Lima ayat – turun di Mekah
Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang
Keterangan :
Erti maksudnya dan pelajaran yang kita dapat dari Bismillah itu telah tersebut di permulaan surah Al-Fatihah.
1. Katalah : Dia itu Allah yang Tunggal
Allah Taala menyuruh nabiNya menyampaikan kepada kita atau kepada orang yang bertanya kepadanya, atau Allah Taala memerintah tiap-tiap seorang daripada kita supaya mengaku dan beri’tiqad bahawa Allah itu tunggal iaitu bahawa Tuhan yang menjadikan dan yang memelihara sekalian alam ini hanya satu saja, tidak dua sebagaimana i’tiqad sebahagian daripada manusia bahawa ada Tuhan yang menjadikan dan ada pula Tuhan yang membinasakan dan sebagaimana i’tiqad sebagian lain, bahawa Tuhan yang menjadikan kebaikan itu lain daripada Tuhan yang menjadikan kejahatan dan tidak pula tiga, sebagaimana i’tiqad kaum Nashara bahwa yang dikatakan Allah itu ialah bapak dan anak dan ruh suci dan tidak pula lebih dari itu sebagaimana i’tiqad beberapa golongan manusia daripada penyembah berhala.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Di dalam segala hal ehwal kita, pagi dan petang, malam dan siang, susah dan senang, suka dan duka, untung dan rugi, sihat dan sakit, jangan ada lain pegangan kita melainkan Allah : jangan ada tempat kita hadapkan dan tunjukkan ’ ibadat ’ kita lain dari Allah; jangan ada siapa-siapa yang kita takuti melainkan Allah; jangan ada perintahNya yang kita tinggalkan kerana manusia dan jangan ada laranganNya yang kita kerjakan kerana maklukNya kalau betul kita percaya yang Ia itu tunggal, tidak dua, tidak lebih!
2. Allahlah tempat sekalian (makluk) bergantung.
Keterangan :
Allah menerangkan kepada kita bahawa tempat yang makluk bergantung dengan sebenarnya di dalam segala sesuatu tidak lain melainkan Dia.
Sungguhpun banyak manusia yang merasa, bahawa dirinya berkeperluan kepada itu dan ini, si itu dan si ini tetapi yang menghasilkan keperluan-keperluan itu tidak lain melainkan Allah.
Ialah Tuhan yang tidak berkehendak atau berkeperluan kepada siapa-siapa tetapi sekalian yang lain daripadaNya berkehendak dan berkeperluan kepadaNya maupun dengan sengaja ataupun tidak.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :
Menurut akal dan agama tidak ada siapapun yang dapat dijadikan tempat bergantung oleh makluk melainkan Allah ; tidak ada siapa-siapa yang dapat menenuhi keperluan makluk kecuali Allah.
Oleh sebab itu, sewajibnya dan sepantasnya ditentang pertolongan ghaib, janganlah manusia meminta kepada yang lain datipada Allah ; janganlah manusia minta di tempat-tempat yang dinamakan kubur keramat apalagi di tempat-tempat dan barang-barang yang disangka berkeramat dan berwilayat.
Hendaklah kita ketahui bahawa di antara makluk-makluk ini kalau ada yang berkeramat sebagaimana sangkaan umum tentulah sahabat-sahabat Nabi kita s.a.w. lebih utama mendapat pangkat itu.
3. Tidak Ia Beranak
Keterangan :
Maksudnya bahawa Allah Taala tidak menjadi bapak bagi anak yang dilahirkan oleh seorang perempuan dan tidak ia melahirkan anak dari dzatNya sendiri bahkan Allahlah yang menjadikan sekalian bapak dan ibu. Allahlah yang menjadikan mereka beranak, bercucu,.........
Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :
Tuhan tidak sekali-kali mempunyai anak, sebagaimana anggapan kaum Nashrani bahawa Isa itu anak Allah, Malaikat itu bukan anak-anak perempuan bagi Allah sebagaimana i’tiqad sebahagian dari kaum musyrikin. Tidak ada satu pun yang terbit dari dzat Allah sebagaimana i’tiqad sebahagian daripada kaum yang sesat bahawa ’kita sekalian datang dari Allah dan kepadaNyalah kita akan kembali’ iaitu mereka maksudkan bahawa kita sekalian terbit dari dzat Allah dan akan kembali masuk kepada dzat itu pula.
4. Dan tidak diperanakkan –Dia
Keterangan :
Maksudnya bahawa Allah Taala tidak diperanakkan, dan tidak jadi anak bagi siapa-siapa.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu ;
- Isa yang di i’tiqadkan oleh sebahagian kaum Nashara yang ia Tuhan itu sebesar-besar kesalahan kerana Tuhan itu tidak diperanakkan sedang Isa anak bagi seorang perempuan.
Ada beberapa lagi berhala yang dianggap sebagai Tuhan oleh pemeluk-pemeluknya sedang berhala-berhala itu asalnya orang-orang yang keluar dari perut ibunya.
- Tuhan tidak berasal atau terbit dari sesuatu kerana dzat yang begitu tak dapat dikatakan : ’Dzat yang tidak diperanakkan oleh sesuatu ’
- Allah berdiri dengan sendiriNya, kerana Allah tidak diperanakkan oleh siapa-siapa dan tidak berasal dari apa-apa. Dzat yang diperanakkan atau berasal dari sesuatu itu tak dapat dikatakan berdiri dengan sendiri.
- Allah tidak berkehendak kepada siapa-siapa kerana Allah tidak berasal dai apa-apa dan tak dizahirkan oleh siapa-siapa.
5. Dan tidak ada siapa pun yang sebaya dengan Dia
Keterangan :
Allah tidak mempunyai bandingan, tidak ada siapa dan apapun yang sebaya dengan Allah. Tidak ada apa pun yang menyamai dzat Allah, sifat-sifat Allah atau af’al Allah, iaitu tidak ada satupun dzat yang sama keadaannya dengan dzat Allah dan tak ada siapapun bersifat sebagaimana sifat-sifat Allah dan tidak siapapun yang dapat mengerjakan seperti pekerjaan Allah.
Pelajaran yang kita dapat dari ayat itu :
Tidak boleh kita meminta apa-apa keperluan yang tak dapat dicapai dengan ikhtiar biasa melainkan kepada Allah kerana meminta kepada yang lain itu bererti menyamakan dia dengan Allah sedang Allah itu tidak berbandingan; tidak ada siapapun yang dapat menyampaikan hajat kita melainkan Allah.
( A. Hassan ; Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )
No comments:
Post a Comment