Monday, February 29, 2016

Membaca mata

Sesekali kita perlu bercermin
merenung wajah melihat tingkah
membaca mata
memahami cara
memberi erti petanda
tersirat di dalam dada

jantung pun berdegup
denyutannya mesra
senyuman manis
mentafsir segala
menghilang duka
keikhlasan terasa
tersemat di jiwa.

Sesekali perlu bercermin
melihat wajah
membaca tingkah
mentafsir senyum
memahami kepayahan rasa

Abdullah AR
SK Pasoh 1, Negeri Sembilan

Mingguan Malaysia, 
31 Jan 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 14

 Akhirnya tiada siapa dari manusia yang ingin menyusukannya, kerana telah tertulis di dalam lipatan ilmu ghaib, bahawa kebahagian menyusukannya ialah untuk Halimah binti Abi Zuaib. Apabila Halimah terpandang kepadanya, Halimah bergegas segera pergi mendapatkannya. Diletakkannya (Muhammad) atas pangkuannya dan dipeluknya ke dadanya. Maka terserlahlah sekuntum senyum dari baginda disusuli dengan suatu cahaya yang keluar dari mulutnya terus naik ke langit. Maka dibawanya (Muhammad ke kenderaannya, dan dibawa pulang bertemu keluarganya.

Apabila beliau sampai di kampungnya didapati keberkatan telah nyata pada kambing ternakannya. Setiap hari ia melihat tanda-tanda kebaikan dan kebesaran juga beberapa keadan yang luarbiasa. Hinggalah besar anak itu dan sudah mula masuk bergaul dengan saudara-saudaranya berserta anak-anak yang lain.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
2008

Saturday, February 27, 2016

Di dapur seorang isteri


Di dapurmu aku belajar
mengenal api
menajam pisau
buat sebuah keluarga
menjamah bahagia

Di dapurmu aku mencari
erti kehidupan
menyiang, memotong
memasak
menghidang
keikhlasan

Di dapurmu aku belajar
menyalakan pelita ukhuwah
memadam api amarah
mengasah pisau pekerti
meminimum tajam telingkah
dengan zikir
dengan reda
demi sebilah keluarga
yang dibina
di atas rakit percaya

Dari dapur seorang wanita
terhidang bahagia
di meja
sebuah keluarga
yang diikat dengan
tali percaya

Shapiai Muhammad Ramly
Batu Pahat Johor
BH, 31 Jan 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 13


Maka tertanya-tanyalah orang siapakah agaknya gerangan orang yang akan memelihara permata yang tuinggal ini, yang tidak ternilai harganya. Maka berkatalah segala burung, kami sanggup memeliharanya dan kami mahu merebut keazamannya yang besar. Berkata pula binatang di hutan, kami lebih berhak memeliharanya supaya kami dapat kemuliaan dan kebesarannya.

Akhirnya dikatakan; wahai sekalian umat, bertenanglah kamu kerana Allah telah memutuskan dahulu dengan hematNya yang Qadim bahawa nabiNya Muhammad saw menjadi anak susuan bagi Halimah penyantun.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008

Friday, February 26, 2016

Perlumbaan apa sebenarnya

 
Perlumbaan apa sebenarnya
kuasa besar menguji senjata
merecik darah jasad rebah
nasib terpisah di alur gundah

Perlumbaan apa sebenarnya
hutan dan bukit digondolkan
bumi merekah tanda amarah
rebak tanah bumi parah.

Perlumbaan apa sebenarnya
gergasi dunia kuasa ekonomi
negara kerdil bermain guli
jauh panggang dari api

Perlumbaan apa sebenarnya
teknologi moden senjata utama
para saintis mencipta jaringan
lumba lari mengejar kemenangan.

Perlumbaan apa sebenarnya
kalau bukan kuasa dan nama
dunia sekarang lintang pukang
kita hari ini dan mereka akan datang.

Pauzi Mohd Isa
Bidor Perak
BH, 10 Jan 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 12



Selawat Allah atas Muhammad
Selawat Allah atasnya dan salamnya
Moga-moga Alah mensejahterakan Muhammad
Moga-moga Allah mensejahterakan dan menyelamatkan dia (3x)
Selamat datang hai rasul, selamat datang
Selamat berdekatan dan selamat sampai
Selamat datang
Daripada jalan yang bernama Wida’i
Selamat datang
Dan kami melihat cahayanya bersinar
Selamat datang
Lalu cahaya itu menerangkan bumi
Selamat datang
Kami wajiblah mengucap syukur
Selamat datang
Selama ada orang menyeru ke jalan Allah
Selamat datang
Wahai rasul yang diutuskan kepada kami
Selamat datang
Engkau membawa panduan untuk ditaati
Selamat datang
Dan kesukaan serta kegembiraan telah tiba
Selamat datang
Wahai nabi yang empunya ajaran yang memuaskan
Selamat datang
Engkau penolong kami sekalian
Selamat datang
Wahai nabi yang empunya perangai yang elok
Selamat datang
Wahai rasulullah, kami datang ke mari untuk menjumpaimu
Kami mengharapkan darimu syafaat di sisi
Tuhan sekalian kelak
Berilah perlindungan pada kami serta
Hapuskan pertengkaran yang buruk (2x)
Dan tolonglah kami sekalian di hari Mahsyar (2x)
Dan juga tolong kami ketika kesusahan
Hai penolong orang-orang yang memohon (2x)
Dan kesejahteraan Allah sentiasa untuk nabi penyinar bumi
Muga-muga Allah mengurniakan selamat
Dan sejahtera kepada Muhammad (2x)
Dan juga kepada keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekalian
Selagi dan selama ada orang yang berusaha kerana Allah
Moga-moga Allah mengurniakan selamat
Dan sejahtera kepada Muhammad

Maga lahirlah baginda saw keadaannya telah berkhatan dengan kudrat Allah. Bercelak matanya. Terang benderang padang pasir kerana cahayanya, berghemerlapan alam buana dengan sinarnya. Masuk dalam ikatan kesetiaannya sesiapa yang ada di masa itu sebagaimana masuk sama orang yang dahulu. Mukjizatnya yang pertama ialah padamnya api Parsi dan runtuhnya beberapa tiang di istananya.

Dan dilempar segala syaitan dengan bintang pemanah yang berapi. Dan setiap yang gagah dari jin kembali hina dan tunduk; ketika bersinarnya cahaya yang naik itu, dan memancar sinar cahayanya yang bergemerlapan. Akhirnya baginda pun diserahkan untuk penyusuan.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i

2008

Friday, February 19, 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 11

Maka bergoncanglah Arasy kesukaan dan kegembiraan bertambah kehebatan dan kebesaran Kursy. Langit dilitupi oleh cahaya yang terang benderang, serta bergemuruh suara para malaikat bertahlil, memuji dan beristighfar. Semasa mengandungkannya, ibunya sering mengalami beberapa kemuliaan dan keutamaan, hingga tamat masa mengandungnya.

Apabila mendesak kandungannya, untuk lahir ke dunia dengan izin Tuhan sekalian makhluk, maka dilahirkan oleh ibunya akan nabi yang dicintai ini saw dalam keadaan sujud, bersyukur dan memuji Allah, keindahannya seoalah-olah bulan purnama yang mengambang:

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008

Menelan nasib di bumi sendiri


Segalanya menjadi sukar
apabila ada tangan-tangan kasar
mencampuri urusan
setiap hari
seakan tiada waktu terluang
daripada ngauman sang pengangkut
membawa mahsul melepasi pelabuhan
debu-debu merah hinggap
meninggalkan saki untuk penghuni
jemuran dan sidaian hilang warna
mahu adu ke mana
kalau setiap apa diberitahu
hanya debu diterbang
hinggap di hujung menara.

Sudah berkali
rintihan dan rayuan dilempar
segalanya tak ubah bagaikan
anjing menyalak bukit
bukit tak runtuh tapi
anjing mati kehausan.
Kini setiap ruang bertukar warna
daun hijau menjadi merah segala
jernih air di kuala menjadi keroh
ikan-ikan tiada lagi bernafsu
bermain dan bergurau senda
sungai Belat dan sungai Kuantan
menjadi saksi
peninggalan warga kehidupan.

Sampai bilakah
kami harus begini
merintih dan mengharap
turun para dewa dari langit
membawa khabar gembira
bauksit dipunggah tanpa
membawa bencana
kepada kami warga terpinggir.

Kasihanilah kami
menelan nasib begini
di bumi sendiri.

Asmui Mustapa
Bukit Goh, Kuantan
BH, 10 Jan 2016

Tuesday, February 9, 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 10


Hadirkanlah hatimu wahai orang yang mempunyai akal, agar saya singkapkan kepadamu keindahan sifat seorang yang paling tercinta, yang mendapat keistimewaan dengan gelaran yang paling mulia, yang telah naik ke hadrat Tuhan, Raja yang banyak memberi, hingga ia dapat melihat kepada keindahanNya tanpa sekatan atau lindungan.

Maka apabila tiba masa terbitnya matahari kerasulan, di langit ketinggian, ia pun dirasmikan oleh Tuhan yang mulia kepada Jibril ketua para malaikat. Wahai Jibril, serukanlah di kalangan makhluk seluruhnya, penghulu bumi dan langit, dengan tahniah-tahniah dan berita gembira. Kerana cahaya yang terpelihara dan rahsia yang terpendam itu, yang telah Aku cipta sebelum adanya sebarang bebda dan sebelum terbentuknya langit dan bumi, malam ini dengan sukacitanya Aku pindahkan dia ke perut ibunya. Aku penuhkan alam ini dengan cahayanya. Aku akan pelihara dia dalam keadaan yatimnya dan Aku sucikan dia serta seisi rumahnya sesuci-sucinya

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i

2008

Cintaku

Ku tempuh segala penderitaan
bersama airmata kerinduan
memohon ampun dan keredhaan
dan kasih sayangmu oh Tuhan

Walau Engkau putuskan
untukku berkeping-keping
namun hati ini tidak akan
berpaling pada yang lain.

Ampuni hamba yang papa
berilah jiwaku tenang
andai pernahku durhaka
namun sesaatku terkenang.

Tiada lain pintaku
dalam sujudku padamu
jangan padamkan cintaku
hingga saat bertemu

Oh Tuhan yang Maha kaya
daku mohon padamu
beri setitik cahaya
untuk pedoman hidupku.

Prof H. Ahmad Baqi
Okes Gambus El-Surayya, Medan

Sunday, February 7, 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 9


Maka berkatalah Tuhan yang Haq: Demi kemuliaan dan kebesaranKu, tidaklah akanKu samakan orang yang ikhlaskan penyaksian terhadapKu sama seperti orang yang mendustakan Aku; Masukkanlah mereka ke dalam Syurga dengan rahmatKu.

Wahai permata yang indah tersusun, dan pati dari emas rahsia alam. Orang yang cuba memujimu tetap tidak dapat melengkapi pujiannya walaupun ia berusaha sedaya upaya. Orang yang cuba menyifatkanmu tetap lemah untuk menghitung segala apa yang kamu punyai dari sifat kemurahan hati dan budimu. Alam ini adalah sebagai penunjuk sedang yang dimaksudkan ialah Tuan. Wahai yang paling mulia yang telah mendapat Al-Maqam Al-Mahmud. Sebelummu telah datang beberapa orang rasul tetapi semuanya menjadi saksi terhadap ketinggianmu.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008

Pelajaran 50 .......bahagian 7


Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Hai orang yang alim, takut olehmu  akan bahaya yang amat besar ini yang tertentu bagimu tiada ia bagi orang yang jahil, iaitu keinginan yang tersembunyi seperti sabda nabi shallallahu ’alaihi wasallam :

Takut oleh kamu akan keinginan yang tersembunyi. Maka berkata segala sahabat: Dan apa ya rasulullah? Maka sabdanya: Iaitu orang yang alim yang mengasihi ia akan duduk kepadanya segala manusia (kerana mengambil manfaat daripadanya).

Dan kerana belajar ia daripadanya kerana bahawasanya yang demikian itu membatalkan akan amalnya kerana meluput ia daripada ikhlas, maka orang yang alim yang sebenar itu tiada mendatang ia kepada menghelakan manusia dengan melembutkan perangainya dan membaikkan perkataan dan tiada kasih ia akan jadi kepala orang dan ikutan manusia kepadanya. Bahawasanya yang demikian itu setengah daripada segala tipudaya nafsu yang amarah, maka takut olehmu akan yang demikian itu, maka bahawasanya itu bala daripada Allah Taala.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Siapa sudi membina kubu denganku?



Aku  menyusur di pinggiran
kiub-kiub pakaian mewah
petak-petak santapan berada
dan bendang-bendang hiburan
seraya azan sayup bergema
menerobos detik digitalku.

Lantas hati menitah kaki
memacu laju ke pintu rumahNya
kupulas, kutadah, kusapu
air penyuci atma penggugur dosa
berbondong-bondong umat manusia
terdorong menegakkan tonggak agama
namun luluh sang hati
menyaksi ramainya memilih bersendiri
untuk mengadap Ilahi.

Bismillah
aku melangkah dengan magfirah mihrab
aku datang
berharap pada jiwa-jiwa yang sudi
membina kubu-kubu Jemaah di belakangku
kudus mendamba reda Yang Esa.

Iwan Raez
Kuala Lumpur
Mingguan Malaysia
10 Januari 2016

Doa Arafah


Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zohir dan batin

Ya Allah ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa keluarga kami, dosa masyarakat kami dan dosa seluruh ummat Islam yang telah mati dan yang masih hidup.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan apa yang telah dipohonkan oleh rasulullah saw dan kami meminta perlindungan dari apa yang pernah diminta perlindungan oleh rasulullah saw.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan syurga tanpa hisab dan berilah kekuatan taufiq dan hidayah kepada kami supaya kami dapat melakukan sebab-sebab yang membawa kami ke arahnua, selamatkan kami Ya Allah dari sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.

Ya Allah kami sekalian keluar menuju kepadaMu dan berhenti di perkarangan rumahMu, kepadaMulah kami meletakkan segala harapan kami kepadamulah kami memohon kemurahan rahmat. Kami takut kepada dosa kami, oleh itu kepadaMulah kami berlindung dari bencana dosa kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah yang memiliki seluruh hajat orang-orang yang memohon, yang mengetahui seluruh kandungan hati orang-orang yang tidak merayu.

Ya Allah Engkau telah sediakan sajian kepada setiap tetamu dan kami sekalian adalah tetamu kepadaMu, oleh itu kurniakanlah syurga sebagai sajianMu kepada kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami, setiap rombongan dikurniakan hadiah, setiap pelawat dikurniakan cenderahati, setiap permohonan dikurniakan pemberian, setiap yang berharap dikurniakan habuan, setiap yang memohon rahmat mendapat rahmatMu. Maka kami sekalian datang berkunjung ke rumahMu yang mulia ini dan berada di tempat ibadah yang agong ini dengan harapan mendapatkan rahmat dan keampunanMu. Oleh itu janganlah hampakan harapan kami semua Ya Allah. Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau sahajalah yang mengetahui kelemahan diri kami, zohir dan batin, berikalah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki diri kami Ya Allah.

Tambahkanlah Ya Allah kepada kami ilmu, iman dan amal, hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan kepada Engkau iman yang sempurna, ilmu yang memberi manfaat, rezeki yag halal, anak yang soleh, rumahtangga yang bahagia, usia yang berkat, doa yang mustajab, hajat yang tertunai, kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, keselamatan di dunia ini dan di akhirat nanti.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau sahajalah yang mengetahui segala yang berlaku dihati kami, hidupkan hati ini dan sampaikanlah hati ini kepada Engkau. Sembuhkanlah segala penyakit yang ada di hati kami, selamatkanlah hati kami dari sifat-sifat yang keji dan jauhilah hati kami daripada perkara-perkara yang boleh mematikan hati kami.

Ya Allah jadikalah kami ini hambaMu yang hanya mengabdikan diri kepadaMu dengan sebaik-baiknya, berikanlah kekuatan taufiq dan hidayah kepada kami supaya dapat kami lakukan apa-apa yang diperintahkan oleh Engkau dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Engkau.

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat kelak dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasabersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas kematian nanti.

Ya Allah Ya Tuhan kami, hidupkanlah kami dalam iman dan matikanlah kami dalam iman, selamatkanlah iman kami dari segala gangguan syaitan semasa kami menghembuskan nafas yang akhir nanti.

Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah kami semasa berada dalam kubur, jadikanlah kubur kami satu taman dari taman-taman syurga, selamatkanlah kami dari segala angkara azab kubur dan jangan Engkau jadikan kubur kami itu salah satu lubang dari lubang-lubang neraka.

Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah kami semasa berada di Padang Mahsyar dan masukkanlah kami ke dalam tujuh golongan orang yang mendapat bayangan naungan arasy Engkau Ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkanlah kesilapan zohir dan batin semasa kami dijalankan hisab, hisabkanlah kami Ya Allah dengan hisab yang sedikit, berilah peluang kepada kami untuk mendapat syafaat nabi kami Muhammad saw.

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hambaMu ini hamba yang berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amal dengan tangan kanan.

Ya Allah Ya Tuhan kami,berilah kesempatan kepada kami meminum air kolam nabi kami Al-Kauthar, selamatkan kami semasa menyeberangi titian Sirotal Mustaqim dan masukkanlah kami ke syurgaMu bersama-sama orang-orang yang mulia di sisiMu Ya Allah.

La Haula Wala Quwwata Illa Billahil Aliyyul Azim

Ya Allah Ya Tuhan kami, apalah kiranya Engkau akan lakukan pada petang dan ketika ini kepada seorang hambaMu yang hina yang mengaku berdosa dan bersalah, yang merayu kepadaMu di atas kejahatan, yang bertaubat kepadaMu kerana dosanya, yang memohon keampunan kepadaMu kerana kezalimannya, yang mengharap kemaafanMu kerana kesilapannya, yang merayu kepadaMu supaya tercapai segala hajatnya, yang mengharapkan kelimpahan rahmatMu pada tempat wukuf ini walaupun dengan dosa yang begitu banyak laksana buih di lautan.

La Haula Wala Quwwata Illa Billahil Aliyyul Azim

Ya Allah Ya Tuhanku, pancarkan cahaya kepada pandangan, lapangkanlah dada, amalkan dengan melancarkan dengan lidahku kuatkan dengan ingatan, mudahkan dengan kefahaman, kuatkanlah dengan daya dan kekuatan Engkau, maka sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Engkau, wahai Tuhan yang Maha Pengasih.

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami yang sentiasa menyedari akan hakikat ketuhanan dan keagungan kerajaan Engkau dan masa depan kami di akhirat kelak

Ya Allah Ya Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami ini, mustajabkanlah doa kami ini Ya Allah, dengan berkat nabi kami, Muhammad saw dan dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas kepadamu Ya Allah.

Aamen Ya Rabbal Alameen.

Masjid Kubang Kacang
Disember 2015

Al-Khafid

Asma Ul-Husna 23

Al-Khafid ertinya Allah Maha Penghina atau Maha Merendahkan, yang Maha Menurunkan.

Zat Yang Merendahkan dan Maha Penghina

Sebahagian ulama berpendapat bahawa  sifat al-Khafid adalah bukti amat berkuasanya Allah menghinakan atau merendahkan sesiapa sahaja pada bila-bila masa yang disukaiNya sesuai dengan ilmuNya.

Dalam pengertian inilah terdapat ayat al-Quran Surah Al-Waaqi’ah yang bermaksud : (Kejadian ini akan) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan lain). Ertinya, merendahkan orang-orang kafir yang ditempatkan pada darjat tertinggi neraka dan meninggikan orang-orang beriman yang ditempatkan di darjat tertinggi syurga.

Al-Khafid adalah Zat yang merendahkan para penindas dan penguasa yang zalim, menurunkan kedudukan mereka, dan menghinakan mereka. Dia merendahkan sesuai dengan kemahuan dan iradatNya.

Al-Khafid adalah Zat yang merendahkan, melalui penghinaan, mereka semua yang memandang diri mereka sendiri sebagai besar, sombong dan egois. Dia merendahkan seluruh bangsa. Dia merendahkan kepalsuan.

Al-Khafid adalah Zat yang merendahkan darjat semua orang yang menderhakainya, yang menghina semua orang yang dimurkaiNya, yang merendahkan darjat orang-orang yang patut diperlakukan demikian.

Dia menghinakan orang-orang kafir. Dia menghinakan orang-orang musyrik. Dia merendahkan orang-orang kafir dengan membukakan kepada mereka penderitaan dan dengan menyingkapkan kepada mereka kehancuran.

Al-Khafid adalah Zat yang menurunkan kedudukan orang-orang yang tidak mengimaniNya, yang sombong, para pendusta dan menyeleweng jauh dari jalanNya.

Sifat manusia yang keduapuluh tiga ialah rendah diri (tawaduk)

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang keduapuluh tiga dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah bersikap merendah diri (tawaduk)

Sikap tawaduk merupakakan sifat hamba Allah yang sebenar, yang merupakan sikap para nabi, rasul dan wali-wali Allah. Sikap merendah diri adalah sikap utama orang-orang pilihan di sisi Allah.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010

Monday, February 1, 2016

Maulid Daiba’i ....bahagian 8

Hadis yang kedua dari Ata’ bin Yasar dari Ka’ab Al-Ahbar katanya: Ayahku pernah mengajarku kitab Tsurat, tetapi ada satu lembaran dari kitab itu ditutupnya dan dimasukkannya dalam peti. Apabila ayahku telah mati aku buka peti itu, aku lihat dalam lembaran itu tertulis: Akan datang seorang nabi di akhir zaman, lahirnya di Makkah, hijrahnya ke Madinah dan kekuasaannya tegak di Syam. Ia menggunting rambutnya dan memakai kain separas pinggangnya.Ianya sebaik-baik nabi dan umatnya sebaik-baik umat. Mereka berbaris dalam sembahyang seperti barisan mereka dalam peperangan. Isi kitab yang diberi kepada merekaMereka memuji Allah dalam semua keadaan susah dan senang.

 Sepertiga dari mereka masuk Syurga tanpa hisab. Sepertiga lagi datang dengan dosa dan kesalahan lalu diampunkan mereka. Dan sepertiga lagi datang membawa kesalahan yang sungguh besar, maka Allah memerintahkan malaikat: Wahai malaikatKu, pergilah timbang amalan mereka itu. Maka kata para malaikat: Ya Tuhanku, kami dapati mereka telah melampaui menganiayai diri mereka dan kami dapati kerja-kerja dosa mereka itu seperti gunung besarnya, hanya mereka mempersaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah.

Ya Allah Ya Tuhanku cucurilah rahmat dan kesejahteraan dan keberkatan ke atasnya.
Aameen.

Ustaz Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & daiba’i
2008

Kemahiran teknologi

1. Memilih teknologi: Mempertimbangkan prosedur / tatacara,peralatan teknologi atau mesin termasuk komputer dan programnya yang mendatangkan hasil yang diharapkan
2. Mengaplikasikan teknologi dalam tugasan: Memahami tujuan dan peraturan kerja yang betul secara keseluruhan untuk memulakan dan menggunakan mesin-mesin termasuk komputer dan sistem pengaturcaraannya
3. Menyelenggara dan membaiki kerosakan teknologi: Mencegah,mengenal pasti atau menyelesaikan permasalahan pada mesin, komputer dan alat teknologi lain


Wallahu alam.

Pelajaran 50 .......bahagian 6


Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Dan keluarkan  di dalam hatimu akan kasih kepada dunia dan takut olehmu akan hilang ilmumu dan amalmu yang telah engkau berlelah dan payah dan susah dalam empat lima  enam puluh tahun dan ingatkan olehmu akan kisah seorang lelaki daripada kaum bani Isra’il yang telah menghimpunkan lapan puluh peti kitab hingga menurun oleh Allah Taala akan wahi kepada nabi : Khabarkan olehmu kepada lelaki yang menghimpunkan lapan puluh peti kitab. Jikalau ia menghimpun banyak daripada yang demikian itu sekalipun, maka tiada memberi manfaat oleh Allah Taala akan ilmunya, melainkan dengan mengamalkan ia tiga perkara:

1. Jangan engkau kasih akan dunia
2. Jangan engkau sakit akan hati manusia
3. Jangan engkau bersahabat dengan raja-raja seperti yang telah tersebut dahulunya.

Hai budiman, sayangkan olehmu akan dirimu dan janhgan engkau jualkan akan akhirat dengan duniamu kerana dunia itu negeri yang hina lagi fana dan akhirat itu negeri yang amat mulia lagi baqa’ dan sebut olehmu;  Bermula dunia itu buruk busuk dan yang menuntut dunia itu anjing.

Dan jangan engkau seperti anjing.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,

Al-Hidayah, 2007

Isteri dan bantal peluk


Alangkah malangnya
bila isteri disamakan
dengan sebuah bantal peluk
hanya didatangi ketika ingin tidur
dipeluk dimanja sementara lena
bila terjaga ditinggal sepi
hingga malam datang lagi.

Isteri terbiar dan merana
punya perasaan hati dan jiwa
ingin sekali dibelai kasih suami
berbicara luah rasa hati
namun suami tidak di sisi
saban hari setia menanti
sepi membungkus diri
terasa siang terlalu lama
menunggu malam tiba.

Wahai suami
tolonglah mengerti
isteri juga manusia biasa
bukan patung bernyawa
dia punya  hati dan perasaan
punya keinginan dan impian
punya hak dan amanah
disebut dalam al-Quran dan sunnah.

Selagi terbelit ikatan nikah
punya tanggungjawab dan amanah
zahir batin diberi nafkah
melayannya secara berhemah
suami adalah ketua keluarga
isteri membantu urusan rumahtangga
mendidik anak dan asuhan agama
bersama mengumpul harta benda
pupuk rasa hormat dan mesra
itulah saranan tuntutan agama
janganlah kita terlekat.

Wanrazuhar
Kuala Lumpur
Mingguan Malaysia
10 Jan 2016

Kami milikMu

Allah…
Kaulah yang memiliki segala kesempurnaan
Kami bermohon padaMu ya Allah
Limpahkanlah kasih sayangMu kepada kami

Allah…
Engkau mengetahui bahawa kami adalah lemah lesu
tika ujian bertandang dan tidak henti-henti menduga
namun kami yakin bahawa kami masih ada Tuhan
tempat untuk berpaut dan meletakkan setinggi harapan
kami memohon kurniakan kekuatan dalam diri
agar kami teguh menghadapi ujian dari segenap sisi

Allah…
Dakwah dan perjuangan ini tidak akan sesekali terhenti
Segala onak dan duri telah kami lalui
Semuanya kami lakukan bukan kerana diri semata-mata
Namun semuanya keranaMu duhai Ilahi
Untuk kami menyatakan rasa rindu bertemu denganMu
Yang entah bila akan tiba detiknya

Ya Allah…
nun di sana akhirat namanya
di situlah kami yakin tempat tinggal yang abadi
bukannya di sini,hanya tempat kami diuji
berbekalkan iman, segalanya akan kami tempuhi

Allah…
Kau berjanji akan menganugerahkan kami
janjiMu, firmanMu tidak pernah mungkir janji
kami mohon kurniakanlah kekuatan dalam diri
agar kami teguh menghadapi ujian walau dari segenap sisi

Allah…
jangan Kau biarkan kami terpesona dengan diri
jangan biarkan kami tenggelam dalam kenikmatan diri
dan janganlah pernah Kau tinggalkan kami
tika kami terlalu memerlukan petunjuk dan hidayahMu

Allah…
ampunkanlah dosa kami
hilangkanlah segala gundah di jiwa kami
jadikanlah kami sebagai hamba yang mentaatiMu
tika suka mahupun duka,tika bahagia juga derita
kerana kami hanya milikMu, duhai Ilahi…..

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bicara ini demi Ilahi,2013

Al-Basith

Asma Ul-Husna 22

Al-Basith ertinya Allah Maha Melapangkan segala sesuatu sebagaimana firmanNya bermaksud:

Bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (mabsuthatani). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia kehendaki
(Al-Maidah: 64)

Zat Yang Maha Melapangkan
Al-Basith adalah sifat Allah istimewa di mana Dia berkuasa melapangkan segala sesuatu sesuai dengan kehendakNya tanpa sesiapa pun yang dapat menghalangnya. Kata bendanya adalah Inbisath, yang ertinya melepaskan kesederhanaan, manakala al-Basitha bermakna pembentangan tanah, Basth pula ekspansi atau penyebaran.

Al-Basith adalah Zat yang memuaskan jiwa-jiwa dengan menjadikan mereka bahagia dan puas. Dia adalah Zat yang menanamkan benih-benih kehidupan dalam tubuh-tubuh untuk menandai awal kehidupan di dalamnya. Pada hari kebangkitan, Dia mengembalikan kehidupan mereka untuk menunjukkan kepada manusia di hari akhirat, apa yang biasa mereka lakukan selama kehidupan sementara di dunia ini.

Sifat manusia yang keduapuluh dua ialah lapang dada dan redha

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang keduapuluh dua dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah mempunyai sifat lapang dada dan redha.

Salah satu pengertian Al-Basith adalah mengungkapkan kesenangan dan kebahagiaan, kegembiraan atau kesenangan, yang bererti juga redha.

Menurut sebuah hadis, rasulullah saw telah bersabda: Fatimah adalah bahagian dari diriku. Apapun yang membuatnya redha, membuatku redha dan apapun yang menjadikannya tidak redha, membuatku tidak redha juga.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010
ms 54-55