Oleh A. Hassan
Tujuh ayat – turun di Mekah
Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang
Keterangan :
Erti bagi Bismillahir-rahmanir-rahiem itu ada beberapa macam :
a) Aku membaca surah ini dengan perintah Allah….
b) Aku membaca surah ini dengan pertolongan Allah….
c) Diturunkan surah ini dengan perintah Allah…
d) Diturunkan surah ini dengan rahmat Allah....
e) Hendaklah engkau mulai membaca surah ini dengan menyebut nama Allah...
dan ada beberapa macam lagi erti maksud Bismillah.....yang dapat dipasang menurut tempat dan pekerjaan kita mulai : umpama kita mengucap Bismillah.....waktu hendak makan, maka ertinya: Aku makan dengan nama Allah...dan sebagainya.
Pelajaran yang kita dapat dengan sebab Bismillah terletak di permulaan tiap-tiap surah.
Tiap-tiap pekerjaan dan urusan hendaklah kita mula dengan nama Allah dan ikhlas kerana Allah sebagaimana Allah telah contohkan kepada kita dengan memulai tiap-tiap surah QuranNya dengan Bismillah.
Di permulaan tiap-tiap urusan dan pekerjaan hendaklah kita ingat kepada Allah sebagaimana Allah ingatkan namaNya kepada kita di tiap-tiap kali kita membaca satu bahagian daripada kitabNya supaya kita tidak tergelincir di tiap-tiap hal.
Di dalam segala urusan, hal ehwal dan pergaulan kita hendaklah kita sertakan sifat kemurahan dan kasih sayang, sebagaimana Allah tunjukkan di segenap bahagian daripada QuranNya yang jadi pedoman bagi kita, yang Ia Rahman dan Rahiem : Pemurah dan Penyayang.
Hanya Islamlah satu agama yang penuh berisi kemurahan hati, kasih sayang , belas kasihan di dalam segala hal sebagaimana penuh Quran dihiasi dan disulam dengan Bismillahir-rahmaanir-rahiem.
1. Sekalian puji pujian kepunyaan Allah, Tuhan bagi sekalian makhluk
Keterangan :
Puji-pujian ada empat macam :
a) Pujian Allah kepada diriNya
b) Pujian Allah kepada makhlukNya
c) Pujian makhluk kepada Allah dan
d) Pujian makhluk kepada makhluk
Sekalian macam puji-pujian itu kepunyaan Allah atau kembali kepada Allah : iaitu pujian kepada diriNya dan puji makhluk kepada Alllah itu, sudah tentu kembali kepada Allah.
Adapun pujian Allah kepada makhluk dan pujian makhluk kepada makhluk itu juga kembali kepada Allah kerana Allahlah yang menjadikan makhluk terpuji itu.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :
Tidak boleh kita harap-harap atau minta pujian orang di dalam mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi tegahanNya kerana sekalian puji-pujian itu kepunyaan Allah bukan kepunyaan makhluk..
Di dalam menjalankan perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan Allah,janganlah kita takut bahawa manusia akan menyusahkan penghidupan kita kerana Tuhan Pemelihara yang memberi rezeki sekalian alam dari yang sekecil-kecilnya sampai kepada yang sebesar-besarnya ialah Allah Rabbul aalamien, bukan makhluk.
2. Pemurah, Penyayang
Keterangan :
Sifat rahman dan rahiem Allah itu umumnya orang-orang pasangkan untuk dunia dan akhirat. Sungguhpun ertinya dapat ditarik ke situ tetapi terlebih nyata untuk di dunia kerana datangnya dua sifat itu mengiringi Rabbil-alamien, sedang Rabbil- alamien itu sifat Tuhan yang berlaku atas makhlukNya di dunia.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :
Sungguhpun Tuhan kita itu Rabbul alamien : Pemelihara dan Pemberi rezeki bagi sekalian alam tetapi menurut sunnah Allah peraturan yang ditetapkan oleh Alllah bahawa kita akan dapat kesusahan, kepayahan dan kerugian di dalam hal mencari dan mengurus penghidupan kita secara yang disukai olehNya. Maka di waktu itu janganlah kita putus asa daripada rahmat, kemurahan, kasih sayang dari Allah kerana Allah itu Rahman dan Rahiem : Pemurah dan Penyayang.
Di dalam hal berusaha mencari dan bekerja untuk keperluan hidup kita janganlah kita berlaku keras, bengis dan buas kerana Allah Taala telah tunjukkan kepada kita yang Ia Rahman dan Rahiem di dalam urusan penghidupan hambaNya di dunia supaya kita jadikan contoh dan turut lakukan sifat-sifat yang mulia itu di pergaulan hidup kita satu dengan yang lain.
Janganlah kita bersifat bakhil sebalik sifat pemurah dan janganlah kita bersifat pembengis, pembenci, pembuas atau sebagainya sebalik sifat penyayang, pengasih kerana bersifat dengan yang demikian itu bererti melawan dan membuang contoh yang ditunjukkan oleh Allah.
3. Yang mempunyai hari pembalasan
Keterangan :
Hari Pembalasan itu tidak syak lagi ialah hari Qiamat, hari yang sekalian manusia akan dibangkitkan dan dikumpulkan untuk menerima keputusan dan balasan masing-masing dengan secukup-cukupnya.
Ada juga orang berpendapat bahawa hari yang berjalan di dunia ini juga, hari Pembalasan kerana selalu terlihat bahawa orang yang berbuat kejahatan dapat balasan dari Allah atau manusia.
Pemandangan atau tafsir yang kedua ini tak dapat dipandang betul kerana sering kita lihat dengan mata kepala kita sendiri beberapa banyak orang yang berbuat kejahatan tak kena balasan tetapi dapat kesenangan dengan kejahatan itu dan sebaliknya ada beberapa banyak pula orang yang berbuat kebaikan dapat kesusahan yang tersebab dari kebaikan itu.
Kita mengaku bahawa di dunia ini ada Pembalasan dari Allah atau dari manusia tetapi bukan Pembalasan yang secukupnya hanya sebagai satu Pembalasan untuk peringatan sahaja.
Dengan itu hari di dunia ini tak dapat dinamakan hari Pembalasan sebagaimana ayam yang kadang-kadang kuat terbang itu tak dapat dinamakan burung.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :
Di dalam hal mencari rezeki untuk keperluan kita, di dalam hal bekerja untuk keperluan umum, di dalam hal pergaulan kita di antara manusia, di dalam segala hal ehwal kita – susah dan senang, bahaya dan sentosa janganlah kita berlaku serong, curang, khianat dusta, tipu, aniaya dan sebagainya kerana tiap-tiap amal kita baiknya dan jahatnya akan dibalas oleh Tuhan yang mempunyai hari Pembalasan.
4. Engkaulah yang kami sembah
Keterangan :
Engkau yang kami sembah itu maksudnya kita mengaku bahawa tidak ada satu apa pun yang kita sembah melainkan Allah. Jadi kita menolak tiap-tiap suatu yang disembah orang lain daripada Allah.
Sembah sesuatu itu ertinya menurut perintahnya atau beribadat kepadanya.
Yang dituruti perintahnya ada dua :
a) Allah Subhanahu wa Taala
b) Mahkluk Allah
Perintah-perintah Allah iaitu hukum-hukum Allah itu mesti kita turut maupun ditentang hal keduniaan ataupun ditentang ibadat.
Perintah-perintah makhluk iaitu hukum-hukum makhluk yang boleh kita turut ialah hukum-hukum makhluk yang Allah suruh atau benarkan kita menurutnya di dalam hal keduniaan semata-mata yang tidak dengan nama agama dan tidak sekali-kali menyalahi atau berlawanan dengan hukum-hukum Allah.
Tentang hukum halal dan haram dan lainnya dengan nama agama itu tidak boleh kita terima melainkan dari kitab Allah atau sunnah RasulNya yang diperintah kita menurutnya.
Adapun ibadat itu, tidak boleh kita hadapkan kecuali kepada Allah.
Barang yang disembah orang selain dari Allah itu, ada dua bahagian :
Yang pertama, sembahan dengan terang-terang seperta Isa, Meriam, berhala-hala, api-api dan lain-lain yang disembah oleh masing-masing penyembahnya.
Sembahyang yang semacam ini sudah tentu tidak dikerjakan oleh orang Islam. Jadi bukanlah sembah seperi ini yang kita mengaku kita tidak kerjakan.
Yang kedua, sembahan dengan sembunyi atau dengan tidak sedat. Yang demikian itu ada tiga macam :
a) Riak iaitu mengerjakan sesuatu ibadat atau kebaikan atau meninggalkan sesuatu larangan supaya dipuji orang atau supaya diupah.
b) Meninggalkan sesuatu yang diperintah oleh Allah atau mengerjakan sesuatu yang dilarang olehNya kerana takut kepada makhluk.
c) Menurut semata-mata perintah guru di dalam mengharamkan atau menghalalkan sesuatu atas nama agama iaitu sebagaimana di dalam hadis bahawa pada waktu turun ayat ke 23 surah At-Taubah yang ertinya :
” Bahawa orang-orang Yahudi dan Nashara menymbah pendeta-pendetanya, ” ada seorang sahabat nabi yang asalnya beragama Nashrani berkata : ” Ya Rasulullah! Kami tidak pernah menyembah pendeta-pendeta kami”. Maka sabda Rasulullah : ”Bukankah kamu turut mengharamkan dan menghalalkan sesuatu yang diharamkan atau dihalalkan oleh pendeta-pendeta kamu?” Jawabnya : ”Betul begitu!”, maka sabda Rasulullah : ”Itulah erti kamu menyembah pebdeta-pendeta kamu.”
Sembahan tiga macam inilah yang selalu berlaku di antara orang-orang Islam dengan tidak sengaja dan tidak sedar.
Sembahan yang beginilah mestinya kita mengaku tidak mengerjakan dengan perkataan : Ieyaaka na’budu
Pelajaran yang kita dapat dari ayat Ieyaaka na’budu
Tiap-tiap perintah atau larangan yang orang ucapkan atas nama agama hendaklah ada keterangan dari Allah atau dari RasulNya.
Tiap-tiap ibadat yang kita kerjakan hendaklah kita tau apa hukum Allah padanya atau apa hukum RasulNya supaya betul pengakuan kita : Ieyaaka na’budu
Tiap-tiap suatu yang kita halal atau haramkan hendaklah dengan ada dalil dari Allah atau dari RasulNya supaya tidak sia-sia pengakuan kita : Ieyaaka na’budu
Jangan terima perkataan dari guri atau ulama ditentang sesuatu hukum dengan nama agama melainkan kalau mereka ada tunjukkan dalil yang sah dari Allah atau RasulNya supaya nyata yang kita sembah tidak lain melainkan Allah.
4. Dan Engkaulah yang kami minta pertolongan
Keterangan :
Ayat ini sambungan ayat : ieyaka na’budu, iaitu ayat yang keempat juga.
Minta tolong itu ada dua bahagian :
a) Minta tolong kepada Allah
b) Minta tolong kepada makhluk
Minta tolong kepada Allah itu ada dua macam :
a) Minta tolong di perkara ghaib yang tidak dapat kita capai dengan ikhtiar kita
b) Minta tolong di perkara zahir yang dapat kita hasilkan dengan ikhtiar kita
Minta tolong kepada makhluk itu juga ada dua macam :
a) Minta tolong di perkara zahir yang dapat dicapai dengan ikhtiar kita
b) Minta tolong di perkara ghaib yang tidak dapat dicapai dengan ikhtiar kita
Minta tolong kepada makhluk di perkara ghaib itu terlarang bahkan hal itu akan membawa kepada kekufuran kerana yang berkuasa di perkara ghaib itu tidak lain melainkan Allah.
Minta tolong kepada makhluk di perkara zahir itu tidak terlarang malah diperintah oleh Al-Quran dan hadis supaya kita bertolong-tolongan satu kepada yang lain di dalam hal kebajikan.
Minta tolong kepada Allah di dalam perkara zahir yang dapat kita ikhtiarkan itu terlarang kecuali kalau sungguh-sungguh kita bekerja sambil meminta supaya Allah hasilkan dengan baik akan maksud kita itu.
Minta pertolongan Allah di dalam perkara ghaib seperti minta tetapkan iman, minta dipimpin di jalan yang lurus, minta selamat daripada bala bencana dan sebagainya itu memang diperintah tetapi wajib kita kerjakan sekalian perkara yang akan menyampaikan kita kepada maksud itu dan wajib kita jauhi diri kita daripada sekalian yang akan menyebabkan bala-bencana.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat Wa-ieyaaka nasta’ien
Sekalian pertolongan ghaib di tangan Allah.
Dibenarkan kita minta pertolongan makhluk hanya di perkara zahir yang dapat dicapai dengan ikhtiar makhluk.
Minta pertolongan kepada makhluk – walaupun yang dikatakan wali dan keramat atau benda-benda yang dipandang berkeramat – itu bererti menyekutukan Allah dan menghilangkan erti Ieyaaka nasta’ien.
Di dalam tiap-tiap hal tidak bolehkita lupa minta kepada Allah sambil mengerjakan perintahNya dan jauhi larangan-laranganNya supaya sempurna dan benar perkataan kita : Ieyaaka nasta’ien
( Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )
No comments:
Post a Comment