Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan
maafkanlah kesilapan kami zohir dan batin
Ya Allah ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa
kami, dosa keluarga kami, dosa masyarakat kami dan dosa seluruh ummat Islam
yang telah mati dan yang masih hidup.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan apa yang telah
dipohonkan oleh rasulullah saw dan kami meminta perlindungan dari apa yang
pernah diminta perlindungan oleh rasulullah saw.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan syurga tanpa hisab dan
berilah kekuatan taufiq dan hidayah kepada kami supaya kami dapat melakukan
sebab-sebab yang membawa kami ke arahnua, selamatkan kami Ya Allah dari
sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.
Ya Allah kami sekalian keluar menuju kepadaMu dan berhenti
di perkarangan rumahMu, kepadaMulah kami meletakkan segala harapan kami
kepadamulah kami memohon kemurahan rahmat. Kami takut kepada dosa kami, oleh
itu kepadaMulah kami berlindung dari bencana dosa kami.
Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah yang memiliki seluruh
hajat orang-orang yang memohon, yang mengetahui seluruh kandungan hati
orang-orang yang tidak merayu.
Ya Allah Engkau telah sediakan sajian kepada setiap tetamu
dan kami sekalian adalah tetamu kepadaMu, oleh itu kurniakanlah syurga sebagai
sajianMu kepada kami.
Ya Allah Ya Tuhan kami, setiap rombongan dikurniakan hadiah,
setiap pelawat dikurniakan cenderahati, setiap permohonan dikurniakan
pemberian, setiap yang berharap dikurniakan habuan, setiap yang memohon rahmat
mendapat rahmatMu. Maka kami sekalian datang berkunjung ke rumahMu yang mulia
ini dan berada di tempat ibadah yang agong ini dengan harapan mendapatkan
rahmat dan keampunanMu. Oleh itu janganlah hampakan harapan kami semua Ya
Allah. Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau sahajalah yang mengetahui kelemahan diri
kami, zohir dan batin, berikalah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami
supaya kami dapat memperbaiki diri kami Ya Allah.
Tambahkanlah Ya Allah kepada kami ilmu, iman dan amal,
hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan kepada Engkau iman
yang sempurna, ilmu yang memberi manfaat, rezeki yag halal, anak yang soleh,
rumahtangga yang bahagia, usia yang berkat, doa yang mustajab, hajat yang
tertunai, kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, keselamatan di dunia
ini dan di akhirat nanti.
Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau sahajalah yang mengetahui
segala yang berlaku dihati kami, hidupkan hati ini dan sampaikanlah hati ini
kepada Engkau. Sembuhkanlah segala penyakit yang ada di hati kami,
selamatkanlah hati kami dari sifat-sifat yang keji dan jauhilah hati kami
daripada perkara-perkara yang boleh mematikan hati kami.
Ya Allah jadikalah kami ini hambaMu yang hanya mengabdikan
diri kepadaMu dengan sebaik-baiknya, berikanlah kekuatan taufiq dan hidayah
kepada kami supaya dapat kami lakukan apa-apa yang diperintahkan oleh Engkau
dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Engkau.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami ini hati yang
sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat kelak dan jadikanlah kami hambaMu
yang sentiasabersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas kematian nanti.
Ya Allah Ya Tuhan kami, hidupkanlah kami dalam iman dan
matikanlah kami dalam iman, selamatkanlah iman kami dari segala gangguan
syaitan semasa kami menghembuskan nafas yang akhir nanti.
Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah kami semasa berada
dalam kubur, jadikanlah kubur kami satu taman dari taman-taman syurga,
selamatkanlah kami dari segala angkara azab kubur dan jangan Engkau jadikan kubur
kami itu salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.
Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah kami semasa berada di
Padang Mahsyar dan masukkanlah kami ke dalam tujuh golongan orang yang mendapat
bayangan naungan arasy Engkau Ya Allah.
Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkanlah
kesilapan zohir dan batin semasa kami dijalankan hisab, hisabkanlah kami Ya
Allah dengan hisab yang sedikit, berilah peluang kepada kami untuk mendapat
syafaat nabi kami Muhammad saw.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hambaMu ini hamba yang
berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amal dengan tangan kanan.
Ya Allah Ya Tuhan kami,berilah kesempatan kepada kami
meminum air kolam nabi kami Al-Kauthar, selamatkan kami semasa menyeberangi
titian Sirotal Mustaqim dan masukkanlah kami ke syurgaMu bersama-sama
orang-orang yang mulia di sisiMu Ya Allah.
La Haula Wala Quwwata Illa Billahil Aliyyul Azim
Ya Allah Ya Tuhan kami, apalah kiranya Engkau akan lakukan
pada petang dan ketika ini kepada seorang hambaMu yang hina yang mengaku
berdosa dan bersalah, yang merayu kepadaMu di atas kejahatan, yang bertaubat
kepadaMu kerana dosanya, yang memohon keampunan kepadaMu kerana kezalimannya,
yang mengharap kemaafanMu kerana kesilapannya, yang merayu kepadaMu supaya tercapai
segala hajatnya, yang mengharapkan kelimpahan rahmatMu pada tempat wukuf ini
walaupun dengan dosa yang begitu banyak laksana buih di lautan.
La Haula Wala Quwwata Illa Billahil Aliyyul Azim
Ya Allah Ya Tuhanku, pancarkan cahaya kepada pandangan,
lapangkanlah dada, amalkan dengan melancarkan dengan lidahku kuatkan dengan
ingatan, mudahkan dengan kefahaman, kuatkanlah dengan daya dan kekuatan Engkau,
maka sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Engkau, wahai
Tuhan yang Maha Pengasih.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami yang sentiasa
menyedari akan hakikat ketuhanan dan keagungan kerajaan Engkau dan masa depan
kami di akhirat kelak
Ya Allah Ya Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami ini,
mustajabkanlah doa kami ini Ya Allah, dengan berkat nabi kami, Muhammad saw dan
dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas kepadamu Ya Allah.
Aamen Ya Rabbal Alameen.
Masjid Kubang Kacang
Disember 2015
No comments:
Post a Comment