Wednesday, May 23, 2012

Miskin!


Almarhum Pendita Zaaba (1927)  pernah mengingatkan kita semua dengan berkata :

Bahawa kemiskinan harta dan wang ringgit
di kalangan bangsa Melayu ini tidak payah
dibicarakan lagi, semua orang pun tahu.
Namun hakikat yang amat mendebarkan
hati dan mengerikan jiwa ialah bahawa
kemiskinan sebenar umat ini adalah kemiskinan
sikap, kemiskinan perangai yang baik dan mulia,
yang menjadi adunan kepada pembinaan dan
pembangunan bangsa yang tinggi darjat dan
agung martabatnya.

Maka menjadi tekad dan niat murni kita menyatukan segala mimpi dan cita-cita menyepadukan segala hasrat dan wawasan abad ke 21, merapatkan segala gerak geri era 2020. Kita membangunkan semula semangat juang dan daya saing anak-anak zuriat turunan umat merdeka ini, kembali menyertai arus perdana, main stream, kebangkitan dan kebangunan warga Malaysia dan warga jagat raya.


Kita bersatu niat dan bergabung daya upaya mempersiapkan jasad, akal dan jiwa anak-anak untuk meneropong ke alam luas di luar diri, di luar kampung, di luar negeri, di luar negara, meneropong dan mempelajari segala gerak, segala muslihat bangsa-bangsa dunia, lantas bersaing dan bertanding, dengan kemenangan yang pasti. Insya-Allah kemenangan untuk melaksanakan misi nabawi: rahmatan lil’alamin, kerahmatan dan kesejahteraan ke seluruh alam seisinya.

Wadah ini adalah wadah permuafakatan dan wadah persekutuan untuk melaksanakan kebaikan dan kebangunan. Wadah demi membina wahdatul fikr; kesatuan pemikiran, kesatuan wawasan, kesatuan haluan, kesatuan gerak tuju. Wadah demi membina wahdatul ‘ amal : kesatuan tindakan seluruh bangsa Melayu, kesatuan usaha seluruh umat Islam. Wadah demi mencapai al Falah : kemenangan, keberuntungan, kesejahteraan, kemakmuran, kebangunan dan keadilan ekonomi, kestabilan dan keanggunan politik, kemantapan sosial, keharmonian budaya dan penyuburan akhlak seluruh umat, seluruh warga Malaysia.


Dan hendaklah kamu bertolong bantu untuk
melaksanakan kebajikan dan taqwa; dan janganlah
kamu bertolong bantu untuk melaksanakan maksiat
dan pencerobohan

( Al Maidah: 2 )

Menyahut gagasan al ta’awun inilah maka hari ini kita berkampung dan berkumpul di dewan yang mulia dan bersejarah ini, bersepakat untuk bangun sendiri membebaskan jiwa raga kita dan jiwa raga ibu bapa kita daripada cengkaman kejahilan dan kemiskinan, bangun dan bangkit sederap menyertai arus besar, mengemudi arus perdana, mengisi ruang wawasan 2020, bersama-sama dengan seluruh rakan seperjuangan kita senusantara, mara bergandingan dengan pemimpin besar kita di peringkat kebangsaan, yang semakin hari semakin jauh menerobos cabaran-cabaran dunia sejagat.

Serumpun seumpama serai seciap umpama ayam, sekawan umpama lebah, sedemcing umpama besi, hati gajah sama dilapoh, hati kuman sama dicicah, ke lurah sama dituruni, ke bukit sama di daki, berat sama dipikul, berat sama di dokong, tinggi sama dijulang, banyak sama dikepong, kecil sama dikelek, ringan sama dijinjing.

Semoga perhimpunan dan persidangan kita ini diberkati dan diredhai Allah jua. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

( GPMS; 1994.)



No comments:

Post a Comment