Lima ayat – turun di Mekah
Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang
Keterangan :
Erti maksudnya dan pelajaran yang kita dapat dari Bismillah itu telah tersebut dipermulaan surah Al-Fatihah.
- Katalah :
Aku berlindung dengan Tuhan (yang menjadikan) cuaca subuh, 2 daripada kejahatan barang yang Ia telah jadikan, 3 dan daripada kejahatan malam apabila kelam.
Keterangan :
Maksudnya, hendaklah engkau berlindung diri kepada Allah yang menjadikan cuaca subuh daripada sekalian kejahatan yang akan terbit di hari itu dan daripada kejahatan barang-barang atau apa-apa yang Ia jadikan : dan hendaklah engkau berlindung diri daripada kejahatan-kejahatan yang akan terbit di waktu malam apabila kelam.
Ringkasnya, diperintah kita berlindung diri kepada Allah daripada kejahatan yang berlaku di siang hari dan pada waktu malam.
Siang itu satu masa untuk kita mencari dan menghasilkan keperluan hidup kita kerna keperluan hidup itu satu kewajiban.
Di antara manusia ada terlaku banyak orang yang menjalankan larangan dan tegahan Allah dan RasulNya pada menghasilkan kewajiban itu. Banyak orang yang membunuh orang untuk menghasilkan keperluan penghidupan. Banyak orang yang menipu lantaran sesuap nasi. Tidak sedikit orang yang mencuri kerana hendak menutup kelaparan. Tidak kurang pula orang-orang yang mengerjakan sekalian macam maksiat yang tersebut itu dan lainnya kerana mahu menyempurnakan maksud nafsunya pada mengerjakan maksiat.
Alangkah banyaknya maksiat yang dikerjakan oleh manusia pada siang hari dengan alas an hendak menyempurnakan kewajipan hidup! Alangkah besar dosa-dosa yang dikerjakan oleh manusia pada menghasilkan bekal untuk digunakan dalam maksiat!.
Kalau begitu, tidakkah sepatutnya dan sepantasnya kita minta Tuhan lindungkan diri kita dari kejahatan-kejahatan yang berlaku pada siang hari?
Malam itu satu masa yang Tuhan jadikan bagi manusia untuk berhenti penat dan lelah dari berusaha dan bekerja pada menghasilkan penghidupan di siang hari.
Malam itu satu masa yang Tuhan jadikan bagi manusia untuk berhenti penat dan lelah dari berusaha dan bekerja pada menghasilkan penghidupan di siang hari.
Malam itu satu masa yang sepatutnya dihabisi sebahiannya dengan mengajar dan belajar ilmu-ilmu yang tak dapat dipelajari pada siang hari, dengan nasihat dan musyawarah apa-apa yang perlu untuk penghidupan, pergaulan dan agama, dengan tfakkur dan fakir akan apa-apa yang patut dikerjakan untuk kebaikan diri sendiri dan kebaikan umum, dengan mengenang-ngenang nikmat dan rahmat Allah atas kita supaya kita bersyukur kepadaNya, dengan ziarah dan melawat sahbat handai yang kesusahan atu kesakitan atau yang sudah lama tidak bertemu, dengan beromong-omong, bersukaria dengan anak isteri dan ahli rumah, dengan beribadah dan tafakkur akan akhirat supaya bersih dan lembut hati, dan dengan….dengan……dengan……..
Malam yang begitu besar gunanya, malam yang memberi begitu kelapangan untuk kita mengerjakan kebajikan dan kebaikan, digunakan oleh kebanyakkan manusia pada mengerjakan maksiat kepada Allah.
Pada waktu malam manusia mencuri, berjudi, berzina, bunuh orang, berbuat maksiat itu dan ini!.
Alangkah besar kejahatan yang berlaku pada malam! Tempat bagi mengerjakan kebaikan, digantikan dengan kejahatan!. Bukankah sudah sepantasnya dan selayaknya kita minta Tuhan pelihara kita daripada kejahatan yang akan berlaku pada malam apabila kelam?
Pelajaran yang kita dapat dari Ayat itu :
Di siang hari, dari terbit fajar hingga masuk matahari, manusia akan lakukan maksiat buat mencari bekal untuk keperluan hidupnya dan tidak sedikit pula yang mencari bekal untuk keperluan hawa nafsunya.
Kerana itu, wajib kita berlindung diri kepada Allah dan minta Ia lindungkan diri kita daripada maksiat dan kejahatannya.
Malam hari, dari masuk matahari hingga terbit fajar itu, sungguhpun masa yang sepatutnya digunakan buat segala kebaikan diri sendiri, rumahtangga dan umum tetai kebanyakan manusia gunakan dia dengan sebaliknya.
Kerana begitu jauh terbaliknya keadaan itu, wajib kita berlindung diri dan mohon Allah lindungikan kita daripada sekalian kejahatan dan maksiat yang belaku pada malam hari.
4. Dan daripada kejahatan orang-orang yang meniup-niup di simpulan-simpulan.
Keterangan :
An-Naffa-tsati-fil-’uqadi itu erti lafaznya ialah orang-orang atau perempuan-perempuan yang meniup di simpulan-simpulan. Perkataan ini telah dipakai untuk orang-orang atau perempuan-perempuan tukang sihir kerana telah jadi kebiasaan ahli sihir bahawa kalau mereka hendak memutuskan perhubungan antara seorang dengan seorang atau antara laki-isteri, mereka ambil satu tali lalu mereka simpulkan beberapa simpulan, kemudian mereka baca atau jampi lalu mereka tiupkan di satu-satu simpulan sambil membuka simpulan itu dengan maksud bahawa simpulan persahabatan atau perikatan laki isteri itu akan terbuka sebagaimana terbukanya simpulan-simpulan tali itu.
Jadi perkataan An-Naffa-tsati fi-’uqadi itu boleh digunakan dengan erti ’tukang-tukang sihir.’ Dan juga digunakan dengan erti ’tukang-tukang fitnah yang menghasut-hasut supaya putus perhubungan antara seorang dengan seorang’. Kerana tukang sihir dan tukang menghasut itu tidak ada bedanya tentang membikin bencana di perhubungan persahabatan dan laki-isteri.
Erti yang akhir inilah yang amat sesuai di tempat ini, kerana di dalam erti’penghasut-penghasut yang memutuskan perhubungan’ itu, termasuk tukang-tukang sihir yang juga memutuskan perhubungan.
Oleh sebab itu, maka erti maksud yang terang bagi ayat yang ke empat tadi bersama ayat-ayat yang dahulunya ada begini : Aku berlindung kepada Allah daripada kejahatan yang berlaku pada siang hari dan pada malam dan daripada penghasut-penghasut yang hendak memutuskan perhubungan antara satu sama dengan lain.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :
Kejahatan tukang-tukang penghasut itu sebenarnya telah termasuk di dalam perkataan kejahatan yang berlaku pada siang dan malam yang kita minta Tuhan lindungkan, tetapi oleh sebab kefahaman tukang-tukang penghasut itu telah ternyata besar bahayanya daripada sekalian kejahatan maka Allah tegaskan sebutannya supaya kita berjaga diri betul-betul daripada orang-orang yang bersifat begitu.
5. Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia jalankan kedengkiannya.
Erti ayat ini bersama ayat-ayat dahulu, adalah begini : Aku berlindung kepada Allah daripada kejahatan yang berlaku pada siang hari dan malam dan daripada kejahatan penghasut-penghasut yang memutuskan perhubungan antara satu dengan yang lain dan daripada kejahatan pendengki apabila ia jalankan kedengkian.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :
Di dalam perkataan kejahatan yang berlaku pada siang dan malam yang kita minta Tuhan lindungi kita daripadanya itu telah termasuk kejahatan pendengki, tetapi oleh sebab bahaya kedengkian itu tidak kurang daripada bahaya hasutan si penghasut maka Allah telah tegaskan pula supaya kita berjaga-jaga dan berlindung diri kepadaNya daripada kejahatan pendengkian apabila ia menjalankan kedengkiannya iaitu apabila ia berusaha pada merusak orang yang didengkinya.
( A. Hassan ; Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )
No comments:
Post a Comment