi pekerti
Hidup berterus terang
Pantang sekali main belakang
Mulut dijaga, nafsu dikekang
Jauh sekali tidur dikangkang
Niat tidak binasakan orang
Syarak ditunjung adat dipegang.


Sumber :  Dato' Dr. Mohd Rosli Saludin. 2007.Naning Luak Terbilang. Pulau Pinang : Goal Intelligent Publishing Sdn.Bhd.