Friday, February 19, 2016

Menelan nasib di bumi sendiri


Segalanya menjadi sukar
apabila ada tangan-tangan kasar
mencampuri urusan
setiap hari
seakan tiada waktu terluang
daripada ngauman sang pengangkut
membawa mahsul melepasi pelabuhan
debu-debu merah hinggap
meninggalkan saki untuk penghuni
jemuran dan sidaian hilang warna
mahu adu ke mana
kalau setiap apa diberitahu
hanya debu diterbang
hinggap di hujung menara.

Sudah berkali
rintihan dan rayuan dilempar
segalanya tak ubah bagaikan
anjing menyalak bukit
bukit tak runtuh tapi
anjing mati kehausan.
Kini setiap ruang bertukar warna
daun hijau menjadi merah segala
jernih air di kuala menjadi keroh
ikan-ikan tiada lagi bernafsu
bermain dan bergurau senda
sungai Belat dan sungai Kuantan
menjadi saksi
peninggalan warga kehidupan.

Sampai bilakah
kami harus begini
merintih dan mengharap
turun para dewa dari langit
membawa khabar gembira
bauksit dipunggah tanpa
membawa bencana
kepada kami warga terpinggir.

Kasihanilah kami
menelan nasib begini
di bumi sendiri.

Asmui Mustapa
Bukit Goh, Kuantan
BH, 10 Jan 2016

No comments:

Post a Comment