Wednesday, May 23, 2012

Siap siaga

Perhimpunan kita hari ini adalah sebenarnya penjelmaan semula tekad dan iltizam sebagai pemimpin dan pengurus pendidikan di peringkat akar  dan paling umbi demi menyertai arus perdana kebangunan dan kebangkitan manusia seantero jagat raya. Perhimpunan kita hari ini adalah sebenarnya juga penjelmaan semula tekad dan iltizam demi mempersiapkan diri dengan ilmu, iman dan taqwa. demi menghadapi rempuhan cabaran-cabaran besar abad ke 21.

Abad ke 21, tahu 2000, era 2020 sedang mara menerobos alam ini buat kesekian kalinya sarat dengan muatan teknologi canggih, longgokan informasi, kegelinjangan hawa nafsu serakah serta limpahan zuriat turunan manusia berlaksa-laksa ramainya.Dunia abad ke 21 semakin mengerut, mengecut dan mengecil menjelma sebagai sebuah kampong, muncul sebagai sebuah desa pingitan, a global village, terbentang sebagai gelanggang pertarungan perdagangan, terbentang sebagai arena persaingan perindustrian yang bersendikan ketebalan ilmu, ketajaman daya fakir dan kecekalan jiwa.

Kampung dunia era 2010 ini bukannya pentas pertarungan untuk sang badang yang beroleh kekuatan kerana memakan muntah hantu, bukan juga gelanggang pertarungan sang pendekar yang tangkas sepak terajangnya bukan juga arena persaingan sang qarun yang bergunung-gunung harta bendanya.

Sesungguhnya abad ke 21, yang semakin menghampiri diri dan hati kita semua ini adalah pentas pertarungan dan medan persaingan sumber daya manusia yang berilmu banyak, bermaklumat luas, berkemahiran tinggi dan berfikiran tajam.

Lihatlah di persisiran lautan pasifik yang mengelilingi kita ini, telah timbul dan bangun lima naga; Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Macau. Juga perhatikanlah keanggunan dan keraksasaan negara Jepun, bangkit berdiri laksana Hanuman turun  dari pertapaan di Gunung Mahameru, lima puluh tahun selepas Nagasaki dan Hirosimanya menjadi debu perang, kini segala debu, cebisan tulang, runtuhan bangunanya sedang diadun dan dicanai menjadi segala bentuk peralatan berteknologi tinggi, bertebaran dan bertaburan di segenap pelusuk dan ceruk dunia sampai ke ruang tamu dan bilik tidur manusia, di timur dan di barat, di utara dan di selatan, di daratan dan di lautan, di bumi dan di langit!.

Wallahu'alam.

( GPMS, 1994)

No comments:

Post a Comment