Monday, August 31, 2015

Kurikulum

Penyataan Dasar

Menyediakan program pendidikan termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta menanam dan mempertingkat nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.

Wallahu a’lam.

Dasar Pendidikan KPM
YGM, 2008

Papan tanda tanah airku

Kalian enak membeli papan tanda tanah airku
dan para penghuni menjual air mata milik bangsanya

Terpacak papan tanda memberi makna
tanah air milikku
sedang dijatuhkan dari jalan
lorong dan susur
aku keluar dari kota
pecan-pekan kecil makin tidak dikenali
apatah anakku semakin sukar
mengeja nama bangsanya.

Anjan Ahzana
Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Mingguan Malaysia
23 Ogos 2015

Doa Ust Hj Muhamad Mustafa

Bahagian 3

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami hati yang sentiasa menyedari akan hakikat KetuhananMu dan KerajaanMu dan masa depan kami di akhirat nanti.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami ini hambaMu yang mengabdi diri kepada Engkau dengan sebaik-baiknya; berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami, supaya dapat kami melakukan segala yang diperintah oleh Engkau dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Engkau.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat nanti dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas mati.

Aameen.

Masjid Abu Bakar Assiddiq,
Bangsar Kuala Lumpur
1 Dis 1988.

Sunday, August 30, 2015

Keberanian

Esei 69

Dia adalah seorang yang pernah keciciran sekolah, kemudian doa menjadi muflis di kedai kecilnya dan telah mengambil masa 15 tahun untuk menjelaskan hutang piutang. Dia kalah dalam 18 pemilihan, menghadap masalah-masalah fizikal, diserang oleh akhbar dan dibenci oleh separuh negara. Akhirnya dia menjadi Presiden Amerika Syarikat. Tempoh pemerintahannya adalah tempoh paling berdarah dalam sejarah negara. Dia menempuhnya dengan ketabahan secara berterusan. ...itulah Abraham Lincaln.

Ketabahan satu bentuk keberanian yang luhur.

Wallahu a’lam.


100 Esei Inspirasi & Motivasi Untuk Pelajar

Ikrar kita sempena merdeka

Ikrar kita:
Inilah satu-satunya Malaysia
bukan dua bukan tiga
bukan sepulau di sini
sepulau di sana
tetapi sebuah negara merdeka
sebuah negara tercinta
berdaulat di dalam dada semua warga
bertakhta di dalam raga semua kita
 
ikrar kita:
Wibawa Malaysia wibawa di raja
rakyatnya cinta aneka bangsa
dipelihara rukun saksama
diperkasakan oleh perpaduan
didewasakan oleh perbezaan
dimuliakan oleh tata susila
bunga bunga zaman

ikrar kita:
Kemajuan Malaysia tetaplah perjuangan
ditunjangi kreativiti dipaksi inovasi
bermati-matian mengemblengkan
nilai tambah dan budaya tinggi
berteraskan budi murni bakti suci
berwadah bestari
semi pertiwi dan ilahi

ikrar kita:
tetaplah satu Malaysia
rakyat dibahagiakan
negara disejahterakan.

Ramlah Abd Wahab
Desa Alam, Shah Alam
Mingguan Malaysia
23 Ogos 2015

Doa Ust Hj Muhamad Mustafa

Bahagian 2

Ya Allah Ya Tuhan kami. Engkau sahajalah yang mengetahui kelemahan diri kami zahir dan batin, berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki diri kami, tambahkanlah Ya Allah kepada kami ilmu, iman dan amal; hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan kepada Engkau iman yang sempurna, ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang halal, anak yang soleh, rumah tangga yang bahagia, usia yang berkat, doa yang mustajab, hajat yang tertunai, kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, keselamatan di dunia ini dan di akhirat nanti.

Ya Allah Ya tuhan kami, Engkau sahajalah yang mengetahui segala yang terbuku di hati kami, hidupkanlah hati ini dan sampaikanlah hati ini kepada Engkau, sembuhkanlah segala penyakit yang berada di hati kami, selamatkanlah hati kami dari sifat-sifat yang keji dan jauhilah kami dari perkara-perkara yang boleh mematikan hati-hati kami.

Aameen.

Masjid Abu Bakar Assiddiq,
Bangsar Kuala Lumpur
1 Dis 1988.

Saturday, August 29, 2015

Tekanan, kebimbingan, ketakutan dan kemelesetan

Esei 68

Langkah-langkah Dalaman :

1. Mengubah sikap anda. Lihatlah kehidupan dalam perspektif betul dan sihat, Berkatalah kepada diri sendiri: Inilah satu-satunya kehidupan yang saya ada. Saya tidak akan mendapat satu peluang kedua. Saya menerima benda-benda yang saya ubah dan tidak tetepi terdapat peluang berterusan untuk bergembira dan saya adalah berhak terhadapnya.

2) Mencari satu makna baru dan tujuan dalam hidup.

3) Ketabahan

4) Kasih sayang dan kemesraan. Semua bentuk tekanan dan penyakit adalah pengajaran dalam kasih sayang.

5) Sikap ingin tahu. Lihat dan cari kebaikan di mana-mana sahaja. Kasih kepada yang tidak dikenali dan tidak diduga.

6) Berahi dan ghairah. Ia menambah semangat, tekad dan tenaga untuk kehidupan anda

7) Muzik, rehat dan tidur sejenak

8) Pemakanan, sandaran dan daya hidup. Ketakutan adalah zahir daripada keletihan dan kesepian. Jangan sedihkan diri anda dengan khayalan.

9) Keriangan, berjenaka dan optimisme. Kebimbangan adalah faedah bunga yang dibayar ke atas kesukaran sebelum ia muncul ikut jangkaannya. Harapan dan optimis adalah keperluan-keperluan sebenar.

10) Visualisasi, pengesahan dan doa. Ya Tuhan, Engkau adalah teman setiaku, sumber yang menjadi pedoman. Anugerahiku dengan kejelasan, keberanian, kepuasan, ketenangan dan kawalan.

Wallahu a’lam.

100 Esei Inspirasi & Motivasi Untuk Pelajar

Sewaktu Ogos Meranumkan Harum Merdeka

Sekebun setanggi mewangi lagi di batas Ogos ini
Ketika pucuk-pucuk kemerdekaan bertunas
Di batas hari menumbuh tegak sepohon semangat
Di bumi legasi keramat
Di taman hijau sejarah yang pernah membuah
Ranum kisah yang terakam
Di atas lembar naskhah manuskrip ibunda

Telah kita hirup sesegar flora tercinta
Di kebun wangsa
Tatkala panji kemerdekaan terbuka mengibar
Di puncak angkasa raya
Tiada lagi bendalu liar
Yang mengoyak akar
Warga dengan api dan jelaga
Sehingga tumit kerukunan kita terluka
Oleh duri runcing derhaka
Di dusun rusuh peranda.

Sehektar ladang pertiwi
Jangan sesekali
Kau tabor racun proksi
Sehingga nyala api membakar malar negeri
Dengan marak desir revolusi
Kerana janji kita untuk melukiskan matahari
Demokrasi hingga ke hujung hayat nanti
Di kanvas berwarna warni ini.

Husna Nazri
Kemaman
BH 23 Ogos 2015

Doa Ust Hj Muhamad Mustafa


Bahagian 1

Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maaflah kesilapan kami zahir dan batin.
Ya Allah ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa keluarga kami, dosa masyarakat kami dan dosa keseluruhan umat Islam yang telah mati dan yang masih hidup.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan apa yang telah dipohonkan oleh rasulullah saw dan kami meminta perlindungan dari apa yang pernah diminta perlindungan oleh rasulullah saw.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan syurga tanpa hisab dan berlah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat melakukan segala perkara yang boleh membawa kami ke arahnya, selamatkan kami Ya Allah dari sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.

Aameen.

Masjid Abu Bakar Assiddiq,
Bangsar Kuala Lumpur
1 Dis 1988.

Friday, August 28, 2015

Doa di ambang merdeka & perjalanan suci Tetamu Allah


Bismillah ir-Rahman ir-Rahim.

Ya Allah Ya Tuhan kami
lihatlah para hambaMu ini  Ya Allah,
yang sedang menadahkan telapak tangan ini Ya Allah.
dan kami angkat tangan ini Ya Allah
tanda kami merayu kepadaMu Ya Allah

Ya Allah Ya Tuhan kami,
dengarlah daripada kami ini .
 dengarlah bicara hati-hati kami ini Ya Allah
 Ya Allah.Ya Tuhan kami
 jadikanlah hidup kami untukMu Ya Allah.
jadikanlah seluruh perlakuan kami
untuk mendekatkan diri kepadaMu Ya Allah

Ya Allah Ya Tuhan kami
kerana kami yakin dan tahu
sesungguhnya tidak ada orang yang tidak kembali kepadaMu Ya Allah
kehidupan ini kami sedar sebuah kehidupan yang sementara Ya Allah
kerana Engkau ingin uji kami Ya Allah
luluskanlah ujian ini Ya Allah
janganlah kami salah dan tewas di dalamnya Ya Allah
Ya Allah Ya Tuhan kami
jadilah kami orang yang senentiasa mendekatkan diri denganMu Ya Allah

Ya Allah ada di kalangan kami
yang Engkau jemput datang dekat dengan  rumahMu Ya Allah
maka Ya Allah Ya Tuhan kami
jadikanlah langkah-langkah kami
langkah yang penuh dengan kesedaran Ya Allah
talbiah-talbiah kami adalah penuh keinsafan
dan merayu keampunan daripadaMu Ya Allah
wukuf kami adalah berhenti hati kami
buat kami mencari redha dan kasih sayang daripada Mu Ya Allah
tawaf kami ertinya kami benar ingin dekat dengan Engkau Ya Allah
saei-saei kami adalah  saei bagaimana hendak merasai
bagaimana hati-hati orang yang telah merasai dekat kepadaMu Ya Allah

Ya Allah Ya Tuhan Kami Ya Hanan Ya Manan Ya Dzal Jalal wa Ikram

Seandai Engkau bertanya kami  tentang dosa kami Ya Allah
kami tidak mampu untuk menjawabnya
kerana dosa kami terlampau banyak Ya Allah
maka kerana itu Ya Allah
Engkau Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang Ya Allah

Ampunkanlah  dosa kami Ya Allah
Ampunkanlah dosa kami Ya Allah
Ampunkanlah dosa kami Ya Allah

kerana sesungguhnya dosa ini andainya tidak Engkau ampunkan Ya Allah
dialah menjadi teman yang paling keji di alam barzakh buat kami Ya Allah
dia menjadi pemberat, menambat kaki-kaki kami
yang menarik  nun jauh ke lubuk neraka jahanam
hanya kesempatan hidup inilah
buat kami memohon ampun dosa ini Ya Allah

Ya Allah nanti, saat kami tidak boleh lagi berdoa
kerana kami menjadi ahli kubur Ya Allah
pada saat itu Ya Allah
doa pada petang ini dengarkanlah Ya Allah
rahmatilah kami saat kami telah menjadi ahli kubur Ya Allah
rahmatilah kami saat kami telah menjadi ahli kubur Ya Allah
rahmatilah kami saat kami telah menjadi ahli kubur Ya Allah

Andai ada ayah dan ibu kami
yang telah Engkau jemput pulang alam barzakh Ya Allah
kami mendengar nabiMu bersabda:
tidak adalah orang yang mati itu Ya Allah
seperti orang yang lemas menggapai memohon pertolongan Ya Allah
jadikanlah doa kami pada saat ini ialah pertolongan buat mereka Ya Allah
jadikanlah doa yang sedikit ini menjadi pertolongan buat mereka Ya Allah
jadikanlah doa yang sedikit ini menjadi pertolongan buat mereka Ya Allah
jadikanlah doa yang sedikit ini menjadi pertolongan buat mereka Ya Allah
santunilah mereka Ya Allah
layanlah mereka dengan sebaik-baik layanan buat mereka Ya Allah
di alam barzakh Ya Allah
dan nanti saat kami juga tidak lagi mampu berdoa seperti ini Ya Allah
Engkau geraklah hati anak-anak kami  untuk berdoa buat kami Ya Allah
rakan kami buat kami  Ya Allah
kerana sesungguhnya kehidupan itu
lebih bererti daripada kehidupan ini Ya Allah
sesungguhnya akhirat itu lebih utama
berbanding dengan kehidupan sementara ini Ya Allah

Ya Allah Ya Tuhan kami
kasihilah seluruh saudara-saudara kami Ya Allah
Ya Allah selamatkan negara kami ini Ya Allah
selamatkanlah negara kami ini Ya Allah
makmurkanlah negara ini Ya Allah
jadikanlah setiap inci buminya adalah baldatun thoyyibatun wa robbun ghofur
jadikanlah setiap inci tanahnya Ya Allah
bau yang keluar dari tanahnya Ya Allah
cahaya yang terpancar dari cahaya bumi ini Ya Allah
tempat di mana Engkau memberikan pengampunan buat bumi ini Ya Allah.

Aameen.

Ust Zul Ramli M. Razali
Usrah Nurani , Radio IKIMfm
28 Ogos 2015

Mengendalikan kekecewaan dan kegagalan

Esei 67

1. Tumpukan pandangan anda terhadap impian-impian dan destinasi dengan kepercayaan dan keazaman. Percayalah bahawa kejayaan adalah milik anda dan masalah yang akan menentukannya. Jangan sesekali putus asa. Bangun sekali lagi daripada biarkan diri kita jatuh
2. Mempunyai kekuatan dan penuh keyakinan terhadap tenaga dalaman anda
3. Lihatlah kebaikan dan kebahagiaan di merata-rata tempat, malah sedikit bantuan, ketenangan jiwa, tarikan atau ganjaran. Cari sinar harapan
4. Tidak negatif dan kasihan pada diri. Sebaliknya jimatkan tenaga untuk digunakan dalam peretempuran hidup
5.Mengiakan harga diri anda, imej kendiri, bakat dan kaliber
6. Suaikan dengan perubahan, sentiasa memerah otak, mengetuk dan terus melangkah
7. Huluran tangan terutamanya bagi menjalin hubungan-hubungan yang dapat memperkaya kehidupan anda
8. Fokus ke luar, bantulah orang-orang lain dan dapatkan bantuan sebagai ganjaran
9. Mengatasi pagar-pagar halangan dengan optimis dan semangat kesukaran atau permainan yang tinggi
10. Mempunyai satu keinginan yang kuat untuk menghadapi dan mengatasi pengalaman dan mempelajari daripadanya.

Ernerst Hemingway mencatat, dunia memecahkan semua orang dan selepas itu ramailah yang kukuh dan mengisi ruang-ruang di tempat-tempat yang dahulunya rosak. Thomas Watson menulis, kegagalan adalah guru – yang garang, mungkin tetapi yang terbaik......Anda mesti menggunakan kegagalan supaya berkerja untuk anda......di mana anda akan menemui kejayaan.

Wallahu a’lam.

100 Esei Inspirasi & Motivasi Untuk Pelajar

Prinsip Pembelajaran Abad 21

 

1. Pengajaran berpusatkan murid
2. Pembelajaran secara kolaboratif
3. Pembelajaran secara kontekstual
4. Intergrasi dengan masyarakat

Wallahu a’lam.

Pedagogi Bahasa Malaysia Abad 21
MBMMBI, KPM 2015, ms 11-13



Tanah ini merdeka


Tanah ini lahir dari air mata
telah disempurnakan oleh waktu
antara impian dan realiti perjalanan
dari akar  sejarah  yang berselirat.

Tanah ini bumi kita
tanah ini padang pahlawan sakti
subur dari darah dan air mata
tanah merdeka ini dari bahasa janji.
 
Tanah ini dari mahar dan cinta
dalam indah bahasa merdeka
bumi milik kita antara peluk setiakawan
penuh kasih sayang ilmu Tuhan.

Tanda merdeka ini
siapa yang mentafsir
untuk membebaskan jiwa
dalam ikatan celaruan

MAMU MK HASNI
Seri Manjung Perak
Mingguan Malaysia
2 Ogos 2015

Ya Allah Ya Tuhan kami, merdekakanlah kami dari azab nerakaMu. Keluarlah kami dengan benar. Masukkanlah kami dengan benar. Dekatkan kami denganMu. Kembalikan kami padaMu dengan kebaikan dunia dan akhirat. Rahmatilah negara  Malaysia  kami yang merdeka.  Aameen.

Thursday, August 27, 2015

Amalan Pengurusan dalam PdP Abad 21





1. Komunikasi Isyarat (The Quiet Signal)

2. Papan Putih Mini

3. Program Bintang

Wallahu a’lam.

Pedagogi Bahasa Malaysia Abad 21
MBMMBI, KPM 2015, ms 18

REZKI DATANGNYA DARI ALLAH

Mengapa tidak menjadi Yang Berhormat ?
nasib belum ada
untung nasib yang telah dijanjikan Allah
tidak siapa yang tahu

walaupun pintar berbakat
walaupun berpengetahuan banyak bertingkat
walaupun bijak berkurapak
walaupun berniat untuk menjadi pejuang sejagat
walaupun pandai bersiasah dan bermaklumat

siapa hendak tahu siapa?
kalau belum rezeki, jangan terasi-asi
jangan terpinta-pinta
jaga prinsip pemalu dan awar bergalat
jangan sampai mengaibkan diri sendiri
apa jua dalam serba serbi mesti bersabar
iman sabar harus menjadi pegangan
sisik ayam dapat dilihat
tuah manusia nasib dan buruk, hanya ketentuan
dan
keadaan, patuhi kedaulatan dan kemerdekaan
negara

elakkan bermimpi dan berangan-angan
disiang hari
siapa kita? Kenalkah orang siapa kita?
fikirkan positif dan lojika dan taati pentadbiran
negara
lebih baik pakai cermin muka
kaya miskin dari Tuhan dan rezeki
masing-masing
berusaha harta dan pangkat tidak akan datang
bergolek
kebahagian tanpa usaha tidak akan datang
melayang
amankan negara jangan dengkikan sesiapa
jangan diamalkan menambah dosa untuk
menikam orang dari belakang
musuh negara dan musuh masyarakat adalah
rasuah, penghasut, pembohong, jahat dan
munafik
ini...sifat-sifat paling bahaya di dalam
masyarakat ramai

syukuri, nikmati rezeki yang ada walaupun
sedikit, dan
sedarhana
ikuti selalu nasihat pemimpin kita ke arah
kebaikan
dunia dan akhirat, jangan amalkan duniawi

Hj. Mat Noor Matussin @ Sagap
Pelita Brunei
15 Jun 2015.

Wednesday, August 26, 2015

Misteri Angkut-angkut

Di sebalik jeriji besi
sebuah tingkap
kulihat kau gigih bina istana
kauangkut liat tanah terpilih
yang dicairkan kudrat liurmu

berhari kuperhatikan
kauterus bekerja
yakin dengan upaya
berdikari
tanpa jemu
sesekali kucuba bantu
cairkan liat tanahmu
yang dipunggah
biarpun kutahu
kau tidak menyukainya

petang itu
kutercari-cari
kehilanganmu
tanpa dengung suara
menukangi rumah yang belum siap
dan alangkah bersendunya
bila melihat kau kering
tersepit oleh apitan tingkap
tanpa sempat
mendiami rumah barumu

apakah mungkin
aku juga akan jadi sepertimu
sibuk membina impian
tanpa sempat
mengecapinya?

Asmui Mustapa
Kuantan, Pahang
Mingguan Malaysia
2 Ogos 2015

Ciri-ciri Kerja Sepasukan Yang Cemerlang

1. Tujuan yang jelas
Visi, misi matlamat kumpulan telah dibentuk dan dipersetujui oleh semua. Pelan tindakan diwujudkan

2. Secara informal
Persekitaran menjadi lebih selesa, santai dan lebih  informal. Tidak wujud situasi tegang ataupun kebosanan

3. Penglibatan
Semua pihak digalakkan untuk memberi input dan wujud suasana perbincangan

4. Dengar dengan teliti
Setiap ahli dalam kumpulan akan menggunakan teknik mendengar yang berkesan seperti soal jawab, merumus dan memudahkan (parapharase) untuk mendapatkan idea

5. Penolakan yang beradab
Setiap kumpulan masih selesa dan tidak menunjukkan isyarat mengelak walaupun wujud perbezaan

6. Persetujuan bersama
Setiap pihak bersepakat setelah dibincang dan diperdebat secara terbuka bagi mencapai suatu keputusan yang sangat penting
 
7. Komunikasi dua hala dan kepercayaan
Setiap kumpulan bebas melontar pendapat pada tugasan atau pada tindakan kumpulan, berteraskan kepercayaan yang tinggi dan komunikasi berlaku tanpa halangan

8. Tugasan dan peranan yang jelas
Wujud jangkaan yang tepat mengenai peranan setiap ahli kumpulan. Apabila tindakan diambil tugasan dibuat dengan jelas, diterima dan dilaksanakan. Tugasan diagih secara adil dan saksama

9. Gaya yang pelbagai
Kumpulan dalam organisasi mempunyai gambaran mengenai kepelbagaian keupayaan setiap ahli seperti berupaya menetapkan matlamat, berfokuskan proses yang memberi penekanan kepada tugasan dan sebagainya.

10. Penilaian kendiri
Secara berkala, pasukan tersebut akan meneliti keberkesanan fungsi dan melihat sebarang kemungkinan yang menganggu kelancarannya.

Wallahu a’lam

Norazana binti Mohd Nor & Siti Zainun binti Zainuddin
PrOD, IAB, 2011

Saturday, August 22, 2015

Kepimpinan Transformasi


Kepimpinan Transformasi sering dikaitkan dengan gaya kepimpinan yang efektif dan boleh mengubah persepsi dan motivasi staf serta membawa kecemerlangan kepada sesebuah organisasi (Bass, 1985)

Pemimpin ini adalah seorang yang dapat menjadikan staf saling bekerjasama dan tidak hanya bergantung kepada pemimpin untuk menyelesaikan masalah. Kepimpinan Transformasi meletakkan tahap kepercayaan antara pemimpin serta orang bawahannya tinggi dan semua bertanggungjawab dalam memajukan organisasi.

Kepimpinan ini juga mewujudkan peluang di anta staf untuk berkerjasama dan berkongsi kuasa dengan mereka. Ini dapat dilaksanakan apabila seorang atau lebih pemimpin dan staf saling bantu membantu dan dapat meningkatkan keupayaan mereka ke tahap yang lebih tinggi (Darling-Hammond et al.2010, Bass & Riggio, 2006).

Untuk mengoptimumkan gaya kepimpinan, pemimpin menurut Darling-Hammond(2010) perlulah:
a) Menetapkan haluan / hala tuju dengan menetapkan visi dan tujuan
b) Menerapkan kepercayaan dan budaya saling percaya mempercayai
c) Memberi sokongan secara langsung dan tidak langsung untuk meningkatkan prestasi
d) Memperkembangkan dan memudah cara PdP dan
e) Meningkatkan prestasi sekolah melalui komuniti pembelajaran

Pemimpin Transformasi juga berkebolehan:
a) Menyampaikan visi
b) Menggalakkan staf berfikir secara intelektual dan
c) Menangani perbezaan individu.

Menurut Pounder (2003) dan Burn (1978) terdapat 4 Dimensi Kepimpinan Transformasi iaitu:

1. Dimensi karismatik – Pemimpin akan menyediakan visi, dihormati, dipercayai dan meningkatkan keyakinan diri.
2. Dimensi bertimbang rasa secara individu – Pemimpin akan membimbing, menyediakan maklum balas dan melaraskan keperluan staf dengan misi organisasi. Setiap individu diambil kira keperluan dan perkembangan profesional mereka
3. Dimensi stimulasi intelektual – Pemimpin menggalakkan staf untuk berfikir dan menilai semula keadah melaksanakan tugas dan menyelesaikan masalah dan
4. Dimensi motivasi inspirasi – Pemimpin adalah model, berkeyakinan dan berkebolehan untuk mencapai misi dan visi organisasi.

Wallahu a’lam.

Nor Rajiah bt Ahmad Dawa
PrOD, IAB, 2011

Kupohon sepohon tabah

Pelbagai musibah yang bertandang
mengundang hiba berbau gundah
jelmakan tafsirtan kesedihan
seolah tiada lagi sayang
bertandang
mewangikan perjalanan
kehidupan.

Tanamlah sepohon tabah di taman hati
buat berteduh
tatkala ada musibah pagari dengan sabar
yang utuh
agar pohon tabah mencengkam kukuh
tak goyah
tatkala bertandang ujian.

Berteduhlah di bawah pokok tabah
upaya menyejukkan hati gundah
upaya menerima segala ketentuan
bukannya mencari kekesalan.

Pohon tabah yang rendang          
bajai setiap masa dan ruang
agar tenang tatkala ditimpa ujian.

Kamarulzaman Ismail
Kuala Terengganu
Mingguan Malaysia
2 Ogos 2015

Thursday, August 20, 2015

Pemimpin 360 darjah

Pemimpin 360 darjah adalah orang yang mampu mempengaruhi orang di sekelilingnya yang terdiri daripada orang atasannya (ketua), rakan sejawat dan orang bawahan.  Maxwell (2005) menjelaskan bagi memenangi hati sesiapa sahaja, orang itu perlu berpengaruh kerana pemimpin sebenar adalah pemimpin yang berpengaruh, tidak lebih dan tidak kurang. Pemimpin 360 darjah dapat dicapai oleh sesiapa sahaja yang sudah memiliki kemahiran memimpin tahap sederhana atau yang lebih baik dan hanya perlu berusaha.

Lima nilai yang perlu ada pada Pemimpin 360 darjah iaitu :
1. Pasukan pemimpin lebih berkesan daripada seorang pemimpin
2. Pemimpin diperlukan di setiap peringkat
3. Berjaya memimpin di satu peringkat melayakkan kita memimpin di peringkat seterusnya
4. Pemimpin yang cemerlang di peringkat pertengahan menjadi pemimpin yang hebat di peringkat atasan dan
5. Pemimpin 360 darjah memiliki kualiti yang diperlukan oleh setiap organisasi

Manakala prinsip-prinsip Pemimpin 360 darjah dapat digambarkan sebagai

Memimpin Pihak Atasan
Memimpin Rakan Sejawat
Memimpin Orang Bawahan
1. Penampilan diri
2. Ringankan beban kerja ketua
3. Sanggup melakukan kerja orang lain
4. Pimpin organisasi
5. Memupuk hubungan yang serasi
6. Bersedia setiap kali berdepan dengan pemimpin
7. Mengetahui bila perlu mendesak dan bila perlu mengalah
8. Menjadi orang harapan
9. Jadikan diri kita hari ini lebih baik dari semalam.
1. Memahami, mengamalkan dan melengkapkan pusingan kepimpinan
2. Utamakan pemimpin yang cekap bukan menentang
3. Bersahabat dengan mereka
4. Jauhi pilitik pejabat
5. Ramaikan kenalan
6. Rangsang idea yang baik
7. Jangan berlagak sempurna

1. Perlahankan langkah semasa berjalan ke dewan
2. Anggap mereka semua sempurna (10/10)
3. Kembangkan potensi anggota pasukan
4. Tempatkan individu dalam zon kekuatan
5. Kepimpinan melalui teladan
6. Pindahkan visi
7. Beri ganjaran atas pencapaian


Wallahu a’lam.

Mohd Shahrul Iza b Ismail
PrOD, IAB, 2011

Pasca Ramadan

Tirai rahmat dan pengampunan
Ramadhan
telah dilabuhkan
Syawal menjelma
takbir dan tahmid bergema
di seluruh maya.

kutanya diri
masih penuhkah saf-saf di nasjid
surau dan musala
masihkah ayat-ayat suci membasahi bibir asyik
sembahyang malam berlangsung sentiasa
zikir dan ratib tak lekang di mulut
sabar dan sedekah hiasan indah
roh maknawi
dari sekolah suci
terpahat di setiap nurani
pengajaran Ramadhan karim
istiqamah berterusan
hatta nyawa berpisah badan

Abham T.R
Kota Bharu
Mingguan Malaysia
2 Ogos 2015


Doa kebuntuan

Ya Allah daku mengakui kepadaMu lemahnya kekuatan diriku, sangat terbatasnya kecerdasanku dan kehinaan diriku atas manusia, dengan rahmat Engkau Ya Allah Tuhan Pemelihara sekalian alam.

Engkaulah Tuhan Pemelihara sekalian orang-orang dhaif,Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah Engkau menyerahkan aku, kepada orang asing yang mengusir aku atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Tetapi meskipun demikian aku redha asal saja Engkau tidak memurkai aku. KemaafanMu lebih besar, dari dosaku, aku meminta dengan Nur ZatMu yang menerangi semua kegelapan dan dengannya menjadi baik urusan dunia dan akhirat, semoga aku tidak tertimpa kemurkaanMu dan azabMu. PadaMu sumber keredhaan sehingga Engkau redhai aku. Tidak ada daya dan kekuatan selain dengan kekuasaan Engkau.

Aameen.

Amalan harian sepanjang zaman
At-Tafkir Enterprise
1999