Friday, February 11, 2011

U-turn ke jalan lurus……

……kisah benar .......... memberitahu kita bahawa semua orang boleh berubah. Walau apa sejarah lampau kita, itu bukan apa-apa untuk masa depan kita. Orang lain ada hak untuk fikir apa sahaja tentang kita tetapi segalanya terletak kepada kita sendiri. Kita boleh buat apa sahaja untuk menjadi baik. Tidak ada yang mustahil sama sekali. Ingat dan sentiasa ingat, alasan untuk jadi baik sentiasa ada dalam bisikan hati sendiri.

Apa yang perlu adalah berani memulakan langkah pertama.Nanti pada langkah kedua pasti dibantu oleh Allah untuk melanjutkan perjalanan seribu batu. Kesukaran paling besar hanya ketika ingin memulakannya.

Melakukan kebaikan sama seperti mengusahakan percikan api bagi membuat unggun. Percikan api kesedaran itu nanti akan terus memakan kayu kering dan kemudian marak dengan sendiri mungkin akan jadi sebesar gunung. Kerja kita hanya bermula dengan membuat percikan api, kemudian semuanya berjalan sendiri.

Apa yang penting adalah titik permulaan. Kuasai titik itu bererti kecemerlangan berada dalam genggaman. Sekiranya terlepas satu titik, segera temui titik lain dan nanti jangan bertangguh.

Dalam keghairahan dan istiqamah melakukan kebaikan sekiranya tersasar dan terlencong segera cari jalan kembali ke jalan lurus dan jangan bertangguh. Sedikit tersasar bererti kita telah terkeluar dari laluan. Andai terus dibiarkan kita tidak akan menjumpai destinasi iaitu keredhaan Allah.

Justeru itu pengajaran dan peringatanlah yang membuat kita mencari U-Turn untuk kembali ke jalan lurus, hidayah yang paling mahal dari Allah.

(Zul Ramli M.Razali,2009)

No comments:

Post a Comment